Arkib Tag: Edaran Modenas

Pusat pameran Kawasaki All-Star keempat dibuka di Johor Bahru

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) memperkenalkan pusat pameran All-Star Kawasaki yang keempat di Johor Bahru. 

Menempatkan kesemua model Kawasaki yang ditawarkan di Malaysia, pusat pameran baharu ini juga menawarkan pelbagai perkhidmatan lain termasuk servis selepas jualan dan alat ganti.

 

Juga tidak dilupakan, Kawasaki Johor Bahru ini juga menawarkan pelbagai aksesori tambahan termasuk helmet pelbagai jenama. 

Meraikan majlis pembukaan ini termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan, Ketua Pegawai Pemasaran, George Kashiwagi dan  Pengarah Kawasaki Johor Baharu, Qbee Ng.  

Dalam pada itu, turut memeriahkan majlis adalah acara penyerahan tiga motosikal jenis Kawasaki Ninja ZX-25RR yang baru sahaja diperkenalkan untuk pasaran tempatan. 

Sementara itu, EMOS cadang buka lapan lagi pusat pameran bertaraf All-Star Kawasaki menjelang Disember tahun ini. 

Harga rasmi Modenas Ninja ZX-25RR diumumkan – RM36,500

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS) hari ini secara rasmi mengumumkan harga untuk Modenas Ninja ZX-25RR iaitu RM36,500.

Menurut EMOS, model ini boleh didapati di semua bilik pameran Kawasaki All-Star Dealer menjelang akhir Mac 2024.

Untuk perbandingan, satu lagi varian ZX-25R iaitu ZX-25R SE dilancarkan ke pasaran tempatan pada September tahun lalu dengan harga jualan RM33,900.

Seperti versi SE, ZX-25RR dilengkapi dengan fork jenis Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston) 37 mm pada bahagian hadapan, namun di belakang, jentera Double-R ini menggunakan penyerap hentak Showa BFRC (Balance Free Rear Cushion) boleh laras.

Bagaimanapun, ‘nadi’ yang menggerakkan ZX-25RR adalah sama dengan SE iaitu enjin empat silinder sebaris bersesaran 250 cc yang mampu menghasilkan 46 PS pada 15,500 rpm dan 22 Nm pada 14,000 rpm.

Dari segi dimensi, motosikal ini mempunyai ukuran panjang 1,980 mm, lebar 750 mm, tinggi 1,100 mm serta jarak roda 1,380 mm. Ia mempunyai tempat duduk dengan ketinggian 785 mm, berat 184 kg dan kapasiti tangki bahan api 15 liter.

Tayar yang digunakan bersaiz 110/70 R17 di hadapan dan 150/60 R17 di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar 310 mm dengan angkup monoblock empat piston di hadapan dan cakera tunggal 220 mm di belakang.

Selain itu, ZX-25RR didatangkan dengan beberapa ciri elektronik terkini termasuk Kawasaki Traction Control (KTRC), Kawasaki Quick Shifter (KQS), Assist & Slipper Cluth serta tiga mod tunggangan. Turut disertakan adalah paparan TFT dengan sambungan Bluetooth menerusi aplikasi Rideology.

Kawasaki Z900 ABS, SE kini dengan grafik dan warna lebih menarik

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS) baru-baru ini telah memperkenalkan warna dan grafik baharu untuk dua jentera naked Kawasaki iaitu Z900 ABS dan Z900 SE.

Untuk tahun 2024, Z900 ABS memperkenalkan kombinasi warna baharu Candy Persimmon Red/Ebony, manakala Z900 SE pula boleh didapati dalam warna Metallic Spark Black/Metallic Matte Graphenesteel Gray.

Selain daripada itu, tiada sebarang perubahan mekanikal dilakukan. Z900 ABS dan Z900 SE akan terus dikuasakan oleh enjin sejukan cecair 948 cc, empat silinder sebaris yang menghasilkan 125 hp pada 9,500 rpm dan 98.6 Nm pada 7,700 rpm.

Dari segi kelengkapan, kedua-dua model ini menawarkan tiga mod tunggangan iaitu Road, Sport dan Rain, pilihan mod kuasa, tiga tetapan kawalan cengkaman KTRC (Kawasaki Traction Control) dan klac jenis Assist & Slipper.

Untuk tahap tunggangan yang lebih tinggi, Z900 SE menampilkan kelengkapan tambahan berupa fork terbalik berwarna emas di hadapan dan penyerap hentak Öhlins S46 dengan pelaras pra-muatan di belakang.

Harga jualan bermula dari RM44,900 untuk Z900 ABS dan RM55,900 untuk Z900 SE. Setiap pembelian didatangkan dengan waranti selama dua tahun tanpa had perbatuan.

Pusat 4S Kawasaki kini dibuka di Kuching

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat milik penuh Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), baru-baru ini merasmikan pembukaan pusat 4S flagship ketiganya iaitu Kawasaki Kuching yang terletak di Kuching, Sarawak.

Terletak di bawah pengurusan Ghee Hua Co Sdn Bhd, Kawasaki Kuching merupakan pusat pameran bertaraf All-Star yang pertama di Malaysia Timur dan ketiga di Malaysia.

Majlis pelancaran dirasmikan oleh Law Kin Hin, Pengarah Kawasaki Kuching dan Ghee Hua Group, bersama Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas. Ia turut disaksikan oleh YB Dato Sri Abd Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak.

Ghee Hua diasaskan pada 1968 sebagai syarikat menjual basikal sebelum ia berkembang kepada penjualan motosikal pada 1970. Syarikat itu menjalinkan kerjasama dengan Modenas sebagai pengedar sah motosikal jenama itu pada Ogos 2000.

Dengan pembukaan Kawasaki Kuching, EMOS menjangkakan dapat memeriahkan pasaran motosikal dan skuter Kawasaki dan Modenas di Sabah dan Sarawak.

Syarikat itu mensasarkan untuk membuka 10 lagi pusat 4S Kawasaki pada tahun ini dan melantik lima pengedar bertaraf All-Star dalam tahun yang sama.

Menurut EMOS, semua pusat 4S Kawasaki All Star mematuhi piawaian reka bentuk dan pembinaan Kawasaki Plaza di Jepun yang mengutamakan paparan produk dan visual.

Modenas Versys 650 versi 2023 kini di pasaran – harga dari RM38,400

DI samping Ninja 650 dan Z650, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) turut melancarkan Modenas Versys 650 yang telah ditambah baik untuk model tahun 2023.

Motosikal jenis kembara ini boleh didapati dalam dua warna iaitu Metallic Spark Black dan Candy Limegreen/Metallic Flat Spark Black, dengan harga jualan bermula dari RM38,400 hingga RM39,100.

Untuk 2023, Versys 650 tampil dengan rekaan lebih bergaya serta kemudahan dalam bentuk cermin penghadang angin dengan ketinggian boleh laras. Ini meminimumkan rintangan angin, mengoptimumkan aerodinamik, serta meningkatkan keselesaan jarak jauh.

Seperti sebelum ini, Versys 650 dikuasakan oleh enjin silinder kembar selari bersesaran 645 cc dengan kuasa sebanyak 65.7 hp pada 8,500 rpm dan 61 Nm pada 7,000 rpm. Enjin ini dicantumkan dengan transmisi enam kelajuan.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik pada bahagian depan dan penyerap hentak jenis monoshock dengan pelarasan pramuatan pada bahagian belakang. Rim yang digunakan bersaiz 17 inci.

Untuk sistem brek pula, terdapat cakera berkembar berukuran 300 mm pada roda depan dan cakera tunggal 250 mm pada tayar belakang, serta tidak lupakan ABS.

Seperti Ninja 650 dan Z650, model ini juga didatangkan dengan Kawasaki Traction Control (KTRC) yang boleh diakses menerusi paparan TFT berukuran 4.3 inci.

Menerusi paparan tersebut juga, penunggang boleh mengakses telefon pintar menerusi sambungan aplikasi Rideology yang disertakan secara standard.

Versys 650 boleh didapati menerusi rangkaian pengedar sah Kawasaki di seluruh Malaysia mulai akhir bulan Julai.

Modenas Dominar D400 Adventure, D250 dilancarkan – harga dari RM14k

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat milikan penuh Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) hari ini melancarkan dua model baharu iaitu Modenas Dominar D400 Adventure dan Dominar D250.

Dominar D400 Adventure merupakan model kembara yang sebelum ini sudah dilancarkan di India. Ia tampil dengan cermin penghadang angin yang lebih tinggi, pelindung tangan dan kaki, ‘bash plate’ enjin dan perehat belakang untuk pembonceng.

Bukan itu sahaja, model ini juga didatangkan dengan cagak untuk telefon pintar atau sistem navigasi dengan port pengecas USB yang boleh diakses.

Seperti Dominar D400, versi Adventure ini juga dikuasakan oleh enjin 373 cc, DOHC suntikan bahan api yang menghasilkan 39.4 hp dan 35 Nm.

 

Casisnya terdiri daripada fork jenis terbalik (SUD) dan penyerap hentak tunggal Nitrox, manakala sistem brek pula merangkumi cakera berukuran 320 mm di hadapan dan 230 mm di belakang. Turut disertakan adalah sistem ABS dwi saluran.

Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Savanna Green dan Charcoal Black. Harga jualan bermula dari RM15,797 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Sementara itu, Dominar D250 pula mempunyai reka bentuk dan ukuran dimensi yang sama dengan ‘abangnya’ iaitu Dominar D400.

Apa yang membezakan antara dua model ini adalah enjin, di mana Dominar D250 mempunyai ‘nadi’ silinder tunggal bersesaran 249 cc dengan kuasa sebanyak 26.6 hp pada 8,500 rpm dan 23.5 Nm pada 6,500 rpm.

Enjin ini digandingkan dengan transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac jenis ‘slipper’.

Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan fork USD 37 mm dan penyerap hentak tunggal Nitrox boleh laras. Sistem brek juga sama iaitu cakera 320 mm dan 230 mm, serta ABS dwi saluran.

Penggunaan enjin yang lebih kecil menjadikan Dominar D250 7 kg lebih ringan, dengan berat keseluruhan mencecah 180 kg.

Dominar D250 boleh didapati dalam tiga warna iaitu Sparkling Black, Racing Red dan Citrus Rush. Ia dijual pada harga RM13,797 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Pusat 4S Kawasaki Shah Alam kini dibuka

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat milik penuh Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), baru-baru ini merasmikan pembukaan pusat 4S pertamanya iaitu Kawasaki Shah Alam.

Majlis dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kawasaki Shah Alam, Chear Kin Keong, sementara EMOS diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Roslan Roskan dan Ketua Pegawai Pemasaran, George Kashiwagi.

“Melihat sekitar Kawasaki Shah Alam, saya mendapat inspirasi bahawa kedai yang pertama seumpamanya ini akan menjadi platform bagi komuniti Kawasaki untuk mendapatkan pelbagai produk inovatif Kawasaki,” kata Roslan.

Kawasaki Shah Alam merangkumi empat aspek perniagaan iaitu jualan, alat ganti, servis dan bilik pameran.

Apa yang menarik, pusat 4S flagship ini juga dikategorikan sebagai Kawasaki All Star, di mana peminat motosikal boleh menemui semua model Kawasaki terkini, dari model kapasiti kecil hingga besar, termasuk model-model off-road.

George Kashiwagi berkata semua outlet Kawasaki All Star menggunakan reka bentuk Kawasaki Plaza di Jepun yang mengetengahkan paparan produk dan perdagangan visual.

“Kami percaya dengan berkongsi aspek reka bentuk dan kepercayaan yang sama, bilik pameran ini akan membuatkan pengunjung berpuas hati. Dalam erti kata lain, ia memberikan mereka pengalaman Kawasaki di mana budaya bertemu dengan minat,” katanya.

EMOS tawar kotak ulang tahun ‘Z-Box’ kepada pemilik Modenas Z250

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) mengumumkan bahawa ia akan mula mengedarkan kotak ulang tahun Z edisi terhad (Z-Box) bersempena sambutan 50 tahun kejayaan siri Kawasaki Z.

Menurut EMOS, Z-Box terhad kepada hanya 300 pemilik Modenas Z250 baharu. Setiap kotak mengandungi sebuah buku bertajuk Z Chronicles, sehelai baju-T Z dan sehelai sarung kepala Kawasaki.

Z-Chronicles: Kisah Bermula dari Akhir

Pada tahun 1972, Kawasaki mengejutkan dunia motosikal dengan memperkenalkan Kawasaki 900 Super 4 yang turut digelar sebagai Z1. Didatangkan dengan enjin empat silinder sebaris pertama dalam kelasnya, berserta kapasiti 903 cc dan DOHC, ia merangkumi teknologi termaju dan dianggap sebagai motosikal terbaik dari Kawasaki.

