fbpx

BMW 7 Series dilancarkan dalam varian 750e xDrive M Sport dan Pure Excellence – CKD, harga dari RM650k

7. The New BMW 750e xDrive M Sport-M Brooklyn Grey

BMW Malaysia telah melancarkan BMW 7 Series generasi ketujuh (dikenali dengan kod nama G70) ke pasaran tempatan.

Dipasang secara tempatan (CKD), sedan eksekutif mewah itu boleh didapati dalam dua varian iaitu 750e xDrive M Sport dan 750e xDrive Pure Excellence.

Harga jualan termasuk pakej servis dan waranti lanjutan lima tahun bermula dari RM649,800 untuk Pure Excellence dan RM700,000 untuk M Sport. Bagaimanapun, BMW Malaysia berkata varian Pure Excellence terhad kepada 48 unit sahaja.

Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin turbo 3.0-liter enam silinder sebaris yang digandingkan dengan sebuah motor elektrik yang mendapat bekalan kuasanya daripada bateri litium ion berkapasiti 22.1 kWj. Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 489 PS dan 700 Nm.

Dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda xDrive, 750e boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Dari segi reka bentuk, varian M Sport sebagai varian yang lebih sporty boleh dibezakan dengan rekaan bampar depan dan belakang yang lebih agresif dan trim Shadow Line M berglos tinggi dan ambang sisi M hitam.

Untuk rim pula, varian M Sport didatangkan dengan rim aerodinamik M 907 berukuran 20 inci, manakala varian Pure Excellence mendapat rim dalam penggayaan 903 berukuran 19 inci.

Kelengkapan yang disertakan standard pada kedua-dua varian adalah lampu hadapan BMW Iconic Glow dengan elemen kristal Swarovski, gril kidney Iconic Glow yang bercahaya, dan lampu belakang signatur BMW yang berbentuk L.

Di dalam, anda akan menemui BMW Curved Display yang merangkumi kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci dan skrin sentuh 14.9 inci untuk sistem infohibur. Kedua-duanya dikuasakan oleh BMW Operating System 8.

Selain itu, terdapat juga BMW Interaction Bar dengan pencahayaan latar, bumbung kaca panoramik Sky Lounge, trim kaca kristal CraftedClarity dan sistem audio keliling Bowers & Wilkins dengan mod Relax dan Expressive.

750e xDrive M Sport mendapat beberapa kelengkapan tambahan seperti stereng M Sport dengan balutan kulit, tempat duduk belakang Executive Lounge dan yang paling menarik, BMW Theatre Screen yang merupakan sebuah skrin panoramik 31.3 inci beresolusi 8K dengan sambungan HDMI.

Untuk pasaran Malaysia, 750e boleh didapati dalam warna Oxide Grey Metallic, Black Sapphire Metallic dan Mineral White Metallic. Warna M Brooklyn Grey Metallic ditawarkan secara eksklusif untuk varian M Sport, manakala warna Sophisto Grey Metallic pula adalah untuk varian Pure Excellence sahaja.

Upholsteri ruang dalaman pula ditawarkan sama ada dalam material kulit BMW Merino berwarna hitam atau Tartufo.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved