Arkib Tag: cx-3

Mazda CX-3 2023 dikemaskini – spesifikasi 1.5 dan 2.0 Plus dipertingkat, dari RM116k

ANDA mencari SUV kompak yang berbeza dari kebanyakan orang? Mazda CX-3 mungkin boleh menjadi calon anda, kerana ia telah dikemaskini untuk 2023.

CX-3 kini ditawarkan dengan tiga varian seperti berikut:

CX-3 1.5 Plus – RM115,720
CX-3 2.0 Plus – RM126,159
CX-3 2.0 High – RM139,159

Ini bermakna tiada lagi varian 1.5 Core. Dari segi luaran, varian 1.5 Plus dan 2.0 Plus kini didatangkan dengan lampu LED dan DRL LED, cermin sisi boleh dilipat berkuasa, dan pengesan undur. 2.0 High pula mendapat rim aloi baharu.

Untuk bahagian dalam pula, Mazda memberikan paddle-shifter dan Apple Carplay tanpa-wayar untuk 1.5 Plus dan 2.0 Plus.

Kedua-dua varian juga kini dilengkapi dengan empat beg udara tambahan, selain pakej i-Activesense yang merangkumi High Beam Control (HBC), Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Lane Departure Warning System (LDWS) dan Smart City Brake Support (SCBS).

Ciri pada CX-3 varian tertinggi iaitu 2.0 High dikekalkan, iaitu lampu LED, pengecas tanpa-wayar, Apple Carplay tanpa-wayar, bumbung suria, paparan 360 darjah, dan ciri keselamatan i-Activesense.

Enjin juga tidak berubah, dimana varian 1.5 dan 2.0 masing-masing dipacu oleh enjin 1.5-liter SkyActiv-G dengan 114hp/149Nm dan 2.0-liter dengan 154hp/204hp.

Kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik 6-kelajuan dengan paddle-shifter dan mod pemanduan manual. Sistem start/stop automatik dan G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) juga hadir sebagai standard.

Mazda CX-3 2023 boleh didapati dengan tujuh warna iaitu Snowflake White Pearl, Jet Black, Machine Gray, Polymetal Gray, Soul Red Crystal, Platinum Quartz (2.0L High sahaja), dan warna baharu Aero Gray.

Semua Mazda CX-3 2023 juga hadir dengan jaminan 5-tahun dan penyelenggaraan percuma 5-tahun.

Mazda CX-3 2022 kini dengan varian baharu 1.5 2WD Core – dari RM108k

MAZDA Malaysia hari ini mengumumkan dua varian baharu untuk CX-3 iaitu 1.5 2WD Core dan 2.0 2WD Core. Menurut Mazda, penawaran ini untuk “mereka yang mahukan kenderaan bergaya dengan kecekapan penggunaan bahan api dan pakej ideal untuk SUV permulaan menikmati pengalaman pemanduan Jinba-Ittai.”

Untuk varian 1.5 2WD Core, ia dikuasakan oleh enjin SkyActive-G 1.5-liter menghasilkan 114hp pada 6,000rpm dan 149Nm tork pada 4,000rpm. Model ini lebih menjimatkan dengan penggunaan bahan api serendah 5.7 liter/100km.

Spesifikasi enjin 2.0-liter tidak berubah, iaitu dengan output 154hp pada 6,000rpm dan 206Nm tork pada 2,800rpm. Penggunaan bahan api sedikit lebih tinggi dari 1.5, iaitu pada 6.3 liter/100km.

Kedua-dua jenis enjin dipadankan dengan kotak gear SkyActiv-Drive 6-kelajuan dengan mod pertukaran manual. Terdapat juga G-Vectoring Control (GVC) untuk keselesaan, kestabilan dan prestasi.

Spesifikasi pada Mazda CX-3 2.0 High tidak berubah, dimana ia dilengkapi lampu depan dan belakang LED, pengecaj tanpa-wayar Qi, Apple Carplay tanpa-wayar, bumbung suria berkuasa, dan kamera 360-darjah.

Sementara itu ciri keselamatan i-Activesense didatangkan secara standard, merangkumi High Beam Control (HBC), Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Smart City Brake Support (SCBS), Driver Attention Alert (DAA) dan Lane Departure Warning System (LDWS).

Pilihan warna termasuklah Snowflake White Pearl, Soul Red Crystal, Jet Black, Machine Gray, Polymetal Gray dan Platinum Quartz.

Mazda CX-3 2022 ini hadir dalam versi CBU, diimport dari Thailand. Harga bagi 1.5 2WD Core adalah RM107,870, diikuti RM118,159 untuk 2.0 2WD Core. Sementara itu varian 2.0 2WD High kekal pada RM131,359.

Kesemua unit Mazda CX-3 datang dengan jaminan 5-tahun, serta pakej penyelenggaraan percuma 5-tahun termasuk kos upah, alat ganti dan pelincir. Walaubagaimanapun, jaminan dan penyelenggaraan ini adalah terhad kepada 100,000km, yang mana dahulu.