Arkib Tag: cayman

Porsche 718 Spyder RS – 493hp, 4.0 NA, enjin ICE terakhir untuk Cayman/Boxster

SEPERTI dapat dijangka selepas Porsche memberikan 718 Cayman GT4 RS kepada peminat sukan permotoran, kini versi tiada bumbung pula dilancarkan, iaitu 718 Spyder RS.

Ianya berasaskan 718 Boxster, tetapi ditala menjadi ekstrem, penuh dengan komponen motorsports. Tetapi versi Spyder RS juga menggunakan bumbung fabrik manual yang boleh ditanggalkan bila tidak diperlukan.

Bumbung fabrik berserta deflektor angin mempunyai berat keseluruhan 18.3kg, iaitu 7.6kg lebih ringan dari bumbung 718 Spyder. Ia juga 16.5kg lebih ringan berbanding bumbung 718 Boxster.

Bercakap mengenai berat, 718 Spyder RS adalah seberat 1,410kg, kira-kira 40kg lebih ringan dari versi bukan RS. Ya, bab berat cukup penting bagi model-model RS seperti ini.

Satu lagi perkara penting ialah, Porsche 718 Spyder RS ini dipacu oleh enjin 4.0-liter naturally-aspirated yang sama seperti Cayman GT4 RS, dan enjin ini akan menjadi unit ICE (pembakaran dalaman) terakhir bagi model 718 (Cayman dan Boxster).

Enjin yang juga dikongsi dengan 911 GT3 ini menjana 493hp dan 450Nm tork, dan output disalurkan ke roda belakang menggunakan kotak gear dwi-klac PDK 7-kelajuan.

Ini memberikan prestasi 0-100km/j dalam hanya 3.4 saat, dan 0-200km/j dalam masa 10.9 saat. Kelajuan maksima ialah 308km/j (7km/j lebih rendah dari Cayman GT4 RS).

Prestasi ini disumbang juga oleh rim 20-inci forged yang boleh dinaik taraf dengan rim magnesium. Selain itu, Spyder RS diberikan dengan talaan suspensi dan penyerap hentak lebih selesa, menurut Porsche untuk memberikan pengalaman berbeza dari Cayman GT4 RS.

Untuk lebih eksklusif, 718 Spyder RS boleh ditingkatkan dengan Weissach Package yang akan memberikannya muncung ekzos dari 935 2018, yang merupakan tribute dari jentera LeMans 935/78 (Moby Dick).

Porsche 718 Spyder RS kini boleh mula ditempah di Jerman dengan harga €151,215 (RM739,247) dan diikuti pasaran luar kemudian. Pembeli jentera sports ini akan turut mendapat jam tangan khas dengan bekas titanium.

Porsche 718 Spyder RS ini juga akan membuat kemunculan di Goodwood Festival of Speed pada Julai depan.

Porsche 718 Cayman GT4 RS – Model paling hardcore, ekzos paling bising

PORSCHE telah melancarkan sebuah model yang mungkin dikatakan sebagai jentera mid-engined paling hardcore pernah mereka hasilkan, iaitu 718 Cayman GT4 RS.

Jadi, apa yang membolehkan Cayman ini akhirnya menerima lencana RS?

Segalanya mengenai kereta ini sangat fokus dan agak hardcore; lebih kuasa, lebih keras, lebih ringan, lebih pantas.

Mekanikal berjiwa motorsport

Nadi kepada Cayman GT4 RS ini ialah enjin 4.0-liter naturally-aspirated flat-six yang mampu rev sehingga 9,000rpm.

Cayman GT4 ‘biasa’ sebelum ini sudah cukup berkuasa dengan 420hp dan 420Nm tork. Tetapi untuk GT4 RS, output ditingkatkan kepada 500hp dan 450Nm tork, terima kasih kepada enjin yang diambil dari 911 GT3.

Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear dwi-klac PDK 7-kelajuan sahaja, malangnya tiada pilihan manual 6-kelajuan kali ini.

Dari segi prestasi, Cayman GT4 RS mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 3.4 saat dan mempunyai kelajuan maksima 319km/j.

Seperti model-model GT Porsche sebelum ini, Cayman GT4 RS juga telah diuji di litar Nurburgring. Ia mencatat masa pusingan 7 minit 9.300 saat, dipandu oleh Jörg Bergmeister.

Pada konfigurasi lebih pendek 20.6km di litar sama, GT4 RS ini berjaya mencatat masa 7 minit 4.511 saat, iaitu 23 saat lebih pantas dari 718 Cayman GT4 sebelumnya.

Diet untuk menjadi ringan

Porsche 718 Cayman GT4 RS telah menjalani proses ‘diet’ untuk menurunkan beratnya agar mencapai prestasi mantap di jalanan dan di litar.

Beratnya cumalah 1,415kg dengan tangki penuh tanpa pemandu (mengikut standard DIN), dan ini 35kg lebih ringan dari Cayman GT4 ‘biasa’.

Terdapat juga banyak penggunaan gentian karbon untuk komponen seperti bonet depan, sayap depan, selain karpet dan bahan penebat bunyi ringan.

Cermin belakang juga menggunakan kaca lebih ringan, selain pembuka pintu jenis kain yang juga menyumbang kepada pengurangan berat.

Aerodinamik dan casis fokus

Cayman GT4 RS dilengkapi spoiler belakang jenis swan-neck yang diinspirasikan dari 911 GT3 dan jentera lumba RSR GT.

Kemudian, terdapat juga sirip di sekitar gerbang roda depan, panel bawah badan yang disambung dengan diffuser, serta beberapa elemen yang boleh dilaras. Kesemua ini memberikan 25 peratus lebih downforce.

Spring dan anti-roll bar juga telah ditala khas untuk pengendalian tepat dan lebih jitu.

Pakej Weissach

Sebagai tambahan, Porsche 718 Cayman GT4 RS boleh ditambah dengan pakej Weissach. Ini merangkumi kemasan gentian karbon pada bonet depan, ruang kemasukan udara, penyejuk, cermin sisi, dan spoiler belakang.

Barangan lain adalah ekzos titanium, roll-cage dari titanium, dan bahan balutan papan pemuka dari Race-Tex, serta logo Porsche di cermin belakang.

Akhir sekali, pakej ini memberikan rim magnesium 20-inci berbanding rim aluminium pada model standard.

Ujian akhir: Porsche 718 Cayman GT4 RS catat 7 minit 9.3 saat di Nurburgring

PORSCHE 718 Cayman GT4 akan mendapat ‘adik’ yang lebih hardcore, iaitu Cayman GT4 RS yang akan membuat kemunculan global secara rasmi November ini.

Untuk fasa ujian akhir dan pemanduan penilaian, jentera ini mempamerkan prestasi dinamik dan potensinya di litar Nurburgring.

Merupakan 718 pertama yang ‘memakai’ lencana RS, Cayman ini mencatatkan masa 7:09.300 minit di litar Green Hell, dipandu oleh Jörg Bergmeister.

Ia juga sebelum ini mencatatkan masa 7:04.511 di bahagian litar lebih pendek, bermakna ia 23.6 saat lebih pantas dari 718 Cayman GT4 ‘biasa’.

Untuk melindungi pemandunya dalam catatan masa ini, jentera berenjin tengah ini dilengkapi dengan tempat duduk perlumbaan. Tayarnya adalah Michelin Pilot Sport Cup 2 R, iaitu tayar pilihan khas untuk kereta ini.

“Semasa pembangunan, kami memberikan 718 Cayman GT4 RS segalanya memberikannya karakter RS sebenar: ringan, lebih downforce, lebih kuasa, dan sudah tentu lebih respon untuk pemandu,” kata Andreas Preuninger, pengarah GT Model Line.

“Catatan masa di Nordschleife ini satu bukti kukuh tentang betapa ketaranya penambahbaikannya pada dinamik pemanduan.”

Menurut pemandu ujian, Jörg Bergmeister, 718 Cayman GT4 RS ialah jentera pemanduan yang tiada komporomi. “Ia terasa lincah seperti go-kart di jalan pergunungan, tetapi tetap stabil dan seimbang di litar.”

“GT4 RS ini antara jentera Porsche paling responsif pernah dihasilkan. Dan anda hanya perlu merasai sendiri bunyinya yang menakjubkan,” tambah Bergmeister yang juga telah menghabiskan lebih 500 jam dalam pembangunan 718 Cayman GT4 RS.