Arkib Tag: Aveta Motor Malaysia

Aveta Serra 125 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM5,088

Aveta Motor Malaysia melancarkan sebuah lagi model skuter yang lebih mampu milik, iaitu Aveta Serra 125 2026.

Ia dijual pada harga dari RM5,088 atas jalan tanpa insurans.

Spesifikasi

Skuter ini dipacu oleh enjin silinder tunggal sejukan udara 124 cc menghasilkan 8.7 hp @ 7,500 rpm dan 9.5 Nm @ 6,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi CVT dan pacuan tali sawat.

Serra 125 menggunakan tetapan fork teleskopik di depan dan spring gegelung teleskopik di belakang.

Sistem brek pula menggunakan tetapan cakera di depan dan dram di belakang.

Antara kelengkapan lain Aveta Serra 125 termasuklah:

  • panel meter LCD
  • rak pembawa barang
  • lampu LED penuh (termasuk DRL)
  • rim 14 inci
  • tangki bahan api 6 liter
  • tinggi pelana 770 mm

Terdapat tiga warna disediakan iaitu Ash Grey, Mystic Mint dan Pixel Blue.

Aveta VS115 2026 V3 rasmi mendarat di Malaysia – harga RM3,488

Aveta Malaysia terus memperkukuh kedudukan dalam pasaran Malaysia menerusi pengenalan model kapcai Aveta VS115 2026 V3.

Sesuai dengan tagline “Motor Madani, pilihan semua”, ia dijual pada harga RM3,488.

Spesifikasi

Aveta VS115 V3 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan udara SOHC 113 cc menghasilkan 8.7 hp @ 8,000 rpm dan 9.0 Nm @ 6,000 rpm.

Enjin itu tadi dipadankan dengan kotak gear manual empat-kelajuan.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan, diikuti penyerap hentak berkembar di belakang.

Kapcai ini menggunakan tetapan brek dram dan rim saiz 17 inci untuk kedua-dua roda.

 

Antara ciri lain termasuklah:

  • panel meter analog yang mudah dibaca
  • sistem penghidup elektrik/tendang
  • tangki bahan api 4 liter
  • slot pengecasan USB (Type-A & Type-C)
  • lampu isyarat belakang LED

Terdapat tiga warna disediakan iaitu biru, kelabu dan maroon.

Aveta Nova 200 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga dari RM8,488

Aveta Motor Malaysia baru-baru ini melancarkan model baharu dalam siri Nova, iaitu Aveta Nova 200 2026.

Skuter sporti ini dijual pada harga RM8,488 atas jalan tanpa insurans.

Spesifikasi

Aveta Nova 200 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan cecair 183.3 cc menghasilkan 18.1 hp @ 8,000 rpm dan 17.6 Nm @ 5,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi automatik CVT dan sistem pacuan tali sawat.

Suspensi skuter ini terdiri daripada fork teleskopik di depan dan penyerap hentak gas berkembar di belakang.

Brek pula menggunakan tetapan cakera bagi kedua-dua gandar, disokong sistem ABS dan kawalan cengkaman (TCS).

Antara ciri lain termasuklah:

  • lampu LED berserta DRL
  • winglet aerodinamik
  • port pengecasan USB (Type-A & Type-C)
  • rim 14 inci
  • tangki bahan api 10 liter
  • tinggi pelana 778 mm
  • sistem permulaan pintar tanpa kunci
  • panel meter LCD

Tiga warna pilihan disediakan iaitu Neon Pulse, Nano Grey dan Nordic Blue.

Aveta Motor Malaysia perluas rangkaian khidmat bantuan bergerak Aveta Care on Wheels

Aveta Motor Malaysia mengukuhkan komitmennya kepada pelanggan dengan memperluas program khidmat bantuan bergerak Aveta Care on Wheels.

Langkah ini menyediakan khidmat lepas jualan yang lebih pantas, lebih mudah didapati dan boleh dipercayai bagi para pelanggan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Inisiatif Aveta Motor Malaysia

Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Aveta Motor Malaysia ialah:

  • merangkumkan pengedar Preferred Plus terpilih dalam rangkaian khidmat bantuan bergerak
  • menambah pasukan khidmat lepas jualan kepada enam unit secara keseluruhan di Semenanjung Malaysia

Rangkaian lebih meluas

Pemilik Aveta di seluruh Semenanjung Malaysia boleh mendapatkan khidmat daripada pengedar berikut:

  • KW Keat Wei Motor – serata Kedah termasuk Alor Setar dengan liputan dilanjutkan ke Perlis
  • CKT Motor – Sungai Petani dan kawasan sekitar termasuk Pulau Pinang dan Perak
  • NG Brothers Motor – Johor Selatan dari Simpang Renggam hingga Johor Bahru dan kawasan berhampiran

Sementara itu, pasukan servis dalaman Aveta terus berkhidmat di Kawasan Tengah, Melaka dan Pantai Timur, untuk liputan menyeluruh di seluruh negara.

Tawaran motosikal ihsan

Segala perkhidmatan ini disediakan dengan kerjasama rapat para pengedar Preferred Plus Aveta, yang menyokong unit perkhidmatan bergerak dan juga tawaran motosikal ihsan.

Kerjasama tersebut membolehkan Aveta untuk meluaskan keupayaan perkhidmatan dengan lebih berkesan.

Dalam masa yang sama, mereka dapat mengekalkan pengalaman pelanggan bermutu tinggi dan konsisten di seluruh titik perhubungannya.

Ekosistem utamakan pelanggan

“Peluasan rangkaian Aveta Care on Wheels dilakukan demi manfaat pelanggan kami,” kata Steven Lim, Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Motor Malaysia.

“Kami memahami proses pemilikan tidak berakhir dengan pembelian motosikal—tetapi turut melibatkan keyakinan dan sokongan yang diterima oleh penunggang motosikal setiap hari selepas itu.

“Menerusi kerjasama rapat dengan para pengedar Preferred Plus, kami menjadikan perkhidmatan lebih mudah didapati, lebih responsif dan lebih selari dengan apa yang benar-benar diperlukan oleh pelanggan.”

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada misi lebih luas Aveta untuk membina ekosistem pemilikan yang boleh dipercayai dan mengutamakan pelanggan.

Menggabungkan kepakaran dalamannya dengan kerjasama yang dijalin dengan pengedar yang dipercayai, Aveta bukan sahaja meluaskan rangkaian perkhidmatan, tetapi juga menambah baik pengalaman pemilikan keseluruhan.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi talian khas Aveta Careline di 012-503 5409.

Aveta Bellagio 125 & Viper 180 2026 rasmi dilancarkan – harga dari RM6,998

Aveta Motor Malaysia rasmi melancarkan dua model skuter baharu, iaitu Bellagio 125 2026 dan Viper 180 2026.

Berikut merupakan harga jualan bagi model skuter yang dilancarkan:

  • Bellagio 125 – RM6,998
  • Viper 180 – RM8,998

Spesifikasi Aveta Bellagio 125

Aveta Bellagio 125 menampilkan rekaan retro-moden dan direka untuk tunggangan yang selesa dalam kawasan bandar.

Ia dikuasakan oleh enjin 124 cc sejukan udara menghasilkan 8.7 hp dan daya kilas 9.5 Nm.

Antara kelengkapan yang dibawakan pada skuter ini termasuklah:

  • sistem brek cakera depan
  • skrin penghadang angin gaya klasik
  • paparan digital LCD berwarna penuh
  • tangki bahan api sebesar 6 liter

Terdapat tiga warna menarik iaitu Diamond White, Pistachio Green dan Carbon Black.

Spesifikasi Aveta Viper 180

Tidak seperti Bellagio 125, Viper 180 direka untuk penunggang yang mahukan rupa dan prestasi yang lebih bertenaga.

Ia hadir dengan enjin silinder tunggal 174 cc menghasilkan 18.2 hp dan 17.2 Nm.

Antara ciri yang dimuatkan pada skuter ini termasuklah:

  • sistem lampu LED penuh
  • bar hendal boleh laras
  • kamera perakam tunggangan hadapan
  • paparan TFT 7 inci dengan fungsi skrin sentuh
  • sistem ABS dua-saluran & kawalan cengkaman (TCS) yang boleh dinyahaktif

Tiga warna ditawarkan, iaitu Arctic White, Midnight Black dan Storm Gray.

Aveta Vanguard 250 2026: 10 ciri baharu, harga dari RM16,688

Aveta Motor Malaysia mengumumkan ketibaan model Vanguard 250 2026 versi naik taraf dengan harga jualan RM16,688.

Skuter 250 cc ini akan mula berada di pasaran awal Mac ini.

 

10 ciri baharu Aveta Vanguard 250

Untuk model tahun 2026 ini, terdapat 10 ciri baharu yang dimuatkan pada Vanguard 250, antaranya:

  • skrin sentuh TFT sebesar 7 inci
  • skrin penghadang angin larasn elektrik
  • reka bentuk suis kawalan baharu
  • pelindung ekzos yang lebih panjang
  • penutup enjin baharu
  • reka bentuk tapak kaki pembonceng yang lebih selesa
  • ruang simpanan bawah pelana mampu memuatkan helmet full-face
  • reka bentuk tempat duduk baharu
  • penyerap hentak belakang boleh laras
  • sistem ABS dan TCS yang boleh dimatikan

Warna baharu

Aveta Vanguard 250 boleh didapati dalam pilihan warna berikut:

  • Nano Green
  • Desert Bronze.

Spesifikasi asas tidak berubah

Vanguard 250 2026 mengekalkan enjin 244.2 cc menghasilkan kuasa 24.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 22.5 Nm @ 6,500 rpm.

Kelengkapan lain yang dimuatkan termasuklah:

  • fork teleskopik 37 mm
  • penyerap hentak berkembar gas di belakang
  • angkup brek empat omboh di depan
  • angkup brek dua omboh di belakang
  • rim 15 inci depan dan 14 inci belakang
  • sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)

Aveta Nova 250 2026 kini dengan warna Titan Red & Nordic Blue, harga dari RM14,388

Aveta Motor Malaysia mengumumkan dua warna baharu untuk skuter Aveta Nova 250, iaitu Titan Red dan Nordic Blue.

Varian Titan Red akan ditawarkan pada harga asas bermula RM14,388 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Sementara warna Nordic Blue pula diperkenalkan sebagai Edisi Terhad, dengan produksi dihadkan kepada 688 unit sahaja.

Setiap unit Edisi Terhad ini dijual pada harga RM14,888 dan hadir dengan nombor siri unik, hendal aluminium sporti, serta pelekat logo khas Aveta.

Aveta Nova 250 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan cecair 244.3 cc menghasilkan 25.5 hp @ 8,250 rpm dan daya kilas 23 Nm @ 6,500 rpm yang dipadankan dengan transmisi CVT.

Skuter ini dilengkapi dengan fork teleskopik di depan dibantu dengan dua penyerap hentak gas pada bahagian belakang.

Sistem brek pula menggunakan angkup empat omboh di depan dan angkup dua omboh di belakang, dibantu dengan sistem ABS dua-saluran serta kawalan cengkaman (TCS).