fbpx

Ora 07 Long Range, penampilan feminin tapi pemanduan maskulin – Pandu Uji

Ora 07 Long Range 2024 (44)

Kali pertama model ini menerjah dalam kotak ingatan ialah semasa menghadiri acara Auto Shanghai 2023 pada tahun lepas.

Ora 07, atau lebih dikenali dengan nama Ora Lightning Cat di pasaran luar sememangnya membawakan rekaan yang kontroversi, mengingatkan kita pada model sedan Porsche Panamera dan Porsche 911.

Untuk meletakkannya sama aras dengan model harga jutaan ringgit itu mungkin satu perkara yang tidak adil.

Ora 07 merupakan model kenderaan elektrik (EV) kedua yang dibawa masuk oleh pihak GWM Malaysia selepas hatchback comel Ora Good Cat, dengan penawaran harga bawah RM200 ribu (RM169,800).

Berbanding pesaing terdekat seperti BYD Seal dan Tesla Model 3, adakah Ora 07 ini sebuah EV yang biasa-biasa?

Berdasarkan pengalaman pandu uji yang dibuat tempoh hari, jawapan muktamad yang kami boleh bagi, “Tidak!”.

 

1. Reka bentuk feminin

BYD Seal dan Tesla Model 3 membawakan bentuk badan sedan yang lebih tradisional.

Ora 07 pula lebih mengingatkan kita pada bentuk badan Porsche Panamera, dengan garis bumbung yang lebih melandai ke belakang, diikuti dimensi badan yang agak panjang.

Bahagian belakang pula menampilkan spoiler adaptif berkuasa elektrik yang boleh dinaikkan atau diturunkan mengikut keperluan, lampu depan pula kalau dilihat daripada mana-mana sudut pun, macam 911.

Secara keseluruhan, ia bukanlah satu perkara yang negatif pun pada Ora 07 ini. Sesuai untuk mereka yang berjiwa feminin dan individu yang mahukan kelainan dalam segmen sedan elektrik.

Cuma, rekaan perumah lampu belakang yang serba merah itu mungkin akan membuatkan pengguna jalan raya keliru dan sukar untuk menentukan sama ada penulis bagi isyarat membelok atau isyarat kecemasan.

 

2. Dalaman inspirasi daripada Bugatti, Porsche

Tidak cukup dengan bahagian luar, susun atur ruang kabin juga banyak mengambil ilham daripada model ternama.

Konsol tengah yang tinggi itu dilihat mengambil inspirasi daripada Bugatti, sementara skrin kluster digital hadapan pemandu pula memang terang-terang membawakan elemen Porsche.

Setidak-tidaknya, susun atur yang ditunjukkan pada ruang ini jauh lebih baik dan senonoh berbanding kereta yang hanya sekadar menenggekkan skrin iPad pada papan pemuka semasa proses pembangunan dan terus menjualnya kepada umum.

Penulis cukup suka dengan rekaan skrin kluster digital Ora 07 ini, nampak lebih segar.

Cuma, kekurangannya, ia tidak didatangkan dengan pilihan tema yang bersesuaian dengan reka bentuk bulat itu. Malah, tiada opsyen untuk grafik meter analog tersedia pun!

 

3. Mudah dioperasikan, tapi masih menyusahkan

Satu perkara yang penulis hargai pada Ora 07 selain daripada sokongan Apple CarPlay/Android Auto ialah kewujudan tombol larasan manual pada bahagian tengah untuk sistem pendingin hawa.

Ia menawarkan larasan untuk kelajuan tiupan angin sejuk serta suhu kabin. Mudah untuk dioperasikan menggunakan ingatan otot tangan. Namun, itu sahaja manfaat yang diberikan.

Tiada tuil larasan tiupan angin fizikal disertakan pada corong pendingin hawa. Bermakna, jika anda rasa rimas dengan tiupan angin sejuk yang mencucuk hidung, anda perlu menyelongkar menu tambahan bagi sistem kawalan iklim dalam skrin infohibur.

Ya, Ora 07 menyertakan beberapa jenis mod tiupan angin dalam skrin tersebut untuk digunakan semasa musim panas, namun ia bukanlah satu ciri yang mampu menyenangkan pemanduan seharian.

Mujur juga Ora 07 dilengkapi dengan sistem audio 11 pembesar suara Infinity yang mengasyikkan, jadi bolehlah layan lagu kegemaran selepas puas menggodek tetapan kawalan iklim.

 

4. Kabin selesa, tapi…

Penggunaan bahan bersifat premium banyak menguasai ruang kabin Ora 07. Nampak mewah juga.

Tempat duduk sports yang disertakan standard dari kilang turut membantu dari segi aspek keselesaan, sama juga halnya dengan tempat duduk belakang yang agak empuk itu.

Selain jarak antara roda panjang, satu perkara yang membuatkan ruang tersebut nampak lebih luas ialah bumbung kaca panorama yang agak luas dan memanjang ke belakang.

Disebabkan itu, penumpang belakang dapat menikmati ruang kepala yang lebih luas. Cuma elakkan daripada membuat perjalanan jarak jauh untuk tempoh yang lama semasa matahari tegak di atas kepala.

Tiada suis tersedia untuk membuka struktur panel kaca tersebut, dan tiada penghadang cahaya disertakan pada bahagian tersebut untuk menapis sinaran mentari yang mampu membakar rambut anda.

 

5. Akses ruang kargo sedikit terhad

Sedan ini menyediakan ruang kargo sebesar 333 liter, cukup besar untuk kegunaan seharian.

Walaupun Ora 07 secara standard membawakan bentuk badan sedan fastback, ia tidak memberi makna bahagian belakang boleh dibuka dengan luas seperti mana-mana model aeroback yang lain.

Bukaan yang agak terhad mungkin menyukarkan anda untuk memuatkan barangan yang lebih besar.

Mujur juga tempat duduk baris kedua boleh dilipat, jadi anda boleh meletakkan barangan yang jauh lebih panjang pada bahagian belakang.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga beberapa ruang storan kecil tersedia dalam ruang kabin, menambahkan lagi aspek praktikaliti Ora 07.

 

6. Pemanduan maskulin

Secara standard, Ora 07 hadir dengan tetapan motor elektrik tunggal berkuasa 201 hp dan 340 Nm yang memacu roda depan.

Kuasa yang mencukupi untuk menggerakkan sedan elektrik di laluan urban, tiada masalah kekurangan tenaga.

Pecutan agresif juga boleh dibuat dalam keadaan yang cukup lembut dan lancar, tanpa mengakibatkan efek sentakan kuasa yang biasa dialami pada mana-mana kereta elektrik lain.

Apa yang membuatkan penulis rasa teruja dengan sedan elektrik ini ialah pakej pengalaman pemanduan mengujakan yang sukar didapati pada mana-mana kereta elektrik lain.

Walaupun hadir dengan pelbagai ciri-ciri bersifat feminin, aspek pemanduan Ora 07 bersifat lebih jantan. Ibarat sebuah kereta dua alam.

Untuk seketika, penulis langsung terlupa Ora 07 merupakan sebuah sedan elektrik yang berat (2.5 tan) ketika menguji pengendalian kereta ini di laluan yang berliku-liku.

Respons stereng yang cukup bagus untuk memastikan kereta ini berada di landasan yang tepat, selain talaan casis dan sistem gantungan yang membuatkan pemanduan sedan elektrik ini dirasakan cukup seronok ketika meratah jalan-jalan lama di Negeri Sembilan.

Olengan badan juga dirasakan pada tahap minimum, membuatkan penulis lebih ghairah untuk terus menekan pedal pendikit setiap kali jalan lurus dihubungkan dengan selekoh.

Penggunaan tayar Hankook Ventus S1 Evo3 juga turut membantu sedan ini melekat dengan baik atas permukaan aspal.

Menjadikan pemanduan Ora 07 lebih ‘hidup’ ialah iringan simulasi bunyi enjin palsu yang boleh diaktifkan menerusi skrin infohibur.

Setidak-tidaknya, ia dapat mengubati kerinduan anda terhadap kereta enjin, dan penulis kira ciri ini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan bunyi kapal angkasa yang wujud pada model EV yang lebih mahal harganya.

Terdapat beberapa mod pemanduan disertakan yang boleh diakses menerusi tombol manual tengah, termasuklah mod Well Being di mana ia akan menyahaktifkan fungsi brek regeneratif dan membolehkan kereta tersebut kekal meluncur pada saat kaki dialihkan daripada pedal pendikit.

Macam kereta ICE, tak begitu?

 

7. Masalah bimbang jarak dipadamkan

Kami menguji varian Long Range yang dipadankan dengan pek bateri 83.5 kWh.

Mengikut data NEDC, sedan ini boleh bergerak sejauh 640 km untuk sekali cas penuh, satu angka yang mungkin sukar tapi tidak mustahil untuk dicapai.

Berdasarkan penggunaan, kami berjaya merekodkan jarak pemanduan sejauh 470 km sebelum bateri mencatatkan baki 15 peratus SoC dengan anggaran jarak tersisa sekitar 102 km.

Pada pendapat kami, Ora 07 sesuai untuk dijadikan sebagai kereta belasahan harian, atau sekali sekala digunakan untuk merentas negeri melebihi dua marhalah.

Pengecasan DC sehingga 88 kW membolehkan bateri dicas 80 peratus dalam tempoh setengah jam sahaja, bermakna anda tidak perlu menunggu lama sekiranya terpaksa melakukan perjalanan jauh dalam Ora 07.

 

8. Keselamatan

Secara standard, Ora 07 hadir dengan ciri keselamatan termaju (ADAS) Tahap 2 yang merangkumi beberapa fungsi penting termasuklah kawalan jelajah adaptif, sistem pemantauan titik buta, brek kecemasan autonomi, sistem pengelakan pintar serta bantuan pengekalan lorong.

Ciri kawalan jelajah adaptif terbukti berkesan semasa berada di atas lebuh raya untuk mengekalkan jarak pemanduan yang selamat.

Cuma cara bantuan pengekalan lorong beroperasi mungkin dirasakan sedikit agresif terutama bagi mereka yang sudah yakin dengan pemanduan masing-masing.

 

Kesimpulan

Dengan harga bermula dari RM169,800, Ora 07 Long Range ini boleh jadi satu alternatif sedan elektrik yang dapat memenuhi cita rasa golongan pembeli yang mahukan kelainan, dan mahu lebih menonjol daripada kebiasaan.

Biarpun ia mempunyai beberapa kekurangan, namun segala permasalahan itu mungkin akan terpadam apabila anda berupaya menikmati pemanduan yang cukup mengujakan dalam sedan ini.

Tak percaya? Sehingga sekarang pun penulis masih tak percaya!

Spesifikasi:

Motor elektrik: Tunggal, pacuan roda depan
Kuasa: 201 hp, 340 Nm
Pecutan: 0-100 km/j 7.9 saat
Kelajuan maksimum: 170 km/j
Bateri: 83.5 kWh
Jarak gerak: 640 km (data NEDC)

Lihatkan Ulasan (4)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved