Arkib Tag: c-class

Mercedes-Benz C350e dilancarkan di Malaysia – CKD, harga dari RM355k

BARISAN Mercedes-Benz C-Class W206 untuk pasaran Malaysia kini diperluaskan lagi dengan penambahan varian plug-in hybrid baharu iaitu C350e.

Menurut paultan.org, ia menggantikan C300 AMG Line yang dilancarkan bersama dengan C200 Avantgarde pada 2022. Seperti kedua-dua varian tersebut, C350e dipasang di Pekan, Pahang.

C350e dikuasakan oleh enjin petrol 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 204 hp pada 6,100 rpm dan 320 Nm dari 2,000 hingga 4,000 rpm.

Enjin itu dibantu oleh sebuah motor elektrik yang menjana 95 kW dan 440 Nm, memberikan sedan ini kuasa keseluruhan sebanyak 313 hp dan 550 Nm.

Dengan transmisi 9G-Tronic yang memacu roda belakang, C350e boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 245 km/j.

Model ini menggunakan bateri berkapasiti 25.4 kWj yang dibangunkan sendiri oleh Mercedes-Benz, membolehkan ia dipandu sejauh 117 km dengan kuasa elektrik. Kelajuan maksimum dalam mod ini adalah 140 km/j.

Bateri berkenaan mengambil masa dua jam untuk penuh menggunakan pengecas AC berkapasiti 11 kW.

Dari segi kelengkapan, C350e didatangkan dengan pakej penggayaan AMG Line, rim aloi AMG berukuran 18 inci dan Night Package yang mengandungi elemen-elemen hitam berkilat seperti apron hadapan, bingkai tingkap dan cermin sisi.

Varian ini didatangkan standard dengan lampu Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, bumbung suria panoramik dan sistem pencahayaan ambien.

Ruang dalaman juga dihiasi trim AMG Line, bermakna ia mempunyai stereng sport yang dibalut kulit nappa, karpet kaki AMG, dan tempat duduk sport yang dibalut upholsteri kulit Artico dalam warna hitam.

Sistem infohibur MBUX terdiri daripada panel instrumen digital berukuran 12.3 inci, skrin sentuh 11.9 inci yang dihalakan 6 darjah ke arah pemandu dan pengecas wayarles.

Untuk sistem keselamatan, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) menyertakan kamera 360 darjah, Blind Spot Assist, Active Brake Assist, Active Parking Assist dengan Parktronic, Guard 360° dan Pedestrian Protection.

Menurut MBM, harga jualan C350e dianggarkan sekitar RM355,000 on-the-road tidak termasuk insurans.

Mercedes C300 AMG Line pandai bermain dengan emosi – Pandu uji

SEBENARNYA tanpa disedari, banyak keputusan pembelian kita dipengaruhi emosi. Kita beli kasut Adidas berharga RM560 hanya kerana lebih sukakannya walaupun ada Puma yang hampir serupa berharga RM380.

Atau kita beli kemeja-T kosong berwarna hitam di Uniqlo berharga RM50 walaupun ada baju yang hampir sama di Factory Outlet Store (FOS) berharga RM39, hanya kerana kita lebih sukakan jenama yang lebih mahal itu.

Perkara ini juga boleh terjadi semasa membeli kereta terutamanya untuk segmen premium. Terdapat isu seperti brand loyalty (ketaatan terhadap jenama, bunyi pelik dalam Bahasa Malaysia) yang menyebabkan kita tidak mudah menukar jenama.

Hal ini berbeza untuk kereta segmen bawah RM100,000 kerana faktor harga lebih sensitif. Jadi untuk bab ini, kita simpankan perbincangan di hari lain, ya.

Untuk kali ini, penulis ingin berkongsikan mengenai Mercedes C300 AMG Line dan bagaimana ia bermain dengan emosi penulis untuk sangat sukakannya walaupun ia bukan jenis kereta yang biasa penulis suka.

W206 ‘buatan Malaysia’

Mercedes C300 AMG Line merupakan antara penawaran C-Class generasi W206 terkini yang kini dipasang secara CKD sejak Ogos tahun lepas. Pemasangan tempatan ini menurunkan harganya kepada RM327,888 berbanding kira-kira RM333,888 semasa baru dilancarkan.

Masih suatu harga yang tidak murah untuk sebuah sedan kecil premium. Sedan permulaan untuk mereka yang baru melangkah masuk ke segmen ini. Tetapi dengan C-Class W206 ini, Mercedes pandai memikat hati pemandu dan sesiapa yang pernah menaiki kereta ini.

Pertamanya, ia tampil cukup premium dan nampak mahal tanpa perlu terlalu mencuba. Elemen krom cukup-cukup sahaja di keliling tingkap dan gril depan, tidak perlu silaukan mata orang sekeliling. Bentuk badannya masih klasik kereta Jerman RWD dengan bonet depan panjang dan kabin yang lebih rapat ke tayar belakang.

Mungkin inilah definisi elegan.

Kemudian gaya elegan ini ‘disuntik’ dengan elemen sporti dari pakej AMG Line, seperti anda dapat lihat pada bentuk gril berbeza dari C200 Avantgarde, rim 19-inci yang nampak sukar dicuci, dan bentuk bampar serta skirt sisi yang lebih agresif.

Sebenarnya bukan mudah untuk mencampurkan kit badan sporti pada kereta yang elegan dan mewah tanpa menjadikannya nampak janggal.

Di bahagian dalam anda akan rasa sangat istimewa dengan Mercedes C300 ini kerana rekabentuk kabinnya begitu menawan, nampak berkualiti tinggi, dan rasa premium. Tidak hairanlah jika Mercedes sentiasa nombor satu untuk bab rekaan kabin.

Di depan stereng terdapat skrin 12.3-inci untuk paparan instrumen manakala di tengah terletaknya skrin infotainmen 11.9-inci. Kedua-duanya cukup besar dan memaparkan segala macam maklumat dengan jelas melalui resolusinya yang tinggi.

Penulis paling suka khasnya setup skrin berasingan pada C-Class generasi baharu ini berbanding sekeping skrin panjang melintang untuk dua fungsi berbeza pada model sebelumnya.

Selain itu, anda boleh rasakan pereka dan jurutera memberikan usaha lebih untuk anda sukakan Mercedes C-Class ini seperti boleh dilihat pada corong pendingin hawa, kemasan gentian karbon (AMG Line sahaja), panel pelaras tempat duduk di pintu, dan segala tuil dan butang.

Segalanya terasa sedap dipegang dan digunakan, sebagai contoh tuil penukar gear di sebelah kanan dan suis lampu isyarat di sebelah kiri. Terdapat juga panel-panel sesentuh yang anda boleh sentuh dan gosokkan untuk mengawal skrin infotainmen di depan dan skrin tengah.

Secara keseluruhan, kabin ini terasa selesa untuk anda pandu jauh, mudah digunakan seharian, dan membuatkan anda rasa istimewa – penting untuk kereta segmen begini.

Oh ya, tidak cukup dengan itu, paling anda rasa C-Class ini mahal ialah bila melaras tempat duduk dan bumbung panoramiknya. Anda dapat ketahui yang ia menggunakan motor lebih mahal, bukan motor biasa kerana pelarasannya cukup-cukup lembut, boleh digerakkan sedikit dengan tepat, dan motor ini seolah-olah ‘membrek’ sebelum berhenti.

Ia tidak bergerak dan berhenti dengan mendadak. Ini antara perkara yang anda tidak dapat lihat atas kertas atau risalah. Kena cuba sendiri baru faham. Silap-silap anda cuba dalam bilik pameran pun anda terus sedia untuk tandatangan dokumen, tanpa perlu pandu uji.

Pengendalian ‘kena pandai ejas’

Untuk pemanduan pula, C300 masih berpegang teguh dengan prinsip klasik Mercedes untuk mempunyai pengendalian lembut, lancar, selesa dan elegan walaupun model ini mendapat pakej AMG Line.

Dengan Dynamic Select dan suspensi adaptif Agility Control, kereta ini versatil untuk pelbagai situasi pemanduan. 95 peratus keadaan Mercedes C300 AMG Line ini lembut di selekoh walaupun menggunakan Goodyear Eegle F1 iaitu tayar sport menawarkan had cengkaman tinggi.

Tetapi jika anda sudah biasa dengan karakternya, Mercedes C300 ini mampu ‘tapau’ pesaingnya dari negara sama walaupun jenama itu lebih sinonim dengan ciri sporti. Asalkan anda “kena pandai ejas”.

Anda faham cara C300 AMG Line ini mengambil rentak di selekoh dan jalan tidak rata, anda tahu had tayar, kereta ini boleh menjadi sebuah sedan eksekutif yang lincah di jalan seperti Lebuh Raya DASH. Ia mampu menggalas tugas diperlukan pengurus muda yang ingin bergegas ke mesyuarat.

Enjin C300 merupakan unit 2.0-liter berkuasa 255hp dan 400Nm tork, lebih tinggi dari 1.5-liter yang dibekalkan pada C200.

Enjin ini disambungkan dengan kotak gear automatik 9-kelajuan 9G-Tronic dan gandar belakang, serta mendapat bantuan mild hybrid ISG (integrated starter generator) yang memberikan output tambahan 20hp dan 200Nm.

Dari angka yang diberikan, ia sebenarnya lebih dari mencukupi untuk kegunaan seharian. Mampu membawa sedan ini ke kelajuan tiga digit tanpa perlu mengaum lebih, terima kasih kepada tork 400Nm seawal 2,000rpm dan kotak gear 9-kelajuan.

Dan menariknya, sistem mild hybrid pada C300 sangat efektif dalam memberikan penjimatan. Jika anda pandu biasa-biasa sahaja, anda mampu pergi sejauh 700 hingga 750km dengan mudah setiap tangki.

Kesimpulan

Penulis jarang sukakan Mercedes sedan dan biasanya tidak meletakkan harapan tinggi pada C-Class selain AMG dua digit (C43, C63).

Tetapi dengan C300 AMG Line kali ini, cukup untuk penulis meletakkan kereta ini dalam senarai pendek untuk dibeli selepas bersara. Untuk pandu santai ke masjid dan pasar, dan sesekali ke Ipoh untuk minum white coffee.

Senang cerita, agak keberatan juga memulangkan kereta ini kepada Mercedes-Benz Malaysia.

Spesifikasi Mercedes C300 AMG Line

Harga: RM327,888
Enjin: 2.0-liter 4-silinder turbo
Kotak gear: Automatik 9-kelajuan 9G-Tronic
Kuasa: 255hp @ 5,800rpm
Tork: 400Nm @ 2,000-3,200rpm

Mercedes-Benz C-Class W206 kini dipasang secara tempatan – harga dari RM287,888

MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) hari ini secara rasmi melancarkan Mercedes-Benz C-Class generasi kelima dalam versi pemasangan tempatan atau CKD.

Seperti versi import CBU yang memasuki pasaran pada Februari lalu, sedan eksekutif kompak yang dipasang di Pekan, Pahang ini ditawarkan dalam dua varian iaitu C200 Avantagarde Line dan C300 AMG Line, dengan harga masing-masing bermula dari RM287,888 dan RM327,888.

Melihat kepada spesifikasi yang diberikan, C-Class CKD mempunyai kelengkapan yang sama seperti versi CBU, cuma ia telah dikemas kini dengan penambahan Keyless-Go Comfort Package, Hands-Free Access dan juga sistem keselamatan Pre-Safe.

Dari segi penampilan, C200 boleh dibezakan dengan C300 menerusi kit badan Avantgarde Line dan rim aloi berukuran 18 inci. C300 pula menggayakan kit badan AMG Line yang lebih agresif, rim aloi AMG berukuran 19 inci dan bumbung panoramik.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan lampu utama LED High Performance dengan ciri Adaptive Highbeam Assist, cermin sisi boleh lipat dan juga perlindunan bawah badan.

Ruang dalaman pula menampilkan sistem infohibur Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang merangkumi kluster instrumen digital 12.3 inci dan skrin tengah 11.9 inci. Turut disertakan adalah sistem navigasi, modul komunikasi LTE untuk perkhidmatan Mercedes me, Apple CarPlay dan Android Auto.

C200 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter dengan 204 hp dan 300 Nm, manakala C300 pula hadir dengan enjin 2.0-liter yang mampu menjana 258 hp dan 400 Nm. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic dan Integrated Starter Generator yang membekalkan kuasa tambahan sebanyak 15 kW dan 200 Nm.

Selain itu, C200 dan C300 juga berkongsi suspensi Agility Control dengan sistem peredam selektif, serta sistem Dynamic Select.

C-Class W206 generasi baharu dilancar dengan dua varian, dari RM288k

Mercedes-Benz Malaysia telah melancarkan generasi terbaharu C-Class dengan dua varian iaitu C200 Avantgarde dan C300 AMG Line.

C300 AMG Line

Kedua-dua varian turut dilengkapi dengan intergrated starter generator (ISG) generasi kedua bersama motor elektrik yang menjana kuasa tambahan sebanyak 20PS dan 200Nm tork.

C200 Avantgarde Line

C-Class generasi baharu ini menerima enjin empat silinder turbo 1.5-liter bagi varian C200 manakala C300 pula menerima 2.0-liter yang masing-masing menghasilkan output 204hp, 300Nm dan 258hp, 400Nm.

Enjin M264 bersama ISG

C-Class ini dilengkapi dengan Mercedes-Benz User Experience (MBUX) generasi kedua berserta skrin navigasi penuh sama seperti S-Class generasi terbaharu.

Diberi kod W206, generasi terbaharu ini mempunyai wheelbase 25mm lebih panjang berbanding model sebelumnya.

Rim berjejari lima bagi varian C200

C200 datang dengan tayar run-flat bersama rim 18-inci berjejari lima manakala C300 dilengkapi dengan rim 19-inci multi-spoke AMG tanpa tayar run-flat.

Rim Multi-spoke AMG bagi varian C300

Lapan pilihan warna diberikan pilihan bagi pembeli iaitu Spectral Blue, Polar White, High tech Silver, Obsidian Black, Graphite Grey, Selenite Grey, Cavensite Blue dan Hyacinth Red.

Kedua-dua varian digayakan dengan kemasan dalaman ARTICO dengan tiga pilihan warna iaitu hitam, coklat serta kombinasi hitam coklat.

Kedua-dua varian menerima ciri standard berikut:

  • tempat duduk depan berkuasa
  • sistem Keyless Go and start
  • Thermatic Automatic Climate Control
  • pengecas tanpa wayar di bahagian depan kabin
  • MBUX dengan skrin 11.9-inci
  • penghadang matahari di bahagian belakang
  • sistem suspensi Agility Control System dengan selective damping dan Dynamic Select
Corong penghawa dingin di bahagian belakang

Selain itu, dari segi ciri keselamatan, C-Class baharu ini menerima:

  • tujuh beg udara
  • Active Lane Keeping Assist
  • Active Blind Spot Assist
  • Active Brake Assist
  • Lane Tracking Package
  • Tyre Pressure Monitoring System
  • Active Parking Assist with Parktronic

Sebagai tambahan, hanya varian C300 sahaja ditawarkan dengan bumbung suria panoramik dan juga fungsi kamera 360-darjah.

Sistem Navigasi bersama Augmented Reality (AR)

Sistem navigasi MBUX dengan fungsi Augmented Reality (AR) yang hanya ada pada varian C300 ternyata memberikan paparan navigasi yang unik.

Untuk permulaan kedua-dua varian ini dibawa masuk sebagai unit import (CBU) sebelum peralihan ke unit pemasangan tempatan (CKD) pada suku kedua nanti.

Harga yang ditawarkan bagi varian C200 Avantgarde adalah RM288,334 manakala C300 AMG Line berharga RM330,681.

Mercedes C-Class All-Terrain kemas dan segak tetapi lasak!

Pada 2016, Mercedes-Benz memperluaskan penawarannya menerusi model E-Class All-Terrain yang menggabungkan praktikaliti sebuah station wagon dengan kelasakan dan ketahanan sebuah SUV. Mungkin kerana ia mendapat sambutan yang baik, konsep tersebut kini diaplikasikan kepada C-Class pula.

Menggunakan varian C-Class Estate sebagai asas, C-Class All-Terrain tampil dengan reka bentuk yang diubah suai, sistem suspensi lebih tinggi, sistem pacuan semua-roda dan dua mod pemanduan tambahan. Ini bagi memastikan ia mampu menangani laluan off-road mencabar.

Antara perubahan reka bentuk yang dimaksudkan adalah gril radiator krom, underguard pada bampar hadapan dan belakang, serta kemasan kelabu kusam di sekeliling gerbang roda. Rim standard yang digunakan adalah berukuran 17-inci, namun pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan rim 18- atau 19-inci.

Satu lagi kelengkapan yang ditawarkan secara opsyen adalah sistem lampu Digital Light yang mempunyai tiga unit LED di dalam setiap perumah, termasuk untuk pemanduan off-road pada waktu malam.

Lampu ini boleh diaktifkan menerusi sistem pemanduan Offroad dan Offroad+, dan akan menyala ketika kenderaan bergerak pada kelajuan sehingga 50 km/j. Lebih daripada itu, ia akan dipadamkan secara automatik.

Bagi sistem suspensi pula, ketinggiannya telah dinaikkan sebanyak 40 mm bagi mendapatkan ruang lega tanah (ground clearance) yang lebih luas. Selain itu, ia turut diperkukuhkan lagi menerusi penggunaan steering knuckle yang lebih besar pada bahagian hadapan.

Di dalam, C-Class All-Terrain menampilkan spesifikasi Avantgarde dengan tiga pilihan warna upholsteri iaitu Black, Macchiato Beige/Black dan Sienna Brown/Block, berserta dengan kemasan krom.

Untuk paparan sistem infotainmen, pelanggan boleh memilih skrin berukuran 10.25-inci atau 12.3-inci. Kedua-duanya mempunyai paparan All-Terrain yang menyediakan maklumat seperti sudut condong, sudut stereng, koordinat dan kompas.

C-Class All-Terrain boleh didapati dengan trenkuasa hibrid ringkas (mild hybrid) dalam versi petrol dan diesel. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic. 45 peratus kuasa enjin disalurkan ke roda hadapan, manakala selebihnya dihantar ke roda belakang.

Seperti yang dinyatakan tadi, model ini mendapat dua mod baharu iaitu Offroad dan Offroad+. Offroad ditala untuk pemanduan di atas jalan tanah, permukaan berkerikil atau berpasir, manakala Offroad+ pula mempunyai ciri Downhill Speed Regulation (DSR) untuk digunakan semasa menuruni cerun yang licin.