Arkib Tag: 5-series

BMW i5 eDrive40 buat kemunculan di Malaysia, bermula RM419,800

BMW i5 telah membuat penampilan sulung di Malaysia baru-baru ini di acara Premium Auto Care Expo (PACE) 2023 di Setia Alam. i5 boleh dikatakan sebagai 5-Series G60 versi hibrid, dan ia hadir dengan varian eDrive40 dengan harga bermula RM419,800.

Di bawah kulitnya, BMW i5 diberikan motor tunggal di gandar belakang, menjadikan ia sebuah jentera pacuan belakang sejati. Output bagi motor itu adalah 313hp dan 400Nm tork, dan boleh ditingkatkan menjadi 340hp dan 430Nm dalam Sport Boost/Launch Control. 0-100 boleh dicapai dalam 6 saat.

Kuasa dibekalkan oleh bateri 83.9kWh, memberikan i5 ini jarak pemanduan sehingga 582km. Jika anda hampir kehabisan bateri, ia boleh menggunakan mod Max Range untuk meningkatkan jarak sehingga 25 peratus tambahan melalui beberapa had kawalan.

Untuk pengecasan, menggunakan AC 11kW akan mengambil masa lapan jam 15 minit sehingga 100 peratus, tetapi dengan DC sehingga 205kW, 10 hingga 80 peratus boleh dicapai dalam hanya 34 minit.

BMW i5 eDrive40 untuk pasaran Malaysia hadir dengan kit M Sport, bermakna ia tampil lebih sporti. Kit ini merangkumi bampar lebih sporti, kit sisi, rim 21-inci BMW Individual 954 dwi-tona, selain lampu LED, suspensi Adaptive Suspension Pro, dan Integral Active Steering iaitu sistem stereng empat-roda.

Ciri di dalam kabin pula termasuklah BMW Operating System 8.5, bumbung kaca panoramik, kamera di bumbung, dan paparan BMW Curved Display yang menempatkan skrin instrumen (12.3-inci) dan infotainmen (14.9-inci).

BMW i5 eDrive40 juga dilengkapi sistem audi Bowers & Wilkins Surround Sound System berkuasa 655W dengan 18 pembesar suara, selain balutan kulit Leather Merino berwarna Black/Copper Brown.

Sedan premium EV ini boleh didapati dengan warna Black Sapphire Metallic, Mineral White Metallic, Brooklyn Grey Metallic, dan Phytonic Blue Metallic. Harga RM419,800 hadir bersama jaminan dan pakej servis lima-tahun.

BMW i5 vs Mercedes-Benz EQE: Pertarungan sedan EV mewah Jerman

SEMALAM, BMW telah memperkenalkan 5 Series generasi kelapan yang dikenali dengan kod nama G60. Buat pertama kali dalam sejarahnya, sedan eksekutif itu akan ditawarkan dengan trenkuasa elektrik sepenuhnya menerusi model yang dikenali sebagai i5.

Sudah tentu, seteru utama i5 dalam pasaran EV adalah Mercedes-Benz EQE yang telah pun diperkenalkan lebih awal iaitu pada November 2021. Sedan elektrik mewah manakah yang lebih baik? Jom kita bandingkannya.

Reka bentuk luaran

Reka bentuk adalah soal subjektif, maka tiada cara yang mudah dan jelas untuk menentukan mana satu yang lebih cantik dan menarik. Semuanya bergantung kepada cita rasa masing-masing.

Untuk reka bentuk i5, ia dilihat ingin menjadi lebih sporty dengan penggunaan garisan-garisan tajam dan bersegi terutamanya pada bahagian depan, belakang, lampu dan gril.

Sementara itu, EQE mempunyai bentuk keseluruhan yang bujur dan setiap permukaannya juga nampak lebih licin dan rata. Jelas sekali, kecekapan aerodinamik adalah fokus utama Mercedes-Benz ketika menghasilkan reka bentuknya.

Saiz

i5 mempunyai ukuran panjang 5,060 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,515 mm dan tapak roda 2,995 mm, menjadikannya lebih besar berbanding model generasi terdahulu iaitu G30.

Ukuran dimensi EQE pula adalah panjang 4,946 mm, lebar 1,961 mm dan tinggi 1,512 mm, bermakna ia lebih pendek dan rendah, namun lebih lebar berbanding i5. Walaupun begitu, ia mempunyai tapak roda yang lebih panjang iaitu 3,120 mm.

Ruang dalaman

Sebagai EV premium, kedua-dua model ini mempunyai ruang dalaman yang futuristik dengan skrin yang besar, namun jika dibandingkan secara sebelah menyebelah, EQE mempunyai kelebihan terima kasih kepada MBUX Hyperscreen-nya yang mendominasi keseluruhan papan pemuka dengan tiga paparan sekaligus.

i5 tidak kurang hebatnya, namun Curved Display kelihatan seperti sesuatu yang diletakkan pada saat akhir. Walau bagaimanapun, sistem operasi BMW OS 8.5 membolehkan pemandu atau penumpang bermain permainan video ketika kereta berhenti.

Prestasi

i5 dilancarkan dengan dua pilihan varian iaitu eDrive40 dan M60 xDrive. Untuk perbandingan ini, kami akan membandingkan i5 eDrive40 dan EQE 350+.

i5 eDrive40 mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menjana 340 hp dan 430 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam enam saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 193 km/j.

EQE 350+ juga mempunyai sebuah motor elektrik sahaja, namun kuasanya lebih rendah iaitu 292 hp. Bagaimanapun, tork yang dihasilkan lebih tinggi iaitu 565 Nm. Pecutan 0-100 km/j lebih perlahan sebanyak 0.4 saat, namun kelajuan maksimumnya mengalahkan i5 iaitu 210 km/j.

Untuk jarak pemanduan, EQE 350+ sekali lagi menang dengan jarak maksimum 669 km, mengalahkan i5 eDrive40 dengan perbezaan sebanyak 87 km.

Keputusan

Bagi penulis, agak sukar untuk memilih pemenang mutlak di antara kedua-dua model kerana masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri. i5 mempunyai penampilan lebih agresif, namun ruang dalamannya dilihat tidak setanding dengan kabin EQE.

Dari segi prestasi dan jarak pemanduan, i5 dan EQE sebenarnya tidak jauh berbeza. Ya, EQE mempunyai kelajuan maksimum lebih tinggi tetapi ini bukanlah faktor utama yang mampu mempengaruhi pelanggan ketika membeli EV. Untuk jarak, EQE mempunyai kelebihan tetapi jurangnya tidak terlalu besar.

Jika wang tidak menjadi masalah, model manakah yang anda akan pilih?

BMW 5-Series generasi kelapan – Ini 5 perkara anda wajib tahu

HANYA selepas sebulan Mercedes E-Class 2024 diperkenalkan, pesaing tradisinya pula menjengah ke dunia, perkenalkan BMW 5-Series 2024 serba baharu. Untuk BMW “Lima siri” ini, jom lihatkan lima perkara utama yang anda wajib tahu.

1. Nama dan identiti

5-Series ini merupakan generasi kelapan, dan dikenali dengan nama kod G60. Ia juga lebih besar berbanding generasi sebelum ini, dengan ukuran 5,060mm panjang, 1,900mm lebar, 1,515mm tinggi, dan jarak roda sepanjang 2,995mm.

Jika anda perasan, tiada gril besar seperti BMW i7. Menurut Dukec iaitu wakil rekaan BMW, model-model seperti XM dan 7-Series mahu menjadikan kereta mereka sebagai simbol status, tetapi dengan 5-Series, pemiliknya mahu penampilan yang lebih konservatif.

Dukec berkata, “Rekaan 5-Series ini hampir seperti kereta Itali berbanding BMW sebelum ini.” Anda setuju?

2. Kokpit mesra alam

5-Series generasi kelapan menjadi BMW pertama yang ditawarkan dengan dalaman yang dibuat dari bahan mesra alam sepenuhnya.

Selain itu, ia masih padat dengan teknologi terkini. 5-Series 2024 mendapat sistem iDrive 8.5 dengan fungsi QuickSelect, paparan instrumen 12.3-inci, skrin infotainmen 14.9-inci, dan moonroof slid-and-tilt sebagai standard. Tetapi ini boleh ditukar dengan bumbung panoramik besar.

3. Janaan kuasa

Terdapat pilihan enjin pembakaran dalaman (ICE), hibrid dan EV sepenuhnya untuk 5-Series kali ini. Untuk diesel, 5-Series G60 hadir dengan varian 520d dengan pilihan RWD dan xDrive AWD. Enjin ini menjana 197hp.

Varian petrol terdiri dari 530i dengan enjin 2.0-liter turbo petrol menjana 255hp dan 400Nm tork. Terdapat pilihan 530i xDrive jika anda mahu AWD. Kemudian, 540i xDrive pula menawarkan enjin 3.0-liter 6-silinder turbo yang menghasilkan 375hp dan 520Nm tork, dibantu oleh sistem mild hybrid 48-volt.

BMW 5-Series baharu ini juga boleh menjadi sedan EV sepenuhnya, dengan i5 eDrive40 dan i5 M60 xDrive. eDrive40 menggunakan motor tunggal di belakang dengan output 340hp dan 430Nm. Ia mampu memecut ke 100km/j dalam masa enam saat.

Bagi i5 M60 xDrive pula, ia lebih berkuasa dengan dua motor, menjadikannya AWD. Kombinasi motor menjana sehingga 601hp dan 820Nm dengan Sport Boost, dan membolehkannya memecut ke 100km/j dalam hanya 3.8 saat.

Kedua-dua i5 eDrive 40 dan M60 xDrive mendapat kuasanya dari pek bateri 81.2kWh, dengan jarak pemanduan sehingga 582km.

Pengecasan AC boleh dibuat sama ada dengan 11kW atau 22kW, manakala DC sehingga 205kW. Ini membolehkan pengecasan 10 hingga 80 peratus dalam hanya 30 minit.

4. Casis tradisional BMW

BMW berbangga mendedahkan bahawa 5-Series G60 mempunyai casis “hampir seimbang dengan sempurna”, dengan agihan berat 50:50 di depan dan belakang.

Ciri standard pada model sporti M60 xDrive termasuklah suspense M Sport, sistem brek M Sport, dan Adaptive Suspension Professional.

5. Tukar lorong dengan mata

Tukar lorong dengan niat? Tidak, tetapi BMW 5-Series baharu boleh menukar lorong menggunakan mata. Ia tidak semudah itu, tetapi model yang dilengkapi dengan Driving Assistant Professional bersama Highway Assistant boleh menggunakan mata anda apabila ia mencadangkan penukaran lorong.

BMW 5-Series ini akan dilancarkan pada Oktober dan dijangka tiba ke Malaysia awal tahun depan.

BMW 5-Series edisi terhad dengan ‘jajan’ M Performance, 30 unit sahaja

AUTO Bavaria mengumumkan pengeluaran BMW 5-Series G30 LCI (facelift) yang hadir dengan pelbagai barangan M Performance serta komponen percuma lain.

5-Series edisi terhad ini hadir dalam varian 530e M Sport dan 530i M Sport, dan hanya 30 unit akan ditawarkan.

Apa yang anda dapat pada versi edisi terhad ini adalah seperti berikut:

  • BMW M Performance High Gloss Black Kidney Grille
  • BMW M50 Years Wheel Cap
  • BMW M Performance Carbon Fibre Mirror Cover
  • BMW M50 Years Emblem (Front and Rear Bonnet)
  • BMW M Performance Carbon Fibre Steering Cover
  • BMW LED Door Lights Projector
  • BMW Gloss Black Air Duct Trims (Left and Right)
  • BMW M Performance Set of Paddle Shift
  • BMW M Performance Floor Mats
  • BMW Advanced Car Eye 2.0 dashcam
  • Samsung Galaxy S22 Ultra
  • Sttoke Ceramic Reusable Cup
  • Complimentary tinting

BMW 530e M Sport dan 530i M Sport ini masing-masing berharga RM362,800 dan RM420,800. Harga adalah termasuk dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan serta pakej servis berjadual percuma.

Sebagai perbandingan, 530e biasa berharga RM358,217 manakala 530i berharga RM402,800, dan harga-harga ini juga termasuk dengan pakej jaminan dan servis serupa.