Cycle & Carriage secara rasmi membuka bilik pameran Leapmotor terbaharu yang terletak di Setia Alam, Selangor, sekali gus meluaskan akses kepada pelanggan sekitar Setia Alam dan Shah Alam.
Premis itu kini menjadi lokasi Leapmotor ketujuh di bawah kendalian Cycle & Carriage di Malaysia
Kemudahan
Dengan keluasan sekitar 3,570 kaki persegi, bilik pameran itu boleh memuatkan sehingga empat kenderaan Leapmotor pada satu-satu masa.
Ia turut menyediakan ruang istirahat pelanggan yang dilengkapi televisyen dan kemudahan sokongan untuk keselesaan ketika berurusan dengan pasukan jualan.
Bilik pameran Setia Alam terletak di Unit No. 23-1, Setia Avenue, Jalan Setia Prima S U13/S, Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor.
Ia dibuka setiap hari dari jam 8 pagi hingga 6 petang.
Selain Setia Alam, rangkaian Leapmotor Cycle & Carriage kini merangkumi lokasi berikut:
Plaza 33 Petaling Jaya
Pavilion Bukit Jalil
Paradigm Mall Johor Baharu
Pusat 3S Glenmarie
Pusat 3S Johor Bahru
Pusat 3S George Town
Kukuh kerjasama dengan Stellantis
Ketua Pegawai Eksekutif Cycle & Carriage Malaysia, Adrian Short berkata, pembukaan itu mengukuhkan kehadiran syarikat di Malaysia, selain mendekatkan Leapmotor kepada lebih ramai pelanggan melalui sokongan jualan dan selepas jualan.
Pembukaan ini turut memperkukuh kerjasama Cycle & Carriage dengan Stellantis Malaysia dalam mengembangkan jenama Leapmotor dan meningkatkan akses kepada mobiliti elektrik pintar.
Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo berkata, rangkaian jualan yang kukuh dan mudah diakses penting untuk meningkatkan keyakinan pengguna beralih kepada EV.
Jelasnya lagi, bilik pameran baharu itu membolehkan pelanggan melihat sendiri teknologi serta rangkaian produk Leapmotor sebelum membuat pilihan.
Daripada segi penampilan, Leapmotor B10 mungkin kelihatan seperti sebuah SUV elektrik ringkas, tetapi jangan tertipu.
Model kedua Leapmotor Malaysia ini hadir pada masa tepat ketika pengguna mula mencari EV yang praktikal, mampu milik, dan tidak terlalu eksperimental.
Pertama: ia menawarkan alternatif yang lebih masuk akal berbanding abangnya, C10.
Kedua: di sebalik reka bentuk minimalisnya, tersimpan beberapa kelebihan yang membuatkan pesaingnya perlu memandang serius.
Berikut merupakan pandangan kami setelah beberapa hari meneroka SUV Leapmotor ini.
Luaran
Seperti C10, B10 mengekalkan bahasa reka bentuk minimalis yang menyumbang kepada pekali seretan serendah 0.265 Cd, satu angka yang jarang ditemui dalam segmen ini.
Identiti Wing Star pada lampu depan dan belakang yang nipis memberikan karakter yang bersih dan moden.
Cuma anda masih perlu membiasakan diri dengan pemegang pintu yang perlu ditolak keluar secara manual.
Nasib baik, pintu tailgate dilengkapi suis yang memudahkan kerja memunggah barang.
B10 dipadankan dengan rim aloi 18 inci bersama tayar Linglong Sport Master.
Ya, satu nama yang mungkin membuatkan anda angkat kening, tetapi prestasinya di selekoh cukup meyakinkan.
Pilihan warna juga tidak membosankan: termasuk Starry Night Blue yang diinspirasikan karya Van Gogh, Dawn Purple, dan Tundra Grey.
Kabin
Satu perkara yang penulis amat hargai pada B10 ialah kehadiran skrin kluster LCD 8.8 inci.
Bermakna, anda tidak perlu kerap mengalihkan pandangan untuk membaca info penting semasa memandu.
Skrin ini juga dipasang terus pada kolum stereng, dan akan bergerak mengikut larasan tilt dan teleskopik.
Sementara di bahagian tengah terdapat skrin sentuh sebesar 14.6 inci yang menjadi pusat bagi segala fungsi dan kawalan (termasuklah cermin sisi. Hmmm…).
Berita baik, Leapmotor B10 kini menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar!
Ini merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan pengguna yang celik teknologi pada kereta Leapmotor.
Praktikaliti
Jika C10 terasa lebih premium, B10 pula lebih bersifat utilitarian dan itu bukanlah satu kekurangan yang patut anda bimbangkan.
Antara ciri yang penulis suka termasuklah corong pendingin hawa yang boleh dilaras manual, serta konsol tengah terapung yang menempatkan ruang besar di bawah.
Pemegang botol/cawan di bawah juga boleh dilipat untuk memaksimumkan lagi ruang sedia ada.
Anda tidak perlu risau kerana terdapat banyak ruang storan yang disediakan dalam kabin B10 termasuklah pada konsol tengah, bawah corong udara baris kedua serta glove box yang boleh memuatkan laptop 14 inci!
Ruang kargo 430 liter boleh dibuka sehingga 1,700 liter apabila tempat duduk belakang dilipat menjadikan hampir 88% ruang kabin boleh dimanfaatkan untuk aktiviti keluarga.
Balutan upholsteri Oeko-Tex Standard 100 daripada bahan arang buluh menjadikan kabin lebih mesra keluarga, terutama bagi mereka yang ada anak kecil.
Pengalaman pemanduan
Kalau dulu, tetapan suspensi multi-link di belakang hanya dikhususkan untuk kereta-kereta bertaraf mewah, namun kini ia sudah menjadi satu kelaziman.
Untuk model B10, ia hadir dengan tetapan topang MacPherson di depan dan multi-link di belakang.
Berdasarkan pengalaman, talaan suspensi B10 terasa lebih natural dengan olengan badan yang lebih terkawal.
Talaan roda stereng juga dirasakan lebih hidup dengan respons yang mudah dijangka.
Apa yang membuatkan B10 ini lebih sedap dipandu ialah respons pedal brek yang tidak lagi kosong, satu peningkatan yang cukup signifikan berbanding C10.
Secara standard, B10 digerakkan oleh motor tunggal pacuan roda belakang berkuasa 218 hp dan 240 Nm.
Jika C10 direka untuk keselesaan keluarga, B10 pula mungkin sesuai untuk mereka yang menggemari pemanduan beremosi.
Terdapat tiga mod pemanduan disediakan di mana pada hemat penulis mod Comfort dirasakan lebih seimbang dan sesuai untuk pemanduan harian.
Bateri & pengecasan
Varian Design yang kami pandu uji ini dilengkapi bateri 67.1 kWh.
Untuk sekali cas penuh ia boleh mencapai jarak pandu WLTP sekitar 434 km, memadai dan mencukupi untuk pemanduan di dalam bandar.
Sekiranya perlu merentas negeri, anda boleh memanfaatkan keupayaan pengecasan DC sehingga 168 kW, membolehkan bateri dicas 30-80% dalam masa kurang 30 minit.
Keselamatan
Secara standard, B10 dilengkapi dengan 7 beg udara, ABS, EBD, serta tidak ketinggalan kamera 360 darjah yang sangat jelas dan membantu ketika melalui lorong yang sempit.
Dengan ciri keselamatan yang hampir menyeluruh (termasuk 17 ciri ADAS), B10 sesuai digunakan untuk golonga pemandu baharu.
Segala ciri-ciri yang ada pada SUV ini direka untuk memastikan SUV ini kekal selamat dipandu sepanjang masa, termasuklah:
Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
Kawalan Pemusatan Lorong (LCC)
Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
Namun untuk pemandu yang sudah berpengalaman, ada masanya ia dirasakan terlalu mengawal.
Ada beberapa ciri yang boleh dimatikan sejak dari mula memandu, namun dalam keadaan tertentu ia akan kembali aktif tanpa diminta.
Setelah beberapa kali, penulis lebih gemar untuk membiarkan sahaja fungsi tersebut kekal aktif walaupun ada kalanya ia boleh menyebabkan pemandu ‘naik angin’.
Kelemahan
Sama seperti C10, pemilik B10 masih perlu bergantung kepada kunci NFC setiap kali sebelum memulakan pemanduan.
Mujur juga terdapat alternatif di mana pemilik boleh menggunakan peranti pintar sebagai kunci pendua selain mengakses beberapa info penting di hujung jari.
Tak usah risau kerana Leapmotor Malaysia mula menawarkan opsyen tersebut untuk pemilik baharu dan pemilik sedia ada.
Kesimpulan
Leapmotor B10 boleh membuktikan sesebuah SUV elektrik yang mampu milik (harga dari RM118,800) tidak semestinya perlu berkompromi aspek pemanduan, keselesaan atau praktikaliti.
Ia mungkin bukan yang paling berkuasa atau paling premium di dalam segmennya.
Dengan pakej yang seimbang dan relevan dengan keperluan pengguna di Malaysia, B10 mampu menjadi EV yang boleh dipertimbangkan.
Leapmotor C10 memasuki pasaran Malaysia secara rasmi kira-kira dua tahun yang lalu.
Pada mulanya satu jenama yang cukup asing didengari, namun kini ia kian menjadi pilihan di kalangan rakyat Malaysia yang mahukan sebuah mod pengangkutan yang praktikal.
Model ini dikemas kini pada tahun 2025, menampilkan keupayaan pengecasan AC yang lebih pantas dan penambahan sistem pemantauan tekanan tayar.
Untuk model tahun 2026 pula, Leapmotor Malaysia mengumumkan ketibaan varian baharu C10 Plus dengan naik taraf yang lebih signifikan.
Berikut merupakan ulasan kami setelah diberikan peluang memandu uji kedua-dua varian C10 ini.
Luaran
Daripada segi luaran, memang tidak banyak perbezaan yang boleh dilihat antara kedua-dua model.
Rekaannya lembut dan minimalis tanpa kehadiran garis badan yang agresif, namun diserlahkan dengan padanan rim bersaiz 20 inci.
Pemegang pintu yang tertanam kemas dalam badan menjadikan imej C10 lebih bersih.
Namun cara operasinya mungkin tidak menyenangkan bagi sesetengah pihak.
Dalaman
Dengan dimensi yang cukup besar, C10 boleh dikategorikan sebagai sebuah kenderaan pelbagai guna walaupun tidak didatangkan dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk.
Dengan jarak antara roda 2,825 mm, Leapmotor C10 mampu menawarkan ruang kabin yang agak luas, terutama untuk penumpang baris kedua.
Ruang kepala juga dirasakan luas terima kasih kepada bumbung kaca panorama yang cukup luas.
Sekiranya terlalu silau, bumbung kaca itu boleh ditutup menggunakan tirai yang tersedia.
Penggunaan bahan upholsteri kulit silikon Oeko-Tex 100 menjadikan tempat duduk lebih empuk dan selesa sepanjang perjalanan.
Usah risau kerana ia juga mempunyai ciri kalis air dan bebas toksik, bermakna ia selamat untuk kegunaan anak kecil.
Aspek NVH juga cukup memuaskan di mana bunyi bising angin dan tayar juga berjaya ditapis dengan baik.
Unit C10 berwarna hijau ini didatangkan dengan kemasan warna Criollo Brown, agak cerah namun nampak premium.
Sekiranya anda tidak mahukan kemasan yang mudah nampak kotor, boleh dapatkan upholsteri hitam seperti yang terdapat pada model C10 Plus.
Antara kelebihan lain C10 ialah ruang kargo yang cukup besar untuk kegunaan harian.
Ruang sebesar 435 liter itu boleh mencapai kapasiti sehingga 1,410 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.
Ruang kokpit
Ringkas itu menyenangkan, tapi bila terlalu ringkas ia akan menjadi sesuatu yang menyukarkan.
Itulah perasaan penulis bila masuk ke dalam kokpit C10.
Disebabkan sudah terbiasa dengan papan pemuka yang sarat dengan butang fungsi fizikal, penulis rasa janggal seketika bila duduk di tempat duduk pemandu.
Susun aturnya terlalu ringkas di mana kesemua fungsi-fungsi penting disumbatkan ke dalam skrin infohibur.
Seperti contoh, arah tiupan angin sejuk, larasan suhu, tetapan lampu utama dan tidak ketinggalan larasan cermin sisi.
Mujur juga paparan menunya mudah untuk digunakan dan tidak serabut seperti sesetengah kereta yang jauh lebih mewah.
Sayang sekali, Leapmotor C10 masih lagi tidak didatangkan dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
C10 Plus yang hadir pada tahun ini juga masih tidak menyokong fungsi tersebut.
Seperkara lagi, satu rutin yang perlu anda belajar dan ingat setiap kali mahu mula memandu ialah mengimbas kunci berbentuk kad pada konsol tengah.
Ia perlu dibuat SEBELUM tangan menarik tuil transmisi ke posisi D.
Pengalaman pemanduan
Secara standard, Leapmotor C10 dikuasakan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang menghasilkan 215 hp dan 320 Nm.
Sementara C10 Plus pula mendapat naik taraf seni bina elektrik 800V dengan motor elektrik 299 hp dan 360 Nm.
Atas kertas nampak berkuasa, namun berdasarkan pengalaman pecutan C10 tidaklah seagresif mana-mana EV yang ada di pasaran.
Ia juga bukanlah sebuah kenderaan yang malas untuk bergerak, cuma talaan kuasanya lebih tertumpu untuk keselesaan penumpang.
Hamburan kuasa yang lancar di atas lebuh raya membolehkan SUV ini memecut pada kelajuan yang diinginkan untuk memotong kenderaan di hadapan.
Tayar Dunlop e-Sport Maxx memastikan SUV ini melekat dengan baik pada permukaan jalan, dibantu dengan talaan suspensi yang selesa dan tidak terlalu kasar.
Talaan stereng juga memuaskan, cuma tidak cukup responsif terutama untuk keadaan yang lebih memerlukan.
Perkara yang penulis bimbangkan semasa sesi awal pandu uji kembali menghantui: respons brek yang ‘kosong’.
Ketika pemanduan berkelajuan tinggi, perkara tersebut tidak mendatangkan masalah di mana sistem brek beroperasi dengan baik.
Masalah tersebut timbul apabila SUV ini bergerak pada kelajuan yang rendah di kawasan bandar, seakan tiada titik gigit brek dirasakan oleh pemandu.
Biarpun hadir dengan prestasi lebih bertenaga, C10 Plus juga masih lagi mewarisi ciri brek yang sama.
Jarak pandu
C10 dilengkapi dengan pek bateri 69.9 kWh yang menawarkan jarak pandu WLTP sejauh 424 km.
Dengan pengecasan pantas DC sehingga 84 kW, bateri C10 boleh dicas 30-80% dalam masa 30 minit sahaja.
C10 Plus pula dilengkapi bateri 81.9 kWh yang menawarkan jarak pandu WLTP lebih jauh, sekitar 510 km.
Ia juga turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 180 kW, memendekkan tempoh pengecasan kepada 22 minit sahaja.
Keselamatan
Leapmotor C10 hadir dengan kelengkapan keselamatan ADAS Tahap 2, merangkumi fungsi seperti kawalan jelajah adaptif, kawalan pemusatan lorong, amaran pelanggaran hadapan dan sebagainya.
Kesemua sistem yang dilengkapkan ini bertujuan untuk memastikan pemanduan yang lebih selamat di atas jalan.
Berdasarkan pengalaman, SUV ini sebenarnya seronok untuk dipandu.
Cuma dalam keadaan tertentu, campur tangan daripada sistem seperti bantuan pengekalan lorong kecemasan (ELKA) dan kawalan pemusatan lorong (LCC) menjadikan pemanduan tiba-tiba tidak meyakinkan.
Sistem tersebut bertindak sedikit agresif membetulkan arah pulasan stereng, menjadikan pemanduan lebih penat daripada kebiasaan.
Malah, ada di antara fungsi yang sudah dimatikan sebelum ini akan aktif semula setiap kali selepas kereta dihidupkan semula.
Penulis lebih gemar sekiranya sistem mengingati tetapan yang telah dibuat sejak dari awal tanpa perlu membuang masa setiap kali sebelum memandu C10 ini keluar.
Kelemahan yang sudah dibaiki
Antara perkara yang paling tidak disukai penulis ialah cara untuk masuk ke dalam kereta yang agak menyusahkan.
Sebelum masuk, pemandu perlu mengimbas kunci NFC pada perumah cermin sisi sebelah kanan.
Ia akan menimbulkan masalah apabila pemilik mahu meletakkan barang pada kerusi belakang sebelah kiri. Nak tak nak, kena juga imbas kad tersebut pada tempat yang sama setiap kali.
Dengan adanya aplikasi mudah alih, pemilik boleh menggunakan peranti pintar untuk membuka pintu kereta daripada mana-mana arah.
Dalam perkembangan terbaharu, pemilik Leapmotor baharu dan sedia ada sudah boleh mendapatkan fob kunci fizikal tanpa perlu bergantung kepada kad NFC.
Cuma, rutin wajib sebelum memandu masih lagi kekal, di mana anda perlu mengimbas kad tersebut pada konsol tengah sebelum menarik tuil transmisi. Hmm…
Kesimpulan
Setelah memandu uji Leapmotor C10 dan juga C10 Plus, jelas sekali SUV elektrik ini dicipta untuk menjadi sebuah kenderaan yang praktikal, selesa dan mesra keluarga.
Ia menawarkan ruang kabin yang luas, aspek NVH yang memuaskan, penggunaan bahan dalaman yang berkualiti serta talaan suspensi yang selesa.
Itu pun jika anda tidak berapa kisah dengan perangai seperti respons brek dan yang kurang memuaskan, sistem ADAS yang sedikit agresif, serta tiada sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Dengan harga bermula dari RM125,000 untuk versi pemasangan tempatan (CKD), Leapmotor C10 boleh jadi sebuah EV yang berbaloi dipertimbangkan.
Mahukan EV dengan keupayaan pengecasan yang lebih pantas dan jarak gerak lebih jauh, C10 Plus adalah jawapan yang anda cari dengan harga serendah RM129,000.
Stellantis Malaysia mengumumkan Leapmotor C10 dan B10 kini rasmi dipasang di kilang Stellantis Gurun, Kedah dan bakal berada di semua pengedar sah di seluruh negara.
Menurut Stellantis, pelaburan sebanyak EUR 5.3 juta telah disalurkan bagi membangunkan keupayaan produksi tempatan, termasuk naik taraf barisan produksi dan infrastruktur di sana.
Selaras dengan pengembangan ini, Leapmotor dan Stellantis beroperasi di bawah rangka kerja pematuhan global yang seragam bagi memastikan standard pembuatan yang konsisten dan berkualiti tinggi untuk semua unit CKD.
Kemas kini penawaran
Leapmotor C10 versi CKD kini ditawarkan dengan dua warna baharu iaitu Violet dan Lightning White bagi melengkapi warna Canopy Grey dan Glazed Green sedia ada.
Ia masih kekal dengan motor elektrik 218 hp/320 Nm yang dipadankan dengan bateri 69.9 kWh, menawarkan jarak pandu WLTP sehingga 424 km.
Leapmotor B10 pula diringkaskan kepada varian tunggal Design, dan mengekalkan penawaran warna sedia ada, iaitu Starry Night Blue, Tundra Grey, Metallic Black dan Light White.
Dibina atas pelantar LEAP3.5, SUV segmen C ini dipacu motor elektrik 218 hp/240 Nm dengan padanan bateri 67.1 kWh dan jarak pandu WLTP sejauh 434 km.
Selain itu, semua pemilik Leapmotor C10 dan B10 kini boleh mendapatkan aksesori fob kunci fizikal.
Leapmotor C10 CKD kini ditawarkan pada harga RM125,000 sementara B10 CKD pula dari RM118,800.
Kedua-dua model hadir dengan jaminan bateri selama 8-tahun atau had perbatuan 160,000 km yang mana tiba dahulu.
Cycle & Carriage (C&C) meraikan satu lagi pencapaian penting menerusi pembukaan pusat 3S Leapmotor Cycle & Carriage Johor Bahru.
Terletak secara strategik di Kempas, fasiliti baharu ini menjadi cawangan Leapmotor yang keenam di Malaysia.
Kemudahan
Dibina atas tanah seluas 3,783 meter persegi, fasiliti satu tingkat ini mempunyai keluasan binaan 10,000 kaki persegi.
Ia menggabungkan bilik pameran yang boleh memuatkan empat kenderaan, ruang perbincangan pelanggan, serta ruang serahan kenderaan khas.
Tingkat mezanin pula dikhususkan untuk pejabat operasi.
Bahagian selepas jualan pula menampilkan sehingga empat ruang servis, ruang cuci kenderaan serta ruang khas untuk kerja-kerja perincian kenderaan.
Waktu operasi
Bilik pameran dibuka setiap Isnin hingga Sabtu dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang, sementara hari Ahad dan cuti umum pula dari jam 11.00 pagi hingga 5.00 petang.
Pusat servis pula beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 8.00 pagi hingga 12 tengah hari setiap Sabtu dan tutup pada setiap Ahad dan cuti umum.
Adrian Short, CEO Cycle & Carriage Malaysia berkata, “Pembukaan Pusat 3S Leapmotor Johor Bahru ini membuktikan janji kami untuk menyediakan pengalaman pemilikan yang lancar, daripada pembelian hinggalah penjagaan selepas jualan.
Isaac Yeo, Pengarah Urusan Stellantis Malaysia berkata, “Pengembangan ke Kempas, Johor Bahru merupakan langkah besar dalam membawakan pengalaman Leapmotor ke selatan, salah satu kawasan paling dinamik dan pesat berkembang.
“Kami yakin rakyat Johor akan menikmati perjalanan pemilikan yang lancar, menggabungkan inovasi Leapmotor dan kepakaran berteraskan pelanggan Cycle & Carriage,” ujarnya lagi.
Cycle & Carriage (C&C) kini secara rasmi memulakan operasi pengedaran kenderaan jenama Leapmotor di Malaysia.
Langkah ini merupakan perkembangan terbaharu daripada kerjasama antara C&C bersama Stellantis Malaysia sejak 2024.
Ia juga turut menandakan kemunculan semula syarikat itu sebagai peruncit automotif pelbagai jenama.
Permulaan operasi pengedaran ini mencerminkan komitmen berterusan Cycle & Carriage untuk memperkukuh kehadiran Leapmotor di Malaysia serta memastikan pengalaman pemilikan yang lancar.
Rangkaian Leapmotor semakin berkembang
Sepanjang tahun lalu, rangkaian Leapmotor telah berkembang dengan pembukaan lokasi berikut:
George Town, Pulau Pinang
Pavillion Bukit Jalil
Paradigm Mall Johor Bahru
Pusat 3S Leapmotor Glenmarie
Sehingga kini, Leapmotor mempunyai 12 lokasi jualan dan 6 pusat servis dengan lebih banyak lokadi dijangka akan dibuka menjelang akhir tahun.
Komitmen C&C terhadap jenama Leapmotor
Adrian Short, CEO C&C berkata, “Kami berbangga menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama bersama Stellantis Malaysia.
“Melalui Leapmotor, kami melihat potensi besar untuk menawarkan EV Premium bernilai tinggi kepada lebih ramai pelanggan, disokong komitmen C&C dalam menyediakan pengalaman pemilikan terbaik dari segi jualan, selepas jualan hingga sokongan jangka panjang.
Isaac Yeo, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN menambah, “Peranan C&C dalam menerajui operasi pengedaran Leapmotor di Malaysia mencerminkan kerjasama jangka panjang yang dibina atas nilai bersama, kepercayaan dan komitmen terhadap pengalaman pelanggan.
“Pelantikan ini adalah satu lagi pencapaian penting, disokong kepakaran automotif terbukti, rangkaian runcit kukuh dan pendekatan berorientasikan pelanggan.
“Kami yakin C&C berada pada kedudukan terbaik untuk memacu pertumbuhan Leapmotor di Malaysia,” jelasnya lagi.
Situasi geopolitik global dan peperangan yang berlarutan telah menyebabkan harga diesel melonjak tinggi sekali gus membuktikan betapa rapuhnya ekosistem bahan api fosil ketika ini.
Kesan rantaian ini mengakibatkan kos logistik barangan keperluan menjadi semakin mahal bagi pemain industri.
Sebagai jalan keluar, beralih kepada kenderaan elektrik (EV) dilihat sebagai langkah paling ampuh.
Di Eropah, trend ini menjadi lebih menarik apabila kereta kompak boleh diubah suai menjadi kenderaan komersial untuk kegunaan profesional.
Leapmotor T03 LCV
Leapmotor memperluaskan portfolio EV mereka melalui pelancaran Leapmotor T03 LCV.
Berbanding dengan pasaran tempatan yang diisi dengan SUV elektrik B10 dan C10, Leapmotor di Eropah mempunyai kereta kompak T03.
Menggunakan nama LCV bermakna model ini diubah suai kepada kenderaan komersial ringan elektrik yang dibangunkan khusus untuk keperluan logistik.
Keperluan Logistik Last-Mile
Dengan peraturan emisi yang semakin ketat dan peluasan zon rendah emisi, Leapmotor melihat peluang pasaran yang jelas untuk kenderaan komersial kompak yang praktikal.
Dibangunkan daripada model penumpang T03, varian LCV ini telah diubah suai sepenuhnya untuk kegunaan profesional.
Model ini mengekalkan dimensi luaran yang kecil namun memiliki ruang kargo dengan isipadu 657 liter.
Pelanggan ditawarkan dengan satu konfigurasi badan tertutup dalam tiga pilihan warna iaitu Caribbean Blue, Light White dan Canopy Grey.
Rangkaian Kuasa Leapmotor T03 LCV
Motor elektrik: 70 kW (95 ps)
Tork maksimum: 158Nm
Kapasiti bateri: 37.3 kWj
Jarak gerak WLTP: Sehingga 256 km
Pengecasan AC: Sehingga 6.6 kW
Pengecasan pantas DC: Sehingga 45 kW
Masa cas DC (30–80%): Kira-kira 36 minit
Ruang Kargo dan Dimensi
Rekaan T03 LCV mengimbangi saiz kompak untuk pemanduan di lorong sempit dengan kapasiti muatan yang munasabah untuk operasi harian:
Panjang: 3,620 mm
Lebar: 1,652 mm
Tinggi: 1,577 mm
Isipadu kargo: 657 liter
Beban maksimum: Sehingga 220 kg
Sebagai perbandingan, bayangkan Perodua Axia dijadikan kenderaan komersial begini malah T03 sebenarnya lebih pendek dan langsing berbanding model kompak tersebut.
Teknologi dan Ciri Keselamatan
Walaupun berorientasikan komersial, aspek keselesaan dan teknologi tetap diutamakan.
Kabin dilengkapi kluster instrumen digital 8 inci dan skrin sentuh pusat 10.1 inci.
Perkhidmatan digital merangkumi navigasi dalam talian, ketersambungan 4G, kawalan suara serta kemas kini over-the-air.
Pemilik juga boleh menggunakan Leapmotor App untuk pengurusan jarak jauh bagi pengecasan, kawalan suhu dan status kenderaan.
Dari segi keselamatan, T03 LCV dilengkapi beg udara hadapan, sisi dan tirai serta sensor parkir belakang dengan kamera undur.
Ia turut hadir dengan sistem Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang lengkap.
Ini termasuk Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking, Lane Keeping Assist, Blind Spot Detection, Intelligent Speed Assist, Driver Drowsiness Detection dan Advanced Driver Distraction Warning.
Harga dan Ketersediaan
Proses akhir pengeluaran T03 akan dijalankan di Kilang Mirafiori yang terletak di Turin, Itali.
Pesanan akan mula dibuka pada April 2026 untuk negara-negara Eropah yang terlibat dalam pelancaran awal.
Harga Leapmotor T03 LCV bermula daripada 14,590 euro atau kira-kira RM67,887 tidak termasuk cukai VAT.
Spesifikasi Leapmotor T03 LCV
Motor elektrik: 70 kW (95 ps)
Tork: 158Nm
Bateri: 37.3 kWj
Jarak gerak: 256 km
Masa pengecasan DC: 36 minit (30–80%)
Dimensi: Panjang 3,620 mm, lebar 1,652 mm dan tinggi 1,577 mm.
Isipadu kargo: 657 liter
Beban maksimum: 220 kg
Ciri keselamatan: Beg udara hadapan, sisi dan tirai, kamera undur, sensor parkir, ADAS
Teknologi kabin: Skrin sentuh 10.1 inci, instrumen digital 8 inci, ketersambungan 4G, kemas kini OTA
Leapmotor B10 merupakan pendatang baharu bagi mencabar SUV elektrik di bawah julat harga RM120,000 di Malaysia.
Dilancarkan secara rasmi pada hujung tahun lepas, model kedua Leapmotor Malaysia ini dilihat hadir pada masa yang tepat.
Pertama, ia mampu menjadi alternatif yang lebih masuk akal berbanding abangnya C10.
Kedua, di sebalik rupa bentuk ringkas itu tersembunyi kelebihan yang sukar untuk ditandingi oleh pesaingnya.
Terima kasih kepada pihak Stellantis Malaysia, kerana sepanjang tempoh pemanduan singkat kali ini penulis berjaya menemukan beberapa perkara positif pada model baharu B10 ini.
Luaran
Sama seperti C10, Leapmotor B10 membawakan reka bentuk yang sama minimalis menyumbang kepada angka pekali seretan serendah 0.265 Cd.
Elemen rekaan Wing Star menjadi identiti utama B10 terutama pada bahagian lampu depan dan belakang yang nipis.
Sayang sekali, B10 masih lagi mengekalkan rekaan pemegang pintu perlu ditolak keluar secara manual.
Mujur juga butang suis pintu tailgate direka untuk memudahkan urusan memunggah masuk barangan.
Keempat-empat sudut dipadankan dengan rim aloi saiz 18 inci yang dibaluti getah Linglong Sport Master yang mampu membuatkan pemandu tersenyum di selekoh.
Terdapat sehingga lima warna pilihan disediakan termasuklah Starry Night Blue yang diinspirasikan daripada karya Van Gogh, Dawn Purple dan Tundra Grey.
Kabin
Untuk pemandu disediakan skrin LCD 8.8 inci yang dipasang terus atas kolum stereng.
Bermakna, posisinya akan berubah mengikut larasan (tilt & teleskopik) yang ditetapkan oleh pemandu.
Segala kawalan fungsi yang penting (termasuklah larasan cermin sisi) masih lagi ditanam dalam skrin tengah sebesar 14.6 inci.
Apa yang pasti, pemilik B10 sudah boleh menggunakan fungsi sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Praktikaliti
Berbanding model C10 yang nampak lebih ringkas dan premium, kabin B10 pula lebih bersifat utilitarian.
Apa yang penulis gemar pada B10 ini ialah:
corong pendingin hawa yang lebih mudah untuk dilaras
konsol tengah terapung yang menyediakan ruang besar untuk beg
pemegang cawan yang boleh dilipat bila tidak digunakan
ruang storan konsol tengah yang agak dalam
glovebox 8.5 liter yang boleh memuatkan laptop 14 inci
Dengan balutan upholsteri Oeko-Tex Standard 100 yang diperbuat daripada bahan arang buluh, Leapmotor B10 juga amat sesuai untuk keluarga yang ada anak kecil.
Ruang kargo adalah sebesar 430 liter dan boleh mencecah sehingga 1,700 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Dengan ruang yang versatil, hampir 88 peratus ruang kabin B10 boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk pelbagai aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Pemanduan
Secara standard, Leapmotor B10 ini dilengkapi dengan:
tetapan suspensi topang MacPherson di depan dan multi-link di belakang
motor elektrik pacuan roda belakang 218 hp & 240 Nm
nisbah agihan berat badan 50:50
Kedengaran macam ciri yang ada pada kereta sports, kan?
Usah biarkan harapan anda setinggi gunung kerana Leapmotor B10 tidak direka untuk pemanduan yang beremosi walaupun hadir dengan talaan tersendiri oleh Stellantis.
Namun, talaan suspensi B10 ini dirasakan lebih dekat dengan jiwa berbanding pakej yang wujud pada C10.
Tetapan suspensi B10 lebih ke arah keselesaan namun dengan kadar olengan badan lebih terkawal dan tidak terlalu melantun-lantun.
Respons stereng juga tepat, lebih mudah untuk dijangka, dan tidak memerlukan banyak pembetulan.
Lagi satu, usah pandang rendah pada B10 walaupun dilengkapi dengan tayar buatan Linglong.
Ini kerana getah Linglong Sport Master ini terbukti prestasinya dalam menawarkan pemanduan yang senyap, laluan berliku dan ketika menempuh cuaca basah.
