Arkib Tag: cooper

Mini Cooper Electric 2023 didedahkan – Sehingga 214hp, jarak pemanduan 402km

MINI Cooper generasi baharu telah diperkenalkan, kini sebagai model elektrik (EV) sepenuhnya. Dua versi ditawarkan semasa pelancaran ini, iaitu MINI Cooper E dan MINI Cooper SE.

Perbezaan utama bagi kedua-dua versi ialah dari segi output, dimana Cooper E mempunyai satu motor elektrik di depan dengan 181hp dan 290Nm tork. Pecutan 0-100km/j dalam 7.3 saat.

Varian asas ini dilengkapi bateri 40.7kWh yang memberikan jarak pemanduan sehingga 305km. Ia menyokong pengecasan 75kW untuk DC.

MINI Cooper SE pula lebih berkuasa, dengan output dinaikkan menjadi 214hp dan 330Nm tork, jadi pecutan ke 100km/j kini 6.7 saat. Kuasa dibekalkan oleh bateri lebih besar, iaitu 54.2kWh yang memberikan jarak pemanduan 402km, dan boleh dicas pada 95kW.

Dari segi rekabentuk, kami yakin walaupun tanpa logo dan tulisan MINI, anda boleh kenal ianya sebuah MINI Cooper. Tetapi model generasi baharu ini tampil lebih moden dan segar.

Ia mendapat lampu bulat yang menjadi identitinya, kini dengan teknologi LED sepenuhnya. Gril pula berbentuk oktagonal. Oh ya, anda boleh memilih untuk menambah lampu DRL dengan tiga mod corak pencahayaan.

Di belakang, MINI baharu ini didatangkan dengan lampu flush yang kemas. Lampu menegak ini juga boleh memainkan mod-mod berbeza seperti lampu depan.

Reka bentuk dalam kabin sama seperti di luar iaitu minimalis. Papan pemuka mendapat skrin bulan 9.44-inci dengan MINI Operating System 9 terkini, yang berasaskan Android Open Source Project (AOSP).

Di bawahnya terdapat bar yang menempatkan suis-suis seperti untuk brek parkir, tombol gear, penghidup kereta, mod pengalaman, dan kawalan bunyi. Ruang but mampu memuatkan 200 liter kargo, sementara tempat duduk belakang boleh dilipat 60:40.

MINI Cooper Electric baharu boleh didapati dalam empat kemasan iaitu Essential, Classic, Favoured, dan JCW. Setiap satu kemasan mempunyai keunikan dan tema rekaan sendiri. JCW seperti pada namanya membawakan penampilan paling sporti.

MINI Cooper baharu ini dibangunkan pada pelantar Spotlight EV hasil kerjasama BMW Group dan Great Wall Motor.

Pengeluaran akan dimulakan di China hujung tahun ini, dan model Countryman serta Aceman akan menyusul.

MINI Electric 2023 kini dengan spec lebih premium, 181hp dengan jarak pemanduan 232km

SELAIN dari kemaskini untuk 3-Series G20 dan pengenalan CE04, BMW Group Malaysia turut memperkenalkan MINI Electric 2023.

Hatchback EV ini mendapat spesifikasi terbaharu yang merangkumi bumbung panoramik dan tempat duduk dengan pemanas. Selain itu, MINI Electric juga ditawarkan dengan warna baharu Nanuq White, tambahan kepada warna sedia ada White Silver dan Midnight Black.

Aspek lain dikekalkan, dimana MINI Electric ini dipacu oleh motor elektrik dengan output 181hp dan 270Nm tork, memberikan prestasi 0-100 dalam 7.3 saat dan kelajuan maksima 150km/j.

Motor elektrik tersebut dikuasakan oleh bateri lithium-ion 28.9kWh yang membekalkan jarak pemanduan sekitar 232km. Untuk pengecasan, bateri ini memerlukan 3.5 jam dengan kapasiti 11kW. Tetapi dengan 50kW, hanya 36 minit diperlukan dari 10 ke 80 peratus.

Spesifikasi lain pada MINI ini adalah lampu LED, pendingin hawa dwi-zon, tempat duduk sports, keyless entry, Park Assist, head-up display, instrumen kluster digital, dan MINI Navigation System dengan skrin 8.8-inci di tengah.

Ia juga mendapat sistem audio Harman Kardon dengan 12 pembesar suara, sambungan Apple CarPlay, pengecaj tanpa-wayar, dan kamera undur.

Dari segi keselamatan pula, MINI Electric hadir dengan pakej Driving Assistant yang merangkumi Autonomous Emergency Braking, Traffic Sign Recognition, dan Lane Departure Warning.

MINI Electric boleh menjadi milik anda pada harga RM193,834 atas jalan tanpa insurans, dengan jaminan dua tahun. Jika anda mahu tambahan empat tahun, harganya menjadi RM199,164.

MINI Recharged tukar jentera klasik jadi kenderaan EV

EMPAT tahun yang lalu, MINI pernah memperlihatkan model konsep Classic Mini Electric pada acara New York Auto Show. Maklum balas yang diberikan sangat positif, sekaligus mendorong syarikat itu untuk mewujudkan program MINI Recharged yang membolehkan pemilik model Mini klasik menukarkan kereta mereka kepada sebuah EV.

Bagaimanapun, buat masa ini, program Recharged hanya ditawarkan di United Kingdom dan terbuka kepada pemilik Mini klasik pelbagai generasi yang dikeluarkan dari tahun 1959 hingga 2000. Segala kerja modifikasi akan dilakukan oleh sebuah pasukan dari kilang MINI di Oxford.

Di bawah program ini, pemilik perlu menghantar kereta mereka ke kilang tersebut, di mana enjin yang asal akan dikeluarkan dan digantikan dengan sebuah motor elektrik dan pek bateri berkapasiti 6.6kW.

‘Nadi’ elektrik yang baharu ini menghasilkan 122PS (90kW), membolehkan kereta kecil itu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam sembilan saat. Jarak pemanduan pula adalah sekitar 160km untuk satu cas penuh. Sudah tentu, ia bergantung kepada faktor-faktor seperti gaya pemanduan, cuaca dan sebagainya.

Setiap Mini klasik yang menyertai program Recharged akan dilengkapi dengan kluster instrumen yang telah diubah suai. Ia memaparkan maklumat seperti suhu, kedudukan gear, baki jarak pemanduan dan juga kelajuan. Selain itu, setiap unit juga akan mendapat nombor individu, menjadikannya lebih unik.

Bagaimana pula sekiranya pemilik ingin menggunakan enjin yang asal? Itu tidak menjadi masalah kerana enjin dan juga komponen-komponen lain akan ditanda dan disimpan bagi tujuan ini.

Selain dapat menikmati pengalaman pemanduan yang lebih mesra alam, pemilik Mini elektrik juga boleh memandu kereta mereka di dalam zon emisi rendah di bandar-bandar besar seperti Oxford Street atau Piccadilly Circuis di London tanpa perlu membayar cukai alam sekitar.

Bukan itu sahaja, mereka juga tidak perlu membuat sebarang pendaftaran baharu untuk penukaran ini.