fbpx

Riva Ferrari 32 sebuah bot laju mewah dengan enjin 8.0-liter V8

ferrari riva 32 02

RIVA merupakan sebuah syarikat pembuatan bot dari Itali yang cukup terkenal dengan rekaannya yang bergaya dan penuh personaliti. Pada 1990, ia bergabung dengan pengeluar supercar senegara yang tidak perlu diperkenalkan lagi iaitu Ferrari untuk menghasilkan sebuah bot edisi terhad.

Dikenali secara rasmi sebagai Riva Ferrari 32, bot laju mewah itu adalah antara produk Riva paling ‘rare’ yang mana hanya 40 unit dihasilkan. Menariknya, salah satu daripadanya iaitu unit bernombor 28 telah dilelong oleh RM Sotheby’s pada satu acara lelongan di Florida pada 25 dan 26 Mac lepas. Ia dijangka mendapat bidaan antara USD100,000 hingga USD150,000 (RM429,280 hingga RM643,910).

Bot sepanjang 32 kaki itu merupakan ilham pengerusi Riva, Gino Gervasoni dan Enzo Ferrari. Kerjasama antara kedua pihak ini tercermin menerusi rekaan luarannya yang menampilkan warna merah signatur Ross Corsa, bukaan udara sisi ala Testarossa dan juga spoiler karbon yang tinggi menjulang.

Anda tidak akan menemui enjin 4.9-liter 12 silinder dari Testarossa di sini kerana jentara ini dikuasakan oleh sepasang enjn BPM Vulcano 400 V8 bersesaran 7,982cc, masing-masing menghasilkan 390hp. Kuasa tersebut disalurkan ke kipas menerusi transmisi Borg Warner, membolehkan Riva Ferrari 32 mencapai kelajuan maksimum 54 knot (100km/j).

Angka itu mungkin tidak begitu mengagumkan sekarang, namun untuk sebuah bot yang dihasilkan pada tahun 1990, ia tidak kurang hebatnya.

Seperti jentera-jentera yang keluar dari kilang Ferrari di Maranello, kelebihan Riva Ferrari 32 bukan sekadar pada kelajuan dan prestasi semata-mata kerana ia juga dilengkapi dengan pelbagai ciri mewah bagi menarik minat pembeli.

Antaranya termasuklah stereng tiga batang yang dibalut kulit, dial instrumen berwarna hitam dan kuning, serta ruang tidur untuk dua orang di bawah dek, lengkap dengan sistem audio. Di atas, terdapat sepasang tempat duduk hadapan dan bangku yang dihiasi upholsteri kulit berwarna putih.

Pembeli bertuah bot ini boleh terus beraksi di air kerana menurut RM Sotheby’s, enjinnya telah diservis secara menyeluruh pada 2015 dan badannya juga telah diberikan proses perincian (detailing) oleh Baca Marine.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved