Arkib Kategori: EV

Ford akhiri produksi Focus tahun depan, 3500 pekerja diberikan pampasan lumayan

Seramai 3,500 orang pekerja kilang pemasangan Ford di Saarlouis, Berlin, Jerman akan diberhentikan selepas produksi model Focus tamat tahun depan.

Laman Automotive News Europe melaporkan Ford Focus merupakan satu-satunya model berenjin pembakaran dalaman yang masih lagi dipasang di kilang yang mempunyai kekuatan tenaga kerja seramai 4,500 orang.

Kesatuan pekerja IG Metall dalam satu kenyataan Rabu lepas mendedahkan kira-kira 1,000 pekerjaan akan dikekalkan selepas tahun 2025.

Malah, tidak akan ada pemberhentian secara paksa sehingga tahun 2032 di mana para pekerja akan ditawarkan dengan pampasan yang lumayan.

 

 

Joerg Koehlinger, pengurus daerah IG Metall menyebut, “Kami tidak dapat mencapai penyelesaian terbaik, jadi kami membuat keputusan untuk menggunakan pilihan kedua terbaik: menjadikan pemberhentian pekerja semahal yang mungkin untuk Ford.”

Kilang Saarlouis sebelum ini dilapor akan ditutup buat selamanya apabila Ford membuat keputusan untuk memasang kenderaan elektrik generasi baharu di Sepanyol.

Oktober lepas, pihak Ford gagal untuk mencapai persetujuan dengan pelabur berpotensi untuk menjual kilang tersebut, di mana salah satu daripada syarikat yang berminat adalah BYD.

Toyota umum pelaburan RM6.2 bilion, bina SUV tiga baris untuk US

Tidak mahu terus ketinggalan dalam arena kenderaan elektrik (EV), Toyota Motor baru-baru ini mengumumkan pelaburan bernilai $1.3 bilion (RM6.2 bilion) untuk menghasilkan SUV elektrik tiga baris tempat duduk di kilang Kentucky.

SUV serba baharu itu dijangka akan mula diproduksikan lewat tahun 2025 atau awal tahun 2026 yang dihasilkan khusus untuk pasaran Amerika Syarikat.

Laman CNBC melaporkan, ia merupakan sebahagian daripada perancangan pelaburan bernilai $35 bilion (RM166.7 bilion) untuk kenderaan elektrik bateri (BEV) menjelang tahun 2030.

Wakil jurucakap Toyota enggan untuk memberikan butiran terperinci, namun SUV tiga baris tempat duduk itu berkemungkinan besar akan bersaing dengan model seperti Rivian R1S dan Kia EV9.

Toyota, pengeluar automotif terbesar di dunia masih bertegas dengan pendirian di mana EV bukanlah satu-satunya cara untuk mencapai neutraliti karbon.

Selain EV, Toyota juga kini sedang meneroka potensi tenaga alternatif seperti bahan api bebas karbon (CNF) serta enjin pembakaran dalaman menggunakan bahan api hidrogen.

 

Ford bangunkan platform EV baharu, mahu saingi Tesla Model 3

Sehingga kini, Ford sudah pun mempunyai beberapa buah model kenderaan elektrik yang dijual di pasaran tertentu, antaranya ialah Ford Mustang Mach-E dan Ford F-150 Lightning.

Biarpun kedua-dua model tersebut merupakan antara kenderaan yang mahal harganya di kalangan produk Ford, namun harga jualan yang tinggi tidak semestinya menjamin pulangan keuntungan yang tinggi kepada syarikat tersebut.

Ini kerana menurut laporan, sepanjang tahun 2023 Ford mengalami kerugian bernilai $4.7 bilion (RM22.39 bilion) daripada perniagaan EV mereka (Model e), termasuklah $1.57 bilion (RM7.48 bilion) sepanjang suku keempat tahun yang sama.

Untuk mengelakkan kerugian yang berpanjangan, Ford perlu menyemak semula strategi EV yang bakal digunakan kelak.

CEO-nya, Jim Farley mendedahkan satu pasukan rahsia telah dibentuk untuk membangunkan platform EV kos rendah yang lebih kecil, dan boleh digunakan untuk pelbagai jenis kenderaan.

Platform baharu ini direka bertujuan untuk memberikan saingan secara terus kepada kereta-kereta elektrik Tesla dan syarikat automotif China yang lebih mampu milik di dalam pasaran.

Jim Farley masih percaya pasaran EV akan terus berkembang, namun penggunaan yang lebih meluas bagi pengguna pasaran massa tidak akan terjadi selagi kos EV tidak sama paras dengan kenderaan tradisional.

 

Sewa BMW iX dari RM550 sehari dengan Auto Bavaria, Sime Darby Rent-A-Car – Hertz Malaysia

SIME Darby Auto Bavaria (SDAB) kini menjalinkan kerjasama dengan Sime Darby Rent-A-Car (SDRAC) – Hertz Malaysia untuk memperkenalkan perkhidmatan sewa kenderaan elektrik (EV).

Sempena dengan kerjasama ini dan sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi, SDAB dan SDRAC merangka satu tawaran eksklusif kepada mereka yang berminat untuk merasai pengalaman memandu BMW iX. SUV elektrik itu kini boleh disewa dengan kadar yang bermula dari RM550 sehari dan RM5,500 sebulan.

Vi Thim Juan, Pengarah Urusan Auto Bavaria, berkata, “Auto Bavaria komited sepenuhnya mahu merintis penggunaan EV di Malaysia. Kali ini, kami memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk memandu BMW iX kami untuk menikmati gaya dan keunikan yang tiada tandingan yang membawakan trend terkini dalam teknologi EV.”

Harun Mohd Joned, Pengarah Urusan SDRAC, menambah, “Objektif kami ialah menyediakan penyelesaian pengangkutan optimum kepada rakan niaga kami, SDAB, dan memberikan pengalaman kenderaan elektrik yang benar-benar mewah dan moden kepada pelanggan sewa kenderaan Hertz Malaysia.”

Para pelanggan yang berminat untuk menikmati pengalaman memandu BMW iX boleh membuat tempahan dan mendapatkan maklumat lanjut di www.simedarbycarrental.com atau kunjungi cawangan Hertz Malaysia yang turut serta di Lembah Klang, Pulau Pinang atau Johor Bahru.

Kenapa Ferrari sedang uji Tesla Model S Plaid di Maranello?

Jenama Prancing Horse dilapor sedang menguji sebuah model berkuasa elektrik berdekatan dengan kilang pengeluarannya di Maranello.

Berdasarkan video oleh saluran YouTube Varryx, jurutera Ferrari dilihat memilih sebuah Tesla Model S Plaid yang dilengkapi dengan pelekat voltan tinggi, serta rim bersaiz 19 inci.

Ia merupakan sebahagian daripada persediaan Ferrari untuk melancarkan sebuah kenderaan elektrik yang dijangka muncul pada tahun 2025.

Dengan menggunakan Tesla Model S Plaid sebagai kereta ujian, EV pertama Ferrari berkemungkinan besar bakal menampilkan tetapan dua hingga tiga motor elektrik, dan kuasa yang mungkin mampu menyamai model Lanzador daripada pesaingnya Lamborghini.

Untuk info, Tesla Model S Plaid mampu menghasilkan kuasa setinggi 1,020 hp sementara Lamborghini Lanzador pula mampu mencecah sehingga 1 megawatt (1,341 hp).

 

 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak pihak mula menggunakan kereta elektrik Tesla untuk mengkaji kejuruteraan yang terkandung di sebalik EV tersebut, seperti contoh Porsche, Volvo dan juga Ford.

Ini kerana Tesla merupakan antara pihak terawal yang mula menceburkan diri dalam arena EV, dan antara yang pertama menawarkan kenderaan elektrik dengan jarak gerak yang agak jauh.

Jadi adalah masuk akal sekiranya pengeluar lain cuba untuk belajar daripada kelebihan dan kekurangan yang ada pada Tesla untuk diterapkan pada produk tersendiri.

 

 

Besi penghadang jalan tak cukup kuat untuk hentikan EV sewaktu kemalangan

Satu fakta yang harus anda tahu ialah kereta elektrik masa kini adalah jauh lebih berat jika dibandingkan dengan model sama berenjin pembakaran dalaman.

Peningkatan berat yang ketara itu dilihat mampu memberikan cabaran yang cukup besar kepada infrastruktur keselamatan jalan raya sedia ada.

Dalam satu ujian pelanggaran yang dibuat, pihak penyelidik menggunakan sebuah trak pikap Rivian R1T yang bergerak pada kelajuan 60 batu sejam (kira-kira 96 km/j).

Mereka mendapati besi penghadang standard yang dipasang itu tidak cukup kuat untuk menghalang pergerakan trak pikap elektrik tersebut.

 

 

Malah selepas pelanggaran, trak pikap tersebut masih mempunyai momentum yang cukup kuat untuk merempuh batu penghadang konkrit yang diletakkan di belakang besi tersebut.

Tahun lepas, pihak universiti itu turut menjalankan ujian pelanggaran menggunakan Tesla Model 3, dan mendapati besi penghadang itu terangkat sewaktu pelanggaran dan ‘membenarkan’ sedan itu lalu di bawahnya sebelum berhenti di belakang tembok penghadang.

Menurut laporan, beberapa ujian pelanggaran sedang dirancang untuk menguji keberkesanan Midwest Guardrail System yang mempunyai  penarafan berat sehingga 2,268 kg.

Sebagai perbandingan, sebuah sedan Mercedes-Benz EQE mempunyai berat badan 2,280 kg, trak pikap Ford F-150 Lightning pula mempunyai berat bermula dari 2,728 kg, sementara Hummer EV seberat 4.5 tan, menyamai berat sebuah trak tugas sederhana (Class 3) di Amerika Syarikat.

 

 

 

Kerajaan pertimbang wajibkan penggunaan selimut pemadam api EV

PEMILIK kenderaan elektrik (EV) mungkin akan diwajibkan oleh kerajaan untuk menggunakan selimut pemadam api sebagai langkah keselamatan.

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketetapan itu bagaimanapun tertakluk kepada hasil perbincangan pihaknya dengan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jawatankuasa EV.

Tambah beliau, selimut pemadam api yang berharga kira-kira RM4,800 hingga RM5,000 seunit itu bukan sahaja mampu mengawal kebakaran dengan mengekang haba sehingga 1,000 darjah Celsius malah boleh menghalang pelepasan gas toksik.

“Hari ini saya menyaksikan demonstrasi penggunaan selimut pemadam api EV yang merupakan perkhidmatan terbaharu SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (SIRIM) bagi meningkatkan keselamatan kenderaan EV yang akan memenuhi jalan raya di negara kita tidak lama lagi.

“SIRIM melakukan ujian ke atas selimut pemadam api EV dan meluluskan penggunaannya,” katanya selepas demonstrasi selimut pemadam api oleh SIRIM dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada Jumaat lalu.

Tengku Zafrul memberitahu, produk keselamatan tersebut buat masa ini diwajibkan untuk dimiliki operator stesen pengecas EV sahaja. Namun, beliau berharap rumah pemilik EV, pejabat swasta dan kerajaan turut wajib dimiliki produk sama.

“Ujian ke atas produk itu membuktikan komitmen kerajaan untuk menjadikannya sebagai langkah merangka garis panduan keselamatan bagi penggunaan kenderaan EV seperti saranan oleh KPKT.

“Kita di MITI juga akan memastikan produk keselamatan ini ada di pasaran dan menepati syarat-syarat dan piaiwaian yang ditetapkan oleh SIRIM,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menegaskan, SIRIM dalam proses untuk merangka Piaiwaian Keselamatan Selimut Kebakaran Untuk Industri agar garis panduan tersebut juga digunapakai oleh pihak pelabuhan dan pengendali logistik membabitkan kenderaan jenis tersebut.

Kempen panggil pertama buat Tesla Cybertruck, masalah lampu amaran pada skrin terlalu kecil!

Baru beberapa bulan keluar dari kilang, Tesla Cybertruck kini berdepan dengan kempen panggil semula yang pertama.

Menurut agensi National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA), hampir 2.2 juta kenderaan Tesla yang dibina antara 2012 hingga 2024 dipanggil semula kerana masalah lampu amaran pada skrin papan pemuka yang terlalu kecil.

 

 

“Lampu amaran Brake, Park dan Antilock Brake System (ABS) dipaparkan dengan saiz fon yang tidak sesuai. Oleh sebab itu, kenderaan yang terjejas gagal untuk memenuhi syarat nombor 105 “Hydraulic and Electric Brake System” dan 135, “Light Vehicle Brake System” yang ditetapkan dalam undang-undang Federal Motor Vehicle Safety Standard.

Difahamkan, kempen panggil semula ini melibatkan kesemua 2,193,869 unit Tesla yang dijual di pasaran Amerika Syarikat.

Disebabkan Tesla menggunakan skrin bagi menggantikan meter analog, pemilik tidak perlu membawa kenderaan mereka ke bengkel Tesla, sebaliknya hanya perlu menunggu kemaskini over-the-air (OTA).

 

Jeep Wagoneer S – SUV elektrik pertama Jeep ada 600 hp, empat skrin

JEEP telah mendedahkan perincian awal serta beberapa foto teaser Wagoneer S, SUV elektrik pertamanya yang dikatakan akan dilancarkan ke pasaran pada musim luruh tahun ini.

Pertama sekali, Wagoneer S merupakan sebuah SUV saiz pertengahan yang dikatakan mempunyai ukuran badan yang hampir sama dengan Grand Cherokee.

Ia dibina atas platform STLA-Large yang dibangunkan oleh Stellantis dan dikhabarkan mempunyai konfigurasi motor elektrik berkembar yang menjana 600 hp, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 3.5 saat sahaja.

Kapasiti bateri yang akan digunakan tidak didedahkan namun ura-ura mengatakan yang ia menawarkan jarak pandu maksimum sejauh 800 km.

Melihat foto ruang dalaman yang disiarkan, Wagoneer S didatangkan dengan konfigurasi empat skrin yang merangkumi kluster instrumen digital, paparan sistem infohibur, paparan untuk penumpang hadapan dan satu lagi skrin yang disediakan khusus untuk kawalan sistem pendingin hawa.

Tidak cukup dengan itu, Wagoneer S juga akan menampilkan sistem audio premium McIntosh yang mempunyai 19 pembesar suara, sistem pencahayaan ambien dengan pilihan warna dan bumbung suria panoramik berkembar.

Turut kelihatan adalah konsol tengah EV ini yang menempatkan butang Start/Stop, tombol pemilih gear dan suis toggle Selec-Terrain yang membolehkan pemandu memilih mod Sand, Snow, Eco, Auto dan Sport.

VW ID.3 takkan bertahan lama, bakal digantikan oleh Golf Mk9 EV

Jangka hayat kereta elektrik kecil Volkswagen ID.3 mungkin tidak akan bertahan lebih lama.

Dalam satu laporan Top Gear, ketua pembangunan teknikal VW Kai Grünitz memberitahu peranan ID.3 mungkin akan diisi oleh kehadiran model Golf generasi kesembilan.

Ujarnya, “tiada ruang mencukupi untuk kami menawarkan dua atau tiga model berbeza untuk pelanggan sasaran yang sama.

“Kami sedang membangunkan Golf berkuasa elektrik penuh, dan kami mempunyai idea bagaimana ia bakal mengambil bentuk, namun kami akan meneliti terlebih dahulu bagaimana pasaran berkembang.

 

 

Volkswagen Golf generasi baharu telah disahkan hanya akan ditawarkan sebagai model berkuasa elektrik sepenuh masa, dan dibina berdasarkan pelantar Scalable Systems Platform VW.

Kehadiran Golf Mk9 tidak menandakan pengakhiran serta-merta bagi model ID.3.

Grünitz menambah, akan ada satu masa di mana kedua-dua model itu akan dijual serentak, sebelum mereka menamatkan secara terus penawaran ID.3.

Selain daripada Golf standard, Golf GTI dan Golf R juga dijangka akan terus ditawarkan selepas era enjin pembakaran dalaman ditamatkan, di mana Volkswagen merancang untuk mengakhiri produksi kereta ICE di Eropah menjelang 2033.

 

 

Toyota jual 11.23 juta unit kereta tahun 2023, EV hanya 0.9 peratus!

Tahun 2023 merupakan satu tahun yang cukup cemerlang buat Toyota.

Ini kerana sepanjang tempoh 12 bulan terdahulu, Toyota telah berjaya menjual sebanyak 11,233,039 unit kenderaan secara keseluruhannya.

Namun, tahukah anda, segmen kenderaan elektrik yang dihasilkan oleh Toyota hanya membentuk peratusan kecil sahaja daripada angka tersebut.

Difahamkan, sebanyak 104,018 unit kereta elektrik telah diedarkan kepada pemilik masing-masing, dengan peningkatan sebanyak 325.2 peratus berbanding tahun 2022.

Namun, jika diubah menjadi peratusan, EV hanya sekadar 0.926 peratus sahaja daripada 11.23 juta unit kereta Toyota.

 

 

Sebagai perbandingan, Toyota telah berjaya menjual sebanyak 3,420,004 unit kereta hibrid, diikuti 124,755 unit plug-in hybrid (PHEV), 26,859 unit kenderaan hibrid ringan (MHEV), dan 3,921 unit kenderaan sel bahan api (FCEV).

Dalam satu temubual yang dibuat oleh Toyota Times, pengerusi Akio Toyoda berkata, “tanpa mengira seberapa banyak kemajuan BEV, saya fikir ia akan merangkumi 30 peratus pegangan pasaran, selebihnya terdiri daripada HEV, FCEV dan enjin hidrogen.

“Saya yakin kenderaan berenjin akan terus kekal bertahan,” ujarnya lagi.

Pesaing rapat Toyota, iaitu Volkswagen menduduki tangga kedua dengan jumlah jualan sebanyak 9.24 juta unit atau peningkatan sebanyak 12 peratus.

Namun, konglomerat Jerman itu menjual jauh lebih banyak kereta elektrik berbanding Toyota, dengan jumlah jualan 770,000 unit atau peningkatan sebanyak 35 peratus berbanding tahun terdahulu.

Porsche Macan EV 2024 – Lima Perkara Yang Perlu Anda Tahu Tentang SUV Elektrik Kompak Porsche

SUV kompak mewah Porsche Macan generasi baharu kini ditawarkan secara rasmi sebagai sebuah SUV berkuasa elektrik sepenuh masa.

Generasi kedua Macan ini dibina berdasarkan platform yang dibangunkan bersama Audi, digelar sebagai Premium Platform Electric (PPE) yang menyokong senibina elektrik 800-voltan.

Ini bermakna, Porsche Macan merupakan model kedua Porsche yang menggunakan senibina elektrik bervoltan tinggi itu selepas Porsche Taycan.

Berikut merupakan lima perkara penting berkenaan Macan generasi baharu:

 

1. Dua varian, iaitu Macan 4 dan Macan Turbo

Terdapat dua varian yang ditawarkan sebagai permulaan, di mana kedua-dua model tersebut dilengkapi dengan dua motor elektrik, satu untuk setiap gandar, dengan sistem pacuan semua roda, dan pengagihan berat badan yang lebih cenderung ke arah belakang.

Pada model Macan 4, ia mampu menghasilkan 402 hp dan 649 Nm, sementara Macan Turbo pula berupaya menjana 630 hp dan 1,129 Nm!

Pecutan 0-96 km/j memakan masa 4.9 saat, sementara varian Turbo pula lebih pantas, sekitar 3.1 saat.

 

2. Tiada kotak gear dua nisbah kelajuan

Tidak seperti Taycan yang ditala untuk menjadi sebuah kereta sports, Macan pula tidak memerlukan khidmat kotak gear dua nisbah kelajuan.

Ini menjadikan Macan jauh lebih ringan, dan membantu dari segi kecekapan trenkuasa secara keseluruhan.

Namun sama seperti Taycan, Macan EV juga tidak dilengkapi dengan mod pemanduan pedal tunggal, sebaliknya bergantung kepada sistem brek regeneratif yang mampu menjana kuasa sehingga 240 kW.

 

3. Tetapan suspensi multi-link, dan opsyen stereng gandar belakang

Secara standard, Porche Macan EV dilengkapi dengan tetapan suspensi multi-link depan dan belakang, dibantu dengan sistem spring udara dan peredam adaptif Porsche Active Suspension Management (PASM).

Ciri baharu untuk Macan ialah opsyen sistem stereng gandar belakang yang mampu mengubah sudut roda sebanyak lima darjah, membantu dari segi pengendalian kelajuan rendah, serta kestabilan pada kelajuan tinggi.

 

4. Angka pekali seretan 0.25

Rekaan luaran Porsche Macan EV ini mengekalkan bentuk seakan SUV coupe, dengan unit lampu nyalaan siang seakan model Taycan, diikuti dengan garis hud dan posisi lampu yang lebih rendah.

Dengan elemen aerodinamik aktif seperti spoiler belakang, flap dan panel pada bahagian bawah badan, Macan EV ini dikatakan mampu mencapai angka pekali seretan serendah 0.25 sahaja.

 

5. Ruang kabin mirip Cayenne, Panamera

Identiti Porsche turut diterapkan pada ruang kabin, di mana ia membawakan susun atur yang hampir sama dengan model Cayenne dan Panamera.

Terdapat skrin kluster digital melengkung, skrin infohibur di bahagian tengah, skrin paparan head-up dengan fungsi realiti terimbuh, dan juga opsyen untuk menambah skrin ketiga di depan penumpang hadapan.

Butang kawalan HVAC pula masih kekal pada konsol tengah, memudahkan urusan untuk menetapkan suhu kabin.

Di pasaran US, harga jualan Macan EV melonjak naik kepada $80,450 (RM380,529) untuk varian 4, sementara varian Turbo pula berharga $106,950 (RM505,874).

smart bakal lancar model ketiga, MPV elektrik, model ujian dikesan di China

smart dilapor bakal melancarkan model ketiganya yang lebih dikenali dengan kod dalaman HY11.

Menurut laporan CarNewsChina, model ujian tersebut dikesan sedang diuji di China dengan luaran yang masih sarat dengan pelekat samaran.

Berdasarkan gambar intip, smart HY11 ini membawakan jarak kelegaan tanah yang agak rendah, binaan badan yang besar, selain membawakan gaya reka bentuk yang unik, tidak seperti model-model smart #1 dan smart #3.

 

 

Selain daripada itu, smart HY11 ini dilengkapi dengan tetapan double wishbone di hadapan, diikuti dengan buku jari stereng aluminium. Sebagai perbandingan, smart #1 dan #3 masing-masing dilengkapi dengan tetapan suspensi McPherson pada gandar depan.

Susun atur ruang kabin juga membawakan bahasa rekaan baharu.

Seperti contoh, terdapat skrin besar untuk kegunaan sistem infotainmen, diikuti dengan skrin kluster yang lebih kecil untuk pemandu, skrin paparan head-up, roda stereng tiga jejari dan tidak ketinggalan tuil pemilihan gear pada kolum stereng.

 

 

Konsol tengah yang agak tinggi itu menempatkan dua tempat meletak cawan, slot pengecasan peranti tanpa wayar.

Tempat duduk pula dilihat membawakan balutan fabrik, sementara pada bahagian panel pintu pula terdapat kemasan kayu, dan pemegang pintu yang unik.

smart HY11 ini dibina berdasarkan senibina SEA Geely yang menampilkan ciri pengecasan 800 voltan dan smart Pilot Assist 3.0.

Besar kemungkinan, ia akan dipamerkan buat kali pertama pada acara Beijing Auto Show.

 

Pencuri sanggup kopak fender Taycan, bawa lari lampu matriks LED

Kes kecurian komponen kereta bukanlah satu perkara yang asing.

Kebiasaannya, golongan pencuri ini akan menyasarkan komponen yang mudah untuk dibawa lari, seperti contoh set rim sport berharga puluhan ribu, spoiler, serta emblem yang berstatus ‘rare’.

Namun, kes yang berlaku di Düsseldorf, Jerman ini merupakan kes kecurian yang paling brutal pernah terjadi, di mana sebuah Porsche Taycacn Cross Turismo telah dikopak pada bahagian fender hadapan oleh pencuri semata-mata untuk membawa lari unit lampu matriks LED EV tersebut.

Kes kecurian ini mengakibatkan pemiliknya terpaksa menanggung kerugian bernilai lima angka.

Bergantung kepada spesifikasi, kos untuk sepasang unit lampu utama menelan belanja antara $2,829.43 hingga $3,602.11 (RM13,380-RM17,034), tidak termasuk kos penggantian modul dan motor kawalan untuk setiap unit lampu, dan juga kos penggantian fender bernilai $652.96 (RM3,088) setiap satu.

GWM Ora 07 sah lancar di Malaysia suku pertama 2024

BEBERAPA hari yang lalu, Great Wall Motor (GWM) Malaysia telah memuat naik gambar teaser Ora 07 yang seakan memberi tanda ketibaan model itu tidak lama lagi.

Kini, syarikat itu secara rasminya telah mengesahkan bahawa Ora 07 akan dilancarkan ke pasaran tempatan pada suku pertama tahun ini.

Bukan itu sahaja, spesifikasi awal untuk sedan elektrik dengan gayaan fastback itu turut didedahkan. Ia akan ditawarkan dalam dua konfigurasi iaitu motor elektrik tunggal dengan jarak pandu 640 km dan motor elektrik berkembar dengan 550 km.

Jika diperhatikan, jarak pandu bagi kedua-dua konfigurasi itu sama dengan apa yang ditawarkan oleh Ora 07 pasaran Thailand.

Di sana, varian Long Range menampilkan motor elektrik tunggal pada gandar hadapan dengan 204 PS/340 Nm yang membolehkannya memecut sehingga 170 km/j. Bateri berkapasiti 83.5 kWj pula memberikan jarak pandu sejauh 640 km.

Varian kedua iaitu Performance pula dilengkapi dengan sepasang motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 408 PS/680 Nm. Ia mempunyai bateri yang sama namun jarak pandunya lebih pendek iaitu 550 km.

Selain itu, Ora 07 untuk pasaran Malaysia juga didatangkan dengan spoiler elektrik adaptif dan reka bentuk pintu tanpa bingkai.

Logo ‘H’ Honda kini berwajah baharu, muncul pada EV 2026

Kali terakhir Honda mengemaskini logo H mereka adalah pada tahun 1981 dan logo H yang kita kenali itu bakal berubah menjadi logo baharu yang lebih minimalis.

Mereka yang rajin mengikut rapat perkembangan Honda sejak awal penubuhan syarikat itu pasti akan perasan logo baharu itu sebenarnya membawakan persamaan dengan logo pertama Honda yang muncul pada tahun 1963.

Logo H yang baharu itu bakal ditampilkan pada model-model kenderaan elektrik Honda Zero Series (0 Series).

Salah satu daripadanya ialah Honda Saloon Concept, sebuah kenderaan elektrik yang membawakan rupa luaran seperti sebuah supercar rekaan baji era 70-an dan 80-an.

Tidak seperti EV yang ada di pasaran, Saloon Concept mementingkan binaan yang lebih ringan dengan menggunakan pendekatan kejuruteraan moden, selain membawakan teknologi aerodinamik yang diperoleh daripada sukan permotoran, terutama Formula One.

Tiada sebarang hubungan mekanikal antara roda dan stereng yoke, sebaliknya ia akan menggunakan sistem steer-by-wire.

Ciri lain termasuklah pek bateri berketumpatan tinggi yang direka untuk mengurangkan kemerosotan prestasi, serta menyokong pengecasan pantas dengan anggaran pengecasan 15-80 peratus memakan masa 10 hingga 15 minit sahaja.

Menurut Honda, Saloon Concept ini merupakan model pra-tonton kenderaan elektrik (EV) yang bakal dilancarkan di Amerika Utara pada tahun 2026.

Sebuah lagi model yang diperlihatkan ialah konsep minivan Space-Hub dengan membawakan ciri seperti ruang kabin yang luas, serta penggunaan bumbung jenis kaca yang agak besar.

Namun tidak seperti Saloon, Honda tidak mendedahkan perancangan untuk menjadikan konsep Space-Hub ini menjadi model produksi sebenar.

 

Pemilik EV di Norway ada cara tersendiri hadapi musim sejuk

Cuaca sejuk yang melanda Chicago serta beberapa tempat di Amerika Syarikat sedikit sebanyak memberikan kesan kepada penduduk, terutama pemilik EV Tesla.

Ini kerana beberapa portal media melaporkan sebilangan besar kereta elektrik Tesla tersadai di beberapa buah stesen pengecasan pantas DC.

Ada pemilik yang merungut kerana kereta mereka sukar untuk dicas, dan tempoh pengecasan yang jauh lebih lama daripada kebiasaan.

Jadi, adakah kereta elektrik langsung tidak sesuai untuk kegunaan musim sejuk?

Jawapan tersebut mungkin ada pada rakyat Norway, salah satu negara dengan kadar penerimaan EV yang tertinggi dalam dunia.

 

sumber: Electrek

Norway juga merupakan salah satu negara yang paling sejuk, namun jarang sekali kita dengar insiden membabitkan pemilik kereta elektrik di sana.

Berdasarkan laporan The New York Times, pemandu-pemandu EV di Norway telah dibiasakan dengan amalan memanaskan kereta terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan dalam keadaan cuaca beku.

Selain daripada itu, menurut penasihat Norwegian Electric Vehicle Association Lars Godbolt berkata, infrastruktur pengecasan yang telah dipertingkatkan sejak beberapa tahun yang lalu turut menyumbang kepada tempoh masa menunggu yang lebih singkat.

Namun, fakta yang harus anda tahu ialah kebanyakan penduduk di Norway tinggal di kawasan rumah bertanah, di mana 90 peratus daripada pemilik EV mempunyai kemudahan pengecasan di rumah masing-masing.

Seperkara lagi, penduduk Norway biasanya menghabiskan masa 30 minit sahaja secara purata dari rumah ke tempat kerja, berbanding tempoh satu jam atau lebih oleh penduduk Amerika Syarikat.

VinFast gagal capai sasaran jual 40,000 EV tahun 2023

Sepanjang tahun 2023, Vinfast telah berjaya menjual sebanyak hampir 35,000 unit kenderaan elektrik (EV).

Rekod baharu turut dicatatkan sepanjang suku keempat (Q4) 2023 di mana Vinfast berjaya menjual sebanyak 13,512 unit.

Namun, disebalik angka yang impresif (34,855 unit) berbanding pencapaian terdahulu, jumlah jualan tahunan masih tidak mencapai sasaran 40,000 unit yang telah ditetapkan.

Syarikat pengeluar dari Vietnam ini mendakwa angka tersebut adalah disebabkan oleh kadar penerimaan terhadap EV yang perlahan di sesetengah rantau, diikuti persaingan yang sengit.


Laporan Reuters menyebut, majoriti besar jualan Vinfast datangnya daripada pasaran Vietnam, di mana 60 peratus pengedaran pada suku kedua dan ketiga disumbangkan oleh pengendali teksi Green SM, dan syarikat pajakan kenderaan yang dimiliki oleh CEO VinFast.

Menurut timbalan CEO jualan dan pemasaran Vinfast, Tran Mai Hoa berkata, “kami melihat peningkatan signifikan pengedaran kenderaan pada suku keempat 2023 berbanding suku ketiga yang lepas.”

“Namun begitu, kadar penerimaan EV yang perlahan di sesetengah rantau, serta saingan sengit menyebabkan jumlah pengedaran yang lebih kecil berbanding apa yang kami jangkakan.

VinFast kini sedang bersedia untuk mendirikan fasiliti pengeluaran dan pemasangan bateri di India, selain meneroka pasaran baharu di Timur Tengah, Amerika Latin, dan Asia termasuklah Indonesia.

EV Volvo kekal laku dijual walaupun tanpa potongan harga

CEO Volvo, Jim Rowan kekal yakin dengan potensi pertumbuhan yang memberangsangkan dalam arena kenderaan elektrik, terutama di dalam segmen kereta premium.

Bercakap dalam acara Reuters Global Market Forum di Davos, Switzerland, “kami mempunyai kuasa penetapan harga yang kukuh, dan pelanggan kami mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi untuk membeli dan memandu EV.

 

Pengeluar itu sebelum ini menjelaskan tidak akan mengikut jejak langkah Tesla di dalam perang harga EV, disebabkan oleh margin keuntungan yang sihat dinikmati menerusi penjualan EV sedia ada.

Rowan turut menyebut, biarpun terdapat gangguan bekalan sepanjang laluan perkapalan, ia tidak akan memberikan kesan kepada pelanggan di mana sebarang kos tambahan akan ditanggung oleh Volvo.


Selain daripada itu, Volvo juga berazam untuk mencapai sasaran jualan 50 peratus terdiri daripada kenderaan elektrik bateri (BEV) pada 2025, dan 100 peratus pada tahun 2030.

Disebalik unjuran optimis Volvo terhadap segmen EV, terdapat beberapa pengeluar yang sudah mula memberikan amaran tentang pertumbuhan yang semakin perlahan, disebabkan oleh kurang permintaan, potongan harga yang terlalu tinggi, subsidi yang renadh, serta masalah rantaian bekalan yang masih lagi belum reda.

 

Lelaki ini DIY panel solar untuk Tesla Model Y, jemur 5 jam boleh tambah jarak 32 km

Jika anda seorang pemilik kereta elektrik Tesla, dan tinggal di kawasan yang mempunyai akses fasiliti pengecasan yang mencukupi, hidup anda tidak akan berdepan dengan masalah.

Namun, sekiranya anda bermati-matian mahu menjadi seorang pemilik Tesla yang duduk di kawasan luar bandar, ini merupakan satu solusi yang mungkin berkesan.

 

Seorang pemilik Tesla Model Y yang juga pemilik syarikat DartSolar di Amerika Syarikat sedang membangunkan panel solar untuk dipasangkan pada model EVnya.

Terdapat sehingga sembilan panel solar 175 watt yang dipasangkan pada bahagian atas bumbung, dengan keluasan menyamai saiz tipikal petak parkir di USA.

Setiap panel solar itu dihubungkan menerusi tiub teleskopik gentian karbon, dan boleh dilipat kembali apabila tidak digunakan.

 

 

Menurut laporan, dengan berjemur di bawah sinar matahari selama lima jam mampu menambah jarak gerak sejauh 32 km, dengan berat keseluruhan tetapan tersebut tidak mencapai 75 kg.

DartSolar juga kini sedang membangunkan unit prototaip kedua yang menggantikan peranan komponen kayu kepada gentian karbon, dengan kos sekitar $4,000 (~RM18,870) apabila sedia untuk diproduksikan.