Arkib Tag: all-terrain

Mercedes E-Class wagon kini dalam versi All-Terrain yang lebih tinggi

MERCEDES-Benz E-Class All-Terrain 2024 telah didedahkan, kini tampil dalam rupa wagon all-wheel drive dan dengan jarak kelegaan tanah yang sedikit tinggi. Ia sangat sesuai untuk anda yang mahukan kenderaan besar boleh sedikit off-road, tapi tak berkenan dengan SUV.

E-Class All-Terrain boleh dibezakan dengan gril depan berbeza dari sedan, dimana ia mendapat dua bar dengan kemasan Iridium Silver di tengah, serta bahagian bawah yang juga direka semula.

Gerbang roda didatangkan dengan cladding kelabu gelap untuk nampak rugged. Rim standard untuk rim ini ialah 18-inci, tetapi anda juga boleh memilih untuk naik ke 19- atau 20-inci.

Ruang kargonya mampu memuatkan sekitar 614 liter, yang mampu ditambah menjadi lebih 1,800 liter bila tempat duduk belakang dilipat. Sebagai perbandingan, E-Class sedan mempunyai ruang kargo sebesar 538 liter ‘sahaja’.

All-Terrain hadir dengan varian E450 4Matic yang dibekalkan dengan enjin 3.0-liter 6-silinder sebaris. Ia mampu menghamburkan 375hp dan 500Nm tork. Enjin ini juga dibantu dengan sistem mild-hybrid yang memberikannya tenaga tambahan sebanyak 23hp dan 204Nm tork.

Dengan pacuan semua-roda 4Matic, wagon ini mampu mencapai 96km/j dalam 4.6 saat, dan kelajuan maksima dihadkan pada 209km/j.

E-Class All-Terrain juga dilengkapi dengan sistem suspensi udara dengan pelarasan automatik secara berterusan. Sistem ini mampu mengekalkan kelegaan tanah yang tetap, tidak kira berat muatan yang dibawa pada satu-satu masa.

Teknologi pada wagon ini termasuklah paparan MBUX Superscreen, program pemanduan Off-Road, fungsi ‘hud lutsinar’, Attention Assist, Active Brake Assist, dan pakej Driver Assistance Package yang memberi tambahan ciri seperti Active Lane Keeping Assist, Adaptive Cruise Control, dan Acitve Speed Limit Assist.

Mercedes C-Class All-Terrain kemas dan segak tetapi lasak!

Pada 2016, Mercedes-Benz memperluaskan penawarannya menerusi model E-Class All-Terrain yang menggabungkan praktikaliti sebuah station wagon dengan kelasakan dan ketahanan sebuah SUV. Mungkin kerana ia mendapat sambutan yang baik, konsep tersebut kini diaplikasikan kepada C-Class pula.

Menggunakan varian C-Class Estate sebagai asas, C-Class All-Terrain tampil dengan reka bentuk yang diubah suai, sistem suspensi lebih tinggi, sistem pacuan semua-roda dan dua mod pemanduan tambahan. Ini bagi memastikan ia mampu menangani laluan off-road mencabar.

Antara perubahan reka bentuk yang dimaksudkan adalah gril radiator krom, underguard pada bampar hadapan dan belakang, serta kemasan kelabu kusam di sekeliling gerbang roda. Rim standard yang digunakan adalah berukuran 17-inci, namun pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan rim 18- atau 19-inci.

Satu lagi kelengkapan yang ditawarkan secara opsyen adalah sistem lampu Digital Light yang mempunyai tiga unit LED di dalam setiap perumah, termasuk untuk pemanduan off-road pada waktu malam.

Lampu ini boleh diaktifkan menerusi sistem pemanduan Offroad dan Offroad+, dan akan menyala ketika kenderaan bergerak pada kelajuan sehingga 50 km/j. Lebih daripada itu, ia akan dipadamkan secara automatik.

Bagi sistem suspensi pula, ketinggiannya telah dinaikkan sebanyak 40 mm bagi mendapatkan ruang lega tanah (ground clearance) yang lebih luas. Selain itu, ia turut diperkukuhkan lagi menerusi penggunaan steering knuckle yang lebih besar pada bahagian hadapan.

Di dalam, C-Class All-Terrain menampilkan spesifikasi Avantgarde dengan tiga pilihan warna upholsteri iaitu Black, Macchiato Beige/Black dan Sienna Brown/Block, berserta dengan kemasan krom.

Untuk paparan sistem infotainmen, pelanggan boleh memilih skrin berukuran 10.25-inci atau 12.3-inci. Kedua-duanya mempunyai paparan All-Terrain yang menyediakan maklumat seperti sudut condong, sudut stereng, koordinat dan kompas.

C-Class All-Terrain boleh didapati dengan trenkuasa hibrid ringkas (mild hybrid) dalam versi petrol dan diesel. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic. 45 peratus kuasa enjin disalurkan ke roda hadapan, manakala selebihnya dihantar ke roda belakang.

Seperti yang dinyatakan tadi, model ini mendapat dua mod baharu iaitu Offroad dan Offroad+. Offroad ditala untuk pemanduan di atas jalan tanah, permukaan berkerikil atau berpasir, manakala Offroad+ pula mempunyai ciri Downhill Speed Regulation (DSR) untuk digunakan semasa menuruni cerun yang licin.