Arkib Tag: 250

Modenas Elegan 250 EX kini dengan enjin Euro 4, lampu projektor

MODENAS Elegan 250 EX kini mendapat kemaskini terbaharu melibatkan aspek teknikal dan aestetik. Dari segi teknikal, skuter itu kini mendapat penarafan Euro 4 bagi enjinnya, sebahagian dari usaha Modenas untuk membolehkan produk mereka memenuhi piawaian pelepasan asap itu.

Elegan 250 EX baharu didatangkan dengan enjin 250cc Euro 4 silinder tunggal, 4-lejang dan dengan teknologi suntikan bahan api dan SOHC. Enjin ini menjana 22hp pada 7,000rpm dan 22.4Nm tork pada 6,500 rpm.

Bagi membolehkan enjin ini mendapat penarafan Euro 4, ia dilengkapi dengan anti-pelepasan tambahan bagi memastikan toksin dalam gas ekzos adalah minima.

Seterusnya, pembaharuan pada Modenas Elegan 250 EX ini adalah menerusi lampu projektor dengan DRL LED, serta lampu belakang berbentuk X.

Ciri lain dikekalkan, seperti paparan meter digital, jam digital, penunjuk voltan bateri, penunjuk paras petrol, dan soket pengecaj USB. Skuter ini mempunyai berat 195kg, serta hadir dengan sistem brek ASB dwi-saluran.

Modenas Elegan 250 EX boleh menjadi milik anda dengan harga jualan RM16,997, dan datang dengan dua pilihan warna baharu iaitu Matte Silver Crystal dan Petroleum Blue. Ia juga dilindungi dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000km (yang mana dahulu).

Modenas Z250 dan Ninja 250 ABS terima 5-bintang dari MIROS

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat MODENAS menerima penarafan lima bintang daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi model Ninja 250 ABS dan Z250 ABS.

Penarafan itu diberikan selepas kedua-dua motosikal itu menjalani ujian di bawah Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP).

Selain Anti-lock Braking System (ABS), kedua-dua model tersebut berkongsi teknologi keselamatan tambahan seperti klac ‘assist and slipper’, penunjuk tunggangan ekonomi serta Argo Fit bagi pengurusan casis ringan yang lebih efektif.

Dengan itu, MyMAP secara rasmi memberi penarafan lima bintang kepada kedua-dua model ini sejurus proses penilaian dan audit yang telah dilalui MODENAS pada Oktober 2022 lalu.

Program MyMAP merupakan sebuah usaha terus kerajaan untuk menaik taraf tahap keselamatan motosikal di Malaysia dengan mengintegerasi teknologi dan fungsi keselamatan baharu pada motosikal berkapasiti rendah.

Dan dalam masa yang sama, untuk mendidik pengguna untuk mempraktikan tunggangan selamat sebagai pencegahan kemalangan.

Program MyMAP ini dibentuk berlandaskan pengalaman MIROS dalam membangunkan Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) yang turut mempunyai sistem penilaian yang sama seperti NCAP.

Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS berkata, “Kami di MODENAS amat berbangga dengan pengiktirafan yang telah dianugerahkan pada kedua-dua model Modenas Ninja 250 dan Modenas Z250 versi ABS.

“Kedua-dua model ini merupakan motosikal pertama yang menerima penarafan 5 bintang MyMAP bagi segmen Naked Bike dan Sports Bike bersasaran 250cc.

“Dengan itu, kami amat berharap para pembeli akan lebih cakna dalam membuat keputusan ketika membeli motosikal dana lebih mementingkan teknologi keselamatan yang ditawarkan pada setiap motosikal mereka.”

Modenas Ninja 250 kini dengan Ohlins Edition – RM20,500, terhad 180 unit

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat kepada MODENAS hari ini membawakan Ninja 250, tetapi dengan Ohlins Edition.

Seperti pada namanya, Ninja 250 ini hadir dilengkapi dengan suspensi Ohlins, menjadikannya satu-satunya model dalam segmen 250cc di negara ini dengan ciri tersebut.

Suspensi Ohlins ini walaubagaimanapun hanya di belakang, dan menurut MODENAS, mampu memberikan kestabilan lebih baik.

“Motosikal akan lebih stabil terutamanya ketika memasuki selekoh. Walaupun penunggang memulas pendikit minyak atau brek mengejut semasa selekoh di kawasan yang tidak rata, motosikal itu tetap stabil,” kata Roslan Roskan Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS.

Suspensi Ohlins KA 744, STX 36 Supersport pada Ninja ini merupakan unit boleh-laras dan menerima jaminan penuh dari kilang selama dua tahun atau 20,000km (yang mana dahulu).

Ianya unit tiub tunggal berdiameter 36mm dan dengan gas berketekanan tinggi. Ia menampilkan ciri pelarasan untuk rebound dan compression, dengan panjang keseluruhan 320mm.

Tiada perubahan lain pada sportbike ini, ia berasaskan model Ninja 250 ABS yang dikuasakan oleh enjin 249cc dua-silinder sebaris dengan output 37hp pada 12,500rpm dan 23Nm tork pada 10,000rpm.

Ia boleh didapati dengan satu warna khas iaitu Metallic Carbon Gray, dan dijual pada harga RM20,500. Model ini juga terhad kepada 180 unit sahaja.

Ferrari Testa Rossa J ini ialah replika bersaiz 3/4 dari kereta sebenar, tapi bukan untuk budak-budak!

SEMUA tahu bahawa Ferrari 250 GTO dan Testa Rossa merupakan antara kereta termahal di dunia. Kini, ada satu versi yang lebih mampu milik, perkenalkan, Ferrari Testa Rossa J.

Ianya sebuah replika yang dibina dengan kerjasama The Little Car Company yang sebelum ini pernah menghasilkan Bugatti Baby II. Testa Rossa J ini berskala 3/4 sahaja dari kereta sebenar dan tidak mempunyai enjin V12, sebaliknya dipacu oleh motor elektrik yang dikuasakan oleh tiga bateri di depan.

Malah Ferrari turut memberikan rekaan dan skematik Testa Rossa original untuk casis dan suspensi supaya replika ini menjadi dapat dihasilkan serealistik yang boleh.

Badannya dari aluminium yang dibentuk dari tangan, tempat duduknya dari kulit dan cukup besar untuk seorang dewasa dan remaja. Untuk pemandu, terdapat roda stereng Nardi sebenar untuk mengemudi kereta.

Selain itu, Testa Rossa J dilengkapi dengan rim wayar 12-inci, tayar Pirelli, dan papan pemuka dengan susunan meter sebenar. Cuma bacaan minyak dan suhu diganti dengan penyukat suhu bateri dan motor elektrik.

Sistem elektrik ini bukanlah untuk kereta merangkak perlahan. Terdapat empat mod pemanduan, dan dalam mod Sport atau Race, ia boleh dipandu dengan kelajuan hingga 60km/j. Menurut Ferrari, replika ini ditala dan diluluskan oleh pemandu uji mereka sendiri di litar Fiorano.

Dah nama pun Ferrari, mesti lah tidak murah, bukan? Testa Rossa J akan dijual pada harga bermula 93,000 Euro (RM4.6 juta), dan hanya 299 unit akan dihasilkan. Walaupun bersaiz kerdil, ia bukanlah untuk budak-budak.

Khas untuk pengumpul Ferrari, Testa Rossa J ditawarkan dengan pilihan14 livery dengan 53 warna.