fbpx

Mercedes-Maybach GLS 600 4Matic dilancarkan – dari RM1.9 juta

Maybach GLS 600 4M_ (4)

RANGKAIAN model Dream Cars Collection Mercedes-Benz Malaysia (MBM) kini diperluaskan lagi dengan ketibaan empat model serba baharu.

Yang pertama adalah SUV bersaiz penuh ultra-mewah iaitu Mercedes-Maybach GLS 600 4Matic, yang dijual pada harga bermula dari RM1,918,888.

Model ini boleh dibezakan dengan versi standard menerusi bar krom melintang, tulisan Maybach, logo Maybach pada gril liang udara, serta rim tempaan multi-spoke berukuran 23 inci.

Bukan itu sahaja, model ini juga boleh didapati dalam pelbagai warna termasuk warna dua tona yang sinonim dengan jenama mewah itu.

Antara kelengkapan yang diberikan secara standard termasuk lampu Multibeam LED dengan ciri Adaptive Highbeam Assist Plus dan bumbung suria panoramik. Turut disertakan adalah pintu soft-close.

Ruang kabin dijelmakan menjadi lebih mewah dan eksklusif menerusi pakej julit Manufaktur, yang membawakan kulit Nappa pada kerusi dan pelapik bumbung, serta jahitan corak berlian berkualiti tinggi pada kerusi.

Pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan gabungan warna Manufaktur Crystal White/Silver Grey Pearl atau Mahogany Brown/Machhiato Beige yang ditawarkan secara eksklusif untuk model Mercedes-Maybach.

Khas untuk penumpang belakang adalah sepasang kerusi Executive yang dilengkapi dengan perehat kaki dan fungsi urut. Penumpang dipisahkan dengan konsol tengah yang menempatkan pemegang cawan dan peti sejuk mini.

Tidak cukup dengan itu, keselesaan penumpang dijamin dengan pencahayaan ambien yang mewarnai setiap sudut ruang kabin termasuk pelapik bumbung, serta pakej Acoustic Comfort yang boleh mengurangkan bunyi bising.

Sistem multimedia MBUX membawakan Widescreen Cockpit yang terdiri daripada panel instrumen dan skrin sentuh, head-up display dengan navigasi realiti terimbuh (AR), serta dua paparan 11.6 inci dan tablet untuk penumpang belakang.

Maybach GLS 600 dikuasakna oleh enjin 4.0-liter biturbo V8 yang menghasilkan 557 PS pada 6,000 rpm dan 770 Nm tork dari 2,500 hingga 4,500 rpm. Ia dibantu oleh sistem mild hybrid dengan motor elektrik yang mampu menjana 22 PS dan 250 Nm.

Menurut Mercedes-Benz, SUV besar ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.9 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 250 km/j.

Untuk casis, model ini menggunakan gabungan sistem suspensi udara Airmatic dan E-Active Body Control untuk pemanduan yang selesa.

Ia juga mempunyai Magic Vision Control yang menggunakan bilah pengelap cermin yang dipanaskan untuk pandangan yang lebih jelas.

Sistem keselamatan dan bantuan pemanduan pemandu pula merangkumi ciri-ciri Guard 360°, Driving Assistance Package, Mirror Package, Active Distance Assist Distronic, Parking Package dengan kamera 360 darjah dan Pre-Safe Impulse Side.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved