Alfa Romeo perkenal dua model Quadrifoglio Super Sport

AWAL tahun ini, Ketua Operasi Amerika Syarikat Alfa Romeo, Larry Dominique mengesahkan bahawa jualan Giulia Quadrifoglio dan Stelvio Quadrifoglio akan dihentikan di negara itu pada April 2024.

Tambah Dominique, produksi model-model Quadrifoglio untuk pasaran AS dan Kanada akan dihentikan pada Jun depan. Kedua-dua model biturbo V6 itu dipasang di kilang milik Stellantis di Cassino, Itali.

Namun sebagai tanda ucap selamat tinggal, Alfa Romeo telah melancarkan model edisi khas yang dikenali sebagai Super Sport. Nama ini diambil sempena kereta lumba 6C 1500 Super Sport yang menjuarai perlumbaan Mille Miglia pada 1928.

Untuk pasaran global, pengeluaran model Super Sport akan dihadkan kepada 275 unit untuk Giulia dan 175 untuk Stelvio. Daripada jumlah tersebut, 72 unit Giulia dan 52 unit Stelvio diperuntukkan khusus untuk AS.

Harga jualan bermula dari $86,770 (RM408,067) untuk Giulia Quadrifoglio Super Sport dan $94,370 (RM443,809) untuk Stelvio Quadrifoglio Super Sport.

Model-model Quadrifoglio Supersport ini boleh dibezakan menerusi beberapa elemen reka bentuk. Yang pertama adalah logo Quadrifoglio baharu yang mempunyai latar belakang berwarna hitam berbanding putih sebelum ini.

Selain itu, terdapat juga bahagian-bahagian yang diperbuat daripada gentian karbon seperti bumbung (ditawarkan sebagai opsyen kepada Giulia sahaja), pelindung gril dan cermin sisi.

Ia dipadankan pula dengan rim lima lubang berwarna hitam berukuran 19 inci untuk Giulia dan 21 inci untuk Stelvio, serta angkup brek Brembo dalam warna yang sama.

Terdapat tiga warna untuk dipilih iaitu Rosso Etna, Nero Vulcano metalik dan Bianco Alfa, yang ditawarkan pada Giulia sahaja.

Ruang dalaman pula diserlahkan lagi menerusi trim gentian karbon 3D berwarna merah pada keseluruhan papan pemuka, konsol tengah dan panel pintu. Stereng dibalut kulit dan Alcantara, serta dihiasi gentian karbon.

Pada bahagian perehat kepala, terdapat sulaman logo “Super Sport” berwarna merah dan nombor siri kenderaan berwarna hitam.

Kedua-dua model dikuasakan oleh enjin 2.9-liter biturbo V6 yang diperbuat daripada aluminium sepenuhnya. Ia mampu menghamburkan 505 hp dan 600 Nm, yang disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan kelajuan dan LSD mekanikal dari Giulia GTA.

Kerajaan Itali punya pasal, Alfa Romeo ubah nama Milano jadi ‘Junior’

Baharu sahaja diperkenalkan kurang dari tempoh satu minggu, Alfa Romeo terpaksa mengubah nama asal Milano menjadi “Junior”.

Langkah drastik tersebut dibuat setelah menteri kerajaan Itali, Adolfo Urso menyebut produk tersebut tidak boleh dipasang di luar Itali sekiranya ia terus menggunakan nama Milano, memandangkan penggunaan nama tersebut dikatakan mampu mengelirukan pengguna.

CEO-nya, Jean-Philippe Imparato berkata, “keputusan untuk menamakannya sebagai Alfa Romeo Junior adalah bersifat neutral, memandangkan ia berkait rapat dengan sejarah jenama dan menjadi kegemaran di kalangan kami dan umum sejak permulaan.

“Biarpun kami tidak perlu berbuat demikian (menukar nama), kami mengambil keputusan tersebut untuk mengekalkan emosi positif yang telah dijana oleh produk kami, serta mengelakkan sebarang kontroversi,” ujarnya lagi.

 

Alfa Romeo GT 1300 Junior

 

Berkenaan dengan pemilihan nama Junior, ia adalah sebagai satu rujukan kepada nama model GT 1300 Junior yang diproduksikan pada tahun 1966 sebagai salah sebuah model mampu milik yang disasarkan kepada golongan pembeli muda.

Pengenalan model tersebut ternyata membuahkan hasil yang memberangsangkan, di mana lebih daripada 92,000 unit telah terjual.

 

Alfa Romeo Milano – EV dengan jarak gerak 410 km, kuasa sehingga 240 hp, jeriji unik

Alfa Romeo Milano – EV dengan jarak gerak 410 km, kuasa sehingga 240 hp, jeriji unik

Ucapkan selamat datang kepada Alfa Romeo Milano 2024.

Ia merupakan cubaan jenama Itali itu untuk menguasai secebis pegangan di dalam pasaran crossover segmen B yang sudah tersedia padat di benua Eropah.

Berikut merupakan beberapa fakta yang perlu anda tahu pasal ‘baby’ Alfa Romeo Milano ini:

 

1. Kongsi platform dengan banyak model Stellantis

 

Alfa Romeo Milano dibina berdasarkan pelantar CMP, atau Common Modular Platform yang banyak digunakan untuk model-model segmen B serta model segmen C aras mula.

Secara asasnya, Milano merupakan kembar tidak seiras kepada model-model Stellantis lain seperti DS 3 Crossback, Fiat 600e, Jeep Avenger, Lancia Ypsilon dan Opel Mokka B.

Di dalam keluarga Alfa Romeo, Milano akan menjadi pengganti secara terus kepada model MiTo dan Giuletta.

 

2. Dimensi

 

Crossover subkompak ini membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,170 mm, lebar 1,780 mm, dan tinggi 1,500 mm.

Di belakang tempat duduk baris kedua, Milano menawarkan ruang kargo sebesar 400 liter, antara yang terbaik di dalam kelasnya.

 

3. Rekaan unik

Alfa Romeo Milano membawakan pendekatan bahasa rekaan baharu yang nyata berbeza berbanding model-model Alfa yang terdahulu (Stelvio, Giulia & Tonale).

Ia menampilkan unit lampu utama “3+3” berbentuk C, diikuti dengan dua rekaan jeriji yang agak unik.

Model berkuasa elektrik dipadankan dengan jeriji dengan potongan rekaan logo ikonik Alfa Romeo, manakala model hibrid pula membawakan struktur jeriji yang lebih konvensional berserta perkataan klasik Alfa Romeo.

Secara standard, Milano mempunyai rim bersaiz 18 inci, sementara rim 20 inci pula tersedia untuk varian berprestasi tinggi.

 

4. Milano EV mampu gerak sejauh 410 km

 

Seperti yang disebutkan, Milano boleh didapati dalam versi EV dan hibrid.

Milano EV didatangkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 156 hp, pek bateri 54 kWh dengan jarak gerak sejauh 410 km untuk sekali cas penuh.

Trim Veloce pula meningkatkan output motor elektrik kepada 240 hp, diikuti dengan pembeza kekunci sendiri mekanikal, sistem stereng yang telah ditala semula, sistem gantungan yang dinaik taraf, sistem brek yang lebih besar, serta rim 20 inci.

Kedua-dua versi elektrik ini menyokong pengecasan pantas DC 100 kW, di mana bateri boleh dicas 10-80 peratus dalam masa 30 minit sahaja.

 

5. Milano Hybrid

 

Mereka yang tidak mahukan versi elektrik boleh mendapatkan Milano Hybrid.

Versi ini menampilkan enjin tiga silinder sebaris 1.2 liter turbo yang dipadankan dengan motor elektrik 28 hp yang dimuatkan dalam kotak gear klac berkembar enam nisbah kelajuan.

Secara keseluruhan, Milano Hybrid mampu menjana kuasa setinggi 136 hp yang dipadankan dengan sistem pacuan roda depan atau semua roda (trim Ibrida Q4).

Selain itu, Milano Hybrid turut menyokong pemanduan sifar emisi pada kelajuan sehingga 150 km/j.

 

6. Ruang kabin

 

Tidak banyak info didedahkan untuk kelengkapan ruang kabin, melainkan ia membawakan tetapan kokpit digital dengan skrin berkembar 10.25 inci, pengecas peranti tanpa wayar, serta paparan grafik yang spesifik untuk model Alfa Romeo.

Alfa Romeo turut menawarkan pakej sports termasuklah tempat duduk Sabelt yang dibaluti bahan Alcantara, roda stereng balutan kulit, serta kelengkapan keselamatan ADAS Tahap 2.

 

Fakta Ekstra: Alfa Romeo Milano tidak boleh dipasang di luar Itali

 

Menteri Perindustrian Itali, Adolofo Urso dalam satu kenyataan melarang Stellantis daripada memasang model Milano di luar Itali.

Ujarnya, “sebuah kereta yang digelar Milano tidak boleh diproduksikan di Poland. Terdapat undang-undang yang menetapkan pengeluar untuk tidak memberikan petunjuk yang bakal mengelirukan pengguna.

“Jadi, sebuah kereta yang digelar Milano mesti dihasilkan di Itali.”

Ia merupakan susulan daripada kenyataan ketua eksekutif Stellantis Carlos Tavares yang mengumumkan kedua-dua versi EV dan hibrid Milano akan dipasang di Poland.

Langkah tersebut membolehkan Alfa Romeo Milano dijual pada harga €10,000 lebih murah berbanding harga asal €40,000 (RM203,195) sekiranya ia dipasang di Itali.

 

Alfa Romeo janji kekalkan penawaran sedan dalam era EV

Berita baik buat para peminat jenama Alfa Romeo, di mana pengeluar itu dijangka akan mengekalkan penawaran bentuk badan sedan klasik bagi model Giulia yang dijangka muncul tahun 2026.

Giulia EV merupakan satu daripada dua kereta segmen D Alfa Romeo yang bakal dilancarkan kelak, sebuah lagi merupakan pengganti kepada Stelvio.

Bercakap kepada Autocar sewaktu acara pratonton crossover baharu Milano, CEO-nya Jean Philippe Imparato menegaskan pengganti Giulia akan tetap mengekalkan bentuk sedan tradisional, biarpun mengetahui segmen tersebut semakin mengecil.

Beliau berkata, “bentuk badan (sedan) akan membuat kemunculan semula. Saya tidak mahu Alfa Romeo menjadi sebuah jenama SUV.”

 

Giulia EV juga berkemungkinan besar akan membawakan profil yang menggandingkan elemen sedan dan wagon, sama seperti model shooting brake Genesis G70 dan Mercedes CLA.

“Saya tidak mahu berputus asa dalam pasaran sedan. Ia adalah DNA Alfa untuk mempunyai sebuah sedan sporti. Namun saya juga mengakui terdapat cadangan untuk menghasilkan Giulia versi station wagon (estate).”

Alfa Romeo juga turut memberikan bayangan kemunculan semula model ikonik GTV dan Duetto dalam era EV.

“Langkah seterusnya yang sedang kami lakukan ialah: apakah jawapan untuk model GTV, dan apakah jawapan untuk model Duetto? Namun ia belum muktamad, dan saya tidak mahu mengulas tentangnya.