Arkib Tag: cip

Lelaki ini tanam cip dalam tangan untuk hidupkan Tesla tanpa kunci

MEREKA yang selalu kehilangan kunci mungkin boleh mula menggunakan peranti ‘key finder’ atau meletakkan kunci di tempat yang tetap di dalam rumah.

Tetapi tidak bagi Brandon Dalaly. Penyelesaiannya untuk masalah ini ialah dengan ‘menanam’ terus cip ke dalam tangannya untuk membolehkannya membuka atau menghidupkan keretanya.

Kini, Dalaly boleh membuka kunci Tesla miliknya dengan hanya melambai tangannya bila berdekatan dengan kereta. Cip implan itu juga mampu menghidupkan kereta itu dari dalam.

“Anda takkan kehilangan tangan, jadi anda akan sentiasa boleh masuk ke dalam kereta,” katanya.

Dalaly yang merupakan seorang pakar dan peminat teknologi berkata, dia bukanlah peminat tegar Tesla. Dia cuma peminat tegar teknologi, dan dia menanam cip implan untuk kemudahan dan praktikaliti.

Sementara itu pada tangan sebelah lagi, terdapat cip yang membolehkannya membuka kunci pintu rumahnya. Cip itu juga ‘menyimpan’ semua maklumat kenalan serta perubatan Dalaly, termasuklah sijil vaksinasi Covid-19.

Anda boleh lihat bagaimana beliau membuka keretanya tanpa kunci dalam video di bawah:

Foxconn mahu buka kilang cip di Malaysia dengan rakan kongsi tempatan

FOXCONN yang merupakan kontraktor utama pengeluaran iPhone merancang membuka kilang pengeluaran cip di Malaysia, dengan rakan kongsi tempatan. Ini berikutan permintaan semikonduktor yang digunakan dalam kenderaan EV yang semakin meningkat.

Imej oleh: CNBC

Untuk menjayakannya, Foxconn Taiwan telah menandatangani memorandum persefahaman bersama Dagang NeXchange Berhad (DNex) Malaysia melalui anak syarikat.

Menurut Soya Cincau BM yang memetik Nikkei Asia, perkara ini sudah lama dirancang Foxconn. Sejak tahun 2021, Foxconn memiliki kira-kira 5 peratus pegangan saham dalam DNex dan mempunyai satu kerusi di lembaga syarikat itu.

Walau bagaimanapun, lokasi dan jumlah pelaburan masih belum diumumkan. Dianggarkan bahawa perbelanjaan modal untuk projek itu adalah antara USD3 bilion dan USD5 bilion.

Apabila siap kelak, kilang itu dijangka akan menghasilkan sekitar 40,000 wafer sebulan. Ia merangkumi cip 28-nanometer dan 40-nanometer.

Sebenarnya, Foxconn ingin menempatkan kilangnya di serata dunia berikutan Apple memberi cadangan supaya mereka mempertimbangkan untuk membawa keluar kapasiti pengeluaran ke negara lain.

Sebelum menandatangani memorandum bersama DNex, Foxconn ada mengumumkan rancangan untuk membina kemudahan cip di India.

Selain itu, Foxconn juga ada membeli kilang di bandar Hsinchu di utara Taiwan pada 2021 untuk membangunkan cip silikon karbida bagi kegunaan automotif.

Malaysia telah pun menjadi salah satu destinasi pilihan di Asia Tenggara, untuk syarikat-syarikat besar membangunkan kilang semikonduktor.

Selain Foxconn, Infineon Technologies juga telah melabur hampir RM9.5 bilion bagi menaik taraf kemudahan pengeluaran mereka yang terletak di Kulim. Kilang tersebut dijangka mula beroperasi dalam tahun 2024.

Proton jual 9,440 kenderaan pada Mei, hadapi masalah kurang bekalan cip

KEKURANGAN bekalan cip menyaksikan jualan kenderaan Proton Holdings Bhd (Proton) susut 37.1 peratus pada Mei.

Laporan dikeluarkan syarikat itu menunjukkan hanya 9,440 unit kenderaan terjual pada Mei lalu.

Selain itu, ia juga dipercayai didorong oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar berkata, syarikat itu kekal berada di kedudukan kedua tertinggi mencatatkan jualan kenderaan setakat ini.

“Jualan kami mencukupi untuk kekal di tempat kedua secara keseluruhan.

“Kami juga menerima sumbangan daripada bahagian eksport yang berjaya mencapai jualan tertinggi dalam tempoh 98 bulan,” kata Roslan Abdullah.

Proton Saga mengakhiri bulan Mei dengan jualan terbanyak bagi segmen-A apabila 3,786 unit diserahkan kepada pemilik.

Proton X50 pula mencapai 1,899 unit pada bulan Mei sementara Proton X70 sebanyak 1,523 unit jualan.

Terdahulu, Roslan berkata jualan Proton di luar negara terus membina momentum meskipun pasaran antarabangsa mempunyai pelbagai langkah kawalan pergerakan.

“…669 unit merangkumi Proton Saga, X50 dan X70 dieksport pada bulan Mei, pencapaian ini merupakan bulan terbaik untuk jualan antarabangsa,” katanya lagi.

Sementara itu, Proton menjangkakan jualan kenderaan akan tergendala untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Namun, perkhidmatan selepas jualan (servis) masih beroperasi dengan kadar minimum.

Pelanggan diminta untuk membuat temu janji awal bagi mengelak sebarang kesulitan.