Arkib Tag: 7 Series

BMW 7 Series dilancarkan dalam varian 750e xDrive M Sport dan Pure Excellence – CKD, harga dari RM650k

BMW Malaysia telah melancarkan BMW 7 Series generasi ketujuh (dikenali dengan kod nama G70) ke pasaran tempatan.

Dipasang secara tempatan (CKD), sedan eksekutif mewah itu boleh didapati dalam dua varian iaitu 750e xDrive M Sport dan 750e xDrive Pure Excellence.

Harga jualan termasuk pakej servis dan waranti lanjutan lima tahun bermula dari RM649,800 untuk Pure Excellence dan RM700,000 untuk M Sport. Bagaimanapun, BMW Malaysia berkata varian Pure Excellence terhad kepada 48 unit sahaja.

Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin turbo 3.0-liter enam silinder sebaris yang digandingkan dengan sebuah motor elektrik yang mendapat bekalan kuasanya daripada bateri litium ion berkapasiti 22.1 kWj. Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 489 PS dan 700 Nm.

Dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda xDrive, 750e boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Dari segi reka bentuk, varian M Sport sebagai varian yang lebih sporty boleh dibezakan dengan rekaan bampar depan dan belakang yang lebih agresif dan trim Shadow Line M berglos tinggi dan ambang sisi M hitam.

Untuk rim pula, varian M Sport didatangkan dengan rim aerodinamik M 907 berukuran 20 inci, manakala varian Pure Excellence mendapat rim dalam penggayaan 903 berukuran 19 inci.

Kelengkapan yang disertakan standard pada kedua-dua varian adalah lampu hadapan BMW Iconic Glow dengan elemen kristal Swarovski, gril kidney Iconic Glow yang bercahaya, dan lampu belakang signatur BMW yang berbentuk L.

Di dalam, anda akan menemui BMW Curved Display yang merangkumi kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci dan skrin sentuh 14.9 inci untuk sistem infohibur. Kedua-duanya dikuasakan oleh BMW Operating System 8.

Selain itu, terdapat juga BMW Interaction Bar dengan pencahayaan latar, bumbung kaca panoramik Sky Lounge, trim kaca kristal CraftedClarity dan sistem audio keliling Bowers & Wilkins dengan mod Relax dan Expressive.

750e xDrive M Sport mendapat beberapa kelengkapan tambahan seperti stereng M Sport dengan balutan kulit, tempat duduk belakang Executive Lounge dan yang paling menarik, BMW Theatre Screen yang merupakan sebuah skrin panoramik 31.3 inci beresolusi 8K dengan sambungan HDMI.

Untuk pasaran Malaysia, 750e boleh didapati dalam warna Oxide Grey Metallic, Black Sapphire Metallic dan Mineral White Metallic. Warna M Brooklyn Grey Metallic ditawarkan secara eksklusif untuk varian M Sport, manakala warna Sophisto Grey Metallic pula adalah untuk varian Pure Excellence sahaja.

Upholsteri ruang dalaman pula ditawarkan sama ada dalam material kulit BMW Merino berwarna hitam atau Tartufo.

BMW 740Le G12…bukan sekadar seronok jadi penumpang!

NAMA Bayerische Motoren Werke atau BMW bukan suatu yang asing dalam dunia automotif.

Sejak diasaskan lebih 105 tahun lalu, jenama BMW terus melangkah gah dengan teknologi-teknologi terkini demi kepuasan pengguna.

Saya masih ingat akan kereta BMW model E38 750iL yang ditonjolkan dalam filem ‘Tomorrow Never Dies‘ di mana ia digunakan oleh ejen 007 James Bond lakonan Pierce Brosnan.

Walaupun kereta kegunaan Bond itu dilengkapi ciri-ciri futuristic bertujuan sebagai ‘penambah rasa’ filem berkenaan, ia berjaya mencuri perhatian saya.

Saya sangat sukakan BMW E38 sehingga hampir membelinya beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, hasrat tersebut terpaksa dilupakan memandangkan waktu itu saya hanya memerlukan sebuah kenderaan lebih kecil untuk kegunaan harian.

Minat saya terhadap model E38 begitu mendalam sehingga merasakan ia satu-satunya jentera terbaik pernah dihasilkan syarikat pengeluar asal Jerman itu.

Saya mempunyai persepsi tersendiri terhadap lain-lain kenderaan buatan BMW apatah lagi membabitkan model 7 Series.

Pada saya, BMW 7 Series terlalu besar dan pastinya tidak sesuai untuk kegunaan harian.

BMW sentiasa mengutamakan kekemasan interior dalaman sekaligus menonjolkan kesan eksklusif. – Foto ihsan Trinity Quest Sdn Bhd

Ada apa dengan 7 Series?

Tahun lalu persepsi saya terhadap model 7 Series berubah sepenuhnya apabila BMW Malaysia telah melancarkan model baharunya iaitu BMW 740Le dengan kod nama G12.

Pertama kali melihat kereta ini pada gambaran saya ia terlalu besar dan kelihatan ‘ganas’.

Selepas empat kali dijemput memandu uji oleh BMW, saya akhirnya berkesempatan merasai pengalaman mengendalikan model itu baru-baru ini.

Pada mulanya, saya dapat bayangkan hujung minggu bersama BMW 740Le hanya akan memberi pengalaman ‘biasa-biasa’, sama seperti lain-lain jenama kereta mewah bertaraf antarabangsa.

Jangkaan saya 100 peratus meleset sebaik memandu kereta ini. Saya langsung tidak merasai bahawa kereta ini mempunyai size yang besar dan paling penting ia tidak mempunyai blind spot begitu ketara.

'Tegap' dan berkuasa tinggi. Tidak dinafikan enjin dihasilkan BMW antara yang terbaik di dunia.

Seterusnya, saya dapati enjin kereta ini sangat senyap. Menggunakan enjin B58B30 3.0 litre turbo charged straight-six dan dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan, saya dapat katakan ia sangat terbaik.

Enjin B58B30 3.0 litre turbo charged straight-six mampu menghasilkan 282hp hingga 394hp! Bayangkan kereta sebesar ini mampu ‘berlari’ dari 0-100km/j dalam masa 5.1 saat!

Mungkin anda tertanya-tanya dengan kuasa sebesar itu, pasti ia memerlukan penggunaan petrol yang tinggi bukan?

Sebenarnya jika dipandu dengan cermat, anda tidak perlu risau mengenai konsumsi bahan bakar.

Mungkin kedengaran tidak masuk akal, tetapi itu realiti sebenar. Penggunaan gabungan enjin elektrik pastinya membantu kepada penjimatan bahan bakar.

Selain itu, kemasan dalaman kereta ini sememangnya tiada kekurangan. Saya merasakan kemasan dalaman BMW ini lebih praktikal terutama meter digital yang sangat jelas dan mudah digunakan.

Sistem bunyi pada kereta ini juga sangat bagus kerana ia dilengkapi dengan pembesar suara daripada Harmon Kardon. Selain itu, kerusi belakang model ini turut mempunyai fungsi kerusi urut yang pasti memberi keselesaan berganda buat penumpang.

Jika pemandu tidak tahu arah tuju dan mahu menggunakan sistem navigasi, penumpang belakang juga boleh menggunakan sistem tablet yang disediakan untuk mencari arah.Sangat canggih!

BMW 7 Series tetap selesa untuk dipandu di kawasan bandar walau mempunyai reka bentuk yang besar. – Foto oleh EnGear

Setakat ini semua tentang kereta ini sangat bagus, namun bagaimana pula dengan pemanduan kereta ini?

Saya merasakan kereta ini layak mendapat markah yang tinggi untuk pengendalian kerana walaupun ianya besar tetapi dapat dikawal dengan begitu mudah.

Sistem Xdrive pada kereta ini bermaksud keempat-empat tayar bergerak serentak memberikan cengkaman yang lebih baik di jalan raya.

Justeru, kepada anda yang berminat untuk memiliki sebuah BMW 7 series mungkin model ini boleh dipertimbangkan.