Hyundai Santa Fe Hybrid, pilihan SUV keluarga ideal yang kerap dilupakan – Pandu Uji
Sebagai seorang ketua keluarga yang mahu mencari sebuah kereta/SUV yang selesa dan sarat dengan bermacam kelengkapan moden, sudah pasti beberapa model buatan Jepun dan China sudah tersenarai untuk dipertimbangkan.
Selain daripada SUV daripada jenama Jepun yang cukup terkenal dengan tahap kebolehpercayaan yang baik, kita juga kini mempunyai pilihan SUV keluarga buatan China yang jauh lebih murah dan menawarkan spesifikasi keselamatan yang lebih moden.
Namun, mungkin ramai yang terlupa kita juga sebenarnya mempunyai sebuah lagi model SUV keluarga yang datang daripada jenama negara Korea Selatan – Hyundai Santa Fe Hybrid.
Diperkenalkan secara rasmi (dan senyap) pada bulan September tahun lepas, Hyundai Santa Fe Hybrid versi facelift boleh diposisikan sebagai satu alternatif untuk mereka yang mahukan kelainan dan lari daripada kebiasaan pilihan pengguna di Malaysia.
Dengan harga jualan RM215,800, adakah Hyundai Santa Fe Hybrid ini jauh lebih baik berbanding model pesaing? Berikut merupakan ulasan pemanduan ringkas kami setelah memandunya untuk tempoh yang singkat:
1. Facelift – bukan sekadar perubahan rupa paras
Untuk makluman, Santa Fe Hybrid ‘baru’ yang dilancarkan beberapa bulan lepas bukanlah sebuah model generasi baharu.
Ia berstatus model facelift, dengan rupa hadapan yang telah dikemaskini dengan struktur jeriji yang lebih lebar, serta unit lampu LED seakan grafik tukul besi yang sinonim dengan model Volvo yang mampu membuatkan banyak kepala tertoleh setelah melihat kelibat model ini di atas jalan raya.
Di bahagian belakang, unit lampu LED diberikan nafas baharu dengan corak geometri yang lebih elegan, diikuti dengan kehadiran bar LED melintang yang menghubungkan kedua-dua perumah lampu itu tadi.
Ya, Santa Fe ini merupakan sebuah model facelift, namun perubahan besar sebenarnya tersembunyi di sebalik rupa paras yang elegan itu, di mana ia menggunakan platform serba baharu yang telah dipertingkatkan aspek keselamatan, pengendalian, penggunaan bahan api, serta NVH yang jauh lebih baik.
Sangat jarang ya untuk sesebuah model facelift hadir dengan platform baharu sepenuhnya.
2. Kelengkapan ruang kabin
Salah satu perkara penting yang amat diperlukan untuk sebuah kereta keluarga yang selesa ialah ruang kabin yang luas dan selesa.
Santa Fe Hybrid ini mampu memenuhi keperluan dengan penawaran tempat duduk yang selesa untuk baris kedua dan ketiga, serta ruang kargo yang boleh dimaksimumkan kapasitinya untuk pelbagai jenis kegunaan.
Ciri yang paling kami suka ialah tempat duduk baris ketiga yang boleh dilipat dengan hanya menekan butang fungsi yang disediakan, serta kehadiran corong pendingin hawa berasingan untuk memastikan penumpang baris belakang kekal selesa sepanjang perjalanan.
Bukan itu sahaja, terdapat juga kemudahan port pengecasan USB serta soket kuasa yang boleh digunakan untuk mengecas perkakasan elektronik serta peranti pintar.
Untuk pemandu pula, Santa Fe Hybrid menyediakan skrin kluster digital dengan pilihan paparan grafik meter analog yang mudah untuk dibaca, serta skrin infohibur sebesar lapan inci yang lengkap dengan sokongan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar.
Konsol tengah pula telah ditinggikan supaya ia boleh berfungsi sebagai tempat rehat tangan yang lebih selesa selain menyediakan ruang barangan tersembunyi di bahagian kaki.
Selain itu, penggunaan butang PRND yang lebih ringkas bagi menggantikan tombol penukaran gear transmisi menjadikan ruang kokpit nampak lebih lapang.
Gugusan butang fungsi bersaiz besar pula memudahkan urusan untuk mengubah tetapan seperti sistem pendingin hawa, mod pemanduan, atau sekadar memastikan penumpang hadapan tidur dengan lebih selesa dengan adanya fungsi pemanas dan pengudaraan terbina untuk tempat duduk.
Ya, susun atur kabin Santa Fe tidaklah seminimalis kereta-kereta moden yang lebih muda usianya, namun ia tidak membuatkan kami untuk merungut dengan lebih panjang terutama ketika sedang mencari atau mengubah fungsi yang diinginkan.
3. Enjin hibrid yang sangat jimat minyak
Santa Fe Hybrid yang kami pandu uji ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris Smartstream G1.6 T-GDI menghasilkan 180 PS @ 5,500 rpm dan daya kilas 265 Nm @ 1,500-4,400 rpm.
Enjin ini dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 60 PS dan 264 Nm, menjadikan kuasa keseluruhan mencecah 230 PS dan 350 Nm.
Bukanlah SUV yang paling berkuasa macam kereta sports, akan tetapi ia sudah cukup baik untuk menggerakkan badannya yang agak besar ini.
Dari segi pemanduan, Santa Fe Hybrid menawarkan pecutan awal yang cukup bertenaga untuk memalukan kereta acah sports di sebelah, dan dalam masa yang sama turut memberikan pulangan bacaan penggunaan bahan api yang cukup jimat.
Kami tidak sempat untuk menghabiskan satu tangki penuh 67 liter RON95 Santa Fe Hybrid ini disebabkan oleh kekangan masa yang terlalu singkat, namun menurut Hyundai SUV ini boleh bergerak sejauh 1,000 km sebelum perlu membuat pengisian semula.
Pemanduan singkat kami hampir mencecah jarak 300 km, tapi jarum tolok minyak hanya turun sedikit sahaja.
4. Pemanduan dan keselesaan
Salah satu kelebihan yang wujud pada Santa Fe Hybrid ialah keupayaan untuk bergerak di dalam mod pemanduan elektrik pada kelajuan yang rendah, dan untuk jumlah jarak yang agak jauh juga sebenarnya.
Ini merupakan salah satu faktor di mana SUV ini sangat menjimatkan bahan api, di mana kebanyakan masa di dalam bandar hanya motor elektrik sahaja yang bekerja dan sekali sekala enjin 1.6 liter turbo itu beroperasi hanya untuk memastikan bateri 1.49 kWh itu mempunyai tenaga yang mencukupi.
Selain itu, di dalam mod EV Santa Fe Hybrid ini tidak bergerak dalam keadaan senyap sepenuhnya, di mana ia menghasilkan satu bunyi amaran yang futuristik untuk memberitahu pejalan kaki tentang kewujudannya di atas jalan raya.
Apa yang kami boleh puji pada SUV hibrid ini ialah aspek pemanduan dan pengendalian yang jauh lebih baik berbanding SUV buatan China.
Kenapa kerap kami tekankan tentang talaan sistem stereng dan suspensi yang baik? Semuanya ini akan memberikan kesan kepada keselesaan pemandu dan juga penumpang.
Dengan sistem stereng yang cukup responsif dan tidak terlalu palsu operasinya, pemandu tidak akan rasa terlalu penat setelah menempuh jarak perjalanan yang jauh.
Talaan suspensi yang sedikit keras menjadikan pengendalian di selekoh lebih meyakinkan, namun dalam masa yang sama ia masih lagi bekerja dengan baik untuk ‘menapis’ segala kekasaran yang wujud di jalan raya Malaysia yang tercinta ini. Hasilnya, perjalanan yang cukup selesa tanpa mengira apa jua kualiti jalan yang ditempuh.
Yang paling ketara ialah aspek NVH, di mana sukar untuk kami rasakan sebarang kekasaran, gegaran serta bunyi bising yang wujud di dalam ruang kabin.
Walaupun enjin turbo itu beroperasi sekali sekala terutama ketika kaki kanan menekan rapat ke lantai, bunyi enjin tersebut tidaklah ketara memasuki ruang kabin. Penukaran antara operasi enjin dan motor elektrik juga sangat lancar, dan ada kalanya sukar untuk kami mengesannya.
5. Ciri keselamatan
Secara standard, Hyundai Santa Fe Hybrid dilengkapi dengan sistem bantuan keselamatan termaju (ADAS) Hyundai SmartSense Tahap 2, menawarkan sokongan pemanduan semi-autonomi untuk memastikan pemanduan yang lebih selamat dan meyakinkan.
Ciri unik yang kami suka pada Hyundai Santa Fe Hybrid ini sudah pasti paparan informasi titik buta (BVM), di mana paparan titik buta sebelah kiri atau kanan akan dipaparkan pada skrin kluster digital untuk membantu membuat penukaran lorong dengan selamat.
Apa yang kami hargai sangat tentang fungsi ini ialah ia hanya memberikan paparan informasi yang diperlukan oleh pemandu untuk mengesan kehadiran objek dari arah belakang dan bukannya pandangan perspektif mata burung yang sangat tidak membantu.
Satu lagi ciri penting yang wujud untuk pengguna yang berkeluarga ialah Rear Occupant Alert untuk memastikan anda tidak terlupa anak-anak yang kecil duduk di belakang sewaktu hendak meninggalkan kenderaan di tempat parkir, terutama di bawah keadaan cuaca yang panas terik.
6. Harga yang mungkin di luar bajet
Biarpun hadir dengan bermacam-macam kelebihan berbanding model pesaing, satu kelemahan ketara yang ada pada Santa Fe Hybrid ini ialah harga jualannya yang mungkin di luar kemampuan sesetengah pihak.
Dengan harga RM215,800, tidak ramai yang fikir ia satu pembelian yang kena dengan bajet semasa.
Bahkan dengan harga yang lebih murah, anda sebenarnya boleh mendapatkan model SUV tiga baris tempat duduk bukan hibrid seperti Mazda CX-8 atau Chery Tiggo 8 Pro, ataupun SUV hibrid ringan seperti Proton X90.
Untuk mereka yang mempunyai ahli keluarga yang kecil, masih lagi wujud pilihan SUV hibrid dengan konfigurasi lima tempat duduk seperti Toyota Corolla Cross HEV, Haval H6 HEV ataupun Honda CR-V e:HEV.
Namun untuk mereka yang berkeupayaan dan mahukan kelainan, Hyundai Santa Fe Hybrid ini masih lagi mampu menjadi satu pembelian yang boleh buatkan anda tersenyum, dan dihargai oleh seisi keluarga.
Spesifikasi Hyundai Santa Fe Hybrid
Enjin: Smartstream G1.6 T-GDI
Kuasa: 180 PS @ 5,500 rpm, 265 Nm @ 1,500-4,400 rpm
Motor elektrik: 60 PS, 264 Nm
Kuasa keseluruhan: 230 PS, 350 Nm
Transmisi: Automatik 6-kelajuan
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.