Arkib Tag: ford everest

SDAC-Ford raikan komuniti pemilik sepanjang bulan Merdeka

Sime Darby Auto ConneXion-Ford selaku pengedar tunggal Ford di Malaysia melaksanakan beberapa aktiviti menarik untuk meraikan komuniti pemilik yang semakin berkembang.

Ia adalah susulan pencapaian terkini di mana Auto ConneXion-Ford telah menyerahkan lebih 24,000 unit Ford Ranger di seluruh negara.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah Ford Nation dan Ford Ranger Getaways.

Ford Nation

Acara sulung Ford Nation yang diadakan awal Ogos bertempat di Heritage Valley, Kuala Lumpur.

Acara ini menyediakan pelbagai aktiviti seperti perkongsian kenangan serta persembahan muzik langsung oleh Muzza & the Velvettones dan Joy Victor, disajikan dengan hidangan BBQ dan tempatan.

Selain itu, terdapat acara cabutan bertuah, pertandingan serta penyampaian anugerah Ranger Berpenampilan Paling Bergaya dan Pemilik Ford Paling Lama.

Ford Ranger Getaways

Auto ConneXion-Ford turut mengetengahkan pengalaman ‘Live the Ranger Life’ menerusi program Ford Ranger Getaways.

Menghimpunkan 20 pemilik Ranger, peserta bergerak dalam kumpulan konvoi menuju ke tapak perkhemahan di StarFresh Agro Park, Negeri Sembilan.

Di situ, mereka melalui kursus pemanduan off-road yang dibimbing oleh jurulatih bertauliah, dan berpeluang merasai sendiri ciri bantuan serta kawalan off-road.

Program ini turut menguji semangat kerja berpasukan dan ketepatan menerusi pelbagai cabaran dan permainan interaktif.

Ford Ranger Getaways diadakan setiap suku tahun sejak dilancarkan tahun 2022 terus menjadi antara aktiviti gaya hidup berasaskan pengalaman yang popular.

Pengenalan rangkaian model yang lebih meluas

Auto ConneXion-Ford sebelum ini mengumumkan rangkaian model Ranger dan Everest yang lebih meluas bagi memenuhi pelbagai keperluan gaya hidup.

Pemilik boleh memilih untuk mendapatkan Ford Ranger Sport 2.0L/3.0L atau Ranger Platinum 3.0L.

Terdapat juga pilihan SUV Everest Platinum versi 2.0L dan 3.0L V6 untuk pengalaman pemanduan yang lebih mewah.

Tambah baik proses pemilikan

Auto ConneXion-Ford terus menambah baik proses pemilikan menerusi inisiatif bertumpukan pelanggan dan nilai tambah selepas jualan.

Sebuah gudang alat ganti baharu telah dilancarkan di Kota Kinabalu pada Julai lalu bagi memudahkan pelanggan mendapat alat ganti dan kembali memandu dengan lebih cepat.

Setakat ini, Auto ConneXion-Ford mempunyai 33 wakil penjual di seluruh negara termasuk tujuh wakil penjual dan dua pusat servis khusus di Malaysia Timur.

Promosi beli Ranger

Pembeli model Ranger XL dan Ranger Sport 2.0L akan menerima kamera perakam pemanduan depan, sah sebelum 31 Ogos 2026.

Pembelian Ranger Sport 3.0L dan Ranger Platinum 3.0L pula akan menerima Pelan Servis Lanjutan (ESP) selama dua tahun secara percuma, tertakluk kepada terma dan syarat.

 

 

Ford Everest Wildtrak dilancar – Kemasan lebih rugged, 2.0 diesel biturbo, RM338,888

SERENTAK dengan pelancaran Ford Ranger Platinum, Sime Darby Auto Connexion juga memperkenalkan Everest Wildtrak. Varian terbaharu ini berharga RM338,888 dan diposisikan di atas Everest Platinum yang berharga RM308,888.

Seperti pada namanya, Everest Wildtrak mendapat kemasan yang sama seperti kembar trak pikapnya, dengan pengenalan warna Luxe Yellow, disulami dengan lencana-lencana Wildtrak berwarna Boulder Grey.

Selain Luxe Yellow, SUV tujuh tempat duduk ini juga ditawarkan dengan warna Meteor Grey dan Absolute Black. Rim pula bersaiz 20-inci dibaluti tayar 255/55.

Di dalam pula, terdapat jahitan ‘Wildtrak’ berwarna oren pada tempat duduk kulit, selain kemasan-kemasan oren dan jahitan warna sama di beberapa kawasan.

Enjin adalah sama dengan varian Everest lain, iaitu 2.0-liter diesel turbo dengan output 210hp dan 500Nm tork. Kuasa disalurkan ke sistem pacuan semua-roda kawalan elektronik dengan kotak gear automatik 10-kelajuan. Ia juga dilengkapi dengan pengunci differential belakang elektronik.

Ciri lain termasuklah paparan instrumen digital 12.4-inci, paparan infotainmen potret 12-inci, Apple Carplay dan Android Auto, sistem audio lapan pembesar suara, dan pengecas tanpa-wayar Qi.

Dari segi keselamatan pula, Ford Everest Wildtrak dilengkapi Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning dan Assist, Blind Spot Information System, Active Park Assist 2.0, dan Autonomous Emergency Braking.

Untuk pasaran Malaysia, Everest Wildtrak hadir dengan jaminan tiga tahun atau 100,00km, dengan pilihan tambahan dua tahun atau 60,000km.