Arkib Tag: concept

QJMOTOR dedah rupa sulung SRK1000 RC – 146hp, 112Nm

Pameran motosikal EICMA 2023 yang berlangsung awal November lalu mencuri perhatian ramai ekoran lambakan model baharu termasuk model konsep yang dipertontonkan kepada umum buat julung kalinya.

Namun, antara yang mencuri perhatian kami adalah jenama dari China, QJMOTOR yang mendedahkan jentera konsep ‘superbike’ sulung syarikat itu menerusi SRK 1000 RC Concept. 

Menariknya, ‘superbike’ tersebut merupakan hasil kerjasama antara QJMotor dan jenama terkemuka, MV Agusta. Hasilnya, SRK 1000 RC Concept dikuasakan enjin sama yang terdapat pada MV Agusta Brutale 1000 RR. 

Enjin empat silinder 1,078cc tersebut telah ditala semula bagi menjana 146hp dan 112Nm berbanding 208hp dan 116Nm yang ditawarkan Brutale 1000 RR. Atas faktor itu sahaja, SRK 1000 RC Concept ini bukanlah setaraf kuasa ditawarkan jenama lain dalam segmennya termasuk Kawasaki Ninja ZX-10R, Yamaha R1 dan Honda CBR1000RR-R Fireblade. 

Dari sudut reka bentuk, SRK 1000 RC Concept ini seakan mendapat inspirasi dari MV Agusta F3 namun dengan bentuk badan lebih bersegi dan futuristik. Selain itu, model ini juga hadir dengan lampu LED berbentuk tirus yang menampakkan rupa yang cukup agresif. 

Kami suka dengan reka bentuk tangki yang dipamerkan kerana seakan memudahkan penunggang untuk tunduk ketika mencapai kelajuan lebih 200km/j. 

Seperti Brutale 1000 RR, model konsep ini juga dilengkapi kerangka aluminium yang terdedah selain ‘single-sided swingarm’. Turut diperlihat adalah ekzos berkembar. 

Namun begitu, model ini masih hadir dengan kelengkapan premium termasuk suspensi Öhlins dan brek Brembo Stylema selain tayar Pirelli Rosso Corsa. 

Buat masa ini belum ada pengumuman rasmi bila model ini akan dibawa ke peringkat pengeluaran namun tinjauan di media antarabangsa rata-rata mendakwa SRK 1000 RC Concept innin akan siap sekitar 2024. 

Mercedes Vision EQXX dengan badan ‘licin’, jarak pemanduan 1,000km!

MERCEDES-Benz mempersembahkan model terulung bagi kecekapan penggunaan tenaga, iaitu Vision EQXX yang merupakan sedan EV (elektrik sepenuhnya). Nama Vision bermaksud ia masih sebuah konsep tetapi versi produksi dikatakan bakal tiba.

Mercedes Vision EQXX direka dengan kecekapan maksima yang membolehkannya mencapai jarak pemanduan sehingga 621 batu (1,000km) dengan setiap caj.

Ini pasti cukup untuk pandu dari Johor Bahru melalui Kuala Lumpur, hingga ke Padang Besar, Perlis! Mercedes berkata untuk pemandu di Amerika secara purata hanya perlu mengecaj dua kali sebulan.

Mercedes belum mendedahkan sebarang spesifikasi untuk kapasiti bateri EQXX ini tetapi mereka ada mengatakan ia kurang dari 100kWh.

Tetapi ada juga perincian menarik mengenai pakej sumber kuasa EQXX ini. Baterinya dikatakan 50 peratus kurang dan 30 peratus lebih ringan dari EQS. Kuasa maksima ialah 900 volt.

Bateri dan bingkainya adalah seberat 495kg dan kuasa disalurkan ke motor elektrik yang menjana 210hp (150kW). Mercedes juga berkata sistem kuasa ini mempunyai tahap kecekapan setinggi 95 peratus.

Selain itu, terdapat panel solar 117 sel di bumbung yang akan membekalkan kuasa kepada sistem elektrik kereta seperti pendingin hawa, lampu dan unit infotainmen. Sistem solar ini mampu menjimatkan sehingga 25km jarak pemanduan.

Jika dilihat pada foto-foto, EQXX nampak agak kompak. Ia mempunyai panjang sekitar 4,630mm iaitu kira-kira 120mm lebih pendek dari C-Class.

Ia juga agak ringan bagi sebuah EV, dengan berat sekitar 1,750kg. Ini cuma lebih berat sedikit sahaja dari Mercedes C300 (1,675kg).

Paling menarik pada rekaan luaran EQXX ialah bentuknya yang sangat ‘licin’ atau aerodinamik, malah ia mempunyai drag coefficient hanya 0.18. Badannya sangat licin dan mempunyai bentuk air mata dari bumbung ke belakang. Bahagian depannya lebih rendah dari model-model Smart.

Untuk lebih aerodinamik, Mercedes EQXX dilengkapi ‘air curtain’ di bampar depan, penutup rim, gril depan dengan penutup aktif dan diffuser belakang yang akan dinaikkan pada kelajuan tinggi.

Tayar juga adalah jenis kurang rintangan golekan, yang direka khas bersama Bridgestone.

Bahagian dalam EQXX berukuran 1,206mm lebar dan mempunyai skrin resolusi 8k dan menggunakan sistem navigasi 3-dimensi yang mampu memberikan imej satelit jelas.

Kabinnya juga dibina dari bahan-bahan lestari yang dikitar semula, termasuklah fabrik seperti sutera Biosteel, balutan kulit dari cendawan, kulit bebas-haiwan dari gentian kaktus, dan karpet berasaskan buluh.

Mercedes belum mendedahkan sebarang harga atau bila mereka akan menjadikan EQXX model produksi.