Leapmotor C10 dipertonton di Malaysia, dijangka dilancarkan pada Oktober ini

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Stellantis Malaysia, syarikat yang mengendalikan jenama Peugeot, DS dan Citroen, akan membawa masuk jenama EV dari China iaitu Leapmotor ke pasaran tempatan.

Model Leapmotor pertama yang akan dibawa masuk adalah C10, yang telah dipertontonkan kepada pihak media hari ini.

C10 merupakan SUV elektrik bateri lima tempat duduk yang mempunyai ukuran panjang 4,739 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,680 mm dan tapak roda 2,825 mm.

Seperti yang boleh dilihat, ia menampilkan rekaan minimalis yang digabungkan dengan elemen-elemen moden dan premium seperti jalur lampu LED melintang pada bahagian depan dan belakang, rim 20 inci serta pemegang pintu jenis flush.

Konsep minimalis diteruskan pada bahagian dalam, di mana anda akan menemui roda stereng dua jejari, panel instrumen digital 10.25 inci dan skrin sentuh sistem infotainment 14.6 inci yang dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon.

Bagaimanapun, kami difahamkan yang C10 tidak akan didatangkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Selain itu, unit yang dipertontonkan ini juga menampilkan upholsteri kulit silikon Oeko-Tex, pengecas tanpa wayar, pendingin hawa dua zon, sistem pencahayaan ambien, fungsi pemanas/penyejuk tempat duduk dan bumbung suria panoramik.

Untuk keselamatan, C10 dilengkapi dengan ADAS Tahap 2 dengan 16 ciri serta kamera 360 darjah.

Spesifikasi trenkuasa untuk pasaran tempatan masih belum didedahkan tetapi untuk pasaran global, C10 mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menjana 218 PS.

Ia dilengkapi dengan bateri jenis Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 69.9 kWj yang mampu memberikan jarak pandu sejauh 420 km berdasarkan kitaran WLTP.

Perincian mengenai pengecasan tidak diketahui namun laman web global Leapmotor menyatakan bahawa bateri itu boleh dicas dari 30% hingga 80% dalam masa 30 minit.

Pelancaran rasmi Leapmotor C10 dijangka berlaku pada bulan Oktober ini. Harga masih menjadi tanda tanya tetapi ia sepatutnya tidak jauh berbeza dengan pesaing-pesaing terdekatnya seperti BYD Atto 3 dan Chery Omoda E5.

Leapmotor C16 dilancarkan di China, boleh pergi sehingga 1,095 km!

LEAPMOTOR, pengeluar kenderaan elektrik dari China yang bernaung di bawah Stellantis, telah melancarkan produk terbarunya iaitu sebuah SUV saiz pertengahan yang dikenali sebagai C16.

Dari luar, C16 kelihatan tidak begitu banyak berbeza dengan model global pertama Leapmotor iaitu C10, dengan lampu melintang pada bahagian depan dan belakang, dan pemegang pintu tersembunyi.

Walau bagaimanapun, ukuran model ini sedikit lebih besar iaitu panjang 4,915 mm (+176 mm), lebar 1,905 mm (+ 5mm) dan tinggi 1,770 mm (+90 mm). Ukuran tapak roda pula sama iaitu 2,825 mm.

Di dalam, C16 terus mengikut jejak langkah C10 dengan menampilkan rekaan minimalis. Berada di hadapan pemandu adalah panel instrumen 10.25 inci, manakala papan pemuka didominasi oleh skrin sentuh 14.6 inci yang dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8925.

Di sini, C16 boleh dibezakan menerusi konfigurasi tempat duduk 2-2-2. Barisan kedua menampilkan kerusi kapten dengan pelarasan elektrik yang membolehkan ia dibaringkan sehingga 145 darjah, serta fungsi pemanas dan ventilasi.

Sementara itu, kerusi barisan ketiga boleh dibaringkan sehingga 10 darjah serta mempunyai perehat tangan dengan ukuran lebar 120 mm. Menurut Leapmotor, ukuran ruang kepala di barisan ini adalah 947 mm.

Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk skrin infotainmen belakang berukuran 15.6 inci, sistem audio premium dengan 21 pembesar suara, pendingin hawa dua zon (tiga zon untuk varian lebih tinggi) dan pengecas wayarles 15W.

Untuk keselamatan, C16 didatangkan dengan Pilot Intelligent Driving Assistance System yang merangkumi sebanyak 30 penderia untuk mencapai swapandu tahap 3.

Seperti C10, C16 boleh didapati dengan trenkuasa elektrik atau hibrid range extender. Versi EV dilengkapi dengan bateri LFP berkapasiti 67.7 kWj yang menawarkan jarak pandu sehingga 520 km.

Ia juga mempunyai motor elektrik yang menjana 292 PS dan 360 Nm, membolehkan SUV ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.4 saat.

Sementara itu, versi hibrid range extender menampilkan gabungan enjin 1.5 liter, pek bateri 28.4 kWj dan motor elektrik gandar belakang dengan 231 PS dan 320 Nm. Versi ini dikatakan mempunyai jarak gerak sehingga 200 km dengan kuasa elektrik sahaja atau sehingga 1,095 km dengan bantuan enjin.

Di China, C16 ditawarkan dalam enam varian kesemuanya (tiga untuk versi EV, tiga lagi untuk range extender) dengan harga bermula dari 155,800 hingga 185,800 yuan (RM101,067-RM120,528).

Malaysia Autoshow 2024: EV Citroen Ami Buggy paling mencuri tumpuan di reruai Stellantis

Bertempat di Malaysia Autoshow 2024, Stellantis Malaysia mempamerkan beberapa kenderaan yang menarik di bawah portfolio Peugeot, Citroen dan juga Leapmotor.

Antara yang mencuri tumpuan ialah kehadiran EV yang dikategorikan dalam segmen kuadrisikal di Eropah, iaitu Citroen Ami Buggy.

 

Citroen Ami Buggy merupakan versi My Ami yang lebih lasak dan ranggi, dan hanya ditawarkan dalam unit terhad di pasaran luar negara.

Mengikut spesifikasi, ia dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 8 hp dan pek bateri 5.5 kWh yang membolehkan EV comel ini dipandu sejauh 70 km untuk sekali cas penuh.

Membezakan Ami Buggy dengan versi standard ialah pintu asal yang telah digantikan dengan bar keluli, kemasan warna luaran yang kusam, serta penambahan besi pelindung lampu, kangaroo bar, diikuti dengan pemasangan rak dan lampu LED pada bahagian bumbung.

Selain daripada Ami Buggy, Citroen turut mempamerkan model crossover C3 Aircross.

 

Peugeot pula mempamerkan dua buah model, iaitu Peugeot 408 yang baharu sahaja dilancarkan pada penghujung bulan lepas, serta pengenalan varian baharu trak pikap Landtrek SE.

Peugeot Landtrek SE membawakan penambahan aksesori seperti peredam pintu belakang, pelekat LANDTREK hitam, arka roda yang lebih agresif, Peugeot Tag Bezels berwarna hitam, diikuti dengan visor pintu dan tempat pemijak sisi.

Terdapat dua warna ditawarkan untuk Landtrek SE, iaitu kelabu Rockstone Grey atau putih Ceramic White.

Dikuasakan oleh enjin 1.9 liter diesel turbo berkuasa 150 hp dan 350 Nm, nadi tersebut dipadankan dengan transmisi automatik enam nisbah kelajuan, menawarkan keupayaan membawa muatan 1 tan dan menunda beban seberat 3 tan.

Harga jualan bermula dari RM129,124.

 

Leapmotor pula merupakan sebuah jenama EV baharu yang bakal muncul pada suku keempat tahun ini di Malaysia.

Di Malaysia Autoshow 2024, Leapmotor mempamerkan model C10, produk global pertama jenama itu yang membawakan teknologi elektrik termaju, pemanduan premium, penarafan lima bintang E-NCAP, serta jarak gerak sejauh 420 km (data WLTP).

Pengunjung juga turut berpeluang untuk memandu uji model-model seperti Peugeot 408 GT, SUV Peugeot 3008, serta trak pikap Peugeot Landtrek.

Pelanggan yang membuat tempahan sepanjang acara berlangsung akan menikmati penjimatan eksklusif RM9,000 untuk model Peugeot 3008 dan 5008, sementara mereka yang menempah Peugeot 408 akan menikmati pakej servis percuma selama satu tahun.

 

Citroen Ami Buggy

Stellantis bakal lancar jenama EV Leapmotor di Eropah September ini, Malaysia Q4 2024

Permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) yang agak perlahan di peringkat global pada ketika ini bukanlah penghalang bagi Stellantis untuk memperkenalkan sebuah jenama baharu yang dibawakan dari China untuk pasaran Eropah.

Jenama yang dimaksudkan itu ialah Leapmotor, di mana untuk permulaan Stellantis akan melancarkan dua buah model EV menjelang September ini.

Secara keseluruhan, Stellantis menyasarkan sehingga enam buah model baharu yang akan diperkenalkan untuk pasaran Eropah sebelum tahun 2028.

Model pertama yang bakal dilancarkan ialah sebuah EV bandar, Leapmotor T03.

T03 merupakan sebuah hatchback lima pintu segmen A dengan ukuran dimensi yang sedikit kecil berbanding Mitsubishi Mirage, dipadankan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 100 hp dan mampu bergerak sejauh 265 km untuk sekali cas penuh.

Stellantis merancang untuk memasang sendiri model T03 di Poland, sekaligus menjadikan harga jualannya yang jauh lebih murah dan mampu bersaing dengan model-model EV yang ada di pasaran.

Selain T03, Stellantis dijangka akan membawakan pesaing kepada Tesla Model Y, iaitu Leapmotor C10 yang diimport sepenuhnya dari China.

 

Mengikut spesifikasi, C10 merupakan sebuah SUV segmen D yang mampu memuatkan sehingga lima orang pada satu-satu masa, diikuti motor elektrik berkuasa 228 hp dan keupayaan bergerak sejauh 420 km.

Antara pasaran Eropah yang bakal menerima kehadiran jenama Leapmotor ini ialah Belgium, Greece, Itali, Jerman, Netherlands, Perancis, Portugal, Romania dan Sepanyol.

Menjelang suku keempat, Stellantis akan melancarkan jenama Leapmotor di pasaran Timur Tengah, Afrika, India, Asia Pasifik dan Amerika Selatan.

 

 

Sebelum ini, Stellantis Malaysia turut mendedahkan perancangan yang sama untuk memperkenalkan jenama EV Leapmotor di Malaysia pada tahun ini.

Ia bakal diposisikan sebagai sebuah jenama EV yang mampu milik sebagai alternatif kepada beberapa jenama EV yang sudah pun wujud seperti BYD, Neta, dan juga Ora.

 

Leapmotor T03

Leapmotor C10

Stellantis umum kehadiran jenama EV mampu milik Leapmotor untuk pasaran Malaysia

Pihak Stellantis Malaysia dalam satu sesi yang dianjurkan bersama para pengamal media mendedahkan perancangan untuk membawa masuk sebuah jenama EV yang mampu milik, iaitu Leapmotor.

Untuk makluman, Leapmotor merupakan sebuah jenama EV yang ditubuhkan pada Disember 2015 berpengkalan di Hangzhou, China.

 

 

Pada tahun lepas, Stellantis mengumumkan penguasaan pegangan sebanyak 20 peratus di dalam Leapmotor untuk membolehkan kumpulan itu menghasilkan dan mengedarkan kenderaan jenama EV terkecil di China itu untuk pasaran global.

Antara model kenderaan yang dihasilkan oleh Leapmotor termasuklah hatchback bandar T03 dengan jarak gerak sejauh 403 km, sedan saiz pertengahan C01 yang berkeupayaan bergerak sejauh 717 km, dan SUV saiz pertengahan C11.

 

 

Selain daripada jenama Leapmotor, Stellantis juga mendedahkan kehadiran jenama ikonik lain seperti Peugeot yang telah diumumkan sebelum ini, Citroen untuk pasaran massa, serta Jeep di bawah kategori gaya hidup rekreasi.

Pihak Stellantis juga sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk membawa masuk beberapa jenama lain seperti Alfa Romeo, Chrysler, DS Automobiles, Dodge, Fiat, Maserati, Opel, Vauxhall, serta memperkenalkan perkhidmatan sewa kenderaan Leasys dan perniagaan perkongsian kenderaan Free2move.

Untuk jangka masa terdekat, Stellantis dijangka akan melancarkan model crossover sedan Peugeot 408 bertempat di Malaysia Autoshow 2024.

 

 

Di Malaysia, Stellantis dijangka akan menggunapakai pendekatan yang dipraktikkan di Eropah, di mana kesemua jenama automotif akan dihimpunkan dalam satu pusat pameran tunggal.

Selain daripada memperluaskan jaringan pusat pameran dan servis di seluruh negara, salah satu aspek yang ditekankan adalah penambahbaikan dalam khidmat selepas jualan.

Berkenaan dengan kilang pemasangan kenderaan di Gurun, kami dimaklumkan bahawa fasiliti tersebut kini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 60,000 unit setahun.

Daripada jumlah tersebut, 60 peratus kenderaan yang dipasang di sana dikhaskan untuk pasaran eksport (termasuk kenderaan pemanduan sebelah kiri, LHD), manakala selebihnya untuk pasaran domestik.