Arkib Tag: EV Track Day

Litar Sepang meriah dengan kehadiran lebih 100 kereta elektrik

Litar Sepang yang biasanya dipenuhi dengan deruman enjin dimeriahkan dengan kehadiran lebih 100 pemilik kenderaan elektrik (EV) dari Malaysia dan Singapura.

Dalam acara Dongfeng Track Day yang berlangsung baru-baru ini, para peserta diberikan peluang merasai sendiri pengalaman memandu di dalam litar ikonik itu.

Sambutan luar biasa

Sambutan yang diterima tahun ini cukup memberangsangkan berbanding hanya sekitar 30 peserta dicatatkan pada tahun lalu.

Amin Ashaari, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif SoyaCincau berkata, sambutan luar biasa ini membuktikan minat terhadap EV yang semakin berkembang.

“Acara ini bukan tentang berlumba, tapi memberi peluang kepada pemilik EV merasai litar dan menguji kemampuan kereta masing-masing. Kami mahu buktikan EV tiada batasan.

Acara tersebut dimulakan dengan sesi parade lap supaya para peserta membiasakan diri dengan litar tersebut, sebelum diteruskan dengan empat sesi pemanduan, setiap satu berdurasi satu jam.

Antara jenama EV yang turut mengambil bahagian termasuklah BMW, BYD, Dongfeng, Proton, Porsche dan Tesla.

Dongfeng pamer kereta baharu

Soh Ming, Ketua Pegawai Eksekutif Volt Auto Singapura dan Malaysia menyifatkan penyertaan mereka sebagai pengalaman pertama yang sangat berharga.

“Ia peluang terbaik untuk kami menguji kereta di litar dan mengumpul data untuk penambahbaikan,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk menganjurkan lebih banyak acara litar pada masa depan, selari dengan penglibatan jenama itu dalam sukan seperti bola sepak dan pickleball di Singapura.

Dongfeng turut mempamerkan tiga model, iaitu 007, Vigo dan Box E2 selain menawarkan pengalaman taxi ride dalam model 007 yang dipandu oleh pemandu profesional.

Peserta lahir rasa teruja

Kim Chan, 39, yang pertama kali menyertai menyifatkan pengalaman itu sesuatu yang baharu.

“Seronok dan saya memang menikmatinya, Saya pernah datang menonton perlumbaan, tetapi ini pertama kali berada di atas litar. Rasa pelik juga sebab sunyi.”

Beliau menambah, peningkatan infrastruktur pengecasan membuatkannya mempertimbangkan EV sebagai kereta seterusnya.

Turut kembali untuk kali kedua ialah Ee Sheeden, pemilik Tesla Model 3 Performance yang mencatatkan masa 2:27.90 dalam sesi time attack.

Sebagai pengasas pusat modifikasi Tesla Exotic Mods, Ee mengakui beliau memang peminat tegar EV dan mengubah suai keretanya untuk kegunaan litar.

“Saya buang tempat duduk belakang dan tukar pintu belakang kepada pintu gentian kaca untuk kurangkan berat 60 kg.”

Antara pemenang lain bagi cabaran time attack ialah:

  • Firhat Mokhzani – Tesla Model 3 Performance (2:32.42)
  • Ryan Woon Tian Chong – Tesla Model 3 Performance (2:38.20)

 

EV Track Day kembali gegarkan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang 6 Jun ini

Acara EV Track Day terbesar negara kembali menggegarkan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang pada 6 Jun 2026.

Ia bakal menghimpunkan komuniti pemilik dan peminat kenderaan elektrik dari seluruh Malaysia, bermula seawal 5.45 petang hingga tengah malam.

Dengan menggunakan layout penuh Sepang sejauh 5.543 km, ini memberi ruang kepada peserta menikmati pengalaman pemanduan EV dalam suasana litar sebenar.

Antara tarikan utama program kali ini:

  • Sesi open track – pemanduan EV di laluan penuh termasuk selekoh teknikal
  • Sesi parade lap – pemanduan yang lebih santai
  • Sesi Time Attack – mencari EV terpantas di litar
  • Sesi taxi ride – rasai sendiri prestasi EV berkuasa tinggi bersama pemandu profesional

Pemilik EV yang mahu meningkatkan skil pemanduan di litar pula boleh mendapatkan khidmat jurulatih profesional, tersedia mengikut permintaan.

Bagi memastikan kelancaran acara, pengecas DC disediakan di kawasan paddock melalui kerjasama beberapa penyedia pengecas tempatan membolehkan peserta memaksimumkan masa di litar tanpa risau soal bateri.

Pemeriksaan bateri 12V juga ditawarkan secara percuma, termasuk pilihan naik taraf kepada bateri sodium‑ion yang lebih tahan haba.

Edisi pertama sebelum ini mencuri perhatian apabila lebih 30 EV berjaya membuktikan kemampuan sebenar jentera elektrik di litar, termasuk model prestasi tinggi yang mampu memberi cabaran kepada kereta sport konvensional.