Mercedes-Maybach S-Class 2027, aras mewah lebih tinggi

Mercedes-Benz memperkenalkan kemas kini paling ekstensif dalam sejarah Mercedes-Maybach S-Class yang mengangkat aras kemewahan ke tahap lebih eksklusif bagi tahun 2027.

Jentera ini bukan sekadar sebuah sedan mewah, malah ia direka sebagai oasis ketenangan yang menggabungkan kepakaran seni tangan tertinggi dengan teknologi digital paling maju melalui sistem operasi MB.OS.

Penampilan Luaran Mercedes-Maybach S-Class Lebih Menyerlah

Penampilan luaran Maybach S-Class kini lebih menyerlah dengan gril ikonik yang 20% lebih besar serta dilengkapi bingkai bercahaya untuk imej lebih berstatus.

Buat pertama kalinya, tulisan Maybach pada bingkai gril turut disertakan dengan pencahayaan halus yang menonjolkan identiti jenama ini.

Satu perincian mekanikal yang menarik ialah logo bintang Mercedes-Benz yang terapung pada penutup tengah rim aloi tempa.

Melalui mekanisme galas bebola yang jitu, logo bintang tersebut akan sentiasa tegak dan stabil walaupun ketika roda sedang berpusing.

Lampu hadapan jenis double-star kini diperincikan dengan sentuhan warna Rose Gold, manakala pancaran cahaya pada sisi kereta akan memancarkan tulisan Maybach ke permukaan jalan.

Bagi peminat gaya kontemporari, pakej Night Series kini ditawarkan dengan pilihan warna Nautic Blue Metallic yang dipadankan dengan kemasan krom gelap.

Kabin Mewah Bertaraf Lounge Eksklusif

Ruang dalaman Maybach direka untuk memberikan kesan cocooning atau kepungan yang menenangkan bagi setiap penumpang.

Konsol tengah telah diperkemas dengan ruang pengecasan telefon pintar yang dibina dalam kemasan kayu oak atau amber-brown.

Bagi penumpang belakang, tersedia dua pemegang khas yang direka tetliti untuk memegang gelas.

Sebuah peti sejuk berkapasiti 10 liter ditempatkan di belakang penyandar lengan untuk memastikan minuman sentiasa berada pada suhu sempurna.

Satu lagi ciri kemewahan ialah Pintu Keselesaan Automatik yang boleh dibuka dan ditutup secara lembut melalui butang atau skrin MBUX.

Buat pertama kalinya, Maybach menawarkan pilihan ruang dalaman bebas kulit yang menggunakan tekstil Mirville bermutu tinggi daripada campuran bahan kitar semula.

Evolusi Digital MB.OS dan Kecerdasan Buatan (AI)

Sistem Operasi Mercedes-Benz (MB.OS) tampil buat kali pertama dalam model Maybach, dipadankan dengan sistem MBUX generasi keempat.

MBUX Superscreen merentasi keseluruhan papan pemuka dengan grafik khas Maybach berwarna Rose Gold dan Amethyst Glow.

Sistem pembantu maya (MBUX Virtual Assistant) kini dikuasakan oleh kecerdasan buatan generatif (Generative AI) yang membolehkan dialog lebih kompleks dan semula jadi antara pemandu dan kereta.

Penumpang belakang juga dibekalkan dengan dua skrin 31.3 inci serta alat kawalan jauh rekaan baharu untuk mengawal fungsi hiburan.

Sistem Active Ambient Lighting yang mempunyai 199 lampu LED turut diperkenalkan dengan warna eksklusif Rose Gold dan Amethyst Glow.

Lampu ini akan bertindak balas secara pintar mengikut arahan suara atau pelarasan suhu kabin mengikut keperluan pengguna.

Rangkaian Kuasa Berprestasi dan Cekap Mercedes-Maybach S-Class

Barisan rangkaian kuasa pembakaran dalaman telah direkayasa semula secara ekstensif untuk memenuhi peraturan emisi masa hadapan sambil mengekalkan prestasi tinggi.

Mercedes-Maybach S 680

Model ini menggunakan evolusi terbaharu enjin 4.0 liter lapan silinder (M 177 Evo) yang menghasilkan 612 hp dan tork 850Nm.

Dengan bantuan teknologi hibrid ringan (ISG 2.0), ia mampu memberikan tambahan kuasa 17kW (23ps) dan tork 205Nm.

Bagi pasaran tertentu, enjin V12 (M 279) dengan kuasa 612ps tetap dikekalkan.

Mercedes-Maybach S 580

Varian ini dikuasakan oleh enjin 4.0liter V8 yang lebih bertenaga dengan output 537 hp serta tambahan kuasa 17kW daripada sistem hibrid ringan yang sama.

Ia menawarkan imbangan terbaik antara prestasi puncak dan kelancaran pemanduan seharian.

Mercedes-Maybach S 580 e (Plug-in Hybrid)

Varian yang dilengkapi EQ Hybrid Technology ini menggunakan enjin 3.0 liter enam silinder petrol (M 256 Evo) yang menawarkan jarak pemanduan elektrik sekitar 100km.

Output sistem secara keseluruhan juga telah meningkat sebanyak 75 ps berbanding generasi enjin sebelumnya.

Redaman Pintar dan Keselesaan Maybach

Mod pemanduan Maybach yang ditala khas dalam sistem Dynamic Select memastikan keselesaan pemanduan paling tinggi dalam kelasnya.

Sistem ampaian udara Airmatic kini lebih pintar dengan fungsi predictive damping untuk menyerap segala ketidakarataan jalan.

Ia menggunakan data Car-to-X daripada model Mercedes-Benz lain di hadapan untuk mengesan keadaan jalan dan melaras tahap redaman secara elektronik lebih awal.

Ini memastikan keselesaan mutlak penumpang belakang terpelihara sepanjang perjalanan.

Spesifikasi Teknikal Mercedes-Maybach S-Class 2027

Mercedes-Maybach S 680 (V8 Evo MHEV/V12)

  • Enjin: 3,982 cc V8 (M 177 Evo)
  • Kuasa: 612 ps (450kW) + 23 ps (17kW)
  • Tork: 850Nm + 205Nm
  • Penggunaan Bahan Api: 11.7-11.0 l/100km

Mercedes-Maybach S 580 (V8 MHEV)

  • Enjin: 3,982 cc V8
  • Kuasa: 537 ps (395kW) + 23 ps (17kW)
  • Tork: 750Nm + 205Nm
  • Penggunaan Bahan Api: 11.5-10.8 l/100km

Mercedes-Maybach S 580 e (PHEV)

  • Enjin: 2,999cc 6-silinder (M 256 Evo)
  • Kuasa Enjin: 449ps (330kW)
  • Tork Enjin: 560Nm  rpm
  • Kuasa Motor Elektrik: 163ps (120kW)
  • Tork Motor Elektrik: 480Nm
  • Kuasa Keseluruhan Sistem: 585ps (430kW)
  • Tork Keseluruhan Sistem: 750Nm
  • Jarak Elektrik (WLTP): 92-98km
  • Pecutan 0-100km/j: 4.8 saat
  • Kelajuan Maksimum: 250km/j
  • Penggunaan Bahan Api (Weighted): 3.2-2.9 l/100km
  • Penggunaan Tenaga (Weighted): 1,820-1,750kWj/100km

Mercedes-Maybach S-580 4MATIC Night Series rasmi di Malaysia – dari RM2.4 juta

Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan ketibaan sedan ultra-mewah Mercedes-Maybach S580 4MATIC Night Series untuk pasaran tempatan dengan harga jualan dari RM2,404,888 (atas jalan tanpa insurans).

Tidak seperti S-Class Maybach yang pernah ditawarkan sebelum ini, edisi Night Series menampilkan motif gelap eksklusif yang membawakan kemewahan dan sporti yang diperhalusi ke satu aras baharu.

Terdapat beberapa warna luaran yang tersedia termasuklah kelabu, hitam dan putih, serta kombinasi warna dua tona seperti onyx black/Mojave silver dan Manufaktur opalite white bright/obsidian black.

Ia turut diserikan dengan beberapa kemasan terperinci seperti elemen rose gold dan krom metalik gelap pada unit lampu utama, serta kemasan dark shadow gloss pada jeriji hadapan dan bampar, bintang Mercedes, pemegang pintu serta emblem Maybach.

Selain itu, terdapat kemasan hitam berkilat pada struktur keliling tingkap, tiang B, serta perumah cermin sisi, diikuti ambang pintu bercahaya dengan skrip “MAYBACH Night Series”.

Akhir sekali, keempat-empat sudut gerbang roda dihiasi dengan rim aloi ringan Maybach tujuh jejari bersaiz 20 inci.

Ruang kabin S580 Night Series ini dilengkapi dengan balutan kulit nappa dengan kombinasi warna Black/Black Pearl, kemasan golden-grey berkilat, sistem pencahayaan ambien aktif dengan skema warna Garnet Glow, trim kayu Manufaktur serta kemasan gaya kristal hitam dengan corak Maybach pada konsol tengah.

Bahagian corong pendingin hawa pula diberikan kemasan dark shadow gloss pada bahagian depan dan belakang.

Bersesuaian dengan tema hitam, sedan ini turut dilengkapi dengan animasi permulaan bertemakan mistik pada skrin paparan.

Mercedes-Maybach S580 4MATIC Night Series ini dikuasakan oleh enjin bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar dengan janaan kuasa 496 hp @ 5,500 rpm dan daya kilas 700 Nm @ 2,000-4,500 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik 9-kelajuan, sistem pacuan semua roda 4MATIC, dan sistem hibrid EQ-Boost (tambahan kuasa 23 hp/205 Nm).

Mercedes-Maybach EQS 680 SUV rasmi, harga dari RM1,088,888

Mercedes-Benz Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan SUV ultra mewah Mercedes-Maybach EQS 680 SUV, dengan harga jualan bermula dari RM1,088,888 tidak termasuk kos penyesuaian.

Dari segi kuasa, EQS 680 SUV Maybach ini dijana dengan dua motor elektrik, menghasilkan kuasa 658 hp dan daya kilas 950 Nm.

Terdapat beberapa mod pemanduan termasuklah Eco, Sport, Offroad, Individual, sert mod khas MAYBACH yang menggantikan mod Comfort yang memastikan keselesaan maksimum untuk penumpang belakang.

Pek bateri 118 kWh pula membenarkan jarak gerak sejauh 500-608 km untuk sekali cas penuh, selain menyokong pengecasan AC 22 kW dan DC sehingga 200 kW.

Secara standard, SUV mewah ini mendapat kelengkapan seperti sistem suspensi adaptif AIRMATIC, sistem stereng roda belakang, rim aloi Maybach 21 inci, unit pencahayaan DIGITAL LIGHT, serta tempat pemijak sisi bercahaya.

Untuk ruang kabin pula, Mercedes-Maybach EQS 680 SUV ini membawakan ruang belakang seumpama kabin kelas pertama yang lengkap dengan pakej kulit MANUFAKTUR, headliner kulit Nappa, tirai penghadang cahaya elektrik, sistem infohibur khas, serta tempat duduk boleh laras lengkap dengan fungsi pemanas, urut dan fungsi memori.

Pemandu pula disediakan dengan roda stereng lengkap dengan paddle shifter bergalvani, kemasan kayu dan sistem pemanas, sistem mutimedia MBUX Hypersceen, integrasi Apple CarPlay dan Android Auto dan paparan head-up realiti terimbuh.

Selain itu, terdapat juga sistem bunyi keliling Burmester 4D, sistem pencahayaan ambien, ruang storan bawah konsol tengah, penapis udara kabin, serta kemasan Maybach di sekitar ruang kabin.

Ciri keselamatan termasuklah 11 beg udara, Driving Assistance Package Plus, Distronic Plus, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, Pre-Safe, Active Parking Assist, serta fungsi Remote Parking.

Mercedes-Maybach GLS 600 4Matic dilancarkan – dari RM1.9 juta

RANGKAIAN model Dream Cars Collection Mercedes-Benz Malaysia (MBM) kini diperluaskan lagi dengan ketibaan empat model serba baharu.

Yang pertama adalah SUV bersaiz penuh ultra-mewah iaitu Mercedes-Maybach GLS 600 4Matic, yang dijual pada harga bermula dari RM1,918,888.

Model ini boleh dibezakan dengan versi standard menerusi bar krom melintang, tulisan Maybach, logo Maybach pada gril liang udara, serta rim tempaan multi-spoke berukuran 23 inci.

Bukan itu sahaja, model ini juga boleh didapati dalam pelbagai warna termasuk warna dua tona yang sinonim dengan jenama mewah itu.

Antara kelengkapan yang diberikan secara standard termasuk lampu Multibeam LED dengan ciri Adaptive Highbeam Assist Plus dan bumbung suria panoramik. Turut disertakan adalah pintu soft-close.

Ruang kabin dijelmakan menjadi lebih mewah dan eksklusif menerusi pakej julit Manufaktur, yang membawakan kulit Nappa pada kerusi dan pelapik bumbung, serta jahitan corak berlian berkualiti tinggi pada kerusi.

Pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan gabungan warna Manufaktur Crystal White/Silver Grey Pearl atau Mahogany Brown/Machhiato Beige yang ditawarkan secara eksklusif untuk model Mercedes-Maybach.

Khas untuk penumpang belakang adalah sepasang kerusi Executive yang dilengkapi dengan perehat kaki dan fungsi urut. Penumpang dipisahkan dengan konsol tengah yang menempatkan pemegang cawan dan peti sejuk mini.

Tidak cukup dengan itu, keselesaan penumpang dijamin dengan pencahayaan ambien yang mewarnai setiap sudut ruang kabin termasuk pelapik bumbung, serta pakej Acoustic Comfort yang boleh mengurangkan bunyi bising.

Sistem multimedia MBUX membawakan Widescreen Cockpit yang terdiri daripada panel instrumen dan skrin sentuh, head-up display dengan navigasi realiti terimbuh (AR), serta dua paparan 11.6 inci dan tablet untuk penumpang belakang.

Maybach GLS 600 dikuasakna oleh enjin 4.0-liter biturbo V8 yang menghasilkan 557 PS pada 6,000 rpm dan 770 Nm tork dari 2,500 hingga 4,500 rpm. Ia dibantu oleh sistem mild hybrid dengan motor elektrik yang mampu menjana 22 PS dan 250 Nm.

Menurut Mercedes-Benz, SUV besar ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.9 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 250 km/j.

Untuk casis, model ini menggunakan gabungan sistem suspensi udara Airmatic dan E-Active Body Control untuk pemanduan yang selesa.

Ia juga mempunyai Magic Vision Control yang menggunakan bilah pengelap cermin yang dipanaskan untuk pandangan yang lebih jelas.

Sistem keselamatan dan bantuan pemanduan pemandu pula merangkumi ciri-ciri Guard 360°, Driving Assistance Package, Mirror Package, Active Distance Assist Distronic, Parking Package dengan kamera 360 darjah dan Pre-Safe Impulse Side.