BMW Motorrad perkenal edisi 100 Years of Nürburgring untuk BMW M 1000 RR, M 1000 R dan M 1000 XR
BMW Motorrad memperkenalkan tiga motosikal edisi khas 100 Years of Nürburgring sempena ulang tahun satu abad Nürburgring pada 2027.
BMW M 1000 RR, BMW M 1000 R dan BMW M 1000 menjadi wakil untuk edisi ini bersama enam model empat roda BMW M.
Setiap model dihadkan kepada 100 unit di seluruh dunia.
Ketiga-tiga motosikal menerima kemasan Nürburgring Green, grafik ulang tahun serta beberapa komponen dan aksesori khas yang mengaitkannya dengan Nürburgring.
BMW M 1000 RR
BMW M 1000 RR merupakan motosikal supersport yang memberi tumpuan kepada penggunaan di litar.
Untuk edisi ini, ia menerima M Track Package, roda gentian karbon, lengan ayun belakang dan rangka belakang berwarna hitam serta pelana kemasan Alcantara dengan sulaman “100”.
Tangki petrol dicat dengan lakaran bentuk Nordschleife, manakala penutup kotak udara menggunakan reka bentuk ulang tahun bersama tanda “one of 100”.
BMW M 1000 R
BMW M 1000 R merupakan model hyper naked yang membawa prestasi motosikal superbike ke jalan raya dan litar.
Seperti dua model lain, ia menerima kemasan Nürburgring Green, M Track Package, roda gentian karbon dengan riasan Nürburgring Green dan grafik ulang tahun.
Model ini turut menerima M Cover Kit sebagai kelengkapan khas.
BMW M 1000 XR
BMW M 1000 XR pula merupakan motosikal crossover berprestasi tinggi yang menggabungkan kuasa dan kestabilan pada kelajuan tinggi dengan ergonomik untuk perjalanan jarak jauh.
Ia menggunakan kemasan dan kelengkapan edisi yang sama, termasuk roda gentian karbon dengan jalur Nürburgring Green.
Ciri istimewa lain juga sama seperti pelana kemasan Alcantara dengan sulaman “100” dan lakaran bentuk Nordschleife pada tangki petrol.
Kelengkapan khas edisi Nürburgring
Ketiga-tiga model hadir dengan M Track Package sebagai kelengkapan standard.
Antara kelengkapan lain ialah:
- Warna Nürburgring Green.
- Grafik 100 Years of Nürburgring.
- Sijil ketulenan.
- Roda gentian karbon dengan jalur Nürburgring Green.
- Lengan ayun belakang dan rangka belakang berwarna hitam.
- Pelana berkemasan Alcantara dengan sulaman “100”.
- Tangki bahan api dengan reka bentuk Nordschleife.
- Penutup kotak udara dengan reka bentuk ulang tahun dan tanda “one of 100”.
- Karpet motosikal M dengan logo 100 Years of Nürburgring.
- Paddock stand roda belakang termasuk cagak lengan ayun.
M Cover Kit turut disertakan untuk BMW M 1000 RR dan BMW M 1000 R.
Terhad 100 unit setiap model
BMW Motorrad mengehadkan pengeluaran BMW M 1000 RR, BMW M 1000 R dan BMW M 1000 XR 100 Years of Nürburgring kepada 100 unit bagi setiap model di seluruh dunia.
Laman rasmi BMW M kini menyatakan ketiga-tiga model tersebut boleh ditempah mulai 19 Oktober 2026.
BMW M 1000 RR 100 Years of Nürburgring
BMW M 1000 R 100 Years of Nürburgring
BMW M 1000 XR 100 Years of Nürburgring


























