Arkib Tag: elektrifikasi

Toyota, Subaru, Mazda bentuk pakatan untuk selamatkan enjin pembakaran

TIDAK dinafikan kita sedang menuju era elektrifikasi – dengan harapan mengurangkan pencemaran alam sekitar dan mencapai neutraliti karbon. Tetapi tidak semua pengeluar kereta mahu cepat ke arah itu.

Lima pengeluar utama Jepun telah membentuk satu pakatan untuk menyelamatkan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Toyota, Subaru dan Mazda dalam satu sidang akhbar telah mengumumkan hasrat untuk pergi lebih dari sekadar elektrifikasi dalam usaha mengurangkan pencemaran.

Kawasaki dan Yamaha pula mengumumkan untuk membangunkan enjin hidrogen untuk kenderaan dua-roda dan pengangkutan lain.

Bagi Mazda, mereka menyahut cabaran dengan berlumba menggunakan jentera yang dipacu enjin 1.5-liter SkyActiv-D.

Mereka merancang untuk menyertai kelas ST-Q dalam perlumbaan Super Taikyu di Okayama dengan kenderaan konsep Demio Mazda Spirit Racing Bio yang menggunakan bahan bakar biodiesel generasi baharu.

Toyota dan Subaru pula akan berlumba dalam siri Super Taikyu akan datang dengan bahan bakar sintetik dari biojisim. Subaru mahu berlumba dengan jentera BRZ manakala Toyota dengan jentera GR86.

Toyota juga berikrar untuk terus berlumba dengan kereta berkuasa hidrogen. Mereka telah menyertai tiga perlumbaan dengan kereta itu iaitu Fuji Super TEC 24 Hours, Super Taikyu dan Suzuka S-TAI.

Perkara ini walaubagaimanapun tidaklah mengejutkan. Malah, hanya enam pengeluar komited untuk menghentikan pengeluaran kenderaan ICE menjelang 2040.

Kenderaan elektrifikasi: Lexus jual dua juta unit seluruh dunia

USAHA Lexus menjadi salah satu pengeluar kenderaan terkemuka dunia tampaknya berada di landasan tepat.

Syarikat itu kini berjaya mencapai angka jualan dua juta kenderaan teknologi elektrifikasi di seluruh dunia.

Setakat ini, terdapat sembilan model model hibrid dan elektrik keluaran Lexus meliputi lebih 90 negara.

Menjelang tahun 2025, Lexus menyasarkan pengeluaran 20 model baharu menggunakan teknologi hybrid dan elektrik.

Langkah itu bukan sahaja demi memenuhi usaha pelestarian alam sekitar malah, menepati visi ‘Lexus Electrified’ yang dilancar pada 2019.

Pada masa sama, Lexus bercadang memansuhkan penggunaan enjin konvensional dan digantikan dengan teknologi elektrifikasi menjelang tahun 2050.

LF-Z Electrified bukan sahaja 'menawan' malah, memiliki kuasa yang luar biasa!

Selain itu, Lexus juga difahamkan sedang membangunkan teknologi sistem pacuan semua roda Direct4 dan steer-by-wire untuk kenderaannya.

Model konsep LF-Z Electrified misalnya menggunakan sistem ini menghasilkan kuasa 400kW (536hp) dan 700Nm tork.

Lexus mendakwa ia mampu mencapai pecutan 0 – 100 km/j dalam masa tiga saat dengan kelajuan maksimum 200 km/j!

Bagi memberi kepuasan menyeluruh kepada pengguna, Lexus turut menggunakan bateri lithium-ion 90kWh sejukan cecair bagi kenderaannya.

Penggunaan bateri itu dikatakan mampu menyediakan jarak 600 kilometer selain mempunyai pengecasan pantas 150kW.