Arkib Tag: bot

Honda akhirnya mempunyai enjin VTEC V8

YA, seperti tajuk di atas, Honda telah menghasilkan enjin VTEC V8 pertamanya. Enjin ini mempunyai sesaran 5.0 liter dan mampu menghamburkan sehingga 350 hp.

Namun, sebelum anda memasang angan-angan untuk ‘menyalin’ enjin ini ke dalam Civic Dolphin anda, ketahuilah bahawa enjin yang dimaksudkan itu adalah enjin sangkut untuk kegunaan marin sahaja.

Enjin yang dikenali sebagai BF350 itu diperkenalkan secara rasmi kepada umum di Genoa International Boat Show baru-baru ini.

Walaupun mempunyai lapan silinder, BF350 mempunyai reka bentuk yang langsing. Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Aquamarine Silver atau Grand Prix White, kedua-duanya didatangkan dengan logo 3D yang disadur krom.

Sebaik sahaja dihidupkan, enjin itu akan memasuki mod BLAST (Boosted Low Speed Torque) yang boleh memberikan pecutan berkuasa dengan segera.

Apabila bot bergerak pada kelajuan tetap, mod ECOmo akan diaktifkan bagi mengurangkan penggunaan bahan api. Sudah tentu, VTEC akan meningkatkan kuasa puncak apabila kuasa tambahan diperlukan.

Untuk memudahkan pengguna, BF350 juga didatangkan dengan beberapa ciri pintar termasuk Cruise Control, Tilt Limit dan Trim Support.

Turut disertakan adalah alat kawalan khas yang mempunyai panel multifungsi dengan lima butang intuitif dan penunjuk posisi neutral. Dengan alat kawalan ini, pemilik boleh sehingga empat buah enjin sekali gus.

Menurut laporan, enjin ini akan memasuki pasaran bermula awal 2024. Harga masih belum diumumkan.

Seteru utama Honda iaitu Yamaha juga mempunyai enjin sangkut V8 XTO Offshore bersesaran 5.6 liter yang boleh didapati dalam versi 425 hp atau 450 hp.

Riva Ferrari 32 sebuah bot laju mewah dengan enjin 8.0-liter V8

RIVA merupakan sebuah syarikat pembuatan bot dari Itali yang cukup terkenal dengan rekaannya yang bergaya dan penuh personaliti. Pada 1990, ia bergabung dengan pengeluar supercar senegara yang tidak perlu diperkenalkan lagi iaitu Ferrari untuk menghasilkan sebuah bot edisi terhad.

Dikenali secara rasmi sebagai Riva Ferrari 32, bot laju mewah itu adalah antara produk Riva paling ‘rare’ yang mana hanya 40 unit dihasilkan. Menariknya, salah satu daripadanya iaitu unit bernombor 28 telah dilelong oleh RM Sotheby’s pada satu acara lelongan di Florida pada 25 dan 26 Mac lepas. Ia dijangka mendapat bidaan antara USD100,000 hingga USD150,000 (RM429,280 hingga RM643,910).

Bot sepanjang 32 kaki itu merupakan ilham pengerusi Riva, Gino Gervasoni dan Enzo Ferrari. Kerjasama antara kedua pihak ini tercermin menerusi rekaan luarannya yang menampilkan warna merah signatur Ross Corsa, bukaan udara sisi ala Testarossa dan juga spoiler karbon yang tinggi menjulang.

Anda tidak akan menemui enjin 4.9-liter 12 silinder dari Testarossa di sini kerana jentara ini dikuasakan oleh sepasang enjn BPM Vulcano 400 V8 bersesaran 7,982cc, masing-masing menghasilkan 390hp. Kuasa tersebut disalurkan ke kipas menerusi transmisi Borg Warner, membolehkan Riva Ferrari 32 mencapai kelajuan maksimum 54 knot (100km/j).

Angka itu mungkin tidak begitu mengagumkan sekarang, namun untuk sebuah bot yang dihasilkan pada tahun 1990, ia tidak kurang hebatnya.

Seperti jentera-jentera yang keluar dari kilang Ferrari di Maranello, kelebihan Riva Ferrari 32 bukan sekadar pada kelajuan dan prestasi semata-mata kerana ia juga dilengkapi dengan pelbagai ciri mewah bagi menarik minat pembeli.

Antaranya termasuklah stereng tiga batang yang dibalut kulit, dial instrumen berwarna hitam dan kuning, serta ruang tidur untuk dua orang di bawah dek, lengkap dengan sistem audio. Di atas, terdapat sepasang tempat duduk hadapan dan bangku yang dihiasi upholsteri kulit berwarna putih.

Pembeli bertuah bot ini boleh terus beraksi di air kerana menurut RM Sotheby’s, enjinnya telah diservis secara menyeluruh pada 2015 dan badannya juga telah diberikan proses perincian (detailing) oleh Baca Marine.

Ada ke bot harga mampu milik? Tak cari tak jumpa…

MEMILIKI bot memang menjadi idaman bagi kebanyakan ‘kaki pancing’.

Ia bukan sahaja memudahkan aktiviti memancing yang mana tidak perlu lagi menyewa bot tetapi boleh digunakan bagi tujuan kecemasan termasuk operasi menyelamat mangsa banjir.

Bagaimanapun, untuk memiliki bot persendirian bukan suatu yang mudah memandangkan ia memerlukan ‘modal’ besar.

Jadi, Engear dengan rajinnya telah mencari beberapa bot yang berharga bawah RM5,000 terdapat di pasaran negara ini.

Bot bawah RM5,000?

Terdapat pelbagai jenis bot di dunia ini mengikut keperluan penggunaan. – Foto hiasan ihsan Wikipedia

Menerusi pencarian Engear di internet, terdapat sebuah bot yang ingin diniagakan pada harga RM2,100 sahaja. Bagaimanapun, harga itu tidak termasuk enjin.

Berdasarkan spesifikasi yang diberi, bot berkenaan mempunyai kepanjangan lebih 12 kaki panjang dan 2.5 kaki lebar.

Sementara itu, ada juga bot yang diniagakan mencecah RM4,500 dan dikatakan baru digunakan selama empat bulan sahaja.

Panjang bot berkenaan adalah 17 kaki panjang dan lebar 4 kaki 8 inci.

Menurut pemiliknya, terdapat foam polistrin pada bahagian bawah lantai bot.

Anda berminat mendapatkan bot ini boleh mencari pemiliknya di Jeti Nelayan Pasir Putih, Putatan.

Kebanyakan ‘kaki pancing’ tidak dinafikan gemar memilih untuk memancing di atas kayak terutama menggunakan teknik casting.

Ramai juga ‘kaki pancing’ minat memancing menggunakan kayak. – Foto hiasan ihsan Wikipedia

Pencarian di internet menemui kami kayak Seastream Feelfree sepanjang 12 kaki berharga RM5,000.

Apa menarik kayak ini mempunyai ruangan simpan barang dan ia pasti sesuai untuk memancing di kawasan tasik dan sungai.

Selain itu, ada juga yang menjual bot fiber berharga RM2,790 dan pastinya ia sangat berbaloi!

Ini kerana bot ini mempunyai kepanjangan 17 kaki dan mempunyai stirage locker serta bahagian deck.

Terakhir, Engear turut menemui sebuah bot berharga RM4,000.

Harganya tidak terlalu rendah berbanding yang lain namun, spesifikasi terdapat pada bot ini memang terbaik!

Berdasarkan maklumat diperoleh, bot ini diperbuat daripada fiber glass dan hard wood.

Kepanjangan 17 kaki dengan lebar 5.3 kaki pastinya memberi keselesaan kepada individu menaikinya. Bot ini juga dikatakan mempunyai enam boat fenders.

Contoh enjin bot yang mempunyai kuasa lebih 50 kuasa kuda. – Foto hiasan ihsan Wikipedia

Jika anda berminat mendapatkan bot ini jangan lupa, gandingkan ia dengan enjin setidak-tidaknya 15 sehingga 20 kuasa kuda ya. Maklumlah…body berat!

Itu sahaja perkongsian pengalaman Engear yang pernah menemui lima jenis bot berharga RM5,000.

Jadi, jika Engear boleh menemui bot ini di internet tidak mustahil anda juga boleh berbuat demikian.

Selamat mencari!