Arkib Tag: CBU

Industri automotif tempatan terjejas jika import kereta CBU cc rendah dibenarkan

ANDA mungkin tertanya-tanya kenapa kerajaan tidak membenarkan kemasukan kereta diimport sepenuhnya (CBU) dengan enjin berkapasiti kecil ke negara ini.

Menurut Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, perkara itu akan mendorong kepada lambakan dalam pasaran serta menjejaskan matlamat kerajaan bagi membangunkan industri automotif tempatan.

Tambah beliau lagi, kemasukan kereta CBU dengan enjin berkapasiti kecil akan turut menjejaskan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 sekiranya syarikat-syarikat Pengilang Peralatan Tulen (OEM) beralih daripada aktiviti pengeluaran kereta tempatan kepada pengimportan CBU.

“Pada masa sama, ia akan menjejaskan perancangan pelaburan jangka masa panjang pengeluaran tempatan oleh syarikat-syarikat OEM dan kedua-dua syarikat pengeluar kereta nasional.

“Malah, ini seterusnya akan menjejaskan usaha ke arah pembangunan vendor tempatan, termasuk kehilangan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan pada masa depan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara, pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Senator Seruandi Saad mengenai kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan permit import bagi kemasukan kenderaan berkuasa kuda (cc) rendah seperti 660 cc.

Mengulas selanjutnya, Liew berkata, tumpuan hala tuju industri automotif tempatan adalah menggalakkan aktiviti pemasangan tempatan oleh syarikat pengeluar kereta nasional dan syarikat-syarikat OEM tanpa mengira jenama serta kapasiti enjin kenderaan.

“Kapasiti enjin yang kecil tidak semestinya memberi gambaran bahawa sesuatu kenderaan tersebut dijual pada harga rendah kerana import masih tertakluk kepada cukai import, cukai eksais dan cukai jualan,” katanya.

Berang isu gear ‘tersengguk’ tak selesai, pemilik Proton X70 mahu hantar surat guaman

BERANG dengan isu kotak gear ‘tersengguk’ yang tidak selesai, seorang pemilik X70 didakwa akan menghantar surat guaman kepada pihak Proton.

Imej oleh: Facebook Summer Yippie Yap

“Fed up already with the jerking issue. Sending lawyer letter to Proton Cars”, tulis Summer Yippie Yap di group Facebook X70OCM (Proton X70 Owner Club).

Menurut rakan media kami di Mekanika dan Funtasticko, Summer yang juga merupakan seorang peguam pernah bertanya kepada ahli-ahli lain X70OCM berkenaan isu jerking atau ‘tersengguk’ pada X70 CBU.

Menurutnya, Proton X70 miliknya itu bergetar dan tersekat-sekat apabila kereta diperlahankan ke gear 4 tanpa menekan brek. Isu ini juga dikatakan semakin kerap berlaku.

Summer dan beberapa orang rakannya akan menggunakan khidmat firma guaman Tan, Tan & Tan Associates dan surat bertarikh 22 Disember 2021 itu dialamatkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar yang beribu pejabat di Centre of Excellence, Subang Jaya, Selangor.

Tajuk atau isi surat itu walaubagaimanapun tidak didedahkan.

Adakah anda di kalangan pemilik Proton X70 CBU yang mengalami masalah sama?

UMWT jual 9,280 unit kenderaan pada April, Corolla Cross dan Harrier terlaris

UMW Toyota Motor (UMWT) meneruskan momentum positif selepas berjaya memasarkan lebih 9,280 unit bagi Toyota dan Lexus pada April.

Perkembangan itu dipercayai susulan daripada lanjutan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan berakhir pada 30 Jun depan.

Menerusi data UMWT, model Corolla Cross dan Harrier antara mendapat permintaan tinggi pengguna.

Ia menyaksikan model import sepenuhnya (CBU) bagi Corolla Cross dan Harrier telah habis terjual.

Sementara itu, UMWT mengakui sistem pembelian secara digital turut memudahkan urusan pengguna menempah kenderaan.

“Kami (UMWT) lihat terdapat kecenderungan daripada pelanggan menggunakan platform digital bagi menempah kenderaan mereka sukai.

“Kami akan meneruskan usaha jitu dalam memantapkan platform digital untuk berurusan dengan para pelanggan di masa depan,” kata presidennya, Ravindran K.

Pelanggan berminat mendapatkan kenderaan keluaran UMWT boleh segera membuat tempahan.

Sempena Hari Raya Aidilfitri, para pelanggan bakal menikmati ganjaran berganda jika mendapatkan mana-mana kenderaan keluaran syarikat itu.

Pada masa sama, pelanggan juga boleh menikmati skim pembiayaan EZ Beli yang menawarkan ansuran bulanan rendah.

Saga model kedua tembus pasaran Pakistan selepas X70

PROTON Holdings Bhd melancarkan model terlarisnya, Proton Saga di pasaran Pakistan.

Selepas berjaya memasarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) X70 tahun lalu, Proton yakin model Saga mampu mendapat permintaan tinggi sekaligus memenuhi kehendak pasaran negara itu.

Terdapat tiga varian ditawarkan di pasaran Pakistan iaitu  Saga MT, Saga AT dan Saga Ace AT.

Proton turut menawarkan 100 unit Proton Saga R3 edisi terhad dengan pilihan transmisi MT atau AT.

Setakat ini, semua kenderaan Proton di Pakistan merupakan unit Completely BuiltUp atau CBU.

Bagaimanapun, Proton menjangkakan dapat melaksanakan pemasangan tempatan bagi kesemua model di Pakistan pada suku ketiga tahun ini.

Ia adalah hasil kerjasama dengan rakan kongsinya Al-Haj Automotive yang bakal membuka kilang di Karachi dengan kapasiti pengeluaran 25,000 unit setahun.

Setakat ini, Proton telah menembusi pasaran antarabangsa di beberapa negara termasuk Brunei, Bangladesh, Mesir, Jordan, Kenya, Mauritius, Nepal dan Pakistan.