Arkib Tag: 22b

Prodrive P25 akhirnya didedahkan – Jelmaan Subaru Impreza B22 moden, 400hp, 25 unit sahaja

DALAM dunia Subaru dan pentas rali, hanya beberapa kereta yang betul-betul menjadi idaman para peminat, antaranya adalah Impreza 22B dari era 1990an. Hanya 424 pernah dihasilkan, tetapi Prodrive baru-baru ini mengumumkan akan menjelmakan semula Impreza 22B versi 2022.

Dan ini dia tuan-tuan dan puan-puan, perkenalkan Prodrive P25, akhirnya didedahkan. Setiap Prodrive P25 ini diasaskan dari casis Subaru Impreza dua-pintu.

Dari situ, Prodrive memulakan pengubahsuaian dengan memberikan lambakan karbon. Boleh dikatakan hampir semua komponen luaran adalah dari komposit karbon, termasuklah spoiler belakang WRC yang besar padanya.

Begitu juga di bahagian dalam, lebih banyak karbon digunakan seperti pada panel pintu serta tempat duduk ringan. Prodrive tidak memberikan sebarang angka rasmi, tetapi P25 ini mempunyai berat kurang dari 1,200kg disebabkan penggunaan karbon tadi.

Selain dari itu, unit janaan kuasa adalah dari Subaru moden iaitu enjin 2.5-liter boxer 4-silinder. Prodrive menaiktaraf enjin ini dengan bahagian dalam lebih kukuh, kemudian menambah turbo untuk menjana lebih 400hp.

Enjin ini digabungkan dengan kotak gear sequential 6-kelajuan, dan sudah tentu sistem pacuan semua-roda. Prodrive juga menambah sistem launch control ala WRC. Ini membolehkan P25 memecut ke 100km/j dalam hanya 3.5 saat.

Perubahan seterusnya meliputi bahagian suspensi, dimana Prodrive P25 ini mendapat topang McPherson dengan penyerap hentak boleh-laras. Spring dan bar anti-oleng juga dioptimakan untuk menakluki selekoh-selekoh jalanan.

Untuk brek pula, Prodrive P25 dilengkapi cakera 15-inci dengan kaliper 6-omboh, terletak di dalam rim Prodrive 19-inci.

Papan pemuka P25 menampilkan paparan berdefinisi tinggi yang boleh memaparkan maklumat seperti data pemanduan serta pelbagai mod untuk jalanan dan litar.

Prodrive menawarkan P25 dengan konfigurasi empat tempat duduk, tetapi jika anda mahukan roll-cage, tempat duduk belakang akan ‘dibuang’.

Hanya 25 unit akan dibina dan harganya pasti tidak murah. Prodrive P25 ini berharga dari £460,000 (RM2.48 juta) sebelum cukai VAT.

Prodrive P25 ini dijangka membuat kemunculan di Goodwood Festival of Speed 2022.

Prodrive P25 versi moden Subaru Impreza 22B STi, lebih 400hp dan hanya 25 unit

PRODRIVE P25 meraikan hubungan mereka dengan Subaru pada 1990an dengan menghasilkan kereta versi jalanan untuk jentera Impreza WRC 1997 dan 22B. Pada tahun itu, Subaru menjuarai kategori pengeluar dan pemandunya Colin McRae menjadi pemandu di tempat kedua dalam kejuaraan.

P25 akan menggunakan enjin 2.5-liter turbo flat-four yang menjana lebih 400hp. Kuasa akan disalurkan ke semua roda melalui kotak gear semi-auto 6-kelajuan dengan paddle-shifters.

Prodrive berkata model ini menggunakan gentian karbon secara menyeluruh untuk memastikan ia cukup ringan.

Lakaran yang dikongsi menunjukkan ia mempunyai rupa Impreza dengan beberapa elemen lain. Lampu kabus besar dan rendah adalah dari 22B, dan cermin sisi aerodinamik adalah sama dengan jentera rali.

Menurut lakaran ini, fender depannya adalah lebih agresif dari model asal. Ia akan dipadankan dengan rim khas dari Prodrive. Setakat ini tiada maklumat atau gambaran mengenai rupa dalamannya.

Prodrive juag berkongsi bahawa P25 akan mempunyai “casis ringan”. Tidak dapat dipastikan sama ada ia dibina dari Impreza asal atau baharu sepenuhnya dari mula.

Dikatakan beberapa kakitangan yang pernah menjadi krew untuk jentera WRC 1997 itu juga menyumbang kepada P25 ini.

“Impreza 22B asal ialah Subaru paling ikonik dan paling menjadi buruan. Kami mahu meningkatkan segala yang ada pada kereta itu dengan menggunakan teknologi terkini dan menghasilkan versi kami sendiri dari sebuah jentera yang terpahat dalam sejarah permotoran,” kata pengerusi Prodrive, David Richards.

Hanya 25 unit Prodrive P25 akan dibina, dan ia akan membuat kemunculan pertama di Goodwood Festival of Speed pada Jun depan. Penyerahan kepada pelanggan pula dijangka bermula hujung tahun ini.