Arkib Tag: Boon Siew Honda

Honda RS150R 2022 dengan warna baharu, enjin lebih berkuasa

BOON Siew Honda telah memperkenalkan Honda RS150R bagi tahun 2022. Perubahan ini dapat dilihat melalui pengenalan tiga warna baharu iaitu Vivacity Red, Pearl Nightafall Blue dan Radiate Grey Metallic.

Untuk model tahun 2022, enjinnya kini mematuhi piawaian pelepasan Euro 4 di samping penambahan muffler baharu.

RS150R ini dikuasakan oleh enjin sejukan cecair 4-lejang DOHC 149.2cc yang menghasilkan kuasa sebanyak 15.8hp dan 13.6Nm tork. Enjin ini dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan, klac manual serta pemacu rantai.

Selain dari prestasi tunggangan yang praktikal, Honda RS150R ini turut mempunyai pelbagai ciri menarik seperti meter kelajuan digital dengan paparan pelbagai maklumat, lampu utama LED serta sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang.

Harga yang ditawarkan untuk model ini adalah RM8,299 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Boon Siew Honda juga menawarkan dua tahun waranti atau 20,000km bagi setiap pembelian motosikal ini.

Honda Beat 2022 terima warna baharu, harga RM5,765

BOON Siew Honda memperkenalkan Honda Beat yang kini menerima warna dan kemasan grafik baharu.

Warna baharu itu hadir dengan empat pilihan iaitu Clipper Yellow, Pearl Magellanic Black, Vivacity Red dan Pearl Nightfall Blue.

Tiada perubahan dari segi mekanikal, Honda Beat masih dikuasakan enjin eSP dengan 109.5cc yang menjana 8.7hp pada 7,500rpm dan 9.53Nm tork pada 6,000rpm.

Enjin PGM-FI dengan piawaian Euro 4 ini dikatakan cukup cekap dengan penggunaan bahan api serendah 59.1km per liter (mengikut WMTC).

Honda Beat dibina pada rangka Smart Architecture Frame (eSAF) dan mempunyai kapasiti bahan api 4.2 liter serta ruang simpanan 11.7 liter di bawah tempat duduk.

Sistem brek adalah jenis kombi (CBS) dimana tuil brek belakang disambung kepada kedua-dua brek depan dan belakang dan akan mengagihkan tekanan secara optimum untuk jarak brek selamat.

Ciri lain pada Honda Beat adalah lampu depan LED, kunci brek parkir, dan Side Stand Switch yang akan mematikan enjin secara automatik apabila tongkat sisi diturunkan.

Honda Beat 2022 ditawarkan pada harga RM5,765 dan hadir dengan jaminan dua tahun atau 20,000km (yang mana dahulu).

Honda Rebel 500 terima warna baharu Pearl Organic Green, harga RM33k

SERENTAK dengan pengenalan CBR250RR dan Gold Wing GL1800, Boon Siew Honda juga melancarkan Rebel 500 untuk tahun 2022. Motosikal ini ditawarkan pada harga RM32,899 tanpa cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Apa yang baharu? Rebel 500 2022 mendapat warna baharu Pearl Organic Green sebagai penambahan kepada Matte Jeans Blue Metallic dan Graphite Black sedia ada.

Honda Rebel 500 dikuasakan oleh enjin 471cc parallel-twin dengan sistem PGM-Fi yang mampu menjana 45.59hp pada 8,500rpm dan 43.3Nm tork pada 6,000rpm. Enjin ini – menurut Honda – telah ditala untuk lebih tork pada julat rpm rendah. Kuasa disalurkan ke roda dengan transmisi 6-kelajuan dan klac slipper.

Rebel 500 mendapat lampu LED depan dan belakang, serta kluster instrumen berdiameter 100mm yang ringkas serta memberikan paparan jelas. Ia mampu memaparkan maklumat seperti gear dan penggunaan bahan api.

Rebel 500 menggunakan fork teleskopik di depan berserta penyerap hentak Showa dengan nitrogen untuk keselesaan tunggangan. Brek pula terdiri dari cakera tunggal di depan, manakala rim bersaiz 16-inci dengan tayar 130/90 (depan) dan 150/80 (belakang).

Tempat duduk Rebel 500 ini cukup mesra penunggang dengan ketinggian 690mm, dan mempunyai berat 190kg serta tangki minyak berkapasiti 11.2-liter.

Honda Rebel 500 kini boleh didapati di cawangan Honda BigWing seluruh negara.

Honda CBR150R dilancar di Malaysia – 16hp, ABS, dua warna, RM12,499

BOON Siew telah melancarkan motosikal sport yang dinanti ramai, iaitu Honda CBR150R baharu. Pelancarannya dibuat secara maya dan disiarkan melalui laman Facebook Honda Motorcycle Malaysia.

Honda CBR150R dibangunkan dengan konsep CBR Total Control, menampilkan rupa motosikal sporti dan agresif dengan prestasi dengan ciri-ciri canggih terkini.

CBR150R hadir dengan dua pilihan warna di Malaysia, iaitu Mat Charcoal Grey Metallic dan Candy Scintillate Red dan ditawarkan pada harga RM12,499.

Motosikal sport ini dikuasakan oleh unit 150cc DOHC dengan sejukan cecair yang mampu menjana 12kW (16hp) pada 9,000rpm dan 13.7Nm tork pada 7,000rpm. Enjin ini digabungkan dengan kotak gear 6-kelajuan.

CBR150R juga dilengkapi dengan ABS (Anti-lock Braking System) dua saluran serta klac Assist & Slipper yang mengelakkan gelinciran tayar belakang semasa tunggangan sporti dan menurunkan gear.

Dari segi rupa, Honda CBR150R mendapat lampu depan LED dan rekabentuk badan yang sporti yang pasti membuatkannya nampak serasi di litar.

Suspensi depan terbalik bersama dengan posisi menunggang ‘racy’ ke depan dan fairing penuh menyerlahkan gaya perlumbaannya.

Selain itu, suspensi ini menjadikan pengendalian lincah dan memberikan kestabilan menunggang terutama ketika menunggang pada kelajuan yang lebih tinggi.

Ciri-ciri lain yang turut dilengkapi adalah seperti brek cakera beralun yang menekankan penampilan sporti, papara instrumen digital dan Emergency Stop Signal (ESS).

Tunggangan agresif, santai dengan Honda ADV 150

GABUNGAN ‘motocross’ dan skuter mungkin kedengaran pelik di atas kertas.

Bagaimana ‘motocross’ yang terkenal dengan cara tunggangan lasak boleh digabungkan dengan skuter?

Namun, Honda membuktikan tidak mustahil konsep ‘motocross’ boleh dipadankan dengan skuter.

Honda ADV 150 diperkenal baru-baru ini menjawab segala persoalan terbuku.

Jom kita semak apa yang istimewa dengan ADV 150 ini?

Honda ADV150 menjadi 'buruan' kebanyakan anak muda.

Honda ADV 150

Sebenarnya ini bukan kali pertama Honda menampilkan jentera bercirikan skuter dan motocross.

Tahun lalu, Honda telah melancarkan model X-ADV 750 dengan harga sekitar RM64,000.

Menyedari ramai meminati konsep jentera skuter off-road, Honda tampil dengan ADV 150 tahun ini dengan harga mampu milik.

Sesuai dengan kapasiti enjin 150cc, ADV 150 dijual pada harga sekitar RM12,000 sahaja.

Spesifikasi ADV 150

Honda ADV 150 sesuai untuk kegunaan mereka yang gemar tunggangan secara lasak.

Ia merupakan sebuah skuter yang boleh melalui permukaan jalan gravel mahupun tunggangan dalam bandar.

Justeru, apakah yang membuatkan ADV 150 ini begitu berkuasa?

ADV 150 digerakkan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api PGM-Fi SOHC 149.3cc.

Ia juga dipadan dengan transmisi automatik V-Matic bagi menghasilkan kuasa 14.6 hp pada 8,500 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,500 rpm.

Enjin ini turut didatangkan dengan fungsi Idling Sto System (ISS) yang memudahkan penunggang ketika berhenti di lampu isyarat.

Selain itu, ADV 150 juga didatangkan dengan tangki bahan api 8.0 liter dan fork teleskopik hadapan.

Berikut antara ciri menarik lain yang ada pada ADV 150:

  • Sistem kunci pintar,
  • Brek cakera depan dan belakang
  • ABS two-channel
  • Lampu LED penuh depan dan belakang
  • Suspensi belakang Showa dengan tabung
  • Rim 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang
  • Ruang simpanan 28 liter di bawah tempat duduk

Baru-baru ini EnGear juga berkesempatan menunggang ADV 150. Nak tahu apa yang istimewa?

Saksikan video bersama Anuar Norick yang berpeluang ‘melenjan’ ADV 150.