Arkib Tag: ekonomi

Kerajaan pertimbang ambil alih konsesi lebuh raya selepas kewangan negara stabil

KERAJAAN akan mempertimbangkan cadangan mengambil alih konsesi lebuh raya bagi mengurangkan kadar tol di seluruh negara sekiranya kedudukan kewangan negara stabil pada masa depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata ketika ini cadangan mengambil alih mana-mana konsesi lebuh raya tidak dapat dilaksanakan kerana ia membabitkan implikasi kewangan yang amat tinggi.

Gambar oleh: MalayMail

“Kerajaan sentiasa komited dan fokus terhadap sebarang usaha untuk menangani kenaikan harga barang serta mengurangkan kos sara hidup yang ditanggung rakyat.

“Namun kerajaan pada masa ini tidak bercadang mengambil alih mana-mana lebuh raya yang sedang beroperasi kerana memerlukan implikasi kewangan yang sangat tinggi.

“Kerajaan bersedia mempertimbangkan semula cadangan ini sekiranya keadaan kewangan dan fiskal negara mengizinkan kelak,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanyakan komitmen kerajaan dalam mengambil alih konsesi lebuh raya dan beransur-ansur mengurangkan kadar tol di seluruh negara bagi meringankan beban rakyat.

Tahun lalu, kerajaan mengumumkan inisiatif pengambilalihan empat konsesi lebuh raya di Lembah Klang menerusi Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR), sebuah syarikat swasta yang semua pemegang sahamnya bukan berasaskan keuntungan.

ALR yang dipengerusikan Tan Sri Azlan Mohd Zainol, akan mengambil alih Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).

Menerusi pengambilalihan itu, tiada kenaikan kadar tol di empat lebuh raya berkenaan sehingga tamat tempoh konsesi, sekali gus bakal memberi penjimatan bayaran pampasan dari 1 Januari tahun lalu yang dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion namun, tempoh konsesi dilanjutkan.

Perodua cemerlang untuk 2022, tahun memaksimumkan potensi industri auto tempatan

INDUSTRI automotif Malaysia mampu memaksimumkan potensinya melalui tanggungjawab bersama untuk memenuhi jangkaan pelanggan dalam pelbagai aspek tahun lepas, menghasilkan rekod prestasi terbaik buat Perodua setakat ini.

“Pencapaian ini juga merupakan komitmen bersama ekosistem tempatan kepada para pelanggan dan peranan kami bersama untuk memajukan industri ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Pengeluaran meningkat 49.5 peratus kepada 289,054 unit pada 2022 berbanding 193,400 unit pada 2021; manakala bagi jualan ianya menyaksikan peningkatan sebanyak 48.2 peratus kepada 282,019 unit berbanding 190,291 kenderaan yang didaftarkan pada 2021.

Selepas jualan pula menyaksikan jumlah pengambilan meningkat kepada 2.6 juta, iaitu kenaikan sebanyak 30 peratus daripada 2.0 juta pengambilan servis pada 2021.

“Industri banyak belajar ketika melalui fasa pandemik dan kami menyedari bahawa kami perlu mengambil langkah yang proaktif untuk pulih pada 2021 – yang mana menyaksikan pelbagai cabaran dan daripada itu kami memaksimumkan potensi ekosistem pada 2022, ” tambah Dato’ Sri Zainal.

Beliau berkata, tahun 2022 juga mempunyai cabarannya termasuk pemulihan ekosistem akibat daripada banjir besar, kekurangan pekerja akibat lonjakan kes Covid-19 di peringkat pembekal, kekurangan bekalan cip semikonduktor dan peningkatan mendadak harga bahan mentah.

Dato’ Sri Zainal berkata dengan perancangan yang betul, Perodua dan rakan niaganya bukan sahaja dapat mengatasi cabaran ini tetapi juga memperoleh pertumbuhan yang sangat diperlukan untuk industri.

“Matlamat kami adalah untuk memenuhi jangkaan para pelanggan terhadap kami– bukan sahaja dari segi penyampaian produk dan perkhidmatan tetapi juga dalam memperkenalkan tawaran nilai yang lebih hebat kepada semua rakyat Malaysia,” kata Dato’ Sri Zainal.

Beliau berkata, hasilnya, tahun 2022 terbukti tahun terbaik setakat ini buat Perodua secara khususnya dan industri automotif Malaysia amnya.

Harga kereta Perodua kekal untuk 2023, kos bahan mentah dan bahan api masih terurus

TIADA perubahan dan kenaikan untuk kereta Perodua bagi 2023 setakat ini, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

“Dalam merealisasikannya, kami berharap harga bahan mentah dan harga bahan api kekal terurus dan pada masa yang sama, kami juga berharap pertukaran mata wang asing serta kadar faedah akan lebih menggalakkan pertumbuhan industri,” kata Dato’ Sri Zainal.

Beliau menambah, buat masa ini, sekiranya faktor-faktor ini kekal pada paras yang wajar, Perodua akan mengekalkan harga kenderaannya.

Bagi 2023, beliau berkata Perodua dan rakan niaganya akan memberi tumpuan untuk memanfaatkan pertumbuhan yang dicapai setakat ini dan mengembangkan lagi kapasiti.

“Buat masa ini, keutamaan kami adalah untuk menghantar kenderaan Perodua kepada mereka yang menempah dalam tempoh pengecualian cukai jualan kerana harga kenderaan ini akan kekal seperti yang dipersetujui sehingga tarikh akhir 31 Mac 2023,” katanya.

Beliau juga berkata Perodua akan terus memperkenalkan teknologi baharu di dalam produk dan perkhidmatannya pada masa hadapan serta melabur di dalam inovasi teknologi bagi operasinya.

“Selain itu, kami juga akan menggalakkan rakan niaga kami, iaitu para pembekal dan pengedar untuk terus melabur dalam teknologi baharu supaya mereka lebih berdaya saing dan produktif.

“Kami akan mengumumkan senarai penuh sasaran kami pada bulan Januari dan saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas sokongan berterusan mereka, rakan kongsi kami atas dedikasi mereka, kakitangan Perodua atas pengorbanan dan kerja keras mereka serta para pelanggan kami yang dihargai atas sokongan setia mereka,” katanya.

Suku pertama 2022, UMW Toyota Motor jual 8,487 unit kenderaan

UMW Toyota Motor Sdn Bhd menjangkakan aliran menaik selepas merekodkan 22,447 unit jualan suku pertama tahun ini.

Syarikat itu merekodkan jumlah jualan 8,386 unit Toyota dan 101 unit Lexus sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 8,487 unit pada Mac.

Angka itu meningkat berbanding 6,432 unit pada Februari lepas, lapor Bernama.

Foto hiasan ihsan Lexus

“Jualan bulan ke bulan yang dicapai untuk Lexus pada Mac adalah pada 101 unit manakala jualan bulan sebelumnya adalah sebanyak 66 unit.

“Toyota mencapai jualan 8,386 unit berbanding 6,366 unit pada Februari, diterjemahkan kepada peningkatan 32 peratus dalam unit yang dijual,” memetik kenyataan dikeluarkan.

Hasil jualan positif UMW Toyota Motor Sdn Bhd itu disebabkan oleh promosi bulan Mac yang menawarkan pelbagai ganjaran.

Ia termasuk manfaat nilai tambah bernilai RM4,000 untuk kenderaan paling laris Toyota seperti Vios dan Yaris.

Foto hiasan ihsan Toyota

Sementara itu, UMW Toyota Motor Sdn Bhd sentiasa mengkaji dan menyesuaikan diri dengan keadaan berubah-ubah dan ketidaktentuan ekonomi.

Pada masa, syarikat itu juga akan bekerja rapat dengan pembekal dan memantau perkembangan terkini bagi memastikan kesan minimum terhadap pengeluaran dan pelanggannya.

“Ketika Malaysia beralih ke fasa endemik, UMW Toyota Motor menghargai sokongan yang diterima daripada pelanggan kami.

“Kami kekal komited untuk mencapai pertumbuhan secara berterusan untuk jenama Toyota serta bagi industri automotif tempatan,” kata presidennya Ravindran K.

Terdahulu, UMW Toyota Motor Sdn Bhd turut menjangkakan peningkatan jualan dengan pelancaran produk baharunya akhir tahun ini.

Hyundai, Kia yakin mampu jual 7.08 juta kenderaan berakhir 2021

PENGANALISIS ekonomi percaya Hyundai Motor Co. dan rakan kerjasamanya Kia Corp. bakal mencatatkan keuntungan tinggi pada suku kedua tahun ini.

Ia dipacu permintaan positif bagi kenderaan syarikat terbabit dalam usaha mengimbangi gangguan output kekurangan semikonduktor.

Hyundai serta Kia merupakan pengeluar kenderaan kelima terbesar di dunia dengan penjualan dijangka mencatat keuntungan operasi lebih 1.86 trilion won dan 1.34 trilion won bagi suku berakhir 30 Jun.

Tahun lalu, Hyundai dan Kia mencatat hanya 590 bilion won dan 145 bilion won dalam tempoh yang sama.

Sementara itu, laporan pakar turut melihat kejayaan Hyundai dan Kia susulan penjualan kenderaan mewah yang kukuh di pasaran Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

“Kombinasi campuran produk yang lebih baik, insentif lebih rendah dan harga jualan purata lebih tinggi di pasaran AS membantu mengimbangi kesan kekurangan cip,” kata penganalisis di Hana Financial Investment Co.

Sejak Januari hingga Jun, Hyundai dan Kia menjual 3.47 juta kenderaan.

Ia meningkat 25 peratus daripada 2.77 juta unit pada tempoh sama tahun lalu.

Tahun ini, dua syarikat gergasi itu membuat unjuran penjualan 7.08 juta kenderaan.

Bagaimanapun, ia sedikit rendah berbanding 7.2 juta unit tahun lalu.

Berdasarkan tinjauan kenderaan utiliti crossover IONIQ 5 milik Hyundai dan model sedan K8 antara mendapat permintaan tinggi pengguna.

Awal tahun 2022, dua model baharu Genesis GV60 SUV dan Kia’s Sportage SUV akan diperkenalkan pula kepada pengguna.

Perodua sasar jualan 240,000 unit bagi tahun 2021

PERODUA menyasarkan jualan 240,000 unit bagi 2021 di sebalik situasi pandemik Covid-19 di negara ini.

Berdasarkan rekod kewangan syarikat pengeluar kenderaan kompak itu, 96,281 unit kenderaan telah terjual dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zainal Abidin Ahmad, terdapat peningkatan 52,920 kenderaan terjual berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jelasnya, pencapaian 2021 lebih sesuai dibandingkan dengan prestasi 2019 yang mana Perodua telah menjual 105,745 unit dalam lima bulan pertama tahun itu.

“Kesan pandemik dan kekurangan semikonduktor dapat dilihat pada penurunan jualan sebanyak 12 peratus.

“Kami percaya Perodua mampu mencapai sasaran 240,000 unit tahun ini di sebalik permintaan yang kekal kukuh bagi semua model,” kata Zainal Abidin.

Menerusi satu kenyataan, Zainal turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana melanjutkan tempoh pengecualian cukai jualan sehingga akhir tahun.

Keputusan itu sedikit sebanyak membantu Perodua menampung permintaan menggalakkan selain mengekalkan ekosistem automotif Malaysia.

Untuk rekod, Perodua telah menghasilkan 18,283 unit kenderaan pada Mei sekaligus menjadikan jumlah pengeluaran keseluruhan setakat ini sebanyak 98,944 unit.