Arkib Tag: Didi Resources

Triumph Speed 400, Scrambler 400 X kini di Malaysia – dari RM27k

TRIUMPH Motorcycles Malaysia secara rasminya melancarkan rangkaian Triumph T-Series ke pasaran Malaysia yang terdiri daripada dua model iaitu Speed 400 dan Scrambler 400 X.

Speed 400 merupakan model roadster yang menyertai barisan moden klasik di samping Speed Twin 900 dan 1200, manakala Scrambler 400 X pula tampil dengan rekaan rugged yang diilhamkan oleh Scrambler 900 dan 1200.

 

 

Kedua-dua model ini dikuasakan oleh enjin yang sama iaitu enjin TR-Series sejukan cecair silinder tunggal bersesaran 398 cc yang menghasilkan 40 PS dan 37.5 Nm. Enjin ini mematuhi piawaian emisi Euro 5 dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Walaupun berkongsi ‘nadi’, Speed 400 dan Scrambler 400 X menawarkan tetapan casis tersendiri untuk memberikan posisi tunggangan yang berbeza.

Speed 400 didatangkan dengan fork terbalik 43 mm, penyerap hentak monoshock dengan tabung, rim aluminium aloi berukuran 17 inci di hadapan dan belakang, serta cakera brek hadapan 300 mm yang dipadankan dengan angkup radial empat piston. Ia juga lebih mesra penunggang dengan ketinggian pelana 790 mm dan berat keseluruhan sekitar 170 kg.

Sementara itu, Scrambler 400 X menggunakan sistem suspensi yang sama namun dengan travel yang lebih tinggi iaitu 150 mm. Versi ini juga dilengkapi dengan rim 19 inci pada bahagian hadapan, bar hendal yang lebih lebar serta brek cakera yang lebih besar iaitu 320 mm.

 

Bukan itu sahaja, tempat letak kakinya berada pada kedudukan lebih rendah, manakala pelana dinaikkan sedikit kepada 835 mm. Beratnya juga bertambah sebanyak 9 kg berbanding Speed 400.

Untuk sistem elektronik pula, kedua-dua model mempunyai pendikit Ride-by-Wire, Traction Control dan ABS dwi saluran yang boleh dimatikan pada Scrambler 400 X untuk tunggangan off-road.

Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk lampu LED, skrin LCD dengan tachometer digital, baki bahan api dan posisi gear, soket pengecas USB-C dan immobiliser.

Harga jualan bermula dari RM26,900 untuk Speed 400 dan RM29,900 untuk Scrambler 400 X.

 

Didi Resources kekal pengedar rasmi motosikal Harley-Davidson di Malaysia

Didi Resources terus diberi kepercayaan selaku pengedar rasmi jenama Harley-Davidson di Malaysia. 

“Kami berharap kerjasama ini akan terus mengukuhkan komuniti Harley-Davidson di Malaysia. Kami berbesar hati dapat meneruskan tanggungjawab ini di samping mengukuhkan lagi program pembangunan yang selaras dengan Harley-Davidson,” jelas Pengerusi Didi Resources, Rewi Hamid Bugo . 

Bukan setakat pengedar, Didi Resources juga dipertanggungjawabkan untuk menyediakan servis selepas jualan menerusi rangkaian pengedar seluruh negara. 

Sementara itu,  Didi Resources juga akan kekal sebagai pengedar bukan eksklusif bagi barangan dan aksesori Harley-Davidson di Malaysia. 

Aprilia SR GT Replica, RS660 Extrema dilancarkan di Malaysia

BERSEMPENA dengan saingan MotoGP Malaysia yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini, Didi Resources selaku pengedar rasmi Aprilia telah melancarkan dua model menarik iaitu SR GT Replica dan RS 660 Extrema.

Kedua-dua model tersebut dirasmikan oleh dua pelumba dari pasukan Aprilia Racing Team iaitu Aleix Espargaro dan Maverick Vinales.

Aprilia SR GT Replica

SR GT Replica tampil lebih menonjol berbanding versi standard dengan warna hitam matte, dan grafik merah dan ungu yang diinspirasikan daripada jentera Aprilia RS-GP yang ditunggang oleh Espargaro dan Vinales dalam MotoGP.

Bukan itu sahaja, ia juga menampilkan logo Aprilia yang merentangi sepanjang bahagian sisi dan rim berwarna hitam dan merah. Pemegang tangan untuk pembonceng juga dicat warna hitam matte.

Satu lagi kelainan yang terdapat pada model ini adalah tayar sporty yang menggantikan tayar jenis all terrain yang digunakan pada versi Standard dan Sport.

Tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal, bermakna ia masih dipacu oleh enjin 174 cc SOHC dengan sejukan cecair dan suntikan bahan api. Enjin ini menghasilkan 17.4 hp dan 16.5 Nm tork, digandingkan dengan transmisi CVT.

Harga jualan Aprilia SR GT Replica bermula dari RM20,900.

Aprilia RS660 Extrema

Sekali imbas, RS660 Extrema tampak sama seperti RS660 yang dilancarkan di Malaysia hampir tiga tahun lalu. Bagaimanapun, jika diperhatikan dengan lebih teliti, model ini sebenarnya lebih istimewa kerana ia dilengkapi dengan ‘perisa’ tambahan.

Apa yang dimaksudkan adalah ekzos gentian karbon SC Project yang diposisikan pada bahagian kanan motosikal. Menurut Aprilia, ekzos ini lebih ringan dan sah untuk digunakan di jalan raya.

Bukan itu sahaja, RS660 Extrema juga didatangkan dengan mudguard hadapan dan belly pan yang diperbuat daripada gentian karbon bagi mengurangkan lagi berat keseluruhan jentera.

Selain itu, ia mempunyai pelana tunggal namun tempat duduk pembonceng akan disertakan bagi membolehkan penunggang membawa pembonceng sekiranya perlu.

Dari segi kelengkapan, jentera ini didatangkan dengan ciri elektronik termasuk Cornering ABS, Traction Control, Engine Brake dan sebagainya. Penunggang juga boleh menetapkan Quickshifter kepada corak perlumbaan.

Harga jualan Aprilia RS660 Extrema bermula dari RM79,900.

Harley-Davidson lelong 2 unit Low Rider El Diablo untuk tujuan amal

HARLEY-Davidson Petaling Jaya baru-baru ini mengadakan majlis lelongan amal di mana dua unit Harley-Davidson Low Rider El Diablo telah berjaya dibida oleh dua pembida tertinggi.

Buat pengetahuan anda, Low Rider El Diablo merupakan model daripada program Icon Collections yang terhad kepada 1,500 unit sahaja untuk pasaran global. Dua unit berkenaan diperoleh oleh Harley-Davidson Petaling Jaya dan Harley-Davidson Penang melalui proses undian yang melibatkan semua wakil pengedar di Malaysia.

Dalam majlis tersebut, dua model edisi terhad tersebut berjaya dilelong masing-masing pada harga RM183,900 dan RM179,900 selepas bidaan dibuka pada harga RM172,900.

Daripada jumlah tersebut, H-D PJ dan H-D PG berjaya meraih kutipan sebanyak RM14,880 yang akan disalurkan kepada dua organsasi amal iaitu Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Hospital Lam Wah Ee.

“Terima kasih kepada semua pembida kerana menyokong lelongan amal Low Rider El Diablo dan tahniah kepada kedua-dua yang berjaya kerana mereka bukan sahaja menyumbang kepada kebajikan tetapi juga memperoleh motosikal edisi terhad yang akan meningkat nilainya,” kata Rewi Hamid Bugo, Pengerusi Kumpulan Didi.

Berasaskan model Low Rider ST, versi El Diablo tampil dengan skema warna yang dihasilkan oleh Gunslinger Custom Paint. Ia dimulakan dengan warna El Diablo Bright Red untuk lapisan pertama dan Bright Red Sunglo untuk lapisan kedua.

Untuk efek yang lebih mendalam, warna El Diablo Dark Red dan Dark Red Pearl juga dikenakan pada sekeliling panel, sebelum disudahi dengan pinstripe Pale Gold yang dicat menggunakan tangan dan cat hitam pada enjin dan ekzos.

Aprilia Tuono 660 Factory sudah sampai di Malaysia – harga dari RM73,900

VERSI Factory merupakan produk flagship untuk barisan motosikal Aprilia yang dibangunkan khusus untuk penunggang berkemahiran. Kini, versi itu boleh didapati pada Tuono 660 dan model ini sudah pun tiba di Malaysia pada harga RM73,900.

Dari segi penampilan, Tuono 660 Factory boleh dibezakan dengan versi standard menerusi grafik Factory Dark dan penutup pelana pembonceng berwarna hitam dan merah. Ia juga didatangkan standard dengan peletak kaki belakang.

Menurut Aprilia, peletak kaki depan dan belakang Tuono 660 Factory adalah sama dengan yang digunakan pada RS 660 namun lebih ringan.

Sudah tentu, sebagai versi Factory, model ini mendapat beberapa kelengkapan tambahan bagi menjadikan ia lebih berprestasi tinggi. Ini termasuk sistem suspensi yang terdiri daripada fork 41 mm Kayaba dan penyerap hentak Sachs dengan tabung berasingan dan pelarasan mampatan dan lantunan.

Ia juga mempunyai nisbah berat-kuasa yang lebih baik. Ini dicapai menerusi penggunaan bateri jenis lithium ion yang membantu mengurangkan berat keseluruhan jentera sebanyak 2 kg kepada 181 kg.

Turut menyumbang adalah enjin 660 cc silinder berkembar DOHC yang kompak. Pada Tuono 660 Factory, ia menghasilkan 100 hp, iaitu 5 hp lebih tinggi berbanding Tuono 660, namun jumlah tork kekal 67 Nm pada 8,500 rpm.

Untuk kawalan elektronik pula, Tuono 660 Factory didatangkan dengan sistem Aprilia Performance Ride Control (APRC) yang lengkap dengan pendikit elektronik Ride-by-Wire dan platform IMU enam paksi.

Selain itu, APRC juga merangkumi Traction Control (ATC), Wheelie Control (AWC), Cruise Control (ACC), Quick Shift (AQS), Engine Brake (AEB) dan Engine Map (AEM). Turut disertakan untuk tujuan keselamatan adalah Cornering ABS.

Seperti Tuono 660, versi Factory ini mempunyai lima mod tunggangan, di mana tiga adalah untuk tunggangan di jalan raya, manakala dua lagi untuk digunakan di litar lumba. Antara sistem yang dikawal oleh mod tunggangan termasuklah ATC, AWC, AEB dan ABS.