Pesawat kargo Airbus Beluga singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi

PESAWAT kargo, Airbus Beluga A300-600ST mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) semalam kira-kira jam 3:49 petang.

Berdasarkan data diperoleh daripada aplikasi Flightradar24, Beluga siri ketiga itu singgah di LTAL setelah memulakan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, India pada pukul 9:49 pagi waktu tempatan.

Pesawat itu mendarat di Langkawi untuk mengisi minyak sebelum menyambung penerbangan ke destinasi seterusnya.

Orang ramai tidak melepaskan peluang melihat pesawat ‘gergasi’ tersebut dengan memenuhi sepanjang pagar di tepi landasan LTAL. Ia mempunyai rekabentuk unik dan rata-rata netizen menyamakannya dengan ikan flower horn.

Beluga A300-600ST mempunyai ukuran panjang 56.15 meter dan setinggi 17.24 meter itu dioperasikan oleh dua orang krew. Ia mempunyai berat kira-kira 86,500kg dan mampu membawa muatan sehingga 47,000kg.

Gambar oleh: Flight Global

Pesawat ini mampu membawa kapal terbang kecil atau helikopter selain sering membawa alat ganti pesawat ke seluruh dunia. Benjolan di atas ruang kokpitnya mempunyai pintu besar yang boleh dibuka untuk akses ke ruang kargonya.

Beluga yang dikendalikan oleh Airbus Transport International (ATI) berpengkalan di Toulouse, Perancis memulakan perjalanan dari Lapangan Terbang Francazal pada 20 Julai lalu ke Lapangan Terbang Marseille.

Gambar oleh: Muslim Mazlan

Airbus teroka teknologi hibrid yang boleh dicaj semasa penerbangan dengan DisruptiveLab

AIRBUS semasa persidangan tahunan mereka telah mendedahkan DisruptiveLab, sebuah pelantar dan makmal terbang baharu. Ianya direka bagi menguji teknologi untuk menambahbaik prestasi pesawat dan mengurangkan pelepasan karbon dari helikopter.

DisruptiveLab juga sebenarnya sebuah prototaip helikopter. Ia akan menilai binaan aerodinamik baharu untuk mengurangkan penggunaan bahan api selain menuju ke arah pacuan hibrid yang boleh dicaj semasa penerbangan.

Demonstrator ini akan memulakan penerbangan sebelum hujung 2022 untuk ujian dan membangunan teknologi-teknologi baharu tersebut.

“DisruptiveLab pergi lebih jauh dalam strategi Airbus Helicopters untuk mengurangkan kesan helikopter terhadap alam sekitar dan untuk mempelopori industri penerbangan yang mapan,” kata Bruno Even, CEO Airbus Helicopters.

“Binaan inovatif dan jana kuasa hibrid baharu ini hanya boleh diuji dengan demonstrator baharu bagi mengesahkan impak keseluruhan dalam pengurangan pelepasan karbon, iaitu sehingga 50 peratus,” tambahnya.

Pesawat demonstrator itu dibina dengan badan aliminium dan komposit yang aerodinamik, direka khas untuk mengurangkan seretan (drag) lantas mengurangkan penggunaan bahan api.

Bilahnya disepadukan dengan rotor agar keseluruhan struktur ini lebih kompak, mengurangkan seretan udara, dan menambahbaik kecekapan tenaga di samping mengurangkan tahap bunyi. Bahagian ekornya lebih ringan, menampilkan rekaan rotor Fenestron yang lebih senyap dan mempunyai prestasi lebih baik.

Demonstrator FlightLab yang diuji bermula 2020.

Syarikat penerbangan Perancis ini telah mula menggunakan demonstrator terbang mereka sejak 2020 dengan Flightlab. Ia menggunakan platform H130 sedia ada untuk menguji teknologi berkenaan autonomi. DisruptiveLab yang baharu ini lebih memfokus kepada prestasi dan alam sekitar.

Gambar oleh: Airbus