Cadillac Ciel Concept sebuah GT mewah yang tidak menjadi realiti

SEJAK zaman dahulu lagi, pengeluar kenderaan membangunkan kereta konsep untuk mendemonstrasikan dan mencuba idea-idea baharu, sama ada berkaitan aspek reka bentuk atau pun teknologi.

Bergantung kepada faktor-faktor seperti penerimaan, kos, kebolehlaksanaan dan bermacam lagi, ada kereta konsep yang dibawa ke peringkat seterusnya untuk dibangunkan menjadi model produksi dan tidak kurang juga yang kekal sebagai konsep sekadar untuk dipamerkan di ibu pejabat, muzium atau pun pertunjukan motor.

Apa yang anda lihat ini ialah kereta konsep Cadillac Ciel (disebut “C-L”) yang dihasilkan pada 2011. Diperkenalkan buat pertama kali pada acara Concours d’Elegance di Pebble Beach, ia merupakan sebuah grand tourer tidak berbumbung yang diinspirasikan oleh kecantikan semula jadi pantai-pantai di California.

Sudah tentu, perkara pertama yang menarik perhatian anda pastinya bentuk badan kereta ini yang panjang dan rendah, tidak ubah seperti model Eldorado yang popular ketika era 60an. Sifat elegannya terpancar menerusi warna luarannya yang dikenali sebagai Cabernet. Menurut Cadillac, warna itu diilhamkan oleh wain merah di bawah sinaran cahaya matahari.

Selain itu, ia juga mempunyai kerangka cermin penghadang angin aluminium, manakala pintunya dibuka secara terbalik gaya Perancis bagi menampakkan ruang dalamannya yang dramatik. Apa yang menarik, rim 22-incinya itu turut diperbuat daripada aluminium dan disadur dengan kemasan brushed nickel sebagai penyudah.

Ruang dalaman Ciel pula menampilkan penggunaan material-material mewah seperti balutan upholsteri kulit premium pada tempat duduk, trim kayu yang diperoleh dari pokok zaitun di Naples, Itali, serta kemasan aluminium pada papan pemuka.

Sekali imbas, kabin Ciel memang tampak elegan dan mewah namun ia juga didatangkan dengan pelbagai kelengkapan dan ciri yang memfokuskan kepada aspek praktikaliti dan keselesaan penumpang.

Antaranya termasuklah bolster pada tempat duduk, pencahayaan ambien, ruang storan dengan pengecas induktif dan Bluetooth, fungsi penyejuk dan pemanas pada semua tempat duduk, selimut kasmir, aromaterapi dan pelbagai lagi. Turut disertakan ialah bekas menyimpan cerut pada konsol tengah belakang.

Di bawah bonet, terdapat enjin 3.6-liter twin-turbo V6 yang dipadankan dengan sistem hibrid dan bateri lithium ion. Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 425hp dan 583Nm, cukup tinggi untuk membuatkan grand tourer mewah seperti Ciel ini meluncur dengan begitu lancar.

Namun, agak malang kerana Ciel tidak dibangunkan sebagai model produksi walaupun mendapat sambutan yang agak memberangsangkan. Cadillac dan General Motor terlepas satu peluang keemasan kerana ia dilihat mempunyai potensi untuk memberikan saingan sengit terhadap Rolls-Royce dan jenama-jenama mewah yang lain.

Cadillac Eldorado The American Dream – Dari impian menjadi kisah sedih

KEMUNCULANNYA pasti menarik perhatian ramai namun limosin panjang bukanlah sesuatu yang baru. Anda pasti pernah ternampak sebuah di jalan raya atau paling kurang pun, dalam filem-filem Hollywood seperti The Mask, Pretty Woman dan sebagainya.

Bagaimanapun, limosin yang diketengahkan dalam artikel ini bukan calang-calang kerana ia merupakan pemegang gelaran limosin terpanjang di dunia yang dianugerahkan oleh Guinness World Book of Records.

Dikenali dengan jolokan “The American Dream”, limosin unik yang berasaskan Cadillac Eldorado ini direka oleh Jay Ohrberg pada 1986.

Nama itu mungkin kurang dikenali dalam industri automotif namun dalam industri perfileman, Ohrberg dikenali ramai sebagai individu yang bertanggungjawab menghasilkan KITT dalam Knight Rider dan Delorean dalam Back to the Future.

Dengan ukuran panjang kira-kira 100 kaki, The American Dream boleh dianggap seperti kapal layar mewah darat. Ia mempunyai tidak kurang dari 24 buah tayar dan juga ruang mendarat helikopter (helipad) yang boleh dijadikan sebagai ‘putting green’ golf.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan apa sahaja kelengkapan dan kemudahan yang sepatutnya ada pada sebuah limosin mewah seperti bar mini, set televisyen, telefon, sofa kulit dan cermin privasi.

Tidak cukup dengan itu, ia juga dikatakan mempunyai sebuah katil dengan tilam air bersaiz king, spa dan sebuah kolam renang lengkap dengan papan anjal.

Menurut laporan, limosin ini mempunyai bukan satu tetapi dua buah enjin dan kokpitnya dikatakan terletak pada kedua-dua bahagian hujung, bermakna ia boleh dipandu dari bahagian depan atau belakang. Bahagian tengahnya juga disambungkan dengan engsel bagi memastikan ia dapat membelok di selekoh.

Oleh kerana ia tidak sah untuk dipandu di jalan raya, The American Dream dikatakan terbiar begitu sahaja di sebuah kawasan parkir di New Jersey.

Apabila ia dijumpai semula sekitar awal 2010-an, kereta itu berada dalam keadaan yang menyedihkan dengan kebanyakan kelengkapan dalaman dan luaran telah pun dicuri.

Bagaimanapun, pada Mei 2020, Motor1.com melaporkan yang limosin itu telah pun dibawa ke muzium kereta Dezerland Park di Florida untuk proses restorasi. Namun, sehingga kini masih belum ada perkembangan terbaru mengenainya.