Kotak perakam suara (CVR) pesawat terhempas di Elmina telah berjaya diperoleh – Anthony Loke

RAKAMAN suara 30 minit terakhir pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu, berjaya diekstrak di makmal di Florida, Amerika Syarikat (AS) semalam.

Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata hasil daripada ekstrak komponen ‘memory puck’ itu, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) berhasil mendapatkan rakaman suara yang jelas serta berada dalam keadaan baik.

“Mengenai nahas pesawat di Elmina, semalam, dibantu jurutera di sana (Florida) membantu mendapatkan data, dan hasilnya data itu berjaya diekstrak daripada ‘memory puck’.

“Jadi, semua rakaman suara dalam pesawat terutama 30 minit terakhir sebelum sehingga nahas itu berlaku, berjaya dimuat turun,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Loke sebelum ini dilaporkan berkata, data rakaman suara yang berada dalam komponen ‘memory puck’ pesawat malang itu, akan diekstrak di makmal dekat Florida, AS selepas gagal berbuat demikian menerusi bantuan makmal teknikal di Singapura.

Pasukan BSKU kemudiannya berlepas ke Florida bagi mendapatkan bantuan mengekstrak data daripada pengilang peralatan asal (OEM) yang mengeluarkan kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat terbabit iaitu syarikat L3Harris.

Loke berkata, rakaman suara itu sudah dihantar semula ke Malaysia dan kini sedang dianalisis oleh pasukan BSKU di ibu negara.

Bagaimanapun, katanya rakaman suara itu dihantar pulang ke Malaysia menerusi emel kerana pasukan BSKU di sana tidak dapat berlepas pulang disebabkan taufan yang sedang melanda Florida.

“Pasukan (BSKU) berdepan kesukaran untuk pulang ke Malaysia kerana ketika ini berlaku taufan di Florida, jadi mereka masih berada di sana dan sepatutnya mereka berlepas pulang selepas data diekstrak tetapi mereka tidak boleh berbuat demikian.

“Namun data itu sudah dihantar pulang menerusi sistem email yang selamat dan kita sudah memiliki rakaman suara terbabit di Malaysia, walaupun ia tidak dibawa pulang secara fizikal,” katanya.

Beliau berkata, langkah seterusnya selepas mendapatkan data terbabit ialah melakukan analisis dan menghasilkan transkrip daripada rakaman suara berkenaan.

Sehubungan itu, pihaknya menjangkakan laporan awal berhubung nahas pesawat terbabit dapat dikeluarkan dan dipaparkan di laman sesawang Kementerian Pengangkutan kira-kira dua minggu lagi.

“Saya tidak mahu membuat sebarang rumusan sekarang ini dan bukan untuk saya membuat rumusan itu. Walaupun pihak BSKU ada memberikan sedikit rumusan, saya tidak mahu membuat apa-apa pengumuman atau spekulasi.

“Biar pakar kita membuat analisis secara terperinci supaya laporan awal dapat dikeluarkan terlebih dahulu dan saya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan sehingga pihak BSKU membuat laporan mereka,” katanya.

Sumber foto: @azmilwhoruns

Dalam insiden pada jam 2:50 petang 17 Ogos lalu, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 terhempas di Bandar Elmina dekat Shah Alam.

Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat, manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.

Dalam tragedi itu, EXCO Kerajaan Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu yang disahkan terkorban dalam nahas pesawat berkenaan.

Beechcraft Model 390 (Premier I) – Ini info ringkas jet peribadi ringan terhempas di Elmina

Selain kereta dan motosikal, kami juga pesawat sama ada jet peribadi, jet pejuang, kapal terbang komersil, atau helikopter. Kesemuanya mempunyai enjin, dan kita sebagai lelaki juga cenderung tertarik kepada jentera-jentera sebegini, bukan?

Kebanyakan pesawat juga mempunyai tahap kejuruteraan dan teknologi tinggi sama ada dari segi rekabentuk, avionik, atau sistem yang digunakan.

Kali ini kita hendak bercerita mengenai Beechcraft Model 390 (Premier I). Ia sebuah jet ringan yang direka untuk bersaing dengan pesawat seperti Cessna CitationJet, Bombardier Learjet 45, dan Embraer Phenom 300.

Beechcraft Premier I mula direka bentuk pada 1994 dan dilancarkan pada September 1995 semasa acara National Business Aviation Association Convention. Penerbangan pertama dibuat pada Disember 1998. Kemudian pada September 2005, varian baharu Premier IA dikeluarkan.

Beechcraft Premier I biasa dioperasikan oleh dua krew, tetapi juga boleh diterbangkan oleh seorang krew. Ia mampu memuatkan enam atau tujuh penumpang. Dari segi dimensi, ia mempunyai panjang 14.02 meter, tinggi 4.67 meter, dan lebar sayap 13.56 meter.

Berat kosong ialah sekitar 3,901kg tetapi berat maksima semasa berlepas ialah 5,670kg dengan kapasiti bahan api 1,665kg dan muatan 635kg.

Beechcraft Premier I dikuasakan oleh dua unit enjin turbofan Williams FJ44-2A dengan tujahan 2,300 pound setiap satu. Ini memberikannya jarak penerbangan sehingga 1,530km dan kelajuan maksima 461 knot (853km/j).

Tetapi kelajuan meluncur adalah sekitar 426 knot (788km/j) dan untuk lebih penjimatan bahan api, ia akan meluncur pada 370 knot (685km/j).

Dengan kuasa dan saiz yang kompak juga, jet ini mampu mendaki dengan kadar 4,000 kaki seminit, berlepas dengan landasan sependek 1,156 meter dan mendarat dengan jarak 968 meter.

Premier I dibina dari bahan komposit yang kuat, dengan struktur honeycomb epoxy dan gentian karbon. Premier IA merupakan varian baharu dengan kabin direka semula dan sistem yang ditambah baik.

Pesawat Beechcraft Premier I juga tidak asing di Malaysia, tetapi unit yang digunakan dalam kemalangan di Elmina dioperasikan oleh Jetvalet Sdn Bhd. Syarikat itu merupakan sebahagian dari kumpulan Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB).

Selain Beechcraft Premier I, mereka juga menawarkan sewaan Hawker 4000 yang lebih besar dan mampu memuatkan sehingga 12 penumpang tidak termasuk dua krew.