Peugeot 408 GT, sang singa untuk sang pemberani – Pandu Uji
Satu fakta perit yang perlu kita hadam pada masa kini ialah semua orang sekarang mahukan kereta spesifikasi redah banjir.
SUV. Crossover. Atau apa jua akronim tiga huruf yang diperkenalkan oleh setiap pengeluar bagi membezakan produk mereka dengan produk lain.
Disebabkan itu, kita sekarang boleh lihat pelbagai jenis model crossover SUV yang wujud di pasaran tempatan, dan yang menjadi mangsa, sudah tentu model sedan.
Peugeot 408 terbaharu yang ada di pasaran Malaysia ini tidak terkecuali daripada menjadi mangsa peng-SUV-an ini.
Adakah ia satu model yang terbaik untuk dibeli? Jemput baca ulasan ringkas kami sampai habis.
Reka bentuk luaran
Jika dua generasi terdahulu menampilkan bentuk badan sedan, generasi baharu Peugeot 408 kini merupakan sebuah kereta rojak moden yang dibina untuk mereka yang rasa berani untuk memandunya atas jalan.
Secara asasnya 408 masih lagi mengekalkan bentuk badan sedan, namun dengan rekaan belakang jenis liftback sebelum diserikan dengan elemen crossover keliling badan.
Ia bukanlah satu perkara yang baharu, memandangkan beberapa pengeluar lain juga menggunakan format rekaan yang sama, seperti contoh Citroen dengan C3X, serta Toyota menerusi model Crown Crossover.
Tidak semua orang suka akan format sebegini, namun ia boleh jadi satu model yang sesuai untuk mereka yang inginkan kelainan.
Atas jalan, Peugeot 408 GT memang nampak agresif dengan rekaan lampu utama berbentuk taring singa, lampu belakang dengan grafik kuku singa, serta rim 20 inci Monolithe berwarna hitam dengan rekaan yang sedikit.. aneh.
Dengan dimensi yang sedikit tinggi berbanding sedan dalam segmennya, diikuti dengan jarak kelegaan tanah 189 mm, susah untuk mengklasifikasikan Peugeot 408 ini sebagai sebuah crossover SUV. Penulis lebih senang menggelarkannya sebagai crossover sedan.
Seperti yang telah ditekankan, rekaan yang dibawakan oleh Peugeot 408 ini memang bukan untuk semua orang, hanya untuk sang pemberani sahaja.
Kabin serba moden, tapi…
Peugeot 408 GT membawakan susun atur Peugeot i-Cockpit tiga dimensi yang jauh lebih moden berbanding 408 yang terdahulu.
Terdapat roda stereng jenis atas dan bawah rata, skrin kluster digital 10 inci dengan paparan grafik tiga dimensi, skrin infohibur sebesar 10 inci, serta skrin i-Toggles di mana pemandu boleh menetapkan sehingga lima fungsi pintas yang berbeza mengikut keperluan peribadi.
Secara standard, varian Peugeot 408 GT yang kami pandu uji ini turut dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit Nappa yang telah mendapat pengiktirafan daripada badan bebas Aktion Gesunder Rücken (AGR) yang mempromosikan kesihatan tulang belakang.
Ada juga fungsi urut terbina dengan beberapa mod yang diinspirasikan oleh haiwan seperti kucing dan ular yang tersedia untuk pemandu dan penumpang hadapan.
Dengan ciri moden yang disebutkan itu tadi, aspek keselesaan sememangnya bukanlah satu masalah utama.
Biarpun dengan kehadiran panel butang fungsi pintas yang boleh dikustom, penulis tetap berpendapat fungsi-fungsi yang kerap digunakan seperti kawalan iklim tidak perlu disumbatkan ke dalam skrin utama.
Skrin infohibur yang dibekalkan dari kilang itu menawarkan paparan grafik yang agak jelas dan tajam, cuma boleh ditambahbaik dengan pergerakan grafik yang lebih cepat dan lancar.
Agak menjengkelkan apabila kita mahu cepat untuk menurunkan suhu kabin, akan tetapi anda perlu menunggu dalam masa beberapa saat sehingga grafik ‘loading’ tersebut habis dimainkan.
Mujur juga Peugeot 408 datang standard dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar, jadi kebanyakan masa mata hanya perlu memerhati paparan peta nagivasi serta pemilihan muzik yang bersesuaian dialunkan oleh sistem Audio Focal dengan 10 pembesar suara itu.
Enjin bertenaga
Untuk pasaran Malaysia, Peugeot 408 hanya didatangkan dengan satu pilihan enjin sahaja, iaitu nadi empat silinder sebaris 1.6 liter turbo PureTech.
Ia mampu menghamburkan kuasa setinggi 218 hp @ 5,750 rpm dan daya kilas 300 Nm @ 2,000 rpm yang disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan.
Pecutan di persimpangan lampu isyarat bukanlah satu kelemahan bagi crossover sedan ini, malah atas lebuh raya Peugeot 408 ini mampu untuk memalukan mana-mana sedan berenjin aspirasi semula jadi.
Untuk setangki penuh, penulis berjaya mencatatkan angka perbatuan sejauh 510 km.
Pemanduan
Dari tempat duduk pemandu, penulis sebenarnya perlu mengambil masa untuk membiasakan diri dengan susun atur i-Cockpit 3D Peugeot 408 GT ini.
Ini kerana berbanding kereta-kereta lain, anda perlu membaca skrin kluster digital daripada atas roda stereng. Jika ditetapkan terlalu tinggi posisinya, anda mungkin sukar melihat panel meter tersebut.
Sama seperti skrin infohibur, skrin kluster digital ini juga memaparkan pergerakan grafik yang agak lambat untuk sebuah kereta moden.
Ia masih lagi menawarkan paparan meter stail analog, namun dengan antara muka yang lebih ringkas.
Biarpun datang dengan rekaan roda stereng yang tidak simetri, Peugeot 408 masih lagi menawarkan respons pengendalian yang secukup rasa, tidaklah terlalu sporti namun masih lagi sedap untuk dinikmati terutama apabila bertembung dengan selekoh.
Aspek gantungan Peugeot 408 yang terdiri daripada topang MacPherson dan multilink di belakang itu memadai apabila kereta ini dipandu pada permukaan jalan yang mahal buatannya di mana olengan badan dirasakan pada tahap yang boleh diterima. Almaklumlah, kereta tinggi.
Musuh utama Peugeot 408 ialah permukaan jalan raya yang tidak rata, terutama apabila bertembung dengan lubang jalan serta tahi simen.
Lebih menjengkelkan apabila kita sedang sedap layan selekoh, ada lubang atau tahi simen bertompok di atas jalan di mana sedan ini amat senang untuk meloncat dan ‘keluar dari landasan’ yang ditetapkan oleh pemandu.
Tidak semua perkara negatif dirasakan pada Peugeot 408 ini.
Yang paling dihargai ialah aspek NVH ruang kabin yang agak baik, di mana sebarang kekasaran dan bunyi bising enjin berjaya ditapis dengan baik supaya tidak mengganggu ketenteraman pemandu dan penumpang sepanjang perjalanan.
Praktikal
Peugeot 408 GT masih lagi menawarkan ruang kabin yang praktikal untuk seisi keluarga, biarpun kini dengan bentuk badan crossover sedan yang agak berani itu.
Seperti contoh pada konsol tengah, terdapat slot khas untuk pengecasan peranti pintar tanpa wayar, diikuti ruang di bawah untuk meletakkan peranti pintar lain dan ada lubang khas yang boleh digunakan untuk meletakkan peranti SmartTag.
Tuil transmisi yang comel itu turut menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas.
Terdapat juga ruang storan di bawah tempat merehatkan tangan di tengah dengan bukaan terpisah, sementara untuk keselesaan penumpang belakang terdapat corong pendingin hawa baris kedua disediakan.
Walaupun dari luar nampak macam sempit, ruang kabin Peugeot 408 sebenarnya menyediakan ruang kepala dan ruang kaki yang cukup selesa untuk penumpang dewasa.
Cuma, struktur cermin belakang yang agak kecil itu menyukarkan mana-mana pemandu olskool untuk memandang ke belakang sewaktu meletakkan kereta dalam kotak parkir.
Mujur juga Peugeot 408 ini ada kamera keliling 360 darjah yang cukup jelas untuk kita memerhatikan kehadiran bendasing yang wujud di persekitaran.
Tidak cukup dengan itu, Peugeot 408 menawarkan kapasiti ruang kargo sebesar 536 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,538 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Harga yang… agak mahal
Disebalik rupa paras yang berani dan ciri-ciri yang serba moden disebutkan tadi, seperkara yang membuatkan Peugeot 408 ini nampak tidak menyelerakan ialah tanda harga yang ditetapkan.
Untuk pasaran Malaysia, anda boleh dapatkan Peugeot 408 versi asas Allure dengan harga jualan bermula dari RM146,055.
Kedengaran munasabah bukan?
Cuma, untuk varian GT yang dilengkapi dengan tambahan ciri yang lebih premium, harga jualan yang ditetapkan ialah bermula dari RM196,055.
Geng baik beli mungkin akan mencadangkan supaya lebih baik tambah duit sikit dan beli sedan segmen D yang jauh lebih besar dan selesa.
Sebab itu penulis lebih gemar untuk mengulangi hujah yang disebutkan di awal penulisan, “Peugeot 408: Sebuah ‘Singa Perancis’ untuk Sang Pemberani”.
Spesifikasi Peugeot 408 GT
Enjin: empat silinder sebaris 1.6 liter turbo
Kuasa: 218 hp @ 5,750 rpm, 300 Nm @ 2,000 rpm
Transmisi: Automatik 8-kelajuan
Pacuan: Roda depan
Suspensi: Topang MacPherson/Multilink
Saiz tayar: 245/40 R20
Harga: RM196,555 OTR
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.
u1z24y