Helikopter AW139 milik APMM terhempas, semua kru selamat

SEBUAH helikopter Leonardo AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dilaporkan terhempas di perairan Klang, kira-kira lima batu nautika dari Pulau Angsa, pagi tadi.

Menurut siaran rasmi oleh APMM, pesawat dengan nombor pendaftaran M72-01 itu melakukan pendaratan cemas di Perairan Pulau Angsa, Selangor lebih kurang pada jam 9.55 pagi tadi ketika melakukan latihan menyelamat.

Maklumat awal diterima menerusi panggilan MERS 999 oleh pemancing yang berada di sekitar lokasi kejadian.

Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada jam 10.15 pagi tadi.

AW139 milik APMM. Gambar oleh: helis.com

Pesawat yang mendarat cemas diterbangkan oleh Leftenan Komander Maritim Tengku Mohd Nizam bin Tengku Zakaria, Leftenan Komander Maritim Mohamad Azrol bin Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I Maritim John bin Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara Muda Maritim Muhamad Nurhayyat bin Hashim.

Airbus AS365 N3 Dauphin. Gambar oleh: Jetphotos

Aset Maritim Malaysia yang diatur gerak ke lokasi kejadian ialah BOT PENGAWAL 25 dari Maritim Negeri Selangor, bot RH 16 dan PSC 39 daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang dan sebuah pesawat AS365N3 Dauphin APMM dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS).

Semua kru AW139 telah diselamatkan dan telah diterbangkan ke SUMS.

Sebelum itu, bot pemancing yang berada di lokasi berkenaan telah memberi bantuan awal kepada kru yang terbabit dan 10 anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dan KM BAGAN DATUK juga diatur gerak ke lokasi bagi melakukan kawalan keselamatan di lokasi kejadian.

Maritim Malaysia akan melakukan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca-punca kejadian.

Maritim Malaysia juga mengucapkan terima kasih atas maklumat dan tindakan pantas daripada komuniti maritim yang membantu CARILAMAT kejadian ini.

Operasi CARILAMAT telah ditamatkan oleh CAAM pada jam 11:15 pagi sebentar tadi.

APMM bakal terima empat unit helikopter maritim AW189 baharu

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memutuskan untuk memperolehi empat buah helikopter AW189 yang dibangunkan oleh syarikat Leonardo Helicopters.

Majlis penyerahan Surat Setuju Terima bagi perolehan empat buah helikopter AW189 milik APMM  itu telah disempurnakan Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi pada Selasa lepas.

Kontrak perolehan helikopter bersaiz sederhana itu telah dianugerahkan kepada Syarikat Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd, namun kenyataan di dalam akuan FB Kementerian Dalam Negeri itu tidak menyatakan kos perolehannya.

AW139 milik APMM. Gambar oleh: helis.com

Pada ketika ini, APMM mengoperasikan tiga unit AW139 yang merupakan model lebih kecil berbanding AW189, serta tiga unit AS365 Dauphin. Sementara itu, dua buah helikopter AW189 digunakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

AW189 milik JBPM.

Helikopter AW189 Leonardo Helicopters itu dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan untuk melaksanakan misi-misi yang mencabar.

Dengan berat 8,300kg hingga 8,600kg serta dilengkapi dengan dua enjin Safran atau General Electric, helikopter medium-lift itu berkeupayaan terbang selaju 294km/j.

Dengan dua krew, helikopter AW189 itu boleh membawa sehingga 19 orang penumpang. AW189 juga boleh dilengkapi dengan keupayaan untuk melaksanakan misi-misi perubatan dan menyelamat yang mencabar.

Ia adalah helikopter paling baik di dalam kelasnya dari segi kelajuan, jarak operasi dan muatannya bagi membolehkan ia melaksanakan prestasi paling tinggi dalam misi-misi SAR (Search and Rescue) dan Medical Evacuation (MEDEVAC).

Jarak operasi dan ketahanan helikopter AW189 memberikan ia kelebihan besar dalam melaksanakan misi-misi yang penting dalam menyelamatkan nyawa.

Helikopter AW189 memastikan juruterbangnya dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini dalam aspek penerbangan helikopter dan juga ciri-ciri keselamatan.

Avionik moden milik helikopter itu dengan digital glass cockpit bersepadu memberikan ia kesedaran tentang situasi tertinggi dengan set sensor yang komprehensif.

Kabin helikopter AW189 adalah paling besar di dalam kelasnya, dengan kemampuan untuk menempatkan sembilan penumpang bersama-sama tiga buah stretcher dan kelengkapan-kelengkapan penting untuk misi menyelamatkan nyawa.