Kemunculan ZXMOTO di pameran EICMA 2025 dan kemenangan berganda di World Supersport (WorldSSP) Portugal telah menghantar isyarat jelas kepada pesaing global.
Pengeluar dari China ini berada di tahap yang sangat berbeza.
Diasaskan pada 2024 oleh Zhang Xue yang sebelum itu pengasas bersama KOVE, ZXMOTO kini melangkah dengan agresif.
Rekod jualan model produksi pertama mereka, ZX-500RR, berjaya mencecah lebih 10,000 unit dalam tempoh hanya empat bulan di pasaran China.
Bagi Zhang Xue, pembangunan jenama ini didorong sepenuhnya oleh minat mendalam terhadap dunia perlumbaan dan pembinaan motosikal.
Beliau secara terbuka mengakui tidak begitu menikmati aspek keusahawanan, sebaliknya lebih gemar menghabiskan masa dalam proses pembangunan produk.
Prestasi Enjin ZXMOTO 820RR 2026
Bintang utama dalam barisan jentera mereka ialah siri ZXMOTO 820RR.
Jentera yang meraih kemenangan berganda di litar Portimao, Portugal tempoh hari adalah versi 820RR-RS yang menghasilkan 150 ps.
Untuk pasaran jalanan, ZXMOTO menawarkan varian standard 820RR.
Ia hadir dengan nadi 818.8cc tiga-silinder sebaris DOHC 12-injap yang menghasilkan kuasa 135 ps pada 12,000 rpm dengan tork 80Nm.
Jentera ini dilengkapi teknologi moden seperti electronic throttle, slipper clutch, serta sistem suntikan bahan api BOSCH EFI dengan kapasiti tangki bahan api sebanyak 18 liter.
Dari segi pengendalian, ia menggunakan brek cakera terapung berkembar 320mm dengan angkup TAISKO™.
Perbezaan Spesifikasi Varian 820RR-R
Bagi mereka yang mahukan prestasi lebih ekstrem, varian 820RR-R tampil sebagai versi yang lebih ringan dan berkuasa.
Berikut adalah perbezaan utama berbanding model standard:
- Kuasa: Meningkat kepada 145.5 ps (RR: 135 ps).
- Tork: Meningkat kepada 83Nm pada 10,000 rpm (RR: 80Nm).
- Berat (curb): 186kg (RR: 193kg).
- Tangki Bahan Api: 16 liter (RR: 18 liter).
- Sistem Brek: Angkup BREMBO™ M50 dengan cakera lebih besar 330mm (RR: 320mm / Angkup TAISKO™).
- Rim: Jenis forging CNC saiz MT3.5×17 di hadapan dan MT6.0x17 di belakang (RR: Cast aluminium).
- Tayar: Pirelli™ V4 saiz 120/70 ZR17 di hadapan dan 200/55 ZR17 di belakang (RR: CST saiz 180/55 di belakang).
Pilihan Tambahan Eksklusif
ZXMOTO turut menawarkan senarai aksesori tambahan khusus bagi varian 820RR-R untuk mereka yang mahukan sentuhan komponen gred perlumbaan:
- Sayap gentian karbon (winglets) untuk bantuan aerodinamik.
- Plet sambungan forged CNC dan pemijak kaki CNC boleh laras.
- Gandar roda aluminium aloi.
- Tangki bahan api rotomolded.
Rangkaian Model Global ZXMOTO
Di pentas EICMA 2025, ZXMOTO mempamerkan keupayaan teknikal mereka melalui barisan model yang merangkumi pelbagai segmen utama.
Selain siri 820RR, platform tiga-silinder 819cc yang sama turut digunakan untuk model naked 820R (130hp) dan jentera kembara 820ADV (117hp).
Model ADV ini direka khusus untuk pelbagai permukaan jalan dengan penggunaan rim jejari 19-inci di hadapan dan 17-inci di belakang.
ZXMOTO turut mempertaruhkan nadi empat-silinder sebaris melalui model sport 500RR yang menghasilkan 85hp dan model street naked 500F dengan kuasa 74hp.
Model 500F tampil dengan sentuhan rekaan klasik melalui lampu utama bulat yang menggabungkan elemen retro dan prestasi moden.
Bagi peminat aktiviti off-road, jenama ini turut tampil dengan tiga model berikut:
- 450 Rally: Jentera inspirasi rali Dakar dengan berat hanya 128kg dan kuasa 60hp.
- MX250 & MX450: Model motocross khusus dengan berat masing-masing 102kg dan 104kg.
ZXMOTO 820RR Masuk Pasaran Malaysia?
Persoalan paling besar adalah adakah 820RR akan mendarat di pasaran kita?
Selepas model retro moden 500F, saluran media sosial tempatan mula aktif menayangkan video mengenai 820RR, seolah-olah memberi petanda awal ia sedang dipersiapkan untuk pasaran Malaysia.
Namun, sehingga kini masih belum ada pengumuman rasmi mengenai siapakah yang bakal memegang mandat sebagai pengedar rasmi ZXMOTO di Malaysia.
Di pasaran China, ZXMOTO 820RR ditawarkan pada harga bermula lebih sedikit 40,000 Yuan (sekitar RM23,320).
Melihat kepada pakej spesifikasi tinggi dan harga rendah motosikal dari China, 820RR mempunyai potensi menggegarkan penguasaan jenama sedia ada.
Kredit gambar dan sumber:
- CHINADAILY
- ZXMOTO
- EICMA
