Arkib Tag: 400 cc

Suzuki DR-Z4S & DR-Z4SM 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga RM39,888

Suzuki Malaysia melancarkan dua model motosikal dwi-sukan untuk pasaran tempatan, iaitu Suzuki DR-Z4S 2026 dan Suzuki DR-Z4SM 2026.

Pelancaran model baharu ini turut menandakan kembalinya platform lagenda DR-Z yang menjadi lambang ketahanan, prestasi serta keupayaan serba boleh.

Harga jualan bagi kedua-dua model ini bermula dari RM42,988, namun 50 pelanggan terawal layak untuk menikmati harga istimewa RM39,888.

Spesifikasi DR-Z4S & DR-Z4SM

Kedua-dua jentera ini berkongsi nadi silinder tunggal 398 cc sejukan cecair yang dipadankan dengan transmisi 5-kelajuan.

Kuasa yang dihasilkan sekitar 38 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 27 Nm @ 6,500 rpm.

Selain itu, kedua-dua model dilengkapi dengan Suzuki Intelligent Ride System (SIRS), terdiri daripada:

  • tiga mod tunggangan Suzuki Drive Mod Selector
  • empat mod kawalan cengkaman (termasuk mod Gravel)
  • sistem ABS yang boleh dimatikan

Antara kelengkapan lain termasuklah:

  • pendikit ride-by-wire
  • tangki bahan api 8.7 liter
  • sistem pencahayaan LED
  • panel instrumen LCD penuh
  • suis bar hendal yang ergonomik
  • fork hadapan terbalik KYB
  • penyerap hentak tunggal KYB

Dinamik tunggangan berbeza

Biarpun hampir serupa dari segi reka bentuk serta tetapan suspensi, kedua-dua jentera ini menawarkan dinamik tunggangan yang berbeza.

Untuk model DR-Z4S, suspensi KYB tersebut ditala untuk tunggangan off-road, dengan jarak pergerakan roda 280 mm depan dan 296 mm belakang.

Model ini dilengkapi dengan rim jejari saiz 21 inci depan dan 18 inci belakang yang dibaluti tayar dwi-kegunaan.

Brek pula menggunakan tetapan cakera saiz 270 mm depan dan 240 mm belakang.

Sementara suspensi DR-Z4SM pula direka untuk prestasi maksimum dan pengendalian sporti atas jalan berturap dengan jarak pergerakan roda 260 mm depan dan 277 mm belakang.

Model ini juga dilengkapi rim saiz 17 inci yang dibaluti tayar Dunlop Sportmax Q5A yang dapat memberikan cengkaman yang lebih baik.

Tinggi pelana DR-Z4S adalah sekitar 920 mm sementara model DR-Z4SM pula menawarkan pelana setinggi 890 mm.

Warna

Suzuki DR-Z4S ditawarkan dalam pilihan warna Champion Yellow dan Solid Iron Gray.

Suzuki DR-Z4SM pula hadir dengan pilihan warna Sky Gray dan Solid Special White.

 

Suzuki DR-Z4S 2026

Suzuki DR-Z4SM 2026

Honda CB400 Super Four bawakan teknologi E-Clutch, kekalkan tradisi ‘tangki besi’

Honda mempamerkan dua model konsep terbaharu di Jepun iaitu Honda CB400 Super Four dan CBR400RR Super Four.

Kedua-dua model baharu ini muncul sempena acara pameran Osaka Motorcycle Show 2026 yang ke-42 minggu lalu.

Platform baharu, enjin baharu

CB400 Super Four dan CBR400RR Four dibina berdasarkan platform serba baharu yang direka untuk mengutamakan karakteristik keseronokan tunggangan.

Enjin juga serba baharu, di mana nadi empat-silinder sebaris itu turut menampilkan teknologi E-Clutch dan sistem pendikit elektronik (Throttle-by-Wire).

Untuk info, teknologi E-Clutch memudahkan urusan penunggang untuk menukar gear tanpa perlu menarik tuil klac.

Namun, mereka juga boleh diberikan pilihan untuk mengoperasikannya secara manual.

CB400 kekalkan tradisi ‘tangki besi’

Dalam satu temubual khas, Asato Kato selaku pereka menegaskan CB400 Super Four ini perlu mengekalkan identiti ikonik, iaitu tangki besi.

Ketika fasa rekaan, Kato menjelaskan penggunaan bahan dan bentuk komponen tersebut merupakan sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

Tambahan pula, motosikal moden memiliki struktur kerangka yang lebih kompleks, menjadikannya sukar untuk mencipta bentuk tangki yang ortodoks seperti dahulu.

Disebabkan ini, kebanyakan model menggunakan resin namun bagi Kato, sebuah CB400 Super Four perlu mempunyai tangki besi.

“Pada saya, sebuah tangki besi amat penting untuk melambangkan keseimbangan itu dengan indah, dan saya tidak akan berputus asa walaupun ia sukar untuk dihasilkan.

Kato turut menggunakan teknik model tanah liat untuk membuktikan ideanya boleh dilaksanakan.

Jentera terbaik pernah dihasilkan

Dengan gandingan enjin dan casis serba baharu, CB400 Super Four menawarkan manfaat seperti prestasi kuasa yang lebih bertenaga, casis yang ringan serta pengendalian yang lebih baik.

Ketika menghampiri fasa akhir pembangunan, jentera ini turut diuji sendiri oleh pasukan R&D di sebuah tempat rahsia di Jepun.

“Motosikal ini adalah yang terbaik!” Ini merupakan maklum balas yang dikumpulkan daripada pasukan pereka, jurutera dan penunggang uji yang telah menguji sendiri CB400 Super Four.

Kawasaki Ninja ZX-4R SE, ZX-4RR rasmi di Malaysia, harga dari RM40,999

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) baru-baru ini melancarkan model terbaharu Kawasaki Ninja ZX-4R SE serta model ZX-4RR untuk pasaran Malaysia.

Kedua-dua model tersebut dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 399 cc DOHC menghasilkan kuasa 76 hp @ 14,500 rpm dan 39 Nm @ 13,000 rpm.

Dengan bantuan Ram Air, kuasa tersebut melonjak kepada 79 hp.

Tetapan suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik hadapan jenis terbalik, sementara bahagian belakang pula mendapat penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban.

Untuk model ZX-4RR pula hadir dengan penyerap hentak belakang Showa BFRC-lite (Balance Free Rear Cushion) serta suspensi hadapan yang boleh dilaras.

Ciri lain yang dimuatkan termasuklah fungsi penukaran gear pantas dua arah Kawasaki Quick Shifter (KQS), Kawasaki Traction Control (KTRC), ABS, Power Modes, lampu LED serta skrin paparan TFT.

Kawasaki Ninja ZX-4R SE boleh didapati dalam pilihan warna Metallic Moondusty Gray/Metallic Spark Black dan Blizzard White/Spark Black, sementara ZX-4RR pula hadir dalam warna eksklusif Lime Green/Ebony.

Harga jualan Kawasaki Ninja ZX-4R SE bermula dari RM40,999 sementara Ninja ZX-4RR pula berharga RM42,999.

Unit prototaip ARIIC 400GS diperlihatkan – bakal masuk Malaysia tahun depan

Bertempat di Jinlang Motorcycle Culture Week di Taizhou, China, ARIIC memperlihatkan unit prototaip skuter kembara 400GS yang turut disahkan bakal memasuki pasaran Malaysia tahun depan.

Dari segi kuasa, 400GS dilengkapi dengan enjin silinder tunggal 396 cc sejukan cecair dengan hamburan kuasa 33.5 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 38.3 Nm @ 5,500 rpm.

Kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 3.62 liter/100 km.

Tidak banyak perincian didedahkan buat masa ini, cuma yang pasti 400GS ini hadir dengan sistem ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (HSCT), skrin panel instrumen LCD penuh, serta skrin penghadang angin boleh laras empat-tahap.

Pihak Mforce Bike Holdings turut mengesahkan skuter ini bakal dipasarkan di Malaysia, dengan pelancaran rasmi dirancang pada acara Mforce Motorshow yang berlangsung bulan Mei 2026.

SYM Cruisym 400i 2025 rasmi di Malaysia – harga RM27,888

Mforce Bike Holdings melancarkan skuter maxi terbaharu di bawah jenama SYM, iaitu Cruisym 400i 2025 bersempena acara Mforce Mid-Autumn Gala dengan harga jualan RM27,888.

Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 399 cc menghasilkan 33.5 hp @ 6,750 rpm dan daya kilas 37 Nm @ 5,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi jenis CVT.

Casis kerangka buaian keluli skuter ini disokong dengan suspensi jenis teleskopik di depan, diikuti dengan penyerap hentak berkembar boleh laras di belakang.

Brek pula menggunakan rotor 288 mm di depan dan 275 mm di belakang, dibantu dengan sistem ABS dua saluran dan kawalan cengkaman (TCS).

Antara kelengkapan yang dimuatkan termasuklah skrin paparan TFT, sistem kunci pintar, slot pengecasan USB Type-C, Type A dan soket 12V, lampu LED depan belakang, ruang storan bawah pelana, kamera perakam tunggangan depan dan belakang, cermin penghadang angin boleh laras manual, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 14.5 liter, sementara tinggi pelana pula sekitar 785 mm.

Terdapat tiga warna pilihan iaitu Space Grey, Dark Night Purple dan Dreamy White.

Moda Shifter 400X 2025 rasmi di Malaysia – harga dari RM23,888

MDua Motor Sdn Bhd baru-baru ini melancarkan skuter kembara Moda Shifter 400X yang direka untuk semua lapisan pengguna.

Ia dijana dengan enjin silinder tunggal SOHC 333 cc sejukan cecair yang dilengkapi sistem suntikan bahan api, mampu menghasilkan kuasa 26.8 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 33.5 Nm @ 5,500 rpm.

Sistem suspensi Shifter 400X terdiri daripada fork teleskopik di hadapan serta penyerap hentak gas berkembar di belakang.

Brek pula menggunakan rotor tunggal 276 mm pada roda depan, dan rotor tunggal 240 mm pada roda belakang, dibantu dengan fungsi ABS dan kawalan cengkaman (TCS).

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah skrin penghadang angin boleh laras, lampu utama adaptif, lampu berhenti kecemasan, sistem tanpa kunci pintar, serta slot pengecasan USB dan soket kuasa 12V yang tersedia dalam ruang storan sisi hadapan.

Di bawah pelana setinggi 775 mm itu terdapat ruang barangan yang cukup besar untuk memuatkan dua helmet.

Segala info boleh dibaca menerusi skrin paparan TFT tujuh inci berwarna, selain boleh dihubungkan kepada peranti pintar menerusi aplikasi Ride App.

Akhir sekali, Shifter 400X ini turut didatangkan dengan ciri kamera perakam tunggangan depan dan juga belakang.

Untuk pasaran tempatan, Moda Shifter 400X 2025 ditawarkan dalam pilihan warna Ninja Black dan Ultra White. Harga jualan pula bermula dari RM23,888 tidak termasuk cukai, pendaftaran dan insurans.

SYM ADXTG 400 rasmi di Malaysia – harga RM29,888

Sebuah lagi skuter dilancarkan oleh MForce Bike Holdings, iaitu skuter kembara SYM ADXTG 400 2025.

Menurut SYM, penampilan dan rekaan agresif skuter ini banyak diinspirasikan daripada harimau zaman pra-sejarah, terutama pada bahagian lampu hadapan dan belakang yang agak tajam itu.

 

ADXTG 400 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 399 cc sejukan cecair dengan kuasa 35 hp @ 7,000 rpm dan daya kilas 37 Nm @ 5,500 rpm.

Teknologi Hyper-VVS menyumbang kepada tahap penggunaan bahan api yang lebih ekonomi serta prestasi yang mengujakan.

Ciri unik untuk skuter ADXTG 400 ini ialah penggunaan dua aci pengimbang untuk mengurangkan kesan gegaran, fork hadapan jenis terbalik dan tetapan multi-link untuk roda belakang.

Selain itu, unit roda belakang dipacu dengan sistem rantai, bukannya tali sawat seperti kebanyakan skuter yang ada di pasaran.

Terdapat mod tunggangan off-road, sistem brek ABS, kawalan cengkaman untuk memastikan keselamatan terjamin di atas jalan.

Ciri lain yang tersedia termasuklah sistem kunci pintar, skrin paparan LCD berwarna, pengecasan pantas USB 3.0, ruang storan bawah pelana 32 liter, penghadang angin boleh laras manual, tinggi pelana 790 mm serta lengkap dengan pelindung bar hendal dan enjin.

Mforce mengumumkan SYM ADXTG 400 2025 dijual pada harga RM29,888 atas jalan tanpa insurans.

SYM ADXTG 400 bakal mendarat di Malaysia Mei ini – harga bawah RM30,000

Baru-baru ini, pihak MForce Bike Holdings mengesahkan pihaknya akan melancarkan sebuah skuter gaya kembara baharu menjelang pertengahan tahun ini, iaitu SYM ADXTG 400.

Daripada segi penampilan, rekaan agresif dan bersegi yang wujud pada SYM ADXTG 400 ini adalah diinspirasikan daripada harimau zaman pra-sejarah.

Ia juga turut mendapat rekaan lampu LED yang tajam pada bahagian depan dan belakang serta tidak ketinggalan ekzos yang lebih bergaya.

SYM ADXTG 400 ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 399 cc yang mampu menghasilkan 35 hp @ 7,000 rpm dan daya kilas 37 Nm @ 5,500 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT.

Skuter ini juga turut dibantu dengan teknologi Hyper-VVS yang menyumbang kepada penggunaan bahan api yang lebih ekonomi, serta prestasi yang tidak mengecewakan.

Aspek keselesaan tunggangan disumbangkan dengan dua aci pengimbang bagi mengurangkan kesan gegaran, diikuti dengan suspensi fork hadapan jenis terbalik dan lengan ayun aluminium dengan tetapan multi-link di belakang!

Menariknya, ADXTG 400 juga turut menyediakan mod tunggangan off-road, diikuti dengan sistem brek ABS dan kawalan cengkaman.

 

Ciri lain termasuklah bar hendal yang lebar, sistem kunci pintar, skrin paparan LCD berwarna, USB dengan pengecasan pantas 3.0, skrin penghadang angin boleh laras, serta pelindung bar hendal dan pelindung enjin.

Pihak MForce mendedahkan harga jualan anggaran untuk skuter kembara ADXTG 400 ini bermula bawah RM30,000. Berbaloi?