Arkib Tag: cuai

Polis buru pemandu biar kanak-kanak berpaut di pintu

POLIS kini mengesan seorang pemandu trak pikap yang disyaki memandu secara cuai sehingga mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya di jalan raya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pemandu Nissan Navara itu dikehendaki selepas perbuatannya telah tular dalam video di media sosial baru-baru ini.

Katanya, pihaknya telah terkesan satu rakaman video berdurasi 12 saat di media sosial yang dimuat naik memaparkan insiden pemandu Nissan Navara berwarna putih telah bersikap cuai dan mendedahkan bahaya kepada kanak-kanak.

“Penelitian dalam video itu mendapati pemandu itu bersikap cuba dengan cara memaut seorang kanak-kanak menggunakan tangan kanan di sebelah pintu pemandu ketika kenderaan sedang bergerak.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan kejadian tersebut berlaku di Taman Industri Bolton, Batu Caves,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Noor Ariffin, polis juga mengesan pemilik akaun media sosial berkenaan yang bertanggungjawab merakam dan menularkan video itu serta pemilik kenderaan yang terlibat dalam insiden itu.

Kes berkenaan sedang disiasat secara mendalam di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

Pada masa yang sama, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.

Denda RM50,000 atau penjara jika tinggal anak bersendirian dalam kenderaan

POLIS memberi amaran kepada ibu bapa atau penjaga untuk tidak meninggalkan anak secara bersendirian dalam kenderaan.

Memetik kenyataan polis menerusi Facebook, ibu bapa serta penjaga yang cuai boleh dikenakan denda RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun.

Ibu bapa atau penjaga dinasihati tidak cuai dengan meninggalkan anak-anak dalam kenderaan secara bersendirian. – Foto ihsan Unsplash/Farzanah Rosli

Jelas kenyataan itu lagi, pihak polis tidak akan berkompromi dalam hal ini malah, akan mengambil tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang.

“Tiada alasan. Tiada kompromi. Kealpaan anda membawa padah.

“Kecuaian individu meninggalkan kanak-kanak dalam kenderaan tanpa pengawasan adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Sebelum ini, terdapat beberapa kes kanak-kanak maut akibat ditinggalkan dalam kenderaan.

Pada 12 Oktober lalu, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun maut selepas ditinggalkan lebih tiga jam dalam sebuah van di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun turut menerima nasib sama pada 16 Mac lalu akibat mengalami strok haba setelah empat jam ditinggalkan dalam kereta dipandu pengetua tadika di Taman Ria, Sungai Petani.