Arkib Tag: Didi Automotive

Triumph Street Triple 765 Moto2 Edition – hanya 6 unit untuk Malaysia, harga RM90k

TRIUMPH Motorcycles Malaysia, yang kini berada di bawah naungan Didi Group, baru-baru ini mengumumkan kehadiran model edisi Triumph Street Triple 765 Moto2 Edition ke pasaran tempatan.

Daripada 765 unit yang dihasilkan untuk pasaran global, hanya enam unit yang berjaya dibawa masuk oleh Triumph Motorcycles Malaysia. Harga jualan bermula dari RM89,900.

Bagaimanapun, jika anda membaca artikel ini bermakna anda sudah terlambat kerana menurut syarikat itu, keenam-enam unit telah pun dijual.

Street Triple 765 Moto2 Edition dihasilkan sempena penglibatan Triumph sebagai pembekal enjin bagi kejohanan Moto2. Ia dilengkapi dengan spesifikasi tertinggi pernah ditawarkan pada model Street Triple.

Pertama sekali, jentera ini didatangkan dengan panel badan yang diperbuat daripada gentian karbon serta logo Moto2 bahagian badan, bar hendal dan skrin TFT. Setiap unit juga mempunyai nombor siri pengeluaran bagi menekankan statusnya sebagai model edisi terhad.

Ia menggunakan sistem suspensi boleh laras Öhlins yang merangkumi fork NIX30 dan penyerap hentak tunggal STX40, manakala untuk brek pula, terdapat cakera berkembar berukuran 310 mm dan angkup Brembo Stylema pada bahagian depan.

Selain itu, model ini juga mempunyai bar hendal jenis clip-on yang lebih rendah berbanding varian RS. Tayar yang digunakan pula adalah jenis Pirelli Diablo Supercorsa V3.

Untuk sistem elektronik pula, terdapat Cornering ABS, Cornering Traction Control dengan empat tahap, Front Wheel Lift Control dan lima mod tunggangan iaitu Rain, Road, Sport, Track dan Rider.

Street Triple 765 Moto2 Edition dikuasakan oleh enjin 765 cc tiga silinder yang ditala bagi menghasilkan 130 PS pada 12,000 rpm dan 80 Nm pada 9,500 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dengan ciri quickshifter.

Model ini diperkenalkan semasa majlis pembukaan bilik pameran Triumph Motorcycles Penang baru-baru ini. Merupakan salah satu daripada tiga bilik pameran yang dilancarkan oleh Didi Group, Triumph Motorcycles Penang dioperasikan oleh GB Motorcycles Sdn Bhd.

Triumph Batu Caves dilancarkan, pusat penjualan pertama di bawah Didi Automotive

TRIUMPH Motorcycles Malaysia akan merasmikan tiga pusat jualan baharu sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk memperkembangkan rangkaian pengedaran dan memperkukuhkan jenama motosikal itu di negara ini.

Nampaknya Batu Caves menjadi lokasi pilihan pertama untuk pusat penjualan Triumph di bawah kendalian Didi Automotive. Ia dioperasikan oleh Gene Advance Sdn Bhd yang telah dilantik sebagai rakan pengedar rasmi.

Menurut Didi Automotive, fasiliti baru di pusat pameran Triumph ini menyediakan pengalaman terbaik dalam industri kepada pelanggan, menawarkan kemudahan bertaraf dunia, kakitangan yang terlatih, serta servis selepas jualan dan khidmat pelanggan yang terbaik.

“Semangat Gene Advance terhadap motosikal dan dedikasi mereka yang teguh untuk menyampaikan pengalaman pelanggan yang cemerlang sepadan dengan nilai-nilai Triumph Motorcycles. Kecekapan mereka akan meningkatkan keupayaan kami untuk menyampaikan kegembiraan, kepuasan, dan kejayaan kepada peminat motosikal di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Bersempena dengan pelancaran ini, syarikat itu turut mengumumkan harga rasmi Triumph Trident 660 versi 2023 iaitu RM45,900.

Jentera naked ini dikuasakan oleh enjin sejukan cecair tiga silinder bersesaran 660 cc yang menghasilkan 81 PS pada 10,250 rpm dan 63.7 Nm pada 6,250 rpm. Ia dilengkapi dengan fork terbalik 41 mm dan penyerap hentak RSU dengan pelarasan pramuatan, kedua-duanya dari Showa.

Mereka yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat barisan motosikal Triumph, boleh mengunjungi Triumph Batu Caves di No 1-3, Jalan Sri Batu Caves 9, Taman Sri Batu Caves, 68100 Batu Caves, Selangor.

Didi Automotive jadi pengedar rasmi Triumph Motorcycles bermula Januari 2023

BERMULA 15 Januari 2023, rangkaian motosikal Triumph Motorcycles akan diedarkan di pasaran tempatan oleh Didi Automotive selaku pengedar rasmi baharu jenama itu.

Dalam satu kenyataan rasmi, Triumph Motorcycles berkata syarikat itu dan Didi Automotive akan bekerjasama untuk menguruskan pengimportan, jualan dan pengedaran motosikal serta pembangunan berterusan jenama Triumph di Malaysia.

Triumph Motorcycles dan Didi Automotive turut merancang untuk membuka bilik pameran baharu di Petaling Jaya dan Pulau Pinang bagi memberikan pelanggan pengalaman pemilikan terbaik, serta menawarkan kemudahan terkini, kakitangan terlatih dan perkhidmatan servis, selepas jualan dan penjagaan pelanggan tahap tertinggi.

Malaysia merupakan pasaran yang penting bagi Triumph dan menjadi salah satu pasaran motosikal utama di rantau Asean. Didi Automotive akan menawarkan rangkaian lengkap motosikal Triumph yang terdiri daripada model moden klasik, roadster dan Tiger.

Ini termasuk Rocket 3 dengan enjin 2.5-liter dan model 660 seperti Trident dan Tiger Sport yang dijangka menjadi antara yang paling popular di kalangan pelanggan di Malaysia.

Dalam masa terdekat, model Triumph berkapasiti kecil yang dibangunkan dengan kerjasama Bajaj akan menjadikan jenama itu lebih mudah akses di Malaysia. Ini ditambah lagi dengan perancangan Triumph Motorcycles dan Didi Automotive untuk membuka enam cawangan di seluruh negara.