3 benda kurang ngam dengan Honda WR-V RS – Pandu uji
HONDA WR-V bukanlah model yang baharu, malah sudah hampir dua tahun dalam pasaran Malaysia. Ia menjadi pengganti Honda BR-V walaupun bukan model dalam segmen yang sama.
Tetapi dari barisan Honda Malaysia, selepas ketiadaan BR-V yang merupakan crossover/MPV tujuh tempat duduk, slot ini diisi oleh WR-V yang merupakan crossover kompak lima tempat duduk. Ini sekaligus meletakkan Honda sebagai pesaing kepada Perodua Ativa.
Kami telah pun memandu uji WR-V RS sebelum ini, tetapi artikel kali ini lebih kepada menyenaraikan perkara yang kami kurang sukai mengenainya. Jom lihatkan tiga perkara utama kurang ngam berkenaan WR-V RS.
1. Kabin potong ‘stim’
Jika dilihat dari rupa luaran Honda WR-V ini, nampak sporti dan premium terutamanya dengan varian RS. Tetapi bila mula-mula masuk ke dalam, rasa sedikit kecewa. Entah kenapa, tapi kabinnya seperti ‘kosong’.
Bila diteliti balik, sebenarnya okay sahaja untuk harga ini. Cuma mungkin penulis terbawa-bawa dengan kecantikan badan luaran, jadi penulis dapat harapan tinggi untuk bahagian dalaman.
Banyak plastik keras pada papan pemuka dan panel pintu, tetapi terdapat elemen hitam glos dan merah dengan balutan kulit lembut di papan pemuka bahagian kiri, sedikit sebanyak menyerikan pemandangan.
Jelas kabin WR-V ini setaraf dengan City walaupun tidak serupa sepenuhnya. Jika dibandingkan, kabin HR-V lebih mempunyai rasa ‘wow’, setaraf dengan Civic. Tetapi harga pun dah jauh berbeza, bukan.
2. Pemanduan tak sepadan nama RS
Apa yang anda bayangkan bila terlihat nama RS pada sesebuah kereta? Racing? Sporti? Ya, penulis pun sama.
Tetapi pemanduan Honda WR-V ini tidak menggambarkan lencana RS yang dipakainya. Bukanlah penulis mengharapkan pemanduan seperti Civic Type R, cuma mungkin boleh tala suspensi dan sterengnya untuk lebih tepat dan jitu.
Atau mungkin maksud RS bagi Honda Malaysia berbeza untuk WR-V ini, bukannya ke arah mutorseport… Jika dilihat pada rupa paras dan kemasan, boleh dikira sepadan dengan nama RS.
Malah, kami juga faham kepada siapa WR-V RS ini disasarkan. Lebih kepada keluarga kecil yang mahukan kenderaan praktikal dan selesa, tetapi disulami elemen dan imej sporti.
Enjin 1.5-liter i-VTEC membekalkan 119hp dan 145Nm tork, lebih dari mencukupi untuk kegunaan harian. Kotak gear CVT pula cukup cekap dan responsif, masih antara yang terbaik dalam segmennya.
Kombinasi enjin 1.5 i-VTEC dengan CVT ini memberikan penjimatan bahan api yang cukup baik, sekitar 13.5km per liter mengikut ujian penulis.
3. Skrin infotainment jimat kos
Yang ketiga dan terakhir ialah skrin infotainment Honda WR-V RS ini yang seperti jimat kos. Entah mengapa, penulis rasa pada harga antara RM89,999 hingga RM107,900 untuk RS ini, skrinnya patut mempunyai resolusi dan paparan lebih baik.
Penulis tidak pasti apa sebenarnya yang perlu ditambah baik, penulis bukannya jurutera bahagian ini. Tetapi seolah-olah kurang nilai di sini. Sebagai contoh, paparan undur sekadar cukup-cukup sahaja, hanya dengan garisan statik untuk panduan.
Tiada masalah dari segi saiz skrin, boleh dikatakan memadai. Kelengkapan juga cukup baik, ia didatangkan dengan sambungan Apple Carplay dan Android Auto, dua soket USB, dan barisan ciri keselamatan Honda Sensing.
Baiklah, cukup rasanya tiga perkara utama berkenaan Honda WR-V RS ini. Jika kita senaraikan lebih-lebih perkara tidak disukai, nanti marah pula geng-geng H di sini.
Di bahagian lain, banyak lagi perkara yang WR-V ini cemerlang seperti kabin yang luas untuk segmen ini dan kelengkapan keselamatan yang cukup lengkap. Pakej pada WR-V menunjukkan Honda Malaysia sangat memahami pasaran dan keperluan pasaran negara ini.
Anda boleh baca laporan penuh pandu uji kami di sini.
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.