Sebagai huruf terakhir dalam abjad, Z mewakili huruf muktamad. Model Z telah berkembang menjadi salah satu jenama motosikal utama Kawasaki. Walaupun bentuk dan gaya tunggangan telah berkembang selama bertahun-tahun, ia terus mengukuhkan diri sebagai ikon prestasi.

Dengan Z1 dan prestasinya yang mengejutkan dunia, Kawasaki mengembangkan siri Z untuk memenuhi pelbagai keperluan. Z400 adalah model yang sporty dengan ciri-ciri kuasa tunggangan yang diidamkan.

Kawasaki Z1

Untuk model KZ900LTD, penunggang boleh menikmati motosikal berprestasi tinggi serta keselesaan yang mantap, manakala Z500 / Z400FX ialah motosikal super sport kelas pertengahan.

Tidak lama kemudian, terdapat model untuk hampir setiap citarasa, gaya tunggangan, serta memberikan prestasi mengujakan yang membuatkan Z begitu terkenal. Dari 1972 hingga Ogos 2021, sebanyak 2,571,000 unit model Z telah dikeluarkan di seluruh dunia.

Untuk pertanyaan atau maklumat lanjut, layari lawan sesawang rasmi Modenas dan Kawasaki di https://modenas.my/v2/ dan http://www.kawasaki.com.my/home; atau hubungi Talian Bebas Tol di 1-800-880-008 atau WhatsApp Careline di +6019-570 8135.

Modenas Ninja 250, Ninja 250 ABS dan Z250 ABS dilancarkan – harga dari RM18,900

PENGEDAR eksklusif baharu motosikal Kawasaki di Malaysia iaitu Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) hari ini melancarkan tiga model baharu iaitu Ninja 250, Ninja 250 ABS dan Z250 ABS.

Harga jualan yang disyorkan adalah seperti berikut:

– Ninja 250 – RM18,900

– Ninja 250 ABS – RM20,500

– Z250 ABS – RM19,500

Ketiga-tiga model tersebut berkongsi trenkuasa yang sama iaitu enjin 249 cc dua silinder sebaris DOHC yang menghasilkan 37 hp pada 12,500 rpm dan 23 Nm pada 10,000 rpm, serta transmisi enam kelajuan dengan klac Assist & Slipper.

Jentera-jentera ini dibina menggunakan kerangka Trellis yang diperbuat daripada keluli berketegangan tinggi. Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan lengan ayun di belakang.

Tayar didatangkan dalam saiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, manakala rim pula berukuran 17 inci. Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal berukuran 286 mm di depan dan 193 mm di belakang. Hanya Ninja 250 ABS dan Z250 ABS dilengkapi dengan sistem brek anti-kunci (ABS).

Ciri-ciri lain yang terdapat pada model-model ini termasuklah sistem Ergo-Fit dan penunjuk tunggangan ekonomikal.

Untuk pilihan warna, Ninja 250 boleh didapati dalam warna Metallic Carbon Grey dan Metallic Matte Graphite, manakala Ninja 250 ABS dalam warna Metallic Matte Graphite Grey. Z250 ABS pula tersedia dalam warna Metallic Spark Black.

Ketiga-tiga model ini dipasang secara tempatan (CKD) di kilang pemasangan Modenas di Gurun, Kedah dan akan menggunakan nama Modenas di pasaran.

Ini ekoran daripada hasil peningkatan saham Kawasaki Motors. Ltd (KMC) di dalam syarikat Modenas yang menyaksikan kesemua model Kawasaki 650cc ke bawah dijenamakan semula di bawah Modenas.

“Pesanan saya kepada semua pemilik motosikal Kawasaki, lama dan baharu; di bawah pengurusan Modenas, anda boleh mengharapkan tahap perkhidmatan pelanggan yang serupa atau lebih lagi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Roslan Roskan.

“Modenas sentiasa memerhati, mempelajari dan menyesuaikan operasi perniagaan sepertimana rakan kongsi teknikal dan pemegang saham kami, KMC. Bersama-sama dengan Kawasaki, kami bersedia untuk pengembangan perniagaan yang lebih besar,” tambah beliau.