Zeekr X 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia, harga dari RM158,800

Zeekr Intelligent Technology Malaysia secara rasmi melancarkan model Zeekr X 2026 yang dinaik taraf untuk pasaran Malaysia.

Terdapat dua varian ditawarkan iaitu Premium dan Flagship, dengan harga jualan bermula dari RM158,800 hingga RM175,800 untuk varian lebih tinggi.

Spesifikasi

Berikut merupakan perincian bagi setiap varian Zeekr X di Malaysia:

Flagship AWD

  • motor elektrik berkembar
  • kuasa 489 hp/573 Nm
  • pecutan 0-100 km/j dalam 3.7 saat
  • pengecasan AC 22 kW (0-100% dalam 4 jam)
  • pengecasan DC 150 kW (10-80% dalam 30 minit)
  • bateri NMC 66 kWh
  • jarak pandu 415 km
  • rim 20 inci

Premium RWD

  • motor elektrik tunggal
  • kuasa 335 hp/373 Nm
  • pecutan 0-100 km/j dalam 5.3 saat
  • pengecasan AC 11 kW (0-100% dalam 7.5 jam)
  • pengecasan DC 150 kW (10-80% dalam 30 minit)
  • bateri LFP 61 kWh
  • jarak pandu WLTP 445 km
  • rim 19 inci

Kelengkapan standard

Menariknya, kedua-dua varian hadir dengan beberapa ciri standard seperti:

  • pintu hadapan bukaan automatik
  • peti sejuk lengkap dengan fungsi pemanas
  • tiang B interaktif
  • stereng multi-fungsi dengan bar sensitif sentuhan
  • ruang kargo sebesar 404 liter

Varian Premium mendapat kemasan dalaman dua tona hitam dan putih, skrin paparan head-up (HUD) serta warna eksklusif Porcelain Pink.

Sementara varian Flagship AWD pula mendapat tempat duduk lengkap dengan fungsi urut dan ventilasi, kemasan dalaman hitam berserta tali pinggang keledar merah, dan warna eksklusif Onyx Black dan Matte Khaki Green.

Ciri lain termasuklah:

  • pintu tailgate berkuasa
  • bumbung panorama dengan perlindungan haba
  • sambungan Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W
  • sistem bunyi Yamaha dengan 13-pembesar suara
  • sistem pencahayaan suasana 17-zon

Keselamatan


Zeekr X terus menawarkan kelengkapan keselamatan menyeluruh seperti 7-beg udara serta sistem ADAS penuh yang memanfaatkan lima kamera HD, lima radar gelombang milimeter dan 12 penderia ultra-bunyi.

Antara ciri ADAS yang tersedia:

  • brek kecemasan autonomi (AEB) depan dan belakang
  • kawalan jelajah adaptif (ACC)
  • bantuan penukaran lorong automatik (ALC)
  • kawalan pemusatan lorong (LCC)
  • bantuan pengekalan lorong (LKA)
  • sistem pemantauan titik buta (BSD)
  • amaran lintasan trafik depan dan belakang
  • bantuan parkir automatik

KLIMS2026: Zeekr X 2026, harga anggaran dari RM160 ribu

Zeekr Intelligent Technology Malaysia mengumumkan pembukaan tempahan bagi model Zeekr X 2026 yang dinaik taraf.

Terdapat dua varian ditawarkan iaitu Premium dan Flagship, dengan harga jualan anggaran dari RM160,000 hingga RM180,000.

Spesifikasi

Zeekr X varian Flagship AWD kini mampu menghasilkan kuasa 489 hp dan 573 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 3.7 saat.

Varian ini turut mendapat manfaat pengecasan AC 22 kW untuk pengecasan penuh dalam 4 jam, dan jarak pandu 415 km (data WLTP).

Antara ciri lain termasuklah:

  • rim tempa 20 inci hitam
  • tempat duduk hadapan dengan fungsi ventilasi dan urut
  • kemasan dalam hitam
  • tali pinggang keledar merah
  • warna baharu Onyx Black dan Matte Khaki Green

Varian Premium RWD pula mampu menjana kuasa 335 hp dan 373 Nm yang dipadankan dengan pengecasan AC 11 kW (0-100 peratus dalam 7.5 jam) dan jarak pandu 445 km.

Kelengkapan lain termasuklah:

  • kemasan dalaman dua-tona
  • rim 19-inci
  • skrin paparan head-up (HUD)
  • warna baharu ekslusif Porcelain Pink

Kelengkapan standard

Menariknya, kedua-dua varian hadir dengan beberapa ciri standard seperti:

  • pintu hadapan bukaan automatik
  • peti sejuk
  • tiang B interaktif
  • stereng multi-fungsi dengan bar sensitif sentuhan
  • ruang kargo sebesar 404 liter

Keselamatan


Zeekr X terus menawarkan kelengkapan keselamatan menyeluruh seperti 7-beg udara serta sistem ADAS penuh yang memanfaatkan lima kamera HD, lima radar gelombang milimeter dan 12 penderia ultra-bunyi.

Zeekr X 2026 akan dipamerkan di acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS 2026) bermula 12 hingga 21 Jun ini di MITEC.

KLIMS2026: Zeekr 9X dipamerkan, tempahan dibuka, harga dari RM800k

Untuk mereka yang masih mendambakan SUV, Zeekr 9X merupakan pilihan SUV ultra-mewah yang sesuai.

Dibina atas pelantar Sustainable Experience Architecture (SEA) 900V, 9X menampilkan sistem Super Hybrid SEA terdiri daripada:

  • enjin 2.0 liter turbo 275 hp
  • motor elektrik depan 389 hp
  • motor elektrik belakang berkembar 496 hp
  • kuasa keseluruhan mencecah 1,381 hp

 

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.1 saat, selain menawarkan jarak pandu kombinasi 1,250 km (data CLTC).

Ciri SEA AI Digital Chassis pula menampilkan sistem suspensi udara termaju, kawalan olengan badan aktif, serta mod pemanduan pintar untuk perjalanan yang lebih lancar untuk pelbagai keadaan.

Ruang kabin menampilkan susun atur tiga baris dengan tempat duduk Cloud Lounge, skrin 3K OLED sebesar 17 inci dan sistem audio Naim 3,800W.

Unit yang dipamerkan ini merupakan unit pemanduan sebelah kiri (LHD), dan spesifikasinya mungkin berbeza dengan unit yang bakal ditawarkan kelak.

KLIMS2026: Zeekr 009 Grand dipamerkan, harga dari RM600k, sudah boleh ditempah

Bertempat di acara KLIMS 2026, Zeekr Intelligent Technology Malaysia membawakan dua buah model premium iaitu MPV mewah Zeekr 009 Grand dan SUV Zeekr 9X.

Tempahan bagi model ini sudah pun dibuka, dengan harga jualan anggaran bermula dari RM600,000.

Spesifikasi

Ini ialah sebuah MPV ultra-mewah yang hanya menyediakan empat tempat duduk sahaja.

Imej mewah 009 Grand ini diserikan dengan rim tempa bersaiz 20 inci serta kemasan hitam berkilat pada jeriji hadapan.

Ruang penumpang pula menawarkan pengalaman yang jauh lebih premium, menampilkan ciri seperti:

  • tempat duduk eksekutif
  • fungsi urut 20-poin
  • skrin paparan MiniLED sebesar 43 inci
  • sistem audio dengan 31-pembesar suara
  • peti sejuk 18 liter
  • kemasan marmar Himalaya

Penumpang belakang boleh memanfaatkan kaca privasi yang terdapat pada pintu gelangsar dan tingkap belakang serta kaca pemisah antara ruang tersebut dengan ruang kokpit.

Zeekr 8X: SUV PHEV dengan seni bina 900V, harga bermula RM190k di China

Zeekr baru-baru ini melancarkan model baharu 8X untuk pasaran China, sebuah SUV plug-in hybrid (PHEV) saiz penuh.

Diposisikan di bawah model 9X, Zeekr 8X dijual pada harga bermula dari 329,800 yuan (RM191 ribu) sementara model paling premium pula berharga 473,800 yuan (RM275 ribu).

Spesifikasi & Teknologi

Zeekr 8X dibina berdasarkan platform super hibrid Haohan-S 900V yang turut dipadankan dengan enjin 2.0 liter turbo dan konfigurasi dua atau tiga motor elektrik.

Versi dwi-motor mampu menghasilkan kuasa 885 hp dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat.

Varian tiga motor elektrik pula berupaya menghamburkan kuasa setinggi 1,381 hp, membolehkannya memecut sepantas 2.96 saat dari 0-100 km/j.

Bateri 70 kWh pula membenarkan jarak pandu sifar emisi sejauh 410 km, dengan jarak keseluruhan mampu mencecah 1,416 km.

Teknologi pengecasan pantas 6C pula membolehkan bateri dicas 20-80 peratus dalam masa hanya 9 minit.

Pemanduan

Zeekr 8X menggunakan sistem casis digital terkini yang dipadankan dengan suspensi udara adaptif dan kawalan redaman aktif.

Sistem ini turut menyokong agihan daya kilas pantas dan larasan ketinggian boleh ubah.

Tidak ketinggalan, bantuan pemandu termaju yang disokong oleh unit LiDAR dan cip pemprosesan berkembar Nvidia Drive Thor-U dengan kemampuan memproses sehingga 1,400 TOPS.

Sistem ini menyokong bantuan navigasi lebuh raya dan fungsi parkir automatik.

Dimensi

Zeekr 8X membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,100 mm, lebar 1,998 mm, tinggi 1,780 mm dengan jarak antara roda 3,069 mm.

Biarpun lebih kecil berbanding model 9X, Zeekr 8X masih lagi dikategorikan sebagai SUV saiz penuh.

SUV ini turut mengekalkan bahasa rekaan terkini Zeekr, dengan ciri seperti jeriji depan besar menegak, lampu hadapan berasingan dan juga unit LiDAR pada bumbung.

Kabin

Ruang kabin Zeekr 8X didatangkan dengan ciri seperti berikut (bergantung kepada varian):

  • skrin kluster digital 13.02 inci untuk pemandu
  • skrin paparan head-up 44 inci
  • skrin infohibur 16 inci dengan resolusi 3.5K
  • skrin penumpang sebagai opsyen
  • skrin bumbung 17 inci 3K OLED
  • sistem audio Naim dengan 29 pembesar suara dan ciri Dolby Atmos
  • tempat duduk gaya aviasi

Kapasiti kargo pula mampu mencapai sehingga 2,200 liter.

Zeekr serah 2,000 kenderaan elektrik dalam tempoh setahun di Malaysia

Zeekr Intelligent Technology Malaysia mengumumkan pencapaian terbaharu di mana sebanyak 2,000 unit kenderaan elektrik telah diserahkan dalam tempoh setahun.

Sebanyak 50 unit Zeekr 7X telah diserahkan kepada pemilik masing-masing dalam satu acara yang berlangsung hujung minggu lalu.

Unit yang ke-2000 telah diserahkan kepada pemiliknya, iaitu Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

Menurut Eddy Lu selaku Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia berkata, “Untuk mencapai 2,000 orang pemilik dalam masa setahun bukanlah sesuatu yang mudah, dan ia mencerminkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap Zeekr.

“Kami akan terus meningkatkan mutu jualan dan perkhidmatan selepas jualan bagi memastikan setiap perjalanan bersama Zeekr sinonim dengan kemewahan dan ketenangan minda.

Zeekr Malaysia turut berusaha untuk mengembangkan lagi kehadiran jenama itu di seluruh negara.

Bermula Januari 2026, Zeekr akan membuka cawangan pengedar baharu di Johor Bahru, Melaka, Ampang dan Ipoh.

Menjelang akhir 2026, Zeekr akan mempunyai jaringan pengedar yang terdiri daripada 18 buah bilik pameran termasuklah lebih 10 Pusat Badan & Cat di seluruh negara.

Zeekr Malaysia turut menjalankan kempen bersempena musim perayaan Krismas di mana setiap model Zeekr yang didaftarkan sebelum 31 Disember 2025 layak menerima barangan eksklusif TRAPO bernilai sehingga RM1,000.

Carro buka bilik pameran Zeekr baharu di KL, Pulau Pinang

Carro selaku platform kereta terpakai dalam talian terbesar di Asia Pasifik telah membuka dua bilik pameran jenama Zeekr serba baharu yang terletak di Bangsa, Kuala Lumpur dan Juru Autocity, Pulau Pinang.

Difahamkan, dua lagi bilik pameran Zeekr dijangka akan dibuka menjelang akhir tahun ini.

Dengan keluasan lebih 12,000 kaki persegi, Zeekr House yang terletak di Juru Autocity menawarkan perkhidmatan 3S (jualan, servis, dan alat ganti) kepada pelanggan di sekitar kawasan tersebut.

Ini adalah susulan kepada perkembangan terbaharu di mana Carro telah dilantik oleh Zeekr sebagai pengedar sah baharunya di Malaysia.

Dalam perjanjian Memorandum Persefahaman yang ditandatangani Jun lalu, Carro akan membuka empat bilik pameran Zeekr serta tiga bengkel Carro Care untuk menyokong usaha runcit dan penyelenggaraan bagi jenama EV tersebut.

 

Zeekr 7X 2025 rasmi dilancarkan – tiga varian, harga dari RM179,800

Setelah dipertontonkan buat kali pertama di Malaysia Autoshow 2025, Zeekr Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan model terbaharu 7X.

Terdapat tiga varian utama yang ditawarkan, iaitu:

RWD Standard (RM179,800)
-motor elektrik tunggal, pacuan roda belakang
-kuasa 421 PS/440 Nm
-pecutan 0-100 km/j dalam masa 6 saat
-pek bateri LFP 75 kWh
-jarak pandu 480 km (data WLTP)

RWD Long Range (RM190,800)
-spesifikasi pacuan sama seperti RWD Standard
-pek bateri 100 kWh
-jarak pandu 615 km

AWD Performance (RM226,800)
-tetapan motor elektrik berkembar, pacuan semua roda
-kuasa 646 PS/710 Nm
-pek bateri LFP 100 kWh
-jarak pandu 543 km

Dari segi dimensi, Zeekr 7X berukuran sepanjang 4,787 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,650 mm dan jarak antara roda 2,900 mm.

Bermakna, di Malaysia Zeekr 7X ini bersaing dengan model seperti BYD Sealion 7, Tesla Model Y serta Xpeng G6.

SUV Zeekr ini menggunakan tetapan double wishbone di depan, diikuti tetapan multi-link di belakang.

Dari segi pengecasan pula, Zeekr 7X menyokong pengecasan AC 22 kW, serta pengecasan pantas DC sehingga 450 kW (kecuali dua varian tertinggi 420 kW) yang membolehkan pengecasan 10-80 peratus sepantas 10.5 minit (16 minit untuk dua varian tertinggi).

Kelengkapan standard termasuklah rim bersaiz 19 inci, lampu LED berserta lampu nyalaan siang, manakala ruang kabin pula dilengkapi skrin kluster 13.02 inci, skrin tengah 16 inci, sokongan Apple CarPlay/Android Auto, 10 pembesar suara, serta kawalan iklim tiga zon.

Varian pertengahan mendapat tambahan ciri seperti roda stereng larasan elektrik, fungsi urut dan ventilasi untuk tempat duduk depan, skrin paparan head-up realiti terimbuh 36.21 inci, sistem audio Zeekr Sound Pro dan pengecasan telefon tanpa wayar.

Zeekr 7X AWD Performance pula dilengkapi dengan rim 20 inci, balutan tayar Michelin Pilot Sport EV, angkup brek empat omboh, sistem suspensi udara, logo Zeekr bercahaya di depan berserta fungsi Zeekr Stargate, bukaan pintu berkuasa, upholsteri kulit Nappa dan tirai belakang berkuasa elektrik.

Ciri keselamatan standard yang dibekalkan termasuklah tujuh beg udara, brek kecemasan autonomi (AEB), amaran lintasan trafik depan dan belakang (FCTA & RCTA), parkir automatik (APA), amaran pelanggaran hadapan (FCW), bantuan penukaran lorong automatik (ALC), kawalan jelajah adaptif (ACC), kamera keliling 360 darjah serta mod Sentri.

Terdapat lima warna ditawarkan iaitu Crystal White, Onyx Black, Tech Grey, Forest Green dan warna dua tona Blue/Silver. Varian AWD Performance turut ditawarkan pilihan naik taraf rim 21 inci.

Zeekr Malaysia rasmi bilik pameran baharu di Segi Tiga Emas KL

Zeekr Malaysia baru-baru ini merasmikan pembukaan bilik pameran Zeekr Center KLCC sebagai sebuah hab bagi mobiliti premium serba baharu di Kuala Lumpur.

Terletak secara strategik di dalam kawasan Segi Tiga Emas, Zeekr Center KLCC ini merupakan outlet kedua yang dikendalikan oleh pengedar sah Preeminent Auto Sdn Bhd selepas Zeekr Center IOI Mall Puchong.

Dengan keluasan 4,800 kaki persegi, Zeekr Center KLCC ini mampu memuatkan lima buah kenderaan pameran, serta lengkap dengan tiga unit pengecasan AC.

Serentak dengan pembukaan fasiliti tersebut, Zeekr Malaysia turut mengumumkan harga jualan rasmi bagi model Zeekr 009 varian asas Executive bermula dari RM299,800 (atas jalan tanpa insurans).

Tidak seperti penawaran terdahulu, Zeekr 009 Executive hadir dengan tetapan motor elektrik tunggal pacuan roda depan, serta jarak gerak sejauh 604 km untuk sekali cas penuh.

Ia merupakan satu pilihan alternatif bagi mereka yang kerap melakukan perjalanan jauh tanpa berkompromi aspek keselesaan dan teknologi.

Setiap pembelian Zeekr 009 Executive akan disertakan dengan pakej berikut:
– jaminan kenderaan selama lima tahun atau had perbatuan 150,00 km
– jaminan bateri 8-tahun/had perbatuan 160,000 km
– akses satu tahun percuma untuk Zeekr App, sistem navigasi dan kemas kini over-the-air (OTA)

Selain itu, pemilik Zeekr 009 akan mendapat pakej pengecasan dinding 11 kW, pengecas mudah alih, serta filem penapis solar secara percuma.

 

Zeekr 009 Executive

Pusat pameran dan pusat servis Zeekr rasmi dibuka di Sunway City

Zeekr Malaysia mengumumkan pembukaan pusat pameran Zeekr Space bernilai RM10 juta terletak di Sunway City dan dikendalikan oleh rakan pengedar Sunway Marketing.

Terletak di Persiaran Lagoon, Zeekr Space Sunway City mempunyai keluasan 11,100 kaki persegi di lokasi yang sebelum ini menjadi helipad ikonik.

Selain ruang pameran kenderaan, Zeekr Space Sunway turut mempunyai ruang rehat pelanggan premium, kemudahan empat titik pengecasan AC, serta pengecasan DC yang akan ditambah kelak.

Terdapat juga pusat servis Zeekr canggih di fasiliti berasingan yang terletak di Jalan Lagoon Selatan.

Ia bukan sahaja menawarkan khidmat servis dan diagnosis kenderaan, pusat servis itu juga turut menyediakan ruang storan alat ganti mencukupi yang dapat memenuhi keperluan selepas jualan bagi kenderaan Zeekr di Malaysia.

Melihatkan kepada komuniti Zeekr yang semakin berkembang, pusat seluas 10,000 kaki persegi itu direka supaya boleh diperluas kepada 20,000 kaki persegi pada masa hadapan.

Pusat pameran Zeekr Space Sunway City ini dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 7.00 malam setiap Isnin hingga Sabtu, dan dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang pada hari Ahad.

Pusat servis Zeekr Sunway pula dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang pada hari biasa, dan dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang setiap Sabtu.

Bersempena dengan pembukaan Zeekr Space Sunway City, Sunway Marketing mengumumkan kempen “Win-a-Zeekr” yang menawarkan hadiah berupa sebuah Zeekr X Premium serba baharu.

Kempen cabutan bertuah ini terbuka kepada mana-mana pelanggan yang sudah membuat pembelian dan menerima penghantaran kenderaan Zeekr dari Zeekr Space Sunway City atau Petaling Jaya sebelum 30 September 2025.

 

Carro dilantik sebagai pengedar rasmi Zeekr di Malaysia

Zeekr mengumumkan pelantikan Carro Retail Sdn Bhd sebagai pengedar rasmi kenderaan tenaga baharu jenama tersebut di Malaysia.

Majlis tandatangan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak tersebut berlangsung di Carro Retail Experience Centre Puchong pada 16 Jun 2025.

Ini bermakna, selain daripada tiga pusat pameran Zeekr Space sedia ada, rakyat Malaysia boleh mendapatkan barisan kenderaan baharu jenama Zeekr di empat buah pusat pameran Zeekr baharu yang bakal dibuka di Juru, Lembah Klang dan juga Seremban.

Terdapat juga perancangan untuk mendirikan sehingga tiga bengkel bertauliah Carro Care hasil daripada kerjasama yang terjalin.

Menurut Alex Bao selaku Pengarah Urusan Zeekr Asia Tenggara, “Respons positif yang kami terima daripada pasaran Malaysia dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini mencerminkan penghargaan terhadap kenderaan elektrik premium Zeekr.

“Momentum ini memperkukuhkan komitmen untuk mengembangkan lagi kehadiran kami di Malaysia, dan kerjasama dengan Carro mewakili satu peristiwa penting dalam usaha untuk meningkatkan rangkaian jualan dan keupayaan selepas jualan untuk sokongan terhadap pelanggan yang lebih baik.

Fong Hon Sum, CEO International Marketplace Carro berkata, “Kami melihat pasaran yang semakin berkembang untuk kenderaan elektrik dan hibrid di Malaysia, ditambah dengan infrastruktur yang sedang membangun dan pengecualian cukai, dan kami bersedia untuk menawarkan khidmat kepada rakyat Malaysia yang mahu beralih kepada EV.

“Kepakaran kami di dalam sektor EV menjadikan kami sedia untuk mengendalikan pemeriksaan, pembaikan dan penyelenggaraan, dan kami amat teruja untuk mempunyai Zeekr sebagai rakan kongsi kami.

Buat masa ini, Zeekr Malaysia menawarkan dua buah model iaitu MPV 009 dan SUV X. Model ketiga Zeekr 7X dijangka akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat.

 

Zeekr 009 Executive – motor tunggal FWD 340 hp, jarak gerak 604 km, harga RM310k

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, Zeekr turut sama memperkenalkan varian baharu MPV mewah Zeekr 009 Executive.

Varian ini dikhususkan untuk mereka yang tidak mahukan sebuah MPV berkuasa tinggi, namun dalam masa yang sama mengekalkan pakej praktikaliti dan keselesaan untuk kegunaan keluarga.

Zeekr 009 Executive ini dijana dengan motor elektrik tunggal pacuan roda depan (FWD) menghasilkan 335 hp dan 373 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 7.9 saat.

Sementara pek bateri 116 kWh pula membenarkan jarak gerak sejauh 604 km untuk sekali cas penuh (data WLTP).

Tempahan untuk model Zeekr 009 Executive sudah pun dibuka dengan harga jualan bermula dari RM310,000 khas untuk 500 pelanggan pertama.

Selain daripada itu, Zeekr Malaysia turut memperkenalkan warna baharu Mineral Green untuk varian Zeekr 009 Luxury versi enam dan tujuh tempat duduk.

Untuk makluman, Zeekr 009 versi AWD pula menampilkan tetapan dua motor elektrik dengan kuasa keseluruhan mencecah 603 hp dan 693 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.5 saat.

Disebabkan motor elektrik yang cukup berkuasa itu, jarak gerak untuk Zeekr 009 AWD adalah sejauh 582 km.

Kelengkapan ruang kabin termasuklah skrin kluster 10.25 inci, skrin tengah 15.05 inci, skrin paparan head-up realiti terimbuh 35.95 inci, serta tempat duduk baris kedua Sofaro First Class Aeronautics boleh laras.

Zeekr 7X dipertontonkan di Malaysia, harga anggaran dari RM182,000

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, Zeekr Malaysia memperlihatkan crossver segmen D Zeekr 7X yang bakal dipasarkan menjelang suku ketiga tahun ini.

Zeekr 7X merupakan SUV elektrik segmen D yang bakal memberikan saingan kepada model popular seperti Tesla Model Y dan BYD Sealion 7.

Dibina menggunakan platform SEA (Sustainable Experience Architecture), Zeekr 7X mempunyai ukuran dimensi sepanjang 4,825 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,666 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,925 mm.

Zeekr Malaysia mengesahkan terdapat tiga varian yang bakal ditawarkan, seperti berikut:

– RWD Standard (RM182,000)
– RWD Long Range (RM195,000)
– AWD Performance (RM230,000)


Zeekr 7X menawarkan pecutan sepantas 3.8 saat dari 0-100 km/j, selain boleh dipandu sejauh 600 km mengikut data WLTP.

Harga indikatif yang disebutkan di atas hanya sah untuk 500 orang pelanggan pertama sahaja.

Zeekr 7X bakal buat kemunculan di Malaysia Autoshow 2025 sebelum pelancaran rasmi

Seperti yang diumumkan pada Februari lalu, Sentinel Automotive Sdn Bhd, selaku pengedar dan pengimport rasmi kenderaan Zeekr di Malaysia, akan melancarkan Zeekr 7X menjelang suku ketiga tahun ini.

Sebelum SUV elektrik tersebut memasuki pasaran secara rasmi, ia akan membuat penampilan umum terlebih dahulu di Malaysia Autoshow 2025 yang bakal membuka tirainya pada 9 Mei ini di MAEPS, Serdang.

Untuk makluman, 7X dibina menggunakan platform SEA (Sustainable Experience Architecture), dan disasarkan sebagai pesaing kepada Tesla Model Y serta BYD Sealion 7.

Dari segi dimensi, Zeekr 7X berukuran panjang 4,825 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,666 mm, dengan jarak antara roda 2,925 mm. Sebagai perbandingan:

  • Tesla Model Y: Panjang 4,790 mm, lebar 2,129 mm, tinggi 1,624 mm, jarak roda 2,891 mm
  • BYD Sealion 7: Panjang 4,830 mm, lebar 1,925 mm, tinggi 1,620 mm, jarak roda 2,930 mm

Varian dan spesifikasi untuk pasaran Malaysia masih belum diumumkan namun di China, 7X boleh didapati dalam versi motor elektrik tunggal pacuan belakang (RWD) berkuasa 421 PS dan 440 Nm.

Satu lagi versi lebih berkuasa dilengkapi sistem pacuan semua roda (AWD) dengan dua motor elektrik yang digabungkan untuk menjana 646 PS dan 710 Nm, membolehkan pecutan dari 0 ke 100 km/j dicapai dalam hanya 3.8 saat.

Bagi sumber kuasa, versi RWD ditawarkan dengan dua pilihan bateri. Yang pertama ialah bateri LFP ‘Golden’ berkapasiti 75 kWj yang mampu memberikan jarak gerak sehingga 605 km. Pilihan kedua ialah bateri NMC ‘Kirin’ 100 kWj dengan jarak maksimum sehingga 780 km.

Versi AWD pula dilengkapi dengan bateri NMC yang sama tetapi menawarkan jarak gerak sedikit lebih pendek iaitu sekitar 705 km. Perlu diingat, semua jarak ini adalah berdasarkan kitaran CLTC yang diketahui agak optimistik berbanding piawaian lain.

Dengan sistem voltan tinggi 800V, 7X menyokong kadar pengecasan maksimum 5.5C yang mampu mengecas bateri daripada 10% hingga 80% dalam masa 10.5 minit sahaja.

Ciri-ciri menarik lain yang terdapat pada model ini termasuk skrin sentuh 16 inci dengan resolusi 3.5K yang menyokong kemas kini perisian secara over-the-air (OTA), sistem audio premium berkuasa 2,160 watt dengan 21 pembesar suara, serta sistem bantuan pemandu Zeekr Intelligent Driving 2.0 yang merangkumi penderia LiDAR dan 12 radar ultrasonik.

Zeekr Space PJ kini dibuka, model baharu 7X bakal dilancarkan tahun ini

Hujung minggu lalu, Sentinel Automotive Sdn Bhd secara rasmi membuka pusat pameran Zeekr Space yang pertama terletak di Petaling Jaya.

Dengan keluasan sekitar 660 meter persegi, Zeekr Space menjemput pelanggannya untuk meneroka visi mobiliti yang lebih bersih dan pintar.

Selain menempatkan ruang pameran model terbaharu, pelanggan juga dijemput untuk memandu uji sendiri barisan model Zeekr sedia ada seperti Zeekr X dan juga minivan Zeekr 009.

Menurut Alex Bao selaku Pengarah Urusan Zeekr Asia Tenggara, “Zeekr komited untuk menawarkan produk premium berteknologi tinggi dengan kualiti yang diperhalusi, direka untuk meningkatkan pengalaman pemanduan kepada pelanggan di seluruh dunia.

“Fokus kami kekal untuk menawarkan kenderaan dengan prestasi yang tiada tandingan, rekaan sofistikated serta teknologi termaju.

Sejak pelancaran rasmi yang dibuat pada Disember tahun lepas, pihak Zeekr Malaysia telah mengedarkan kira-kira 200 unit model Zeekr X dan Zeekr 009.

Dalam ucapan perasmian, Alex Bao turut mendedahkan pihaknya akan melancarkan sebuah lagi model baharu, iaitu SUV Zeekr 7X menjelang suku ketiga tahun ini.

Zeekr 7X merupakan SUV elektrik saiz pertengahan dengan saiz yang hampir sama dengan EQE SUV dan menawarkan jarak gerak hampir 780 km untuk sekali cas penuh.

Pembeli boleh mendapatkan versi motor elektrik tunggal pacuan belakang (RWD) berkuasa 421 PS dan 440 Nm, atau versi pacuan semua roda (AWD) dengan dua motor elektrik berkuasa 646 PS dan 710 Nm.

Buat masa ini, pihak Zeekr Malaysia belum menentukan versi mana yang bakal ditawarkan untuk pasaran tempatan.

Zeekr Space Petaling Jaya terletak di alamat 58, Jalan Profesor Diraja Ungku Aziz, PJS 12, 46200 Petaling Jaya, Selangor.

MPV elektrik mewah Zeekr 009 masuk pasaran Malaysia – dari RM350k

Di samping X, Zeekr Malaysia turut melancarkan MPV mewah yang akan bersaing dalam pasaran EV tempatan iaitu Zeekr 009.

Ia bakal berentap dengan model-model popular seperti Toyota Alphard/Vellfire, Maxus Mifa 9, serta model-model yang akan datang seperti GWM Wey 80 dan Denza D9, 009.

009 boleh didapati dalam dua varian iaitu Luxury dengan konfigurasi tujuh tempat duduk, dan Ultra Luxury dengan enam tempat duduk.

Tidak kira varian apa yang dipilih, 009 dipacu oleh motor elektrik berkembar yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 603 hp dan 693 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.5 saat.

Pek bateri 116 kWh pula menawarkan jarak gerak sejauh 582 km (kitaran WLTP), selain menyokong pengecasan pantas DC 150 kW yang membolehkan pengecasan 10%-80% dalam 30 minit.

Aspek pemanduan Zeekr 009 dibantu dengan sistem gantungan jenis double-wishbone multilink, suspensi udara elektromagnetik dan fungsi pengimbangan automatik, diikuti unit pencahayaan LED matriks dengan fungsi suluhan pemanduan adaptif (ADB) dan pencahayaan zon pintar.

Di dalam, anda akan menemui meter kluster 10.25 inci, skrin infohibur sebesar 15.05 inci, paparan head up realiti terimbuh (AR) sebesar 35.95 inci, skrin bumbung OLED 17 inci, sistem audio Yamaha, pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, dan sehingga 9 port USB-C tersedia.

Tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan diberikan larasan 12 tahap berserta fungsi urut, pengudaraaan dan memori.

Penumpang baris kedua pula menikmati tempat duduk Sofaro First Class Aeronautics dengan fungsi Ultra Long Electric Slide Rail sepanjang 1.1 meter, tempat rehat kaki yang boleh dilaras, fungsi pengudaraan, urut dan memori.

Untuk keselamatan, terdapat sistem ADAS yang merangkumi ciri kawalan pengekalan tengah lorong (LCC), kawalan jelajah adaptif (ACC), sokongan mitigasi pelanggaran hadapan (CMSF) dan belakang (CMSR), sistem pengelakan lorong, pengesanan titik buta (BSD), amaran bukaan pintu dan juga sistem pemantauan prestasi pemandu (DPM).

009 Luxury dijual pada harga RM349,800, manakala versi Ultra Luxury pula berharga RM359,800. Seperti X, model ini didatangkan dengan waranti kenderaan selama lima tahun/150,000 km dan waranti bateri selama lapan tahun/160,000 km.

Turut disertakan adalah data internet 6GB percuma selama dua tahun untuk akses aplikasi Zeekr, sistem navigasi dan kemas kini perisian secara Over-the-Air (OTA).

500 pembeli pertama 009 akan mendapat pakej eksklusif yang merangkumi pengecas kediaman, pengecas mudah alih dan filem solar.

Kembar smart #1 & Volvo EX30, Zeekr X dilancarkan secara rasmi – dari RM156k

Zeekr Malaysia secara menandakan kemasukannya ke pasaran EV tempatan menerusi pelancaran dua model baharu iaitu Zeekr X dan 009. Kedua-dua model ini dibuka untuk tempahan pada awal Oktober lalu.

X ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium yang berharga RM155,800 dan Flagship AWD yang berharga RM172,800.

Harga berkenaan berserta waranti kenderaan selama lima tahun/150,000 km dan waranti bateri untuk lapan tahun/160,000 km. Pemilik juga akan menerima data internet 6GB percuma selama dua tahun.

Menurut Zeekr Malaysia, 500 pemilik pertama akan mendapat pakej eksklusif yang merangkumi pengecas kediaman, pengecas mudah alih, filem solar dan pelindung matahari.

Seperti smart #1/#3 dan Volvo EX30, X dibina menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dihasilkan oleh Geely.

Ia mempunyai ukuran panjang 4,432 mm, lebar 1,836 mm dan tinggi, 1,566 mm, menjadikannya lebih panjang berbanding #1 dan EX30 namun ukuran lebar dan tingginya tidak jauh berbeza dengan EV daripada smart dan Volvo itu.

Dari segi mekanikal, varian Premium dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda belakang berkuasa 268 hp, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat.

Varian Flagship AWD mempunyai dua motor elektrik yang menjana 422 hp, membolehkan ia melakukan pecutan yang sama dalam masa 3.8 saat.

Kedua-dua varian didatangkan dengan pek bateri 66 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 440 km berdasarkan kitaran WLTP. Ia menyokong pengecasan pantas DC 150 kW yang boleh memulihkan tenaga dari 10%-80% dalam 30 minit.

Sistem keselamatan pula terdiri daripada ciri ADAS yang merangkumi kawalan jelajah adaptif (ACC), penukaran lorong automatik (ALC), kawalan pengekalan tengah lorong (LCC), bantuan kekal lorong (LKA), sokongan mitigasi pelanggaran hadapan (CMSF) dan belakang (CMSR), bantuan pengelakan lintasan trafik depan (FCTA) dan belakang (RCTA).

Turut disertakan adalah tujuh beg udara, sistem kamera 360 darjah serta perakam video pemanduan (DVR).

Untuk pasaran Malaysia, X ditawarkan dalam warna Crystal White, Mist Grey, Grid Grey, Palace Beige dan Pine Green. Ruang kabin pula boleh didapati dalam warna Charcoal Black atau Stone Grey.

Geely mahu satukan jenama Lynk & Co, Zeekr

Gergasi automotif China, Geely dilapor akan menyatukan operasi jenama Lynk & Co dan Zeekr, menurut laporan daripada Economic Daily.

Langkah penyatuan tersebut dibuat supaya Geely dapat menumpukan sumbernya pada pasaran kenderaan tenaga baharu (NEV) yang sedang berkembang pantas, selain mengurangkan persaingan dalaman sesama sendiri.

Jenama Lynk & Co ditubuhkan oleh Geely dan Volvo sebagai satu jenama premium yang disasarkan kepada golongan pengguna muda.

Ia pernah menjadi salah satu jenama kereta China yang paling berjaya dengan mencecah jualan satu juta unit dalam masa enam tahun.

Sayang sekali, jenama Lynk & Co pada ketika ini hanya mempunyai satu sahaja model BEV, iaitu Z10 yang baharu sahaja dilancarkan tahun ini, berbanding Zeekr yang sudah melancarkan enam model EV sejak tahun 2021.

Bermula November 2024, Zeekr menguasai 51 peratus pegangan di dalam Lynk & Co, manakala selebihnya dipegang oleh Geely Auto.

MPV elektrik Zeekr MIX dilancarkan di China bulan ini – 422 hp, jarak 712 km

Diperkenalkan buat pertama kali di Beijing Autoshow pada April lalu, Mix merupakan model kelima Zeekr dan yang pertama dibina menggunakan platform SEA-M.

Menurut Zeekr, platform SEA-M adalah kesinambungan kepada platform SEA yang boleh menyokong pelbagai jenis produk mobiliti dari kenderaan penumpang seperti robotaxi dan MPV kepada kenderaan komersial untuk kegunaan logistik.

Syarikat itu berkata pembangunan platform baharu itu melibatkan kos sebanyak RMB 7 bilion (kira-kira RM4.2 bilion).

Dari segi saiz, MIX mempunyai ukuran panjang 4,688 mm, lebar 1,995 mm dan tinggi 1,755 mm. Ukuran tapak roda pula adalah 3,008 mm, memberikan MIX ruang kabin yang cukup luas dan fleksibel.

Sebagai contoh, kedua-dua tempat duduk depan boleh berputar 270 darjah, manakala konsol tengah boleh digerakkan dan diubah menjadi meja kecil. Kerusi belakang pula dilengkapi dengan perehat kaki dan boleh dibaringkan.

Bukan itu sahaja, Zeekr mendakwa MIX mempunyai lantai kabin yang paling rata dalam industri dan ini memberikan pengguna lebih 20 mod senario kabin.

Selain itu, pengguna juga mendapat kokpit canggih yang terdiri daripada stereng flat bottom, panel instrumen digital, skrin sentuh besar, pengecas tanpa wayar dan pencahayaan ambien.

MIX dipacu oleh motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang mampu menjana 422 hp. Dengan bateri berkapasiti 77 kWj yang dibekalkan oleh CATL, MPV elektrik ini mampu bergerak sejauh 712 km dengan satu cas penuh.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa jarak yang dinyatakan itu adalah berdasarkan kitaran CLTC yang kurang realistik berbanding NEDC dan WLTP.

Menurut laporan, Zeekr akan melancarkan MIX ke pasaran China pada 23 Oktober ini.

Zeekr 009: Perbandingan dengan 4 model MPV premium popular di Malaysia

Zeekr Malaysia baru-baru ini mengumumkan kemunculan model MPV premium yang bakal dilancarkan kelak, iaitu Zeekr 009.

Ia bakal memberikan saingan sengit kepada segmen MPV premium, terutama sekali model kembar Alphard/Vellfire yang sangat terkenal di kalangan rakyat Malaysia.

Untuk artikel kali ini kami akan kongsikan perbezaan spesifikasi antara model Zeekr 009 bila dibandingkan dengan MPV premium seperti Alphard/Vellfire, Lexus LM dan Kia Carnival.

 

Dimensi

Majoriti model yang kami sebutkan tadi mempunyai dimensi melebihi 5 meter.

Bermula dengan Alphard/Vellfire, ia membawakan ukuran sepanjang 5,010 mm, lebar 1,850 mm, tinggi 1,950 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,000 mm.

Sebuah lagi kembar, Lexus LM membawakan dimensi yang lebih panjang (5,125 mm), lebih lebar (1,890 mm) namun dengan jarak antara roda yang sama panjang.

Kia Carnival pula menampilkan ukuran dimensi yang jauh lebih besar, sepanjang 5,155 mm, lebar 1,995 mm, jarak antara roda 3,090 mm namun lebih rendah (1,740 mm).

Yang paling besar? Sudah tentu Zeekr 009.

Dengan dimensi sepanjang 5,209 mm, ia juga lebih lebar (2,024 mm) dengan jarak antara roda yang lebih panjang (3,205 mm). Ketinggian pula sekitar 1,848 mm, bermakna ia sedikit rendah berbanding Alphard/Vellfire.

 

Enjin

Ini merupakan satu perbandingan yang cukup menarik, memandangkan kelima-lima model MPV premium ini dilengkapi dengan nadi penggerak yang berbeza.

Yang paling lemah kuasanya sudah tentu Toyota Vellfire dengan enjin 2.5 liter NA berkuasa 180 hp dan 235 Nm.

Toyota Alphard pula hadir dengan enjin 2.4 liter turbo berkuasa 274 hp dan 430 Nm, sementara Lexus LM hadir dengan enjin berkapasiti serupa namun dengan tetapan hibrid, kuasa keseluruhan mencecah 371 hp dan 550 Nm.

Kia Carnival hadir dengan enjin diesel 2.2 liter turbo yang telah ditawarkan sejak sekian lama, menghasilkan 199 hp dan 440 Nm.

Sementara Zeekr 009 pula merupakan sebuah EV dengan dua motor elektrik berkuasa 603 hp dan 693 Nm, sistem pacuan semua roda, serta pek bateri 116 kWh dengan jarak gerak sejauh 582 km (data WLTP).

Disebabkan motor elektrik yang cukup berkuasa, MPV ini mampu memecut sepantas 4.5 saat dari 0-100 km/j. Sesuai sangat digunakan untuk mengangkut para VIP yang sukar menepati masa di Malaysia.

 

Harga

Salah satu aspek yang dipertimbangkan oleh golongan pembeli (baca: baik beli) di Malaysia ialah harga jualan.

Yang paling murah dalam senarai ini sudah pasti Kia Carnival, di mana varian paling asas boleh didapati dengan harga jualan serendah RM198,500 sahaja. Carnival yang paling mahal mempunyai tanda harga RM259,888.

Beralih kepada trio Toyota/Lexus.

Yang paling murah antara ketiga-tiga model tersebut ialah Toyota Vellfire dengan harga jualan paling rendah, sekitar RM438,000.

Toyota Alphard pula sedikit mahal, berharga RM538,000 sementara Lexus LM yang jauh lebih premium pula boleh didapati dari RM1,228,000 hingga RM1,468,000!

Zeekr 009 pula nampaknya lebih selesa duduk di tengah-tengah, dengan harga jualan anggaran bawah RM370,000. Harga jualan sebenar hanya bakal diketahui selepas ia rasmi dilancarkan kelak.

Baik beli?