Arkib Tag: curi kenderaan

Kes curi kenderaan di Petaling Jaya semakin meningkat: Ketua Polis Daerah

KETUA Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mendedahkan bahawa kes curi kenderaan di daerah Petaling Jaya merekodkan jumlah tertinggi berdasarkan statisik Januari hingga Mei.

Tambah beliau, sebanyak 113 kes membabitkan kecurian motosikal manakala 60 kereta dan 12 van dilaporkan hilang dalam tempoh itu.

“Kegiatan curi motosikal ini selalunya untuk mendapatkan alat ganti untuk kegunaan sendiri atau dijual semula,” katanya sambil menambah kes curi motosikal paling banyak berlaku di kawasan flat dan projek perumahan rakyat (PPR).

Sementara itu, curi dalam bangunan merekodkan 146 kes berikutan daerah ini mempunyai banyak pusat membeli-belah.

“Selain itu, kes pecah rumah mencatatkan sebanyak 105 kejadian, samun dan ragut (54), mencederakan (36), serta rogol (14).

Gambar oleh: MalayMail

“Bagaimanapun polis berjaya mengurangkan kadar indeks jenayah di Petaling Jaya daripada 564 kes tahun lalu kepada 539 iaitu pengurangan sebanyak 4.43 peratus bagi tempoh Januari hingga Mei,” katanya.

Fakhrudin berkata, objektif utama pihaknya adalah mengurangkan ‘fear of crime’ dan pada masa sama meningkatkan keyakinan dalam kalangan masyarakat terhadap polis.

Pihak polis juga cuba mengurangkan kadar jenayah dengan mengadakan operasi secara berterusan. Tahun lalu, kadar indeks jenayah menyaksikan pengurangan sebanyak lapan peratus kepada 1,562 kes berbanding 1,712 kes pada 2021.

Antara kejayaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sepanjang tahun lalu termasuk menahan dua individu aktif mencuri kereta mewah di sini sebelum dijual ke Johor.

Pihaknya juga menumpaskan Geng Senu TTDI yang bergiat aktif mencuri komponen lori dan kenderaan lama untuk dijual di pasaran gelap dengan tertangkapnya tiga suspek termasuk dalang utama kumpulan terbabit.

Polis Detroit berkas 3 kanak-kanak cuba curi Charger dan Challenger Hellcat

KES kecurian kenderaan sedang meningkat dengan mendadak di sekitar bandaraya Detroit dan lebih malang lagi, ada di antaranya melibatkan kanak-kanak.

Dalam kes terbaru, pasukan polis Detroit berkata mereka telah menahan tiga kanak-kanak berusia antara 11 hingga 14 tahun yang dipercayai terbabit dalam percubaan mencuri kereta pada 22 Ogos.

Mereka diberkas ketika sedang cuba mencuri Dodge Charger Hellcat dan Challenger Hellcat di tempat penyimpanan kereta di kilang Jefferson North Assembly Plant yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Detroit.

Sumber gambar: Fox 2 Detroit

Selain Charger dan Challenger Hellcat, tempat itu juga dijadikan lot penyimpanan untuk model-model lain di bawah payung Stellantis seperti Dodge Durango dan Jeep Grand Cherokee.

Polis Detroit berkata kes kecurian kenderaan di bandaraya itu menyaksikan peningkatan sebanyak 40 peratus berbanding tahun lalu namun pihak polis sedang berusaha keras untuk membanteras aktiviti itu.

Menurut ketua unit kecurian auto komersial, Clive Stewart, ini merupakan pesalah paling muda yang terlibat dalam kes seperti ini. Baru-baru ini, mereka berjaya memberkas seorang pencuri kereta berusia 14 tahun yang juga merupakan pesalah berulang yang baru sahaja tamat hukuman pada Mei lalu.

Polis Detroit mengesyaki bahawa terdapat kemungkinan yang pesalah-pesalah juvana ini terlibat dalam sindiket curi kenderaan yang diketuai oleh orang lebih dewasa.