Arkib Tag: 964

Singer Porsche 911 Turbo Study kali ini model cabriolet, enjin sejukan cecair dengan 510hp

MERAH, whale tail, rim hitam, semuanya cukup. Tidak banyak kereta yang begitu menarik perhatian pada 1980an dengan Porsche 911 Turbo generasi 964. Dan tidak banyak juga syarikat yang menghasilkan semula jentera klasik dengan prestasi moden seperti Singer.

911 Turbo Study terbaharu mereka ialah Porsche generasi 964 ini, dan ia juga merupakan model pertama Singer dengan badan cabriolet.

“Porsche pertama iaitu Sport 356/1 yang dikenali sebagai ‘Number 1’ merupakan cabriolet, dan glamor bumbung terbuka dengan prestasi tinggi ini telah menjadi sebahagian dari kisahnya sejak itu,” kata pengasas dan pengerusi eksekutif Singer, Rob Dickenson.

“Saya telah lama mahu meraikan aspek Porsche ini di Singer dan dengan Turbo Study kami menghasilkan semula keseronokan supercar pertama Porsche sambil mengekalkan prestasi serta penghalusannya.”

“Kami teruja kerana pemilik-pemilik kini dapat menikmati aspek-aspek ini dengan bumbung terbuka.”

Badan Singer 911 Turbo Study baharu ini ‘memakai’ warna Cadiz Red, dan ia dipacu oleh enjin flat-six yang masih menggunakan sejukan udara. Tetapi ia kini bersesaran 3.8-liter dan menjana 510hp, hasil sepasang pengecaj turbo.

Kuasa kekal disalurkan ke roda belakang, dan ia disalurkan melalui kotak gear manual 6-kelajuan. Brek pula adalah karbon-seramik untuk ‘menjinakkan’ kuasa tadi.

Setiap unit 911 oleh Singer mendapat kemasan dalam yang cukup menawan, tetapi ianya pasti lebih mudah dilihat bila bumbung dibuka.

Untuk 911 Turbo Study ini khasnya, ia menampilkan bumbung fabrik yang dilipat dan disimpan di belakang, mendedahkan kabin berwarna hitam dengan kemasan plaid merah pada panel pintu dan tempat duduk.

Warna ini digandingkan dengan kemasan kayu pada papan pemuka dan konsol tengah. Ciri moden pada 911 Turbo ini termasuklah pengecaj telefon tanpa-wayar untuk pemandu dan penumpang.

Sayangnya, jika anda mahu menempah 964 Cabriolet ini atau sebarang Singer 911, ia akan mengambil masa sedikit lama. Singer berkata tempahan kini penuh sehingga beberapa tahun akan datang, mereka tidak mampu menerima sebarang tempahan baharu buat masa ini.

Singer Turbo Study – Porsche 930 Turbo ikonik dengan sentuhan moden

PAKAR restorasi Porsche, Singer Vehicle Design telah memperkenalkan konsep terbaharu mereka iaitu Turbo Study. Menggunakan kerangka asal dari model 964, konsep terbaru ini mengambil inspirasi penggayaan dari model 930 Turbo. Sebanyak 70 pelanggan telah membuat tempahan restorasi berdasarkan konsep terbaharu ini.

Turbo Study dikuasakan dengan enjin Mezger 3.8-liter twin turbo yang menghasilkan 450hp secara standard. Namun jika pakej ini tidak mencukupi, Singer bersedia untuk menala semula kuasa mengikut kehendak pelanggan.

Enjin ini dipadankan dengan kotak gear manual 6-kelajuan sahaja, tetapi pelanggan boleh memilih pacuan roda-belakang (RWD) atau semua-roda (AWD).

Turbo Study menjelmakan semula rekaan ikonik 930 yang mempunyai spoiler ‘whale tail’ yang juga dikenali sebagai ‘tea tray’ di kalangan peminat Porsche. Rekaan fender belakang turut diberi kelainan dengan reka bentuk ‘shark fin intake’ yang berfungsi menyalurkan angin ke ruang enjin.

Dari segi dalaman, Singer menyediakan pilihan tempat duduk kawalan elektrik dengan pemanas terbina bagi keselesaan perjalanan di musim sejuk. Fungsi seperti anti-lock braking system (ABS), traction control dan brek karbon seramik juga boleh dipilih jika diperlukan.

Kemasan kulit dengan kod warna Malibu Sand serta trim kayu dengan berwarna Black Forest di papan pemuka dan panel pintu menjadi identiti kemasan dalaman manakala di sebelah luar, Singer memilih kemasan cat dengan kod warna Wolf Blue.

Singer masih belum mengumumkan harga rasmi Turbo Study namun ia dijangka bermula pada tanda harga USD500,000 (RM2.1 Juta).

Turbo Study bakal membuat penampilan pertama di Goodwood Festival of Speed pada Jun dan seterusnya di Monterey Car Week pada Ogos tahun ini.