Arkib Tag: banjir kilat

KL Menjerit: Edisi banjir kilat – Engear Tibai

SALURAN Youtube Engear TV kini mempunyai satu segmen baharu yang dikenali sebagai ‘Tibai’. Dalam segmen ini, Mat Tibai sebagai hos akan menibai apa sahaja isu atau topik hangat yang berkaitan dengan industri automotif Malaysia.

Episod pertama segmen Tibai yang dimuat naik pada 2 Jun 2022 membincangkan tentang isu banjir kilat yang dilihat semakin menjadi-jadi terutamanya Lembah Klang sejak akhir-akhir ini.

Dalam video berdurasi 6 minit 39 saat itu, Mat Tibai berkata isu banjir kilat melibatkan tiga aspek iaitu kerajaan, pengguna dan pihak insurans.

Sumber gambar: BERNAMA

Bercakap mengenai kerajaan, Mat Tibai mempersoalkan apakah tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan atau pihak berkuasa bagi memastikan banjir kilat tidak berulang lagi pada masa depan.

Beliau juga menyifatkan tindakan kerajaan untuk mengkaji hot spot atau punca banjir sebagai ‘kelakar’ kerana masalah banjir bukanlah perkara baharu di Malaysia. Tambah beliau lagi, kajian sepatutnya dilakukan secara berterusan, manakala sistem saliran juga perlu dipantau.

Untuk pengguna pula, kempen kesedaran awam perlu sering dijalankan bagi memastikan sistem saliran tidak tersumbat dan orang awam sentiasa bersedia.

Mat Tibai turut menegur pengguna yang dilihat sering mengabaikan perlindungan bencana khas (special perils) ketika membeli insurans kenderaan. Ini menyebabkan ramai pemilik kenderaan mengalami kerugian besar ketika kejadian banjir.

Turut ditibai dalam episod ini adalah pihak insurans yang didakwa sengaja melambat-lambatkan proses tuntutan ketika banjir pada tahun lalu, sekaligus menambahkan lagi kegusaran mangsa.

Tonton video penuh ‘KL Menjerit: Edisi Banjir Kilat – Engear Tibai’ di bawah:

DBKL akan kenal pasti lokasi hot spot banjir kilat

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengenal pasti lokasi hot spot banjir kilat secara terperinci, mengenal pasti sistem saliran sedia ada yang tidak dapat menampung kapasiti air hujan serta merangka penyelesaian mitigasi konseptual.

Tindakan ini adalah sebahagian dari pelan jangka pendek dan jangka panjang termasuk Kajian serta Konsep Mitigasi untuk Banjir Kilat di Kuala Lumpur.

Gambar oleh: Malay Mail

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, bagi menjalankan kajian ini, DBKL telah melantik IKRAM (Institut Kerja Raya Malaysia) selaku perunding. Kajian ini mengambil masa 12 bulan dan membabitkan lima fasa.

Beliau berkata, “Antara langkah jangka pendek termasuk menempatkan pasukan pemantau di lokasi hotspot dan menempatkan pam mudah alih di kawasan hotspot banjir yang berfungsi memindahkan lebihan air bertakung ke kawasan bersesuaian seperti kolam takungan banjir.”

Shahidan berkata, antara pelan jangka pendek lain ialah pembelian lebih banyak pam mudah alih yang akan dilaksanakan serta-merta dan penggunaan beg pasir sebagai langkah mitigasi selain menempatkan 25 pasukan di lapangan bagi proses pembersihan kawasan hotspot banjir bermula esok.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terdahulu mengarahkan DBKL segera menggunakan sumber sedia ada bagi mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku di ibu negara, baru-baru ini.

Tanpa mendedahkan jumlah dana yang diperlukan, Shahidan berkata Perdana Menteri antara lain mahu dana kecemasan DBKL bagi tujuan itu dioptimumkan.

“Perdana Menteri telah mengarahkan Menteri Wilayah Persekutuan supaya membelanjakan serta-merta peruntukan daripada sumber DBKL dan kerajaan akan membayar balik nanti bagi menyelesaikan masalah banjir kilat,” katanya.