Arkib Tag: Emeya

Lotus Emeya dilancarkan di Malaysia – 3 varian, harga RM555k-RM777k

LOTUS Cars Malaysia telah melancarkan kenderaan elektrik keduanya iaitu Emeya ke pasaran tempatan.

Seperti Eletre, Hyper-GT elektrik sepenuhnya ini boleh didapati dalam tiga varian iaitu Emeya, Emeya S dan Emeya R. Varian asas dijual pada harga RM555,000, S dijual pada harga RM643,000 manakala R pula berharga RM777,000.

Harga tersebut tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Setiap varian didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun/150,000 km, dan jaminan untuk bateri selama lapan tahun/200,000 km.

Varian asas Emeya dan Emeya S dikuasakan oleh dua buah motor elektrik yang menghasilkan 603 hp dan 710 Nm. Dengan transmisi kelajuan tunggal, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 4.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Sementara itu, Emeya R sebagai varian tertinggi mempunyai 905 hp dan 985 Nm. Tidak seperti varian-varian lain, ia mempunyai transmisi dua kelajuan, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.8 saat. Kelajuan maksimumnya juga sedikit lebih tinggi iaitu 256 km/j.

Selain motor elektrik yang berkuasa, sebahagian besar prestasi Emeya disumbangkan oleh rekaannya yang aerodinamik.

Emeya dilengkapi dengan gril depan aktif untuk mengurangkan rintangan angin dan menyejukkan bateri, air dam aktif pada bahagian depan, diffuser aktif pada bahagian belakang serta spoiler aktif dua lapisan yang boleh menjana downforce sehingga 215 kg.

Selain itu, Emeya juga dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda bersama sistem Lotus ICC intelligent torque distribution, dan sistem suspensi udara yang boleh membaca keadaan jalan pada kadar 1,000 kali sesaat.

Ketiga-tiga varian didatangkan dengan bateri berkapasiti 102 kWj, namun jarak gerak (WLTP) bagi setiap varian adalah berbeza. Varian asas menawarkan jarak gerak 610 km, manakala S pula menawarkan 540 km. Emeya R boleh dipandu sehingga 435 km.

Emeya menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350 kW yang boleh memulihkan kuasa bateri dari 10% hingga 80% dalam hanya 18 minit. Ia juga mempunyai ciri pengecasan AC 22 kW.

Ruang dalaman Emeya menampilkan ciri minimalis yang digabungkan dengan material mewah dan teknologi termaju. Bagi mengurangkan jejak karbon, Lotus menggunakan benang premium yang diperbuat dari fabrik lebihan industri fesyen.

Selain itu, anda akan menemui skrin sentuh berukuran 15.1 inci yang dikuasakan oleh sistem Unreal Engine, serta sistem audio KEF dengan pembesar suara Uni-Q, subwoofer Uni-Core dan sistem bunyi keliling 3D Dolby Atmos. Turut disertakan adalah ciri Road Noise Cancellation (RNC).

Untuk sistem keselamatan, terdapat ADAS yang merangkumi ciri-ciri seperti amaran halangan, amaran keluar lorong, amaran pelanggaran depan dan sistem pemantaun titik buta. Semua maklumat penting dipaparkan menerusi head up display realiti terimbuh (AR) berukuran 55 inci.

Lotus Emeya diperkenalkan secara rasmi, boleh pecut 0-100 km/j bawah 2.8 saat

SEPERTI yang dijanjikan, Lotus secara rasminya memperkenalkan Emeya, model hyper GT empat pintu yang pertama bagi jenama itu.

Emeya akan memasuki fasa produksi pada tahun hadapan bagi membawa cabaran baharu terhadap pesaing-pesaing terdekatnya seperti Audi e-tron GT, Porsche Taycan dan Tesla Model S.

Sebagai sebuah Lotus, Emeya menjanjikan prestasi pemanduan yang mengujakan. Ini dicapai menerusi sistem aerodinamik canggih yang merangkumi elemen-elemen aktif seperti jeriji, diffuser dan spoiler.

Spoiler berkenaan mempunyai ukuran lebar 11 inci (3.9 inci lebih lebar berbanding spoiler Eletre) dan boleh menjana downforce sehingga 215 kg.

Selain itu, Emeya juga dilengkapi dengan sistem suspensi udara yang dikawal secara elektronik. Sistem tersebut mempunyai sensor canggih yang boleh mengimbas permukaan jalan sebanyak 1,000 kali sesaat dan akan melaras kenderaan secara automatik untuk pemanduan yang paling lancar.

Dalam versi paling berkuasa, model ini mempunyai 905 hp dan 985 Nm yang dibekalkan oleh sepasang motor elektrik. Angka tersebut membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa kurang 2.8 saat.

Tidak seperti Eletra yang dilengkapi dengan bateri berkapasiti 112 kWj, Emeya didatangkan dengan bateri 102 kWj yang menyokong pengecasan pantas sehingga 350 kW.

Menurut Lotus, pengecasan selama lima minat akan memberikan jarak pemanduan sejauh 150 km, sementara pengecasan selama 18 minit boleh memulihkan kuasa bateri dari 10 hingga 80 peratus.

Jarak pandu tidak dinyatakan namun ia angkanya dijangka tidak jauh berbeza dengan Eletre yang boleh dipandu sejauh 600 km dengan satu cas penuh.

Emeya dibangunkan menggunakan pelbagai material lestari bagi mengurangkan jejak karbonnya. Ini termasuk benang yang diperbuat daripada gentian yang dikitar semula daripada industri fesyen, aluminium PVD, Alcantara, kulit Nappa dan ultrafabrik PU.

Bagi mereka yang gemar mendengar muzik, Emeya menjanjikan pengalaman audio terbaik menerusi sistem audio yang dibangunkan dengan kerjasama KEF. Sistem ini merangkumi pembesar suara Uni-Q dan subwoofer Uni-Core, serta bunyi 3D Dolby Atmos.

Turut disertakan adalah paparan head-up realiti terimbuh (AR) berukuran 55 inci, cermin digital dan modul LiDar seperti yang terdapat pada Eletre.

Lotus Emeya, pesaing Porsche Taycan akan diperkenalkan pada 7 September

LOTUS telah mengumumkan bahawa model sedan elektriknya, yang sebelum ini digelar Type 133, akan dikenali secara rasmi sebagai Emeya. Ia akan membuat kemunculan sulungnya pada 7 September ini.

Gambar dan video teaser yang disiarkan tidak menunjukkan bentuk sedan EV itu dengan jelas namun seperti yang boleh dilihat, model itu mempunyai lampu nyalaan siang terpisah di hadapan dan bar lampu melintang yang panjang di belakang.

Emeya dibina menggunakan platform Electric Premium Architecture (EPA) yang turut digunakan oleh Eletre. Ini bermakna ia berkemungkinan besar menampilkan senibina elektrik 800 volt dan pek bateri berkapasiti 112 kWj dengan jarak pandu sekitar 600 km untuk varian asas dan 490 km untuk varian tinggi.

Bukan itu sahaja, senibina tersebut juga merangkumi fungsi pengecasan pantas (DC) sehingga 350 kW yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 20 minit.

Gambar oleh: DrivingElectric

Trenkuasa juga mungkin tidak jauh berbeza dengan apa yang ditawarkan pada Eletre – motor elektrik tunggal pada gandar belakang dengan 603 hp untuk varian asas dan S, serta dua motor elektrik dengan kuasa keseluruhan melebihi 900 hp untuk varian R.

Selain itu, ia juga dijangka menampilkan sistem suspensi udara, stereng roda belakang, kawalan olengan aktif dan aerodinamik aktif.