Arkib Tag: 150cc

Honda RS-X terima empat warna baharu – dari RM9,698

Kapcai popular, Honda RS-X telah dikemas kini dengan pilihan warna baharu bagi tahun 2024. 

Menurut Boon Siew Honda (BSH), RS-X kini hadir dengan empat pilihan warna, bermula dengan Mat Charcoal Grey Metallic (Gold) yang boleh didapati di pasaran bermula 4 Januari diikuti  Candy Scintillate Red, Force Silver Metallic (Red) dan Force Silver Metallic (Blue) yang akan ditawarkan bermula 18 Januari.

Dalam pada itu, Mat Charcoal Grey Metallic (Gold) boleh didapati pada harga RM9,848 manakala Candy Scintillate Red, Force Silver Metallic (Red) dan Force Silver Metallic (Blue) pula akan dijual pada harga RM9,698.

Bagaimanapun, tiada perubahan terhadap spesifikasi enjin dengan model 2024 ini masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 150cc DOHC dengan 6-kelajuan yang menawarkan 16hp dan 13.6Nm. 

Ini rupa jelas ‘Supermoped’ WMOTO, lancar tak lama lagi

Beberapa minggu ini tular ‘spy shot’ daripada warga media sosial yang memaparkan sebuah motosikal ‘supermoped’ yang sedang menjalani ujian jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Terbaru, pemilik akaun Facebook Najwa Syafiqah berjaya merakam gambar jelas motosikal berkenaan di salah sebuah stesen minyak di Gopeng, Perak. 

Didakwa sebagai ‘supermoped’ terbaru dari WMOTO, gambar terbaru itu memberitahu kami beberapa ciri menarik yang ditawarkan.

Pertamanya, motosikal berkenaan hadir dengan pencahayaan LED penuh termasuk lampu hadapan yang seakan diilhamkan daripada Ducati Panigale V4. Lampu hadapan juga dilengkapi dengan ciri DRL (daytime running light). 

Panel meter pula jenis digital penuh dan menunjukkan info yang penuh termasuk paras minyak, suhu enjin, volt bateri, odometer, waktu, dan meter RPM. Tinjauan di bahagian rim pula menunjukkan kehadiran sensor ABS sekaligus merujuk kepada adanya sistem keselamatan ABS. Namun, tidak dipastikan sama ada ABS tersebut adalah satu atau dua saluran. 

Antara ciri lain kelihatan termasuk brek jenis axial di bahagian depan dengan cakera brek tunggal di depan dan belakang serta tork teleksopik.  Transmisi pula jenis manual namun tidak dapat dipastikan jumlah gear yang tersedia. 

Wmoto F15 ini pesaing terbaharu Honda RS-X150 dan Yamaha Y15ZR, harga RM6k sahaja

SATU lagi kapcai telah menerpa pasaran Malaysia, iaitu Wmoto F15 dan ia ditawarkan pada harga agak kompetitif, RM5,999 (tanpa insurans, pendaftaran dan cukai jalan). F15 ini akan bersaing dengan motosikal kelas 150cc seperti Honda RS-X150 dan Yamaha Y15ZR.

Wmoto F15 dikuasakan oleh enjin 149.2cc 4-lejang yang berupaya menghasilkan 10.5hp pada 7,000rpm dan 11Nm tork pada 8,000rpm. Ia menggunakan kotak gear 5-kelajuan dan mempunyai berat sekitar 118kg.

F15 mempunyai ketinggian pelana 770mm dan dilengkapi lampu LED untuk depan dan belakang berserta DRL. Tangki bahan apinya adalah berkapasiti 5.5 liter.

Wmoto F15 menggunakan fork teleskopik di depan dan penyerap hentak monoshock di belakang. Untuk brek pula, ia mendapat cakera 290mm di depan dan 190mm di belakang.

Ciri lain adalah meter gabungan analog dan digital, serta paparan paras bateri. Wmoto F15 ini hadir dengan jaminan dua tahun atau 20,000km (yang mana terdahulu).

Wmoto F15 kini boleh didapati di kesemua pengedar sah Wmoto seluruh negara dengan tiga pilihan warna iaitu kuning, biru dan turquoise.

Honda RS-X 2021 tiba di Malaysia untuk mencabar Y15ZR, dilengkapi ABS, RM8.7k

BOON Siew Honda hari ini melancarkan sebuah motosikal yang dinanti ramai, iaitu Honda RS-X baharu! Ia bakal memberi saingan terus kepada Yamaha Y15ZR.

Ya, ini juga merupakan kembar kepada Honda Winner X di Vietnam, namun ia tetap menerima beberapa ciri unik khas untuk pasaran Malaysia.

Antaranya adalah bahagian ‘kepala’, ekzos, dan ia dilengkapi ABS (sistem brek anti-kunci) satu-saluran seperti varian tertinggi Winner X Sport ABS.

Honda RS-X boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Trico Edition (merah), Candy Caribbean Blue Sea dan Lemon Ice Yellow, dengan harga RM8,688. Ia turut hadir dengan jaminan dua tahun atau 20,000km.

Dari segi rupa, Honda RS-X menerima cowl badan penuh dengan rekaan aerodinamik, muka depan agresif dengan lampu dwi-LED dan ekor yang tirus. Ekzosnya juga direka seperti motosikal lebih besar, dan menurut Boon Siew Honda, memberikan bunyi menarik.

RS-X dikuasakan oleh enjin 150cc DOHC sejukan cecair yang menghasilkan 15.8hp pada 9,000rpm dan 13.6Nm tork pada 7,000rpm. Enjin Euro 4 ini digandingkan dengan transmisi 6-kelajuan.

Kapcai ini juga hadir dengan beberapa ciri praktikal seperti suis pembuka tempat duduk, rantai bertutup, dan panel meter digital dengan penunjuk gear.

Honda RS-X 2021 ini akan berada di semua pengedar sah tidak lama lagi dan untuk sebarang maklumat lanjut, layari www.boonsiewhonda.com.my.

Pengecualian cukai, Wazi soal harga motosikal masih tinggi

HARGA motosikal kebelakangan ini yang kadang-kala ‘tidak masuk akal’ mendapat rungutan ramai.

Legenda lumba motosikal negara Wazi Abdul Hamid tidak terkecuali memberi pandangan mengenai isu ini.

Memuat naik status di media sosial, Wazi mempersoalkan tindakan segelintir penjual motosikal menaikkan harga terlalu tinggi.

Jelasnya, alasan kekurangan stok menyebabkan harga motosikal melambung tinggi adalah tidak logik.

Pada masa sama, kerajaan juga telah mengumumkan pemotongan cukai bagi motosikal di bawah 150cc.

“Abang Wazi baru dapat informasi yang kerajaan Malaysia dah umum cukai dipotong untuk motosikal bawah 150cc bagi membantu golongan bawahan.

“Tapi harga motosikal masih ‘keras’ dalam pasaran. Kadang-kadang sampai lebih RM2,000 hingga RM3,000 daripada harga asal.

“Macam mana ini boleh berlaku?” katanya di Facebook, tempoh hari.

Sebelum ini, rata-rata pengguna media sosial merungut berhubung tindakan segelintir penjual menaikkan harga motosikal di pasaran.

Rata-rata mereka berharap tindakan segera diambil memandangkan ia secara jelas menjejaskan hak pengguna.