Arkib Tag: EV3

Kia EV3 ialah SUV kompak elektrik sehingga 600km jarak pemanduan, pesaing Volvo EX30?

KIA terus menambah barisan model EV mereka, kali ini EV3 pula diperkenalkan, sebuah SUV kompak. Model ini menyertai abang-abang sedia ada seperti EV5, EV6, dan EV9.

Kia EV3 dibangunkan pada pelantar E-GMP (Electric-Global Modular Platform) tetapi tidak mendapat binaan 800-volt seperti EV6 dan EV9. Sebaliknya, ia didatangkan dengan binaan 400-volt seperti EV5, membolehkan pengecasan DC dari 10 hingga 80 peratus dalam 31 minit.

Dengan cas penuh, ia mampu dipandu sehingga 600km mengikut kitaran WLTP. Angka ini adalah bagi model Long Range, sementara itu varian Standard Range menawarkan jarak yang sedikit kurang.

Kuasa dibekalkan oleh bateri nikel manganese kobalt (NMC) kerana dikatakan menawarkan kuasa lebih baik dan mempunyai jangka hayat lebih lama.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan motor elektrik yang sama, dipasang pada gandar depan. Motor ini mempunyai output 201hp dan 283Nm tork, membolehkan EV3 memecut ke 100km/j dalam masa 7.5 saat. Kelajuan maksima dihadkan pada 170km/j.

Kia EV3 dibekalkan dengan eDTVC (Electric Dynamic Torque Vectoring Control) untuk cengkaman optima, dan satu ciri baharu iaitu i-Pedal 3.0 yang merupakan fungsi regenerative braking.

EV3 mempunyai ruang kargo sebanyak 460 liter dan memandangkan ia tiada enjin, bawah hud depan juga mempunyai tambahan ruang sebanyak 25 liter.

Dari segi rupa, Kia EV3 mendapat ‘Tiger Face Star Map’ hasil bentuk lampu DRL dan lampu utama. Gril juga jenis bertutup dengan dua pilihan rekaan bampar bergantung kepada varian.

Walaupun anda lihat Kia EV3 mempunyai bentuk berkotak dan bersegi, ia tetap aerodinamik, dengan pekali sereta serendah 0.263.

Rekaan kabin menampilkan konsep minimalis. Terdapat corong pendingin hawa tunggal yang direka melintang, membahagikan papan pemuka kepada dua bahagian. Terdapat beberapa butang fizikal di konsol tengah.

Skrin yang anda dapat lihat di papan pemuka ini cukup besar, yang terdiri dari paparan instrumen 12.3-inci, paparan infotainment 12.3-inci, dan panel pendingin hawa 5-inci.

Beberapa bahagian dalam kabin juga diperbuat dari bahan kitar semula dengan pilihan trim Air, Earth, atau Water.

Kelengkapan lain termasuklah sistem audio Harman Kardon, bantuan AI, Automotive Content Platform, dan sistem ADAS.

Kia EV3 bakal didedahkan sepenuhnya pada 23 Mei

KIA telah menyiarkan gambar teaser bagi kenderaan elektrik (EV) mereka yang seterusnya iaitu EV3. Ia akan didedahkan sepenuhnya pada 23 Mei depan sebagai SUV elektrik bersaiz kompak yang akan diposisikan di bawah EV5.

Untuk pengetahuan, EV3 pernah dipertontonkan menerusi model konsep Concept EV3 pada Oktober tahun lalu. Gambar-gambar teaser dari Kia menunjukkan ia akan mengekalkan sebahagian besar rekaan luarannya untuk produksi.

Kia Concept EV3

Seperti EV9, Kia mengaplikasikan falsafah ‘Opposites United’ untuk mereka bentuk EV3 dan ini boleh dilihat dengan jelas menerusi fender dan pintu tailgate yang berkotak.

EV3 juga boleh dilihat menampilkan signatur lampu Star Map pada bahagian depan dan belakang, serta tiang C yang dicat warna hitam bagi memberikan efek seperti bumbung terapung.

Gambar ruang dalaman masih belum disiarkan namun begitu, kami menjangkakan rekaan dan susun atur yang tidak jauh berbeza dengan model-model EV Kia yang sedia ada.

Perincian teknikal juga masih menjadi tanda tanya namun mengikut laporan, EV3 menggunakan platform E-GMP dengan seni bina 400V dan bukannya 800V seperti EV6 dan EV9.

Menurut Kia, EV3 akan memasuki pasaran tahun ini.