Arkib Tag: Bermaz XPeng

Xpeng X9 2026 facelift rasmi di Malaysia – harga dari RM280 ribu

Bermaz Xpeng Sdn Bhd secara rasmi melancarkan MPV baharu Xpeng X9 2026 facelift untuk pasaran tempatan.

Terdapat tiga varian ditawarkan, dengan harga jualan seperti berikut:

  • X9 2WD Standard Range – RM279,888
  • X9 2WD Long Range – RM297,888
  • X9 AWD Performance – RM333,888

Spesifikasi

Varian 2WD dipacu oleh motor elektrik tunggal 315 hp dan 450 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j sepantas 7.75 saat (atau 8.2 saat untuk varian Standard Range).

Sementara varian AWD pula mendapat tetapan dua motor elektrik berkuasa 496 hp dan 640 Nm, dengan keupayaan 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat.

Varian 2WD Standard Range mendapat pek bateri LFP 94.8 kWh dengan jarak pandu sejauh 535 km (data WLTP).

Dua varian tertinggi pula dibekalkan dengan pek bateri NMC 110 kWh, dengan jarak pandu mencapai sehingga 615 km (580 km untuk AWD Performance).

MPV ini turut mendapat ciri sistem stereng roda belakang aktif.

Pengecasan

Xpeng X9 menyokong pengecasan AC 11 kW, sementara keupayaan pengecasan DC pula mencecah sehingga 542 kW (atau 537 kW untuk varian 2WD Standard Range).

Tempoh pengecasan penuh boleh mencapai sehingga 11 jam untuk AC, dan sepantas 12 minit untuk pengecasan DC (10-80 peratus SoC).

Kelengkapan luaran

Xpeng X9 facelift mendapat perubahan bersifat kosmetik, terutama pada bahagian bampar depan dan belakang yang lebih kemas.

Ketiga-tiga varian mendapat ciri yang sama di bahagian luar, antaranya:

  • lampu LED automatik dengan larasan ketinggian suluhan
  • rim aluminium 20 inci
  • pintu depan dengan fungsi tutup-lembut
  • bumbung panorama
  • kaca privasi untuk penumpang belakang
  • pintu gelangsar kuasa elektrik kiri & kanan
  • pintu tailgate berkuasa elektrik

Ruang kabin

Untuk bahagian dalam, X9 dilengkapi dengan roda stereng Ultra Fiber, skrin kluster digital 10.25 inci, skrin tengah 17.3 inci, skrin paparan head-up 21 inci serta skrin tambahan 21.4 inci yang dipasang pada bumbung.

Ia turut hadir dengan upholsteri kulit Nappa, serta tempat duduk pemandu dan penumpang depan larasan 12 tahap lengkap dengan fungsi pemanas, pengudaraan dan urut.

Tidak ketinggalan, sistem pencahayaan ambien, slot pengecasan tanpa wayar 50W, ruang simpanan (sejuk/panas), sistem pendingin hawa 5-zon dan sistem audio XOPERA dengan 27 pembesar suara.

Selain sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, X9 turut menawarkan kemas kini perisian over-the-air (OTA).

Baris kedua pula mendapat ciri berikut:

  • Sofa Seats Zero Gravity (Grand Sofa untuk varian AWD)
  • fungsi pemanas, ventilasi dan memori
  • meja boleh lipat
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W
  • fungsi urut 10 poin (6 senario pintar)

Tempat duduk baris ketiga juga hadir dengan fungsi pemanas, serta boleh dilipat dalam nisbah 40:60 dengan hanya menekan satu butang.

Ruang kargo pula adalah sebesar 721 liter.

Keselamatan

Secara standard, Xpeng X9 dilengkapi dengan 9 beg udara, Program Kestabilan Elektrik (ESP), Sistem Brek Pintar (SBS), cagak ISOFIX dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

Sistem ADAS XPilot Assist pula dipacu oleh cip pemprosesan Turing AI XP5 dengan bantuan 3 radar gelombang milimeter, 12 radar ultrabunyi dan 12 kamera.

Antara ciri yang tersedia:

  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Kawalan Pemusatan Lorong (LCC)
  • Pemantauan Jarak Depan (FDM)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Pengecaman Papan Tanda Trafik (TSR)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Pintar (IHB)
  • Pemantauan Keadaan Pemandu (DSM)
  • Pengesanan Titik Buta (BSM)
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)
  • Amaran Pelanggaran Depan (FCW)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)

Xpeng G6 RWD Standard Range 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM158,888

Bermaz Xpeng Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kenderaan jenama Xpeng di Malaysia melancarkan SUV elektrik Xpeng G6 varian RWD Standard Range.

Dengan harga jualan RM158,888, varian asas itu mampu melengkapi varian Long Range dan AWD Performance yang telah dilancarkan sebelum ini.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Unit pacuan

Xpeng G6 RWD dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda belakang menghasilkan 248 hp dan 440 Nm.

Pecutan 0-100 km/j memakan masa 6.94 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 202 km/j.

Terdapat enam mod pemanduan iaitu Eco, Comfort, Sport, Individual, Launch dan Escape.

 

2. Bateri

Varian asas ini hadir dengan bateri lithium iron phospate (LFP) 68.5 kWh yang menawarkan jarak pandu sejauh 480 km (data WLTP).

Ia menyokong pengecasan DC sehingga 382 kW, di mana bateri boleh dicas 10-80 peratus SoC dalam masa 12 minit.
Pengecasan AC pula mampu mencapai sehingga 11 kW untuk pengecasan 7.3 jam dari 5-100 peratus SoC.

 

3. Luaran

Secara standard, G6 RWD membawakan kelengkapan yang sama dengan dua varian yang lebih tinggi seperti lampu utama LED, pemegang pintu tersorok, kaca kalis bunyi serta fungsi privasi untuk baris kedua dan kaca belakang.

Cuma bezanya, ia hadir dengan padanan rim 18 inci.

 

4. Dalaman

Beberapa fungsi telah ditiadakan pada varian asas G6 ini seperti fungsi urut pada tempat duduk hadapan, fungsi pemanas untuk baris kedua, serta balutan kulit nappa/suede.

Ciri lain adalah sama seperti varian tertinggi seperti skrin paparan digital 10.25 inci, skrin tengah 15.6 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kemas kini over-the-air (OTA), sistem bunyi keliling XPENG XOPERA dengan 16 pembesar suara, sistem penapisan udara PM2.5 dan sistem penyegar kabin N.95.

Tempat duduk pemandu dan penumpang depan diberikan larasan elektrik enam tahap, fungsi sokongan tulang belakang, pemanas, ventilasi dan fungsi memori.

 

5. Keselamatan

G6 RWD ini dilengkapi dengan tujuh beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), peringatan tali pinggang keledar, cagak ISOFIX, Acoustic Vehicle Alerting System (AVAS), e-Call dan autohold.

Ciri keselamatan termaju termasuklah Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Bantuan Pemusatan Lorong (LCC), XPilot Assist Parking dengan kamera 360 darjah, Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM), Amaran Bukaan Pintu (DOW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Amaran Pelanggaran Belakang (RCW) serta Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Ciri yang tidak disertakan pada varian asas ini adalah perakam pemanduan dan sistem pemantauan keadaan pemandu (DSM).

Terdapat lima warna ditawarkan iaitu Arctic White, Graphite Gray, Midnight Black, Silver Frost dan Stellar Purple, sementara ruang kabin pula mendapat kemasan Light Gray dan Dark Gray.

Setiap pembelian Xpeng G6 disertakan dengan pakej pengecasan tanpa had 2-tahun oleh JomCharge, atau pemasangan pengecas dinding 11kW oleh DC Handal.

Xpeng G6 2025 facelift rasmi dilancarkan di Malaysia – harga dari RM178,888

Bermaz Xpeng selaku pengedar tunggal kenderaan jenama Xpeng di Malaysia mengumumkan ketibaan SUV G6 yang dipertingkatkan untuk pasaran tempatan.

Tempahan bagi model Xpeng G6 2025 facelift kini dibuka dengan harga jualan dari RM178,888.

Berikut merupakan perincian ringkas tentang SUV elektrik Xpeng G6 ini:

 

1. Luaran

Terdapat beberapa perubahan kecil yang dibuat seperti lampu Starlight Wing LED yang lengkap dengan lampu isyarat membelok, logo Xpeng yang diposisikan semula, serta kemasan gerbang roda mengikut warna badan.

Di bahagian belakang pula menampilkan rekaan ekor itik yang turut menyumbang kepada kestabilan di atas jalan.

 

2. Dalaman

Untuk ruang kabin, G6 kini menampilkan susun atur papan pemuka yang lebih malar segar, dengan kehadiran skrin kluster digital 10.25 inci dan skrin tengah sebesar 15.6 inci yang menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto serta arahan suara ‘Hey Xpeng’.

Terdapat dua pilihan warna tema iaitu Dark Gray dan juga Light Gray.

Selain itu, terdapat bumbung kaca panorama, tempat duduk hadapan dengan fungsi urut, sokongan tulang belakang, fungsi pemanas dan pengudaraan, diikuti tempat duduk larasan 12 tahap untuk penumpang belakang.

 

3. Varian

Untuk pasaran Malaysia, terdapat dua varian Xpeng G6 yang ditawarkan, perinciannya seperti berikut:

RWD Long Range

  • motor elektrik tunggal, pacuan roda belakang
  • 292 hp, 440 Nm
  • 0-100 km/j dalam 6.7 saat

AWD Performance

  • motor elektrik berkembar, pacuan semua roda
  • 480 hp, 660 Nm
  • 0-100 km/j dalam 4.13 saat

Kelajuan tertinggi dihadkan kepada 202 km/j.

Terdapat enam mod pemanduan disediakan seperti Eco, Comfort, Sport, Individual, Launch dan Escape.

 

4. Bateri

Secara standard, kedua-dua varian G6 dilengkapi dengan pek bateri 80.8 kWh, membenarkan jarak gerak sejauh 525 km mengikut data WLTP (510 km untuk versi AWD).

G6 turut menyokong pengecasan AC 11 kW, serta pengecasan pantas DC sehingga 451 kW – terima kasih kepada penggunaan platform 800V yang membolehkan bateri dicas sepantas 12 minit (10-80 peratus SoC).

Turut tersedia fungsi vehicle-to-load (V2L).

 

5. Keselamatan

Ciri keselamatan standard yang dibekalkan pada Xpeng G6 termasuklah XPilot Assist Driving yang merangkumi kawalan jelajah adaptif (ACC), kawalan pemusatan lorong (LCC) serta penukaran lorong automatik (ALC).

Turut disediakan Xpilot Assist Safety seperti brek kecemasan autonomi (AEB), pemantauan keadaan pemandu (DSM), amaran pelanggaran hadapan (FCW), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), serta bantuan parkir Xpilot Assist Parking.

Diimport sepenuhnya dari China, Xpeng G6 2025 facelift ini boleh didapati dalam lima pilihan warna iaitu:

  • Arctic White
  • Graphite Gray
  • Midnight Black
  • Silver Frost
  • Stellar Purple

Terdapat juga model edisi khas Black Edition yang ditawarkan dengan beberapa ciri unik seperti logo Xpeng hitam, rim aloi 20 inci kemasan hitam berkilat, serta angkup brek hitam yang dikhususkan untuk varian AWD Performance.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Xpeng G6 RWD Long Range Pro – RM178,888
  • Xpeng G6 AWD Performance – RM189,888
  • Xpeng G6 AWD Black Edition – RM193,888

Xpeng Malaysia menawarkan jaminan pengeluar lima tahun (atau had perbatuan 120,000 km yang mana tiba dahulu), pakej servis dan penyelenggaraan percuma lima tahun (atau 100,000 km), serta jaminan bateri bervoltan tinggi selama 8 tahun dengan had perbatuan 160,000 km.

Xpeng G6 Ultra Smart Coupe SUV 2024 rasmi, dua varian, dari RM165k

Bermaz XPeng Sdn Bhd selaku pengedar rasmi kenderaan berjenama XPeng di Malaysia melancarkan model SUV elektrik pertama, iaitu Xpeng G6 2024.

Crossover saiz pertengahan dengan reka bentuk badan coupe ini ditawarkan dalam dua varian utama, iaitu 580 Pro dengan jarak gerak 435 km dan 755 Pro dengan jarak gerak 570 km.

Berikut merupakan beberapa fakta menarik yang anda perlu tahu pasal Xpeng G6 Ultra Smart Coupe 2024.

 

1. Platform SEPA 2.0

XPeng G6 merupakan model kelima yang diperkenalkan oleh XPeng, namun ia adalah model produksi pertama yang dibina berdasarkan platform Smart Electric Platform Architecture 2.0 (SEPA 2.0) dengan senibina elektrik 800 voltan dan kelebihan ruang kabin yang lebih luas.

Selain itu, ia turut menawarkan titik graviti yang lebih rendah, menyumbang kepada kawalan dinamik pemanduan yang lebih baik.

Binaan badan XPeng G6 pula menggandingkan bahan aluminium dan keluli.

 

2. Kuasa

Dua varian ditawarkan iaitu G6 580 Pro dan G6 755 Pro.

G6 580 Pro dikuasakan oleh motor elektrik 255 hp/440 Nm yang dipadankan dengan pek bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) 66 kWh.

Ia mampu bergerak sejauh 435 km untuk sekali cas penuh, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.6 saat.

Sementara G6 755 Pro pula mendapat motor elektrik 282 hp/440 Nm yang dipadankan dengan pek bateri Nickel Manganese Cobalt (NMC) 87.5 kWh yang membenarkan jarak gerak sejauh 570 km.

Pecutan 0-100 km/j pula memakan masa 6.2 saat.

Kedua-dua varian mempunyai kelajuan maksimum 200 km/j.

 

3. Pengecasan sepantas 20 minit

XPeng G6 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 215 kW untuk varian 580 Pro, atau sehingga 280 kW untuk varian 755 Pro.

Ini bermakna, pengecasan bateri dari 10-80 peratus boleh diselesaikan sepantas 20 minit.

 

4. Keselamatan

XPeng G6 secara standard dibekalkan dengan fungsi keselamatan XPILOT 2.5  yang merangkumi 7 beg udara, serta ciri keselamatan termaju seperti berikut:
-Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dengan Stop & Go
-Kawalan Pengekalan Pusat Lorong (LCC)
-Bantuan Penukaran Lorong Aktif (ALC)
-Bantuan Parkir Auto (EAP 2.0)
-Bantuan Keluar Parkir Auto (AEP)
-Pemantauan Keadaan Pemandu (DSM)
-Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
-Bantuan Suluhan Tinggi (IHB)
-Amaran Keluar Lorong (LDW)
-Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
-Pengekalan Lorong Kecemasan (ELK)
-Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
-Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)

Kesemua fungsi diatas dibantu dengan kelengkapan seperti radar gelombang milimeter, radar ultrabunyi, serta kamera HD 360 darjah yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Nvidia Orin-X.

 

5. Ruang kabin

XPeng G6 menerapkan konsep ‘Circle of Life’ pada ruang kabin bagi memastikan penumpang duduk dengan selesa.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah tempat duduk pemandu dan penumpang balutan leatherette dengan fungsi larasan enam tahap, fungsi pengudaraan dan pemanasan, dan sokongan tulang lumbar empat tahap, sementara tempat duduk baris kedua juga turut dilengkapi dengan fungsi pemanasan.

Selain itu, terdapat juga pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W, kawalan iklim dua zon automatik, sistem penapisan udara XFreeBreath, skrin digital 10.2 inci, skrin infohibur 14.96 inci dengan Xmart OS 5.0, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sokongan kemaskini over-the-air (OTA).

Melengkapi pengalaman unik dalam kabin ialah sistem bunyi keliling XOpera 960W dengan 18 pembesar suara, teknologi bunyi panorama dan algoritma akustik yang dibangunkan sendiri oleh XPeng.

 

6. Harga

XPeng G6 Ultra Smart Coupe SUV 2024 merupakan unit import penuh (CBU) dari China dengan lima pilihan warna iaitu Midnight Black, Silver Frost, Artic White, Graphite Gray, dan Fiery Orange.

Harga jualan bermula dari RM165,000 untuk varian G6 580 Pro, sementara varian 755 Pro pula berharga RM185,000.

XPeng G6 didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau jarak perbatuan 120,000 km, serta jaminan pek bateri bervoltan tinggi selama lapan tahun atau had perbatuan 160,000 km (yang mana tiba dahulu).