Seperkara yang penulis amat hargai pada B10 ialah respons pedal brek yang dirasakan lebih hidup dan mudah untuk dijangka titik gigitnya.
Terdapat tiga tetapan respons pendikit disediakan, namun kebanyakan masa penulis lebih gemar menggunakan mod Comfort sebagai tetapan lalai.
Ini kerana tetapan Standard dirasakan sedikit lincah, dan boleh jadi membuatkan penumpang rasa tidak selesa. Belum masuk mod Sport lagi.
Bateri dan pengecasan
Varian yang kami pandu uji ini merupakan varian Design yang dilengkapi pek bateri 67.1 kWh.
Untuk sekali cas penuh, B10 Design boleh mencapai jarak pandu sejauh 434 km (data WLTP) – cukup untuk pemanduan dalam bandar.
Untuk pemanduan rentas negeri, lain pula ceritanya.
Berdasarkan pengalaman dari Damansara ke Pulau Pinang tempoh hari, kami perlu mengecas SUV ini sekurang-kurangnya sekali untuk memastikan ia mempunyai tenaga yang mencukupi.
Disinilah munculnya satu lagi kelebihan B10, iaitu keupayaan pengecasan pantas DC sehingga 168 kW.
Ini membolehkan bateri dicas dari 30-80 peratus dalam masa bawah setengah jam sahaja menggunakan pengecas berkelajuan tinggi.
Bermakna, tempoh masa menunggu yang lebih singkat. Itu pun jika anda bernasib baik.
Keselamatan
Secara standard, Leapmotor B10 hadir dengan 7 beg udara, 12 penderia berketepatan tinggi dan sehingga 17 ciri ADAS yang membolehkan pemanduan autonomi Tahap 2.
Ciri di atas membuatkan Leapmotor B10 sesuai untuk mereka yang mahu mula belajar memandu.
Namun untuk mereka yang sudah ada keyakinan, ciri bantuan keselamatan ini akan membuatkan anda rasa lebih penat berbanding biasa.
Seperti contoh, sistem pengekalan lorong (LKA) boleh dimatikan, namun dalam keadaan tertentu ia akan diaktifkan semula secara automatik.
Anda boleh mengambil masa beberapa minit untuk mematikan fungsi yang tidak diinginkan sebelum memandu, namun tiada jaminan ia akan kekal nyahaktif sepanjang masa.
Satu lagi perkara yang sukar diterima ialah penggunaan kad NFC bagi menggantikan fob kunci yang biasa kita guna.
Lebih menyukarkan apabila penderia NFC tersebut hanya dipasang pada cermin sisi sebelah pemandu.
Dari sudut keselamatan, mungkin sekali berguna namun ia bakal membuatkan lelaki sejati rasa jengkel kerana tidak dapat membuka pintu sebelah penumpang untuk memudahkan isteri masuk.
Kesimpulan
Dengan harga jualan RM118,800, Leapmotor B10 mampu menjadi satu alternatif yang berbaloi kepada SUV elektrik segmen C lain seperti Proton e.MAS 7 dan BYD Atto 3.
Bagi kami, ia menawarkan pakej pemanduan yang boleh membuatkan pemandu tersenyum, aspek keselesaan yang masih diutamakan, dan paling penting prestasi pengecasan yang lebih pantas berbanding model pesaing.
Tidak ketinggalan, aspek praktikaliti yang boleh dimanfaatkan oleh seisi keluarga setiap hari.
Cycle & Carriage mengumumkan pembukaan rasmi pusat 3S penuh pertama Leapmotor di Lembah Klang yang terletak di Glenmarie.
Ia merupakan outlet Leapmotor Cycle & Carriage yang kedua di Lembah Klang dan yang keempat di seluruh negara.
Kemudahan tersedia
Pusat 3S Leapmotor Glenmarie ini menampilkan identiti korporat yang terkini yang menawarkan persekitaran yang moden dan premium.
Dengan keluasan 22,497 kaki persegi dan keluasan binaan 14,120 kaki persegi, ia menawarkan kemudahan seperti:
ruang pameran yang boleh memuatkan tujuh kenderaan
ruang istirehat pelanggan
ruang mezanin
bilik perbincangan peribadi
bilik serahan khas
ruang pejabat khusus
Bahagian bengkel pula menempatkan lima ruang servis dan pembaikan, ruang cuci kereta dan ruang perincian kereta yang disokong oleh gudang alat ganti yang besar.
Terdapat sehingga 18 ruang parkir, dua pengecas AC dan satu pengecas DC yang disediakan.
Waktu operasi adalah seperti berikut:
Isnin-Sabtu (8 pagi-6 petang)
Ahad & Cuti Umum (11 pagi-5 petang)
Pusat servis pula dibuka dari jam 8 pagi-5 petang setiap Isnin hingga Jumaat, dan 8 pagi-12 tengah hari setiap Sabtu. Ia ditutup setiap Ahad & cuti umum.
Pusat 1S dan 3S baharu
Cycle & Carriage turut merancang memperluas rangkaian Leapmotor dengan pusat 3S dan 1S baharu pada masa akan datang.
Ia termasuklah pusat 3S di Johor Bahru serta pusat 1S tambahan di Petaling Jaya dan tanah besar Pulau Pinang.
Stellantis Malaysia mengumumkan kemas kini over-the-air (OTA) untuk SUV Leapmotor B10.
Antara ciri utama yang ditambah termasuklah:
keupayaan pemanduan pedal tunggal
sokongan Apple CarPlay dan Android Auto (berwayar dan tanpa wayar)
fungsi arahan suara yang lebih meluas
Terima kasih kepada naik taraf ini, operasi sistem infohibur menjadi lebih pantas diikuti format split screen untuk memudahkan pemandu.
Ciri keselamatan turut ditambah baik dengan sistem pengesan kehadiran dalam kabin yang dioptimumkan, diikuti fungsi ACC & LCC yang diperhalusi untuk mengurangkan nyahpecutan mendadak ketika di selekoh.
Pengedaran OTA bermula Februari 2026
Kemas kini OTA ini telah mula diedarkan kepada para pemilik seawal Februari.
Pemilik Leapmotor B10 hanya perlu menunggu notifikasi dalam kenderaan dan boleh mengemas kini secara terus melalui sistem kenderaan.
Setahun lebih selepas pelancaran model sulung C10, Leapmotor Malaysia kini memperkenalkan model EV kedua mereka, iaitu Leapmotor B10 2026.
SUV elektrik segmen C ini dijual pada harga bermula dari RM107,800 untuk varian Life dan RM118,800 untuk varian Design.
Leapmotor Malaysia turut menawarkan promosi rebat sempena pelancaran di mana harga jualan untuk B10 Life bermula serendah RM99,800, sementara varian Design pula berharga dari RM109,800.
Berikut merupakan perincian ringkas tentang Leapmotor B10:
1. Dimensi
Leapmotor B10 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,515 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,655 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,735 mm.
Ruang kargo pula adalah sebesar 430 liter dan boleh mencapai sehingga 1,700 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Terdapat juga ruang frunk sebesar 25 liter.
2. Output kuasa
Untuk pasaran Malaysia, Leapmotor B10 hadir dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang (RWD) berkuasa 218 hp dan 240 Nm.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 8 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 170 km/j.
Ada tiga mod pemanduan disediakan iaitu Comfort, Standard dan Sport.
3. Bateri dan pengecasan
Terdapat dua pilihan kapasiti bateri tersedia untuk pasaran tempatan, iaitu bateri LFP CATL 56.2 kWh yang menawarkan jarak pandu sejauh 361 km (data WLTP) dan bateri 67.1 kWh dengan jarak gerak sejauh 434 km.
B10 menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW, serta pengecasan pantas DC 140 kWh (untuk varian Life) atau sehingga 168 kW untuk varian Design yang lebih premium.
Ini bermakna, pengguna boleh mengecas bateri sepantas 20 minit dari 30-80 peratus SoC untuk kedua-dua varian.
Selain itu, terdapat juga fungsi vehicle-to-load (V2L) dengan kapasiti sehingga 3.3 kW.
4. Luaran
Sistem gantungan Leapmotor B10 terdiri daripada topang MacPherson di depan dibantu dengan tetapan multi-link di belakang.
Antara kelengkapan standard untuk bahagian luar termasuklah unit lampu LED, lampu nyalaan siang DRL LED, lampu kabus LED, pemegang pintu tersembunyi, rim saiz 18 inci, serta lampu belakang LED.
Terdapat lima warna ditawarkan iaitu Starry Night Blue, Dawn Purple, Tundra Grey, Light White dan Metallic Black.
5. Kabin
Ruang kabin Leapmotor B10 mempunyai kelengkapan seperti skrin paparan digital 8.8 inci, skrin sentuh tengah sebesar 14.6 inci resolusi 2.5K, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar (bermula Januari 2026), serta menyokong kemas kini over-the-air (OTA).
Selain itu, tempat duduk hadapan didatangkan dengan fungsi pengudaraan, larasan enam tahap untuk pemandu serta empat tahap untuk penumpang hadapan, diikuti dengan bumbung kaca panorama, sistem audio dengan enam pembesar suara, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 15W, port USB Type-C 60W, serta sistem pencahayaan ambien.
Sama seperti model C10, B10 juga dilengkapi dengan upholsteri Oeko-Tex Standard 100 yang lebih mesra untuk bayi.
6. Keselamatan
Antara ciri keselamatan yang dimuatkan pada Leapmotor B10 termasuklah ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Kawalan Cengkaman (TRC), sistem kamera 360 darjah, cagak ISOFIX serta tujuh beg udara.
Leapmotor B10 turut hadir dengan sistem penderia ultrabunyi untuk menyokong sistem pemanduan semi-autonomi Tahap 2 yang menawarkan 17 fungsi-fungsi ADAS termasuklah:
Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
Kawalan Pemusatan Lorong (LCC)
Bantuan Kelajuan Pintar (ISA)
Bantuan Kekal Lorong (LKA)
Bantuan Kekal Lorong Kecemasan (ELKA)
Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
Sistem Brek Kecemasan Lanjutan (AEBS)
Pengesanan Titik Buta (BSD)
Amaran Bukaan Pintu (DOW)
Amaran Keluar Lorong (LDW)
Pengesanan Lepas Tangan (HOD)
Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Brek (RCTA + RCTB)
Leapmotor Malaysia mengumumkan kemas kini over-the-air (OTA) yang tersedia untuk semua model C10 tahun 2024 dan 2025.
Versi LeapOS 3.40.32 terbaharu ini menawarkan beberapa penambahbaikan:
1. Perakam pemanduan
Pemandu boleh menggunakan kamera 360° terbina sebagai dashcam yang dapat merakam keadaan sekeliling semasa memandu.
Terdapat mod untuk rakaman berterusan serta mengaktifkan rakaman kecemasan. Pemandu hanya perlu menyediakan pemacu kilat USB berkapasiti sekurang-kurangnya 8GB untuk menggunakan fungsi rakaman pemanduan ini.
2. Sistem navigasi dalam Bahasa Melayu
Sistem navigasi Leapmotor C10 kini menyokong Bahasa Melayu yang tersedia untuk kedua-dua skrin paparan dan audio.
Ia turut digandingkan dengan fungsi arahan suara yang membolehkan pemandu mencari lagu dan artis menerusi arahan “Hi Leapmotor”.
3. Fungsi ADAS
Pemandu kini boleh mengakses dan menyesuai fungsi ADAS serta mod pemanduan menerusi butang fungsi pada roda stereng.
Sistem ADAS juga telah ditambah baik dengan ciri berikut:
sistem pemantauan pemandu yang dipertingkatkan
Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dan Kawalan Pemusatan Lorong (LCC) sehingga 160 km/j
kawalan kelajuan dan nyahpecutan di selekoh yang lebih lancar semasa ACC dan LCC beroperasi.
4. QDLink
Kemas kini OS yang terbaharu ini turut menyertakan fungsi QDLink, membolehkan pemandu memancarkan paparan skrin peranti pintar pada skrin infohibur untuk fungsi navigasi, penstriman dan muzik.
Fungsi ini tersedia menerusi sambungan kabel data ataupun sambungan tanpa wayar.
Selain itu, kemas kini LeapOS 3.40.32 ini turut menambah baik fungsi pengesanan cerun yang akan mengaktifkan kamera hadapan untuk pandangan yang lebih jelas.
Ciri hill hold juga dipertingkatkan untuk mengelakkan kenderaan mengundur secara tiba-tiba semasa berhenti di cerun.
Ulasan kami tentang Leapmotor C10 anda boleh baca menerusi pautan di bawah:
Leapmotor Malaysia mengemas kini spesifikasi SUV elektrik Leapmotor C10 untuk model tahun 2025.
Untuk penawaran terbaharu ini, Leapmotor C10 telah ditambah baik dengan keupayaan pengecasan AC 11 kW bagi menggantikan unit 6.6 kW terdahulu.
Penambahbaikan ini mampu memendekkan tempoh masa pengecasan bateri (30 hingga 80 peratus SoC) dari enam jam kepada empat jam sahaja.
Antara ciri lain yang disediakan termasuklah sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) masa nyata, kit pam tayar bermotor, serta upholsteri hitam menggantikan kemasan warna Midnight Aurora untuk ruang kabin.
Bagi model berwarna Glazed Green pula, kemasan kabin warna Criollo Brown pula telah digantikan dengan warna Camel Brown.
Ruang kabin Leapmotor C10 masih lagi mengekalkan penggunaan bahan upholsteri tekstil silikon mesra bayi OEKO-Tex Standard 100®.
Dari segi spesifikasi, Leapmotor C10 masih lagi dikuasakan oleh motor elektrik 214 hp dan pek bateri 69.9 kWh yang menawarkan jarak gerak sejauh 424 km (mengikut data WLTP).
Harga jualan turut dikemas kini, di mana Leapmotor C10 2025 boleh didapati pada harga serendah RM125,000, lebih murah berbanding penawaran terdahulu (dari RM159,000).
Setiap model didatangkan dengan jaminan menyeluruh enam-tahun (empat-tahun + lanjutan jaminan dua-tahun) atau had perbatuan 150,000 km, serta jaminan bateri lapan-tahun atau had perbatuan 160,000 km yang mana tiba dahulu.
Leapmotor dan Stellantis baru-baru ini mengumumkan inisiatif program pemasangan tempatan (CKD) bagi kenderaan jenama Leapmotor di Malaysia.
Dengan pelaburan awal bernilai 5 juta Euro (RM24 juta), ia bakal menyaksikan kilang Stellantis di Gurun, Kedah berubah menjadi hab pemasangan utama untuk rantau ASEAN.
Langkah strategik tersebut bakal menempatkan Malaysia lebih ke hadapan di dalam aspek pengindustrian EV di rantau ini.
Malah, dengan memperkenalkan EV Leapmotor yang canggih dan mudah diakses, Stellantis mahu membawakan penyelesaian mobiliti berteknologi tinggi ke Asia Tenggara.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Stellantis India & Asia Pasifik, Ashwani Muppasani berkata, kilang Stellantis di Gurun dipilih kerana lokasi strategik dan infrastruktur yang matang untuk peningkatan produksi yang lebih cekap dan pengedaran yang lancar ke pasaran ASEAN yang lain.
Ini dilihat selari dengan kerangka kerja Stellantis “Dibina di ASEAN untuk ASEAN”.
Sementara itu, Pengarah Urusan Stellantsi ASEAN, Isaac Yeo berkata, program pemasangan tempatan bagi model Leapmotor akan berjalan pada akhir tahun 2025 yang dimulakan dengan model Leapmotor C10 EV.
Selain daripada Leapmotor C10 EV, Leapmotor juga merancang untuk meluaskan program CKD tersebut untuk model-model lain seperti C10 REEV dan SUV kompak B10.
Batik Air menerusi kerjasama dengan Leapmotor Malaysia mengumumkan perkhidmatan pemindahan terminal persendirian (Private Terminal Transfer) untuk penumpang kelas perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.
Sebanyak lima unit SUV elektrik Leapmotor C10 akan digunakan untuk membawa penumpang kelas perniagaan dari Pintu G1 di Bangunan Terminal Utama ke Pintu C1 di Bangunan Satelit dan sebaliknya.
Leapmotor C10 merupakan sebuah SUV segmen D berkuasa elektrik yang mampu menawarkan jarak gerak sejauh 424 km (data WLTP).
Untuk memastikan keselesaan perjalanan yang terjamin, SUV ini didatangkan dengan tempat duduk yang ergonomik serta balutan bahan tekstil OEKO-Tex Standard 100 yang lebih tahan lasak dan mesra alam.
Selain itu, SUV ini turut menawarkan ruang kabin yang luas dan selesa, serta ruang kargo berkapasiti 415 liter yang boleh dibesarkan sehingga 1,410 liter untuk memuatkan barangan yang lebih besar.
Perkhidmatan eksklusif oleh Batik Air ini dilihat dapat mengurangkan tempoh masa menunggu, dan dalam masa yang sama dapat melengkapkan lagi perkhidmatan bas yang disediakan oleh Malaysia Airports sepanjang tempoh penggantungan perkhidmatan aerotrain.
Leapmotor Malaysia mengumumkan promosi istimewa bersempena dengan sambutan perayaan Tahun Baru Cina untuk rakyat Malaysia yang ingin memiliki model Leapmotor C10.
Untuk tempoh terhad sehingga 28 Februari 2025, pelanggan Leapmotor akan diberikan dua pilihan rebat bernilai RM10,000 seperti berikut: Pilihan 1
-Pengecas dinding (RM3,000)
-Kredit pengecasan (RM2,000)
-Sokongan insurans (RM5,000)
Pilihan 2
-Rebat tunai RM10,000
Selain itu, Leapmotor Malaysia turut menggalakkan orang ramai untuk berkunjung ke pusat pameran bermula 17 Januari hingga 9 Februari 2025 untuk memandu uji dan menempah SUV elektrik C10, selain menikmati pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun.
Leapmotor C10 dikuasakan oleh motor elektrik 214 hp yang dipadankan dengan pek bateri LFP 69.9 kWh untuk jarak gerak sejauh 424 km (data WLTP).
Selain ruang kabin yang cukup luas, Leapmotor C10 menampilkan penggunaan bahan upholsteri OEKO-Tex yang premium dan lebih mesra bayi, serta ciri keselamatan yang melayakkan SUV ini mendapat penarafan lima bintang Euro NCAP.
Leapmotor C10 dijual pada harga RM159,000, lengkap dengan jaminan menyeluruh selama enam tahun atau had perbatuan 150,000 km, serta jaminan lapan tahun atau had perbatuan 160,000 km untuk komponen bateri.
Leapmotor mengumumkan varian baharu bagi SUV elektrik C10 yang bakal muncul di Brussels Motor Show 2025 yang akan berlangsung pada Januari hadapan.
Leapmotor C10 varian REEV (Range Extender Electric Vehicle) itu menjanjikan manfaat daripada kedua-dua kenderaan elektrik dan enjin pembakaran dalaman dengan menawarkan jarak pemanduan yang lebih jauh dan kadar penjimatan bahan api yang baik.
C10 REEV ini menggandingkan motor elektrik berkuasa 215 PS dengan pek bateri sebesar 28.4 kWh yang hanya menawarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 145 km sahaja.
Dengan bantuan enjin 1.5 liter yang bertindak sebagai unit penambah jarak, C10 REEV ini boleh dipandu sejauh lebih 950 km untuk satu tangki bahan api penuh, dengan kadar penggunaan bahan api 0.4 liter untuk setiap 100 km.
Menurut Leapmotor, C10 REEV ini secara asasnya beroperasi sebagai sebuah EV untuk permulaan, namun apabila tenaga bateri semakin berkurangan, enjin tersebut akan dihidupkan untuk menjana kuasa elektrik dan mengecas bateri.
Pemilik juga boleh memilih untuk menggunakan pengecasan pantas DC 65 kW yang dapat menambah jarak sejauh 72.5 km dalam tempoh 18 minit sahaja.
Lebih banyak informasi berkenaan Leapmotor C10 REEV bakal diketahui menjelang acara Brussels Motor Show 2025 pada 10 hingga 19 Januari 2025.
Berminat dengan Leapmotor C10? Anda boleh baca ulasan pandu uji ringkas kami pada pautan INI.
SUV elektrik segmen D Leapmotor C10 dianugerahkan skor lima bintang dalam program ujian penilaian kenderaan baharu Eropah (Euro NCAP), baru-baru ini.
Dalam ujian tersebut, Leapmotor C10 memperoleh skor 89 peratus untuk aspek perlindungan dewasa, 85 peratus untuk perlindungan penumpang kanak-kanak, 77 peratus untuk aspek perlindungan pengguna jalan raya dan 76 peratus untuk bantuan pemanduan.
SUV elektrik tersebut menampilkan struktur binaan badan berkekuatan tinggi yang direka untuk menyerap dan menyebarkan tenaga dengan berkesan dalam insiden pelanggaran.
Selain itu, Leapmotor C10 didatangkan standard dengan 17 fungsi bantuan pemandu termaju (ADAS) termasuklah brek kecemasan automatik, bantuan pengekalan orong, pengesanan titik buta dan kawalan jelajah adaptif.
Untuk pasaran Malaysia, Leapmotor C10 ditawarkan dalam varian tunggal yang dikuasakan motor elektrik tunggal 214 hp/320 Nm, dengan pek bateri LFP 69.9 kWh yang mampu menawarkan jarak gerak sejauh 424 km.
SUV elektrik segmen D ini dijual pada harga RM159,000.
Laporan pandu uji pertama Leapmotor C10 boleh dibaca menerusi pautan di bawah:
Sebagai sebuah nama besar yang menaungi jenama-jenama popular seperti Alfa Romeo, Citroen, Maserati dan Peugeot, pastinya kedengaran agak pelik apabila jenama Leapmotor duduk di bawah naungan Stellantis.
Untuk makluman, Leapmotor (atau Ling Pao) sebenarnya merupakan sebuah syarikat automotif China yang ditubuhkan pada tahun 2015.
Hanya pada tahun 2023, Stellantis memperoleh 20 peratus pegangan dalam Leapmotor untuk meletakkannya sama baris dengan jenama-jenama Eropah yang disebutkan tadi.
Tidak perlu menunggu dengan lebih lama, Stellantis Malaysia pada April 2024 mengumumkan kehadiran Leapmotor untuk pasaran tempatan, diposisikan sebagai jenama EV mampu milik.
Model pertama yang dijual ialah sebuah SUV segmen D, Leapmotor C10 yang telah dilancarkan secara rasmi enam bulan selepas itu, dengan harga jualan RM159,000.
Baru-baru ini pihak Stellantis Malaysia mengajak para pengamal media automotif untuk merasai sendiri pemanduan Leapmotor C10 menuju ke Gambang, Pahang.
Berikut merupakan catatan ringkas kami selepas memandu SUV ini selama dua hari:
1. Dimensi
Tidak seperti model-model EV (rata-rata hatchback, SUV atau sedan) yang ada di pasaran, Leapmotor C10 lebih sesuai dikategorikan sebagai kenderaan elektrik untuk kegunaan keluarga.
Saiznya yang agak besar, dengan ukuran sepanjang 4,739 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,680 mm dan jarak antara roda 2,825 mm.
Dalam julat harga yang sama, Leapmotor C10 bersaing dengan model berenjin pembakaran seperti Chery Tiggo 8 Pro dan Proton X90.
Saiz yang hampir sama namun C10 didatangkan dengan konfigurasi lima tempat duduk, berbanding tujuh pada dua model yang disebutkan tadi.
2. Kuasa
Hanya ada satu varian sahaja ditawarkan di Malaysia, dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang berkuasa 215 hp dan 320 Nm.
Nampak macam tinggi, tapi selepas kami memandu uji SUV elektrik ini, pecutan yang diberikan tidaklah seagresif mana-mana EV yang ada di pasaran.
Namun, ia bukanlah bermakna C10 ini sebuah ‘anak gajah’ yang malas untuk bergerak, cuma anda boleh jangkakan hamburan kuasa yang lebih lancar untuk memastikan tiada seorang pun ahli keluarga mengadu sakit leher semasa memulakan perjalanan.
Bahkan di atas lebuh raya, penulis tidak mempunyai masalah untuk memastikan SUV elektrik ini mampu memintas mana-mana lori treler yang perlahan di lorong kiri dengan selamat tanpa menyebabkan kereta yang laju di belakang menyalakan lampu suluhan tinggi – walaupun sarat dengan penumpang.
Dengan pek bateri 69.9 kWh, Leapmotor C10 boleh bergerak sejauh 420 km untuk sekali cas penuh.
Berdasarkan pemanduan yang dibuat, kami berjaya sampai ke destinasi dengan jarak gerak tersisa sekitar 112 km dan purata penggunaan tenaga sekitar 20.1 kWh/100 km, tinggi sedikit berbanding angka rasmi 19.8 kWh/100 km.
3. Pemanduan
Kami mengambil kesempatan untuk menguji tahap pengendalian SUV ini semasa merentasi laluan lebuh raya KL-Karak dan Genting Highlands.
Mengejutkan apabila penulis dapati SUV bersaiz besar ini juga boleh dikendalikan dengan baik di setiap selekoh dan laluan mendaki di jalan yang sangat popular itu.
Untuk kembali semula ke kelajuan yang diinginkan juga tidak mendatangkan masalah tanpa menyebabkan penumpang rasa pening dengan pecutan yang mendadak.
Cuma, walaupun C10 dilengkapi dengan sistem suspensi yang bekerja baik menyerap segala hentakan dengan cemerlang dan tayar Dunlop e-Sport Maxx yang memastikan SUV ini melekat sepanjang masa di selekoh, ia tidak diseimbangkan dengan respons stereng yang memuaskan.
Kebanyakan masa ia mampu patuh kepada setiap arahan yang diberikan oleh pemandu, namun keadaan menjadi kurang menyenangkan apabila sistem ADAS seperti bantuan pengekalan lorong kecemasan (ELKA) dan kawalan pemusatan lorong (LCC) cuba masuk campur.
Sistem yang disebutkan itu tadi akan bertindak agresif untuk membetulkan arah putaran stereng sekiranya mendapati pemandu tidak memandu kereta dengan betul.
‘Gangguan’ yang berterusan itu akan membuatkan pemandu lebih penat berbanding kebiasaan disebabkan perlu untuk melawan apa yang cuba dibetulkan oleh sistem.
Jadi, lebih senang untuk penulis matikan sahaja fungsi tersebut sejak dari awal, dan membiarkan fungsi yang lebih penting terus bekerja untuk memastikan SUV ini selamat atas jalan raya.
Penulis lebih gemar sekiranya sistem mengingati tetapan yang telah dibuat sejak dari awal, di mana pemandu tidak perlu untuk membuang masa lebih lama menatap menu di skrin setiap kali perlu memandu C10 ini keluar.
Satu perkara yang membuatkan pemanduan C10 kurang meyakinkan ialah respons pedal brek yang rasa kosong.
Perkara tersebut tidak begitu dirasai ketika pemanduan berkelajuan tinggi, di mana sistem brek beroperasi dengan baik, namun pada kelajuan rendah, ada ketikanya SUV ini rasa seperti tidak mahu berhenti biarpun pedal brek ditekan rapat ke lantai.
Seolah-olah tiada titik gigit brek dirasakan, kosong. Takkan lah setiap kali nak berhenti perlu bergantung kepada sistem brek kecemasan, kan?
4. Dalaman
Untuk sesi pandu uji kali ini, penulis memulakan perjalanan dengan duduk sebagai penumpang di baris kedua.
Kebiasaannya, penulis akan rasa cepat rasa pening dan mual apabila tidak bertugas memegang roda stereng namun kali ini penulis mampu berehat (dan tidur sebentar) dengan selesa sepanjang perjalanan.
Ini kerana penumpang boleh melaraskan sudut sandaran bagi tempat duduk belakang (ada dua sudut) supaya lebih selesa sepanjang perjalanan.
Mungkin sekali penggunaan upholsteri kulit silikon yang dinamakan sebagai Oeko-Tex banyak menyumbang kepada perjalanan yang lebih selesa, disebabkan struktur bahan yang lembut dan mesra punggung.
Ia juga mempunyai ciri kalis air dan tidak mengandungi bahan toksik yang berbahaya kepada golongan bayi – satu ciri yang sangat berguna untuk kebanyakan keluarga di Malaysia yang mempunyai anak kecil.
Selain ruang kaki yang cukup besar, penumpang di belakang juga tidak rasa lemas kerana ia menawarkan ruang kepala yang cukup besar, terima kasih kepada bumbung panorama yang cukup luas dan mempunyai tirai untuk menghalang sinaran mentari panas tengah hari.
Upholsteri berwarna hitam mungkin kedengaran sudah agak biasa, jadi terdapat opsyen untuk mendapatkan kemasan warna Criollo Brown yang lebih cerah, itu pun jika anda berminat dengan warna Glazed Green yang cukup cantik itu.
Aspek NVH juga memuaskan, boleh dikatakan bunyi bising angin daripada luar ditapis dengan baik, bunyi bising tayar juga kurang kedengaran dari dalam kabin.
Kelebihan lain yang wujud ialah ruang kargo sebesar 435 liter yang boleh ditingkatkan kepada 1,410 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.
5. Papan pemuka terlalu minimalis
Untuk seorang yang sudah terbiasa dengan kewujudan pelbagai jenis butang dan tombol fungsi pada sesebuah kenderaan, masuk ke dalam Leapmotor C10 mewujudkan satu perasaan yang kurang senang.
Ini kerana susun atur papan pemuka yang terlalu ringkas dan minimalis, selain banyak bergantung sepenuhnya kepada menu yang tertanam pada skrin paparan akan membuatkan tumpuan pemandu lebih mudah terganggu di atas jalan.
Jadi, jika anda berminat dengan C10, cuba elakkan memandu seorang diri, dan anda akan hargai setiap bantuan yang diberikan ketika anda mahu sesebuah tetapan diubah.
Seperti contoh, arah tiupan angin sejuk, larasan suhu, mahu mematikan suluhan lampu utama, atau sekadar mahu mematikan fungsi tertentu dalam sistem ADAS.
Lebih menyedihkan apabila tetapan cermin sisi juga perlu diakses menerusi skrin utama.
Mujur Leapmotor tidak meniru perangai Tesla dengan menghilangkan terus tuil lampu isyarat membelok dan menggantikannya dengan butang di stereng.
Lagi satu, jika anda sudah terbiasa dengan menekan butang pandu mula, anda perlu pelajari cara baharu pada C10 dengan mengimbas kunci berbentuk kad pada bahagian konsol tengah sebelum menarik tuil transmisi ke arah posisi D.
Ya, setiap kali sebelum anda memulakan perjalanan.
Satu lagi kelemahan yang kami sukar untuk terima ialah ketiadaan sokongan Apple CarPlay/Android Auto.
6. Ada mod ‘healing’
Satu fungsi menarik yang boleh dimanfaatkan oleh pemandu selepas setiap kali pemanduan ialah Nap Mode.
Apabila mod ini diaktifkan, anda boleh menikmati bunyi-bunyi persekitaran seperti hujan, aliran air sungai, cengkerik dan pukulan ombak di persisiran pantai semasa sedang berehat.
Anda juga boleh menetapkan tempoh masa tidur yang diperlukan, dan sistem akan mengejutkan anda setelah sesi tersebut tamat.
Dengan fungsi pengudaraan pada tempat duduk, ia akan menjadikan sesi tidur sebentar anda lebih selesa sementara menunggu masuk waktu solat atau isteri anda selesai membeli belah.
Di penghujung hari, dalam pasaran yang sudah dibanjiri dengan pelbagai jenis model EV, Leapmotor C10 nyata boleh lebih menonjol dengan kelebihan ruang yang ditawarkan, sesuai untuk kegunaan keluarga setiap hari.
Itu pun jika anda tidak kisah dengan rekaan papan pemuka yang terlalu minimalis, serta rutin yang perlu dibuat setiap hari, setiap kali sebelum memulakan perjalanan.
Dengan harga jualan bawah RM160,000, bolehkah Leapmotor C10 ini jadi satu pembelian yang berbaloi? Mungkin sekali ya.
Spesifikasi Leapmotor C10
Motor elektrik: Tunggal, pacuan roda belakang (RWD)
Kuasa: 215 hp, 320 Nm
Pecutan: 7.5 saat (0-100 km/j)
Kelajuan maksimum: 170 km/j
Bateri: LFP 69.9 kWh
Jarak gerak: 424 km (data WLTP)
Suspensi: MacPherson/Multi-Link
Jarak kelegaan tanah: 180 mm
Kargo: 435 liter/1,410 